Akhir-akhir ini, dada Raisyah kerap kali terasa sakit. Jiwanya terasa kosong dan pedih. Hanya air mata sahaja yang keluar. Mungkin dengan cara itu sahajalah yang dapat mengurangkan jiwa dan hatinya yang terseksa. Pil yang selalu menjadi ubat jiwanya serasa tidak berkesan lagi.
"Syah...buka pintu ni. Raisyah! Raisyah! Mama ni...buka pintu sayang. Dah empat hari Syah berkurung macam ni. Mama risau..." Datin Rohana mengetuk-ngetuk daun pintu bilik Raisyah. Suaranya dilembutkan supaya Raisyah terpujuk dan membuka pintu. Hatinya risau melihatkan keadaan Raisyah yang semakin teruk.
Datin Rohana tahu yang Raisyah sedang sakit. Sakitnya bukan pada fizikal. Tetapi sakit dalaman. Sakit yang memerlukan rawatan emosi, jiwa, dan hati. Namun, dia tidak tahu bagaimana mahu menolong anaknya itu. Jika diluah perkara sebenar, bimbang keluarganya pula yang berpecah-belah. Ini semua salah dia dan suaminya. Kalaulah dia dapat memujuk Datuk Zainal untuk menerima Zhariff dulu, semua ini tidak akan berlaku. Tetapi, siapa dia untuk melawan takdir. Hatinya beristighfar. Bimbang hanyut dengan bisikan syaitan lagi.
***********
Enam tahun dahulu...
"Tidak! Saya tidak benarkan...keluarga kamu tidak setaraf dengan kami!" Datuk Zainal membantah. Lantang sahaja suaranya apabila Puan Fatimah menyuarakan hasrat anaknya untuk menikahi Raisyah.
Puan Fatimah tertunduk. Dia sedar keluarganya bukan orang kenamaan seperti keluarga Datuk Zainal. Sudah dua kali dia datang ke rumah mewah ini untuk meminta kebenaran supaya anak mereka disatukan. Tetapi ditolak mentah-mentah hanya kerana darjat.
"Abang...tak baik begini. Mereka datang dengan cara baik. Berbincanglah elok-elok." Datin Rohana memujuk. Dia sebenarnya tidak kisah dengan pilihan Raisyah asalkan mereka bahagia. Dia tahu Raisyah sudah berkawan dengan Zhariff sejak menuntut di universiti lagi. Namun, dia tidak mampu untuk membuat keputusan.
"Datuk, semua manusia adalah sama di sisi Allah melainkan amal dan taqwanya. Saya tahu keluarga saya tidak berharta, tapi itu semua dunia yang sementara. Tergamakkah Datuk untuk memisahkan dua jiwa yang betul-betul saling menyayangi satu sama lain? Sanggupkah Datuk membiarkan anak Datuk tidak bahagia dengan keputusan Datuk?"
Puan Fatimah cuba membuka mata Datuk Zainal yang dibutakan dengan duniawi. Hatinya sebak. Matanya sudah berkaca menahan tangis. Datin Rohana sudah teresak. Datuk Zainal mendengus kuat. Masih lagi dengan keputusannya.
"Tak ada apa lagi yang boleh dibincangkan. Semua keputusan yang saya buat adalah muktamad! Jangan sesekali datang ke sini lagi..." Suara Datuk Zainal kedengaran mendatar. Kakinya terus diatur meninggalkan ruang tamu. Betapa kerasnya hati Datuk Zainal.
"Fatimah...saya minta maaf. Saya tak mampu berbuat apa-apa untuk anak kita." Datin Rohana bersuara lirih. Kedua-dua tangan Puan Fatimah dipegang kejap.
Puan Fatimah hanya mengangguk tanda mengerti. Kakinya terus berlalu dari banglo mewah itu bersama hati yang kecewa. Maafkan mak, Riff. Ini sahajalah yang mak mampu tolong. Hatinya bersuara sayu.
**********
'Mak...Riff minta maaf sebab pergi tanpa minta izin dari mak. Riff terpaksa buat keputusan ini bersama Raisyah. Riff sayangkan dia dan Riff juga sayangkan mak. Ampunkan segala salah dan silap Riff. Halalkan makan minum Riff. Riff sayang mak...'
Terkedu Puan Fatimah membaca setiap patah perkataan di dalam surat yang ditinggalkan di atas meja belajar Zhariff itu. Terasa lemah lututnya. Terjelepuk Puan Fatimah di lantai. Kenapa Riff pilih jalan begini? Kenapa tak bincang dengan mak dulu? Hatinya merintih...
**********
Sudah hampir setahun Zhariff dan Raisyah berkahwin tanpa pengetahun keluarga. Atau lebih tepatnya mereka kahwin lari. Raisyah sekarang sudah berbadan dua. Tinggal beberapa hari lagi masa yang dijangka untuk bersalin.
"Isteri encik demam biasa saja. Alhamdulillah tak teruk. Makan ubat nanti Insyaa Allah okay..."
"Iya ke doktor? Risau saya...Sebab isteri saya ni jarang demam."
Doktor hanya mengangguk mengiyakan. Zhariff menarik nafas, lega.
"Kereta sebelah sana la, sayang. Tunggu sini kejap abang pusing kereta sebelah sini ya!" Raisyah hanya mengangguk dengan arahan Zhariff. Sayang benar Zhariff kepadanya.
Sebaik sahaja kaki Zhariff melangkah ke tangah jalan, tiba-tiba sebuah van meluncur laju ke arahnya. Raisyah yang memerhati sahaja langkah Zhariff terkejut apabila melihat van itu meluncur laju ke arah suaminya terus berlari ke tengah jalan dan menolak tubuh Zhariff ke tepi jalan. Melambung Raisyah dilanggar van tersebut. Darah di kepala, mulut dan hidung tidak henti-henti mengalir. Raisyah kaku.
"Raisyaaahhhh!!!" jeritan Zhariff kedengaran sayup sahaja pada pendengaran Raisyah.
**********
Panggg!!
Satu tamparan kuat mengenai pipi Zhariff. Pipi kirinya digosok perlahan. Perit! Pipinya sudah memerah akibah penampar yang dihadiahkan oleh Datuk Zainal. Datin Rohana memegang lengan suaminya berharap dapat menenangkan amarah yang sedang membuak.
"Kau dah melampau, Zhariff. Kalau kau tak bawa lari anak aku semua ini tak akan terjadi. Semua ini salah kau!! Jangan harap aku terima kau jadi menantu aku! Sampai mati pun tak akan aku terima!!" Merah muka Datuk Zainal menghamburkan marahnya. Jari telunjuknya ditunjal ke arah Zhariff Bencinya kepada Zhariff semakin menebal.
"Ya Allah, abang! Mengucap, bang! Benda nak jadi..." Datin Rohana cuba menenangkan Datuk Zainal yang seperti dirasuk itu.
Tiba-tiba pintu bilik kecemasan terkuak. Kelihatan seorang doktor melangkah keluar. Datuk Zainal pantas menerpa doktor tersebut untuk bertanyakan keadaan Raisyah.
"Alhamdulillah, anak Datuk selamat melahirkan bayi lelaki." Doktor tersebut tersenyum memandang Datuk Zainal. Sepertinya mereka sudah mengenali antara satu sama lain.
"Raisyah...?" Zhariff bertanya dari belakang Datuk Zainal. Hatinya tidak sedap.
Doktor tersebut hanya berdiam diri. Wajahnya ditundukkan sedikit. Zhariff seakan mengerti akan reaksi doktor itu. Lututnya longlai sendiri. Perlahan-lahan badannya melurut jatuh ke lantai. Terduduk dia di situ. Air mata lelakinya tumpah.
Sudah seminggu Raisyah tidak sedarkan diri. Badannya dipenuhi wayar. Hidup Raisyah kini bergantung kepada mesin talian hayat sahaja. Sebak hati Zhariff melihat Raisyah di balik cermin kaca. Terngiang-ngiang lagi kata-kata doktor ditelinganya.
'Raisyah dalam keadaan kritikal. Tangan kanan dan kedua-dua belah kakinya patah. Dan yang lebih teruk tulang rusuknya turut patah dan terkena sedikit di bahagian paru-paru. Harapan untuk dia teruskan hidup amat tipis. Apa-apa pun banyakkan berdoa. Hanya Dia sebaik-sebaik penolong.'
Share this novel