Sudah seminggu Zhariff mengambil cuti sakit. Sejak kebelakangan ini, kepalanya asyik sakit sahaja. Badannya sedikit susut. Mungkin terlalu memikirkan Raisyah sampai ke dalam tidurnya. Dia perlu bertahan dengan penyakitnya ini walaupun tidak larat.
"Riff...mak buatkan bubur ni. Riff makan ya. Mak suapkan." Sudu yang berisi bubur itu disuakan ke bibir Zhariff. Perlahan-lahan mulutnya dibuka walaupun tiada selera. Saja ingin menjaga hati Puan Fatimah. Zhariff sudah menggeleng setelah beberapa sudu masuk ke mulutnya.
"Tak mahu dah? Sikit saja Riff makan. Makan la sikit lagi ya..?" Zhariff menggeleng lagi tidak mahu. Puan Fatimah hanya mampu mengeluh.
"Riff, mak bawak Riff pergi hospital ya? Kat sana senang sikit ada doktor dan nurse yang boleh pantau Riff." Puan Fatimah bersuara lembut cuba memujuk Zhariff.
Setiap kali penyakit Zhariff menyerang, setiap kali itulah Puan Fatimah memujuk Zhariff untuk ke hospital. Tetapi Zhariff tetap berdegil tidak mahu pergi. Dia lebih suka maknya sendiri yang jaga. Puan Fatimah sebenarnya risau jika penyakit Zhariff semakin melarat. Sudah lama Zhariff tidak buat pemeriksaan doktor. Hanya makan ubat yang diberi doktor sahaja.
"Tak apa, mak. Nanti Riff telan ubat okay lah tu. Mak janganlah risau." Zhariff tersenyum hambar. Badannya kembali dibaringkan. Matanya kembali lelap.
'Abang...Syah sayangkan abang. Syah rindukan abang."
"Raisyah..."
"Huhhh!!" Terjaga Zhariff dari tidurnya. Mukanya yang dipenuhi peluh diraupnya. Akhir-akhir ini, dia selalu termimpikan Raisyah. Bagaimana keadaan Raisyah sekarang? Sudah lama dia tidak ke rumah Raisyah semenjak Datuk Zainal tahu.
Zhariff mengerling jam di sisi katilnya. 4 pagi. Dia terus ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Dia ingin menunaikan solat sunat mahu meminta petunjuk.
Share this novel