Bab 6

Family Completed 11132

"Mama... Boleh Syah tanya sesuatu?" Raisyah melabuhkan punggungnya di sofa bersebelahan Datin Rohana.

"Iyaa Syah. Apa dia? Nampak macam penting saja..." Datin Rohana mengalihkan pandangannya dari televisyen di hadapannya. Matanya tepat memandang Raisyah yang dilihatnya serius ingin bertanyakan sesuatu.

"Err...mama kenal Zhariff?"

Datin Rohana terpana seketika dengan soalan Raisyah. Adakah ingatan Raisyah sudah kembali? Liur ditelan. Terasa kesat di kerongkong. Pucat lesi wajahnya. Bergetar bibirnya ingin memberi jawapan.

"Syah dah ingat ke..? Syah...mama minta maaf. Mama tak ada niat pun nak lukakan hati Syah..." Datin Rohana bersuara perlahan. Berbuku-buku rasa bersalahnya pada Raisyah.

"Apa maksud mama? Syah tak faham...Semalam Syah dengar papa jerit-jerit nama Zhariff. Itu yang Syah nak tahu siapa Zhariff tu..." Raisyah memandang Datin Rohana inginkan jawapan.

"Jadi Syah tak ingat lagi?" Datin Rohana membalas dengan pertanyaan. Raisyah hanya menggeleng.

Datin Rohana teragak-agak sama ada ingin menceritakan kisah sebenar atau tidak. Dia takut nanti akan penerimaan Raisyah terhadap dia dan Datuk Zainal. Perlukah diceritakan sekarang? Mungkin sudah tiba masanya Raisyah mengetahui perkara sebenar. Dia berhak tahu.

"Syah...sebelum mama cerita, mama nak minta maaf sangat-sangat kat Syah sebab rahsiakan dari Syah. Mama terpaksa. Mama takut papa akan bertindak lagi jauh kalau mama ceritakan pada Syah." Datin Rohana menggenggam tangan Raisyah. Matanya sudah berkaca.

"Mama...kenapa ni? Apa yang mama dan papa cuba rahsiakan dari Syah? Syah...Syah tak faham..." Raisyah bingung. Apa yang sebenarnya berlaku. Adakah berkaitan dengan memorinya yang hilang lima tahum lepas? Dia harus mendengar sendiri cerita Datin Rohana.

"Enam tahun dulu...Syah pernah ada suami. Nama Zhariff yang Syah dengar itulah suami Syah. Setelah hampir setahun Syah kahwin dengan Zhariff tanpa pengetahuan mama dan papa, Syah accident dan koma empat bulan. Anak dalam kandungan Syah selamat dilahirkan melalui pembedahan. Harapan Syah untuk hidup masa tu sangat tipis sehinggakan doktor suruh mama dan papa bersiap sedia dengan pemergian Syah."

"Zhariff selalu datang hospital untuk melawat Syah tapi papa halau. Papa mengamuk dekat Zhariff. Dia terlalu bencikan Zhariff kerana baginya Zhariff lah punca segalanya berlaku. Demi kebahagiaan Syah...Zhariff terima sahaja permintaan papa. Permintaan supaya Zhariff tidak akan munculkan dirinya di hadapan Syah lagi. Memandangkan Syah pun hilang ingatan dan tak ingat tentang Zhariff dan anak Syah selepas sedar dari koma, Zhariff berasa Syah lebih bahagia tanpa dia. Tapi Syah...mama tahu yang Zhariff selalu datang jenguk Syah dari jauh. Sebab mama pernah nampak kelibat dia."

Teresak-esak Datin Rohana bercerita. Raisyah sudah terpaku di sebelah Datin Rohana. Kepalanya terasa sangat sakit. Diramas kepalanya dek terlampau sakit. Satu persatu memori bersama Zhariff berlayar kembali dalam ingatannya. Titisan mata mula mengalir laju. Tiada esakan melainkan raungan Raisyah yang menahan sakit di kepala. Akhirnya dia longlai dalam pelukan Datin Rohana.

"Syah! Syah...bangun Syah!!"

**********

Raisyah telah dikejarkan ke hospital setelah tiga hari tidak mahu menjamah makanan setelah sedar daripada pengsannya tempoh hari. Badannya kekurangan air.

"Syah...makan sikit ya? Syah tak jamah apa-apa lagi ni." Datin Rohana memujuk. Muka Raisyah yang pucat lesi itu dipandang sayu. Hati ibunya juga turut menderita melihat Raisyah berkeadaan begitu. Raisyah hanya membatukan diri.

"Ana...apa dah jadi ni? Ada apa-apa yang berlaku ke sepanjang saya tak ada?" Datuk Zainal yang hanya memandang sahaja dari tadi bersuara. Hatinya musykil dengan apa yang berlaku sepanjang dia outstation selama seminggu di Sabah.

Datin Rohana menggeleng. Datuk Zainal tidak boleh tahu. Nanti apa pula rancangannya kalau dia tahu. Datuk Zainal itu bukannya boleh dijangka. Raisyah mendongak ke arah Datuk Zainal yang berdiri di hujung katil hospital itu. Tajam mata Raisyah memandang Datuk Zainal.

Setelah beberapa minit berkeadaan begitu barulah dia mengalihkan pandangan. Mukanya tegang. Raisyah merebahkan dirinya. Selimut ditarik hingga ke leher. Badannya turut dipusing membelakangi Datin Rohana yang setia di sisinya. Bibir keringnya dikunci rapat. Raisyah tidak mahu diganggu. Dia mahu bersendirian. Dia risau jika luka di hatinya bertukar jadi benci kepada Datuk Zainal dan Datin Rohana.

Datuk Zainal hanya mendengus tidak suka dengan kelakuan Raisyah. Dia terus keluar daripada bilik hospital itu. Selang beberapa minit, Datin Rohana pula keluar setelah faham yang Raisyah mahu bersendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience