Bukk! Bukk! Bukk!!
Berkali-kali muka dan perut Zhariff dipukul. Sakitnya tidak terkira. Suasana sunyi di kawasan parkir kerata di pejabatnya merancakkan lagi pukulan kumpulan gangster itu. Habis bengkak mukanya. Darah pekat mengalir di celah-celah bibir.
"Hey, kau dengar sini! Kalau kau cari pasal lagi nahas kau! Ingat!! Ini hanya amaran. Jangan sampai nyawa kau melayang di tangan aku!" Rambut Zhariff dicekak kuat. Zhariff mengerang kesakitan.
Empat orang gangster yang berbadan besar itu berlalu pergi setelah puas memukul. Tubuh Zhariff mengerekot kesakitan. Hatinya sudah dapat mengagak siapa dalang yang membuatnya begini. Betapa kejamnya manusia...
"Ya Allah, Riff!!" Puan Fatimah hampir terjerit terkejut melihat Zhariff yang pulang dalam keadaan luka dan lebam di muka. Nasib baik Raykal sudah tidur selepas Isya' tadi.
"Kenapa sampai boleh jadi macam ni, Riff?" Puan Fatimah menyoal. Tangannya ligat menyapu ubat di muka Zhariff. Zhariff hanya berdiam diri. Mulutnya kadang-kadang mengaduh sakit apabila Puan Fatimah menyapu lukanya sedikit kuat.
"Datuk Zainal..." Lemah sahaja Zhariff bersuara.
"Apa maksud Riff?" Terkejut Puan Fatimah mendengar nama itu.
"Riff tahu ini semua kerja dia, mak."
"Riff pasti ke? Riff...tak baik Riff buat tuduhan macam tu. Tuduhan tanpa usul periksa. Kalau tak betul itu fitnah namanya..." Puan Fatimah menggosok-gosok bahu Zhariff. Hati Puan Fatimah sebenarnya juga kuat mengatakan ini semua kerja Datuk Zainal. Dia tahu Datuk Zainal sanggup buat apa sahaja untuk menghalang Zhariff dari Raisyah. Tapi dia tidak mahu menuduh tanpa bukti.
"Riff rasa ini memang kerja dia sebab Riff bantah kehendak dia. Dia suruh kita pindak ke New Zealand bulan depan tapi Riff tolak. Riff tak nak duduk sana. Riff takut masa Riff tak lama..." Zhariff menerangkan punca sebenar Datuk Zainal mengupah gangster-gangster tersebut memukulnya.
"Allahhhh...sampai begitu sekali Datuk Zainal bencikan kita." Puan Fatimah mengucap panjang. Terkedu dia mendengar penjelasan Zhariff.
**********
"Mama...tolong Syah untuk kali ni. Syah nak jumpa Zhariff dan anak Syah. Syah rindukan mereka, ma..." Raisyah merayu meminta pertolongan Datin Rohana. Raisyah sudah teresak.
"Bukan mama tak nak tolong Syah. Tapi mama takut papa kamu bertindak di luar kawalan nanti. Syah kenal kan papa macam mana." Datin Rohana bersimpati dengan nasib Raisyah. Bukan dia tidak mahu menolong. Tetapi tindakan Datuk Zainal sukar dijangka. Risau dibuatnya bukan-bukan pada keluarga Zhariff nanti.
Raisyah hanya menangis. Tergamak papanya bertindak sedemikian. Hati Raisyah merintih. Datin Rohana terus memeluk Raisyah. Digosoknya belakang Raisyah.
Berpeluh-peluh dahi Raisyah. Tragedi kemalangan dahulu datang menerjah ke dalam mimpinya. Selepas Datin Rohana balik tadi, Raisyah terus melelapkan diri kerana kepalanya terasa sakit. Berdebar dada Raisyah mengingat kembali tragedi tersebut.
Peristiwa tentang kemalangannya dahulu agak pelik. Apa yang dia tahu dari cerita Datin Rohana, dia dilanggar lari. Tetapi kes tersebut ditutup begitu sahaja. Seperti ada yang tidak kena. Kepala mula berfikir bukan-bukan tetapi cepat ditepisnya. Tak mungkin...
Share this novel