Bab 3

Family Completed 11132

"Lewatnya Riff balik..." suara Puan Fatimah kedengaran dalam samar cahaya. Lampu di ruang tamu sudah dipadamkan. Maklumlah, dah masa untuk tidur. Dah masuk pukul 1 pagi.

"Mak tak tidur lagi?" Zhariff bertanya hairan. Biasa maknya akan tidur awal.

"Dah tidur tadi. Terjaga nak pergi tandas. Dengar Riff buka pintu, mak jenguklah kejap nak tengok. Kamu rupanya."

Zhariff baru berkira mahu masuk ke biliknya, tiba- tiba Puan Fatimah bersuara kembali.

"Riff pergi rumah dia lagi?" Puan Fatimah menebak. Zhariff hanya mendiamkan diri. Tekaannya tepat apabila melihat reaksi Zhariff.

"Riff...biarlah dia dengan hidupnya. Riff kena teruskan hidup Riff dengan Raykal tu. Tak payahlah seksa hati Riff lagi. Mak sedih tengok Riff macam ni..." Puan Fatimah bersuara sendu. Pilu hatinya bila mengingatkan peristiwa pahit yang dilalui anaknya.

Puan Fatimah tahu hati anaknya masih untuk Raisyah. Hampir setiap hari Zhariff ke rumah Datuk Zainal hanya untuk melihat Raisyah walaupun dari jauh. Dia sudah berjanji kepada Datuk Zainal tidak akan muncul di hadapan Raisyah lagi. Dengan cara ini sahajalah dia dapat mengubat rindunya walaupun sedikit. Hatinya terlampau rindu.

"Mak...tidurlah. Dah lewat ni. Riff pun dah mengantuk." Zhariff bersuara lembut. Tidak mahu menyakitkan hati maknya.

Puan Fatimah hanya melihat sahaja Zhariff menutup pintu biliknya. Hatinya sebak. Begitu besar ujian Allah kepada anaknya ini.

**********

"Mama...ada apa-apa yang mama sorokkan daripada Syah ke?" Raisyah bertanya ingin tahu. Hatinya kuat mengatakan yang mama dan papanya ada menyembunyikan sesuatu darinya. Tapi apa? Untuk apa?

Datin Rohana terpana. Mukanya terasa pucat. Raisyah dah tahu ke? Hatinya menebak sendiri. Dia risau jika terbongkar rahsia ini Raisyah akan marahkannya. Dan lagi parah jika Raisyah berjauh hati dan lari membawa diri.

"Apa maksud Syah? Mama sorok apa pulak? Mama tak faham..." dalih Datin Rohana.

"Tak...Syah rasa lain. Rasa macam ada benda yang Syah sepatutnya ingat tapi Syah tak mampu nak ingat. Benda yang sangat-sangat penting bagi Syah. Tapi Syah tak tahu apa dia. Hati Syah rasa sakit ma...kosong!" berkerut-kerut dahi Raisyah cuba mengingat sesuatu.

Sejak Raisyah sedar daripada koma akibat kemalangan lima tahun lepas, ingatannya hilang. Dan dalam masa lima tahun itulah dia dapat mengingati semula semua memorinya yang hilang. Tetapi, tidak semua.

"Tak ada apa yang perlu kami sorokkan dan tak ada benda yang kamu perlu ingat, Syah!" Datuk Zainal yang entah bila datang dan mendengar perbualan mereka itu menyampuk.

Datuk Zainal duduk di kerusi meja makan. Datin Rohana terus mencedokkan mee goreng ke pinggan suaminya. Dia hanya mendiamkan diri. Sangkanya Datuk Zainal turun sarapan lambat pagi itu kerana hari minggu.

Raisyah tertunduk. Takut dimarahi papanya lagi. Entah mengapa papanya agak sensitif dengan peristiwa kemalangannya. Seperti ada sesuatu yang tidak kena. Mee goreng di dalam mulutnya dikunyah perlahan. Hatinya tidak sedap memikirkan perkara itu.

"Abang nak keluar ke?" Datin Rohana bersuara setelah agak lama berdiam.

"Nak ke office sekejap. Ada kerja yang perlu diselesaikan." Datuk Zainal membalas pertanyaan isterinya sambil membaca surat khabar. Memang menjadi rutinnya setiap pagi akan membaca akhbar sambil bersarapan.

**********
"Tidak, Datuk! Saya tak akan ikut kemahuan Datuk untuk kali ini. Janji dahulu pun saya dah tepati. Apa lagi yang Datuk tak puas hati dengan saya!" Zhariff memprotes keras.

Janji yang dibuat dulu pun sudah membuatkan hidup Zhariff terseksa. Ini disuruh mengikut kehendak Datuk Zainal untuk menetap di New Zealand pula. Dia tidak mahu. Lagipun, dia sudah mempunyai kerjaya sendiri sebagai pengurus kewangan di salah sebuah syarikat terkemuka. Rumah dan kereta pun sudah dia miliki. Buktinya sekarang dia menetap di rumahnya sendiri bersama mak dan anak kesayangannya walaupun rumahnya tidaklah segah rumah Datuk Zainal. Dia bukan seperti dahulu yang tidak mempunyai apa-apa. Dia tidak mahu lagi diperlakukan seenaknya oleh golongan berada itu.

Datuk Zainal mendengus kuat. Tidak bersetuju dengan kata-kata Zhariff.

"Tepati janji kau kata?? Tepati apanya kalau hari-hari muncul di kawasan rumah aku?! Kau ingat aku tak tahu!! Kau sedar sikit diri kau tu siapa! Kau tu miskin, tak ada harta, kuasa, apatah lagi nama...ada hati nakkan anak aku!!!" Kata-kata Zhariff dibalas dalam nada tinggi. Dia berang dengan penolakan Zhariff.

Zhariff terpana. Dia tidak menyangka Datuk Zainal perasan. Salahnya juga tidak berhati-hati. Namun, kata-kata hina yang dilemparkan kepadanya tadi tidak boleh diterima. Dia juga manusia. Yang punya hati dan perasaan. Tangannya dikepal berharap rasa panas dihatinya dapat dikurangkan. Perasaan hormatnya masih ada untuk Datuk Zainal kerana masih lagi bapa mertuanya walaupun dia sendiri pun masih tidak pasti dengan status perkahwinannya sekarang. Masih tergantung.

"Datuk tak berhak tentukan hidup saya. Lagi pula, saya tak pernah menunjukkan diri saya di hadapan Raisyah. Saya hanya melihat dari jauh." Zhariff membela diri.

Hati Datuk Zainal panas. Mukanya sudah merah menahan amarah sejak dari tadi.

"Aku tak kira! Bulan depan kau kena pergi dari sini. Keluar dari Malaysia dengan mak dan anak kau tu sekali. Aku dah sediakan penginapan dan kerja untuk kau. Habiskan hidup kau di sana. Tak perlu balik lagi ke sini!" Mendatar sahaja suara Datuk Zainal mengarah.

Belum sempat Zhariff membantah kaki Datuk Zainal sudah berlalu meninggalkan kawasan taman tasik itu. Zhariff mengeluh berat. Ujian apa lagi yang harus dia hadapi. Dia sudah tidak cukup kuat untuk harunginya. Hati Zhariff merintih sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience