Bab 5

Family Completed 11132

"Syah...abang rindukan Syah! Abang dah tak kuat nak hadapi semua ni. Tapi demi anak kita, abang paksakan diri."

Zhariff merenung potret kahwinnya enam tahun lepas. Potret itu diusap lembut. Sungguh! Dia tidak larat lagi hidup begini. Hidup dalam kerinduan yang teramat. Rindu yang selama ini terhalang dek darjat dan ego seorang Datuk Zainal. Mengapa begitu sukar Datuk Zainal itu ingin menerimanya. Hatinya hanya mampu berdoa agar hati Datuk Zainal lembut dan terbuka untuknya.

"Ayah, ibu cantik kan?" Raykal yang entah bila datangnya bersuara di sebelah Zhariff. Tangan kecilnya turut mengusap potret tersebut.

"Eh, Kal. Terkejut ayah tau. Lain kali masuk bilik ayah bagi la salam dulu ya." Kepala Raykal dibelai lembut.

"Ayah janganlah sedih ya? Nanti ibu balik jumpa kita..." Raykal cuba memujuk Zhariff. Tahu yang ayahnya sedang bersedih.

Raykal sangat bijak. Usianya baru mencecah 5 tahun tapi sudah pandai memujuk. Sikapnya lebih matang berbanding kanak-kanak lain. Mungkin faktor didikan Zhariff yang sentiasa mengajarnya untuk berdikari.

"Nenek kata nanti ibu balik jumpa Kal dengan ayah bila dah sembuh. Kesian ibu sakit..." Tangan kecilnya menggenggam tangan Zhariff. Zhariff terkedu seketika dengan kata-kata Raykal. Zhariff menarik Raykal ke dalam pelukannya. Air mata diseka sebelum sempat menitis di pipi. Bimbang Raykal melihat dia menangis. Dia perlu tunjuk kuat di hadapan Raykal.

"Kal...pergi mandi dulu. Nanti kita makan sekali dengan ayah ya?" Tiba-tiba Puan Fatimah bersuara di muka pintu bilik. Entah sudah berapa lama dia terpacak di situ. Perbualan antara Zhariff dan Raykal mungkin sudah didengarinya.

Raykal hanya menurut. Dia berlari anak masuk ke biliknya untuk mandi dan tukar pakaian sekolah tadikanya yang dipakai dari pagi tadi. Semasa pulang dari menjemput Raykal di tadika tadi, Puan Fatimah tidak sempat berkata apa-apa apabila Raykal terus sahaja menonong masuk ke rumah apabila menyedari kereta Zhariff berada di bawah garaj.

"Riff sakit kepala lagi ke?" Puan Fatimah bertanya setelah melihat Zhariff memicit kepalanya.

"Hurmmm...sakit sikit saja. Nanti tidur baiklah tu." Zhariff tersenyum tawar.

"Riff...pergilah jumpa doktor. Makin melarat nanti. Dah lama kan Riff tak pergi temu janji dengan doktor. Janganlah buat mak risau. Mak hanya ada Riff saja kat dunia ni." Puan Fatimah memujuk. Bimbang dia dengan kesihatan Zhariff yang semakin merosot.

"Riff..." Puan Fatimah memanggil lagi apabila melihat Zhariff berdiam diri. Matanya dipejam rapat sambil berbaring.

"Iya, mak...nanti Riff pergi ya..?" Zhariff membalas lembut. Puan Fatimah hanya menggeleng melihat perlakuan Zhariff. Dia mengeluh sedikit.

**********

"Saya tak boleh tunaikan permintaan Datuk. Biarlah saya tentukan sendiri hidup saya! Saya tak akan sesekali berpindah ke sana!" Tegas Zhariff bersuara di corong telefon.

"Kau jangan nak biadap! Sedar sikit kau tu siapa!! Aku dah uruskan semuanya. Kau hanya pergi saja ke sana dan hidup seperti biasa. Aku tak kira! Kau kena ikut jugak arahan aku!! Kalau tak kau tahulah akibatnya nanti!!" Datuk Zainal bersuara lantang. Tegang sahaja mukanya menahan marah. Dadanya turun naik berombak.

"Keputusan saya dah muktamad. Assalamualaikum..." Zhariff memutuskan talian. Tidak mahu lagi berkompromi dengan Datuk Zainal yang hanya tahu mengarah sahaja.

"Hello!! Hello!! Zhariiffff!!" Jerit Datuk Zainal. Hatinya panas. Zhariff sudah berani melawannya.

Terkejut Raisyah dengan jeritan Datuk Zainal itu. Tidak pernah dia melihat wajah Datuk Zainal sebengis itu. Menggerunkan bagi dirinya. Entah dengan siapalah ayahnya sedang bercakap itu sampai marah begitu sekali. Dia ada terdengar nama Zhariff dijerit kuat tadi. Zhariff?? Telinganya seperti biasa mendengar nama itu. Siapa dia..?

Kepalanya tiba-tiba sakit. Dadanya juga tiba-tiba menjadi sebak. Air mata mula mengalir laju ke pipi. Kenapa dengan aku ni? Hati Raisyah berdesis. Kakinya terus melangkah menuju ke biliknya setelah lama terpaku di luar bilik bacaan Datuk Zainal. Bimbang Datuk Zainal menyedari kehadirannya di situ.

Siapa Zhariff? Kenapa aku tak ingat dengan nama itu? Adakah dia orang yang bermakna kepada aku sehingga aku berperasaan begini? Raisyah bermonolog sendiri di dalam hati. Dadanya ditekan-tekan berharap rasa sakit di hatinya berkurang. Lama Raisyah berkeadaan begitu sebelum matanya terlelap sendiri di atas katil.

'Syah...abang sayangkan Syah. Abang rindukan Syah sangat-sangat. Abang dah tak kuat, Syah.'

Baru sahaja Raisyah ingin melihat wajah lelaki itu dengan lebih dekat, tiba-tiba lelaki itu hilang. Mata Raisyah melilau mencari lelaki tadi tetapi hampa. Dia cuba memanggil.

'Abang! Abang! Abang!!'

"Abang!!!"

Raisyah terjaga dari tidurnya. Berpeluh-peluh dahinya. Wajahnya diraup. Dia beristighfar beberapa kali. Entah sudah berapa lama dia terlelap. Jam di sisi katil dikerlingnya. Sudah sejam dia terlelap. Raisyah bangun ke bilik air untuk mengambil wudhuk bila menyedari yang dirinya belum solat Isya'.

Raisyah tidak dapat melelapkan diri malam itu. Bayangan lelaki di dalam mimpi tadi masih berlegar-legar di mindanya. Berkerut-kerut dahinya cuba mengingati wajah lelaki itu, namun hampa. Wajah di dalam mimpinya tidak jelas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience