Episod 7

Short Story Completed 431

IQBAL membawa Hana, Izu dan Izzati berjalan masuk ke dalam Perpustakaan Negeri Shah Alam selepas menyimpan beg dan kasut ke dalam ruang yang disediakan. kedinginan daripada penyaman udara menyejukkan seketika tubuh sesiapa yang masuk ke dalam ruang perpustakaan.

Hana, Iqbal, Izu dan Izzati beriringan masuk ke ruang yang menempatkan bahagian hiburan dan santai. Di sebelahnya terdapat ruang yang menempatkan hiburan teater berbentuk 3D dan XD atau lebih dikenali sebagai 6D. Sebaik mereka duduk di tempat yang disediakan, Izu terus membuka bukunya.

“Sayang, bawalah Izu ke ruang sebelah. Baru sesuai.” bisik Iqbal ke telinga Hana yang duduk di sebelahnya manakala Izzati dan Izu duduk bertentangan.

“Kenapa pula?” soal Hana. Tidak sengaja bercakap kuat.

Dia memandang Izu yang merenung ke arahnya.

“Kat sana tu, ada tempat untuk budak-budak macam Izu. Sini untuk orang besar macam kita je,” beritahu Iqbal lagi. Kali ni tak berbisik.

Izu memandang kakaknya dan Iqbal silih ganti. Dia tidak faham kenapa dia perlu ke sana sedangkan dia selesa juga di sini dan ada juga budak yang nampak macam sebaya dengannya.

“Nanti Izu sorang-sorang pula. Siapa nak jaga dia kat sana?” tanya Hana lagi.

Izzati hanya diam memandang kedua mereka.

“Kat sana nanti Izu akan ada kawan yang ramai. Yang sebaya dengan Izu pun ada. Mana tahu terjumpa kawan-kawan sekolah Izu ke?” terang Iqbal lagi. Dia sebenarnya ada agenda tersendiri yang tidak diberitahu kepada Hana. Hanya Izzati saja yang tahu.

“Betul ke, abang? Mesti seronok kan? Tapi, Ibu dah pesan suruh Izu duduk dengan Kakak je.” jawab Izu. Iqbal diam dan hanya memandang Izzati.

“Sini tak best. Kat sana tu ada banyak buku-buku yang bagus untuk Izu. Mesti Izu tak bosan nanti.” sampuk Izzati. Dia bingkas bangun mengemas buku-buku Izu dan menarik tangan Izu. Izu menurut tanpa kata dan mengekori Izzati ke tingkat atas.

“Kenapa abang tak bagi Izu join kita sekali?” soal Hana yang masih tidak tahu perancangan Iqbal dan Izzati.

“Abang nak bawa sayang jalan-jalan. Takkan kita nak bawa Izu sekali?” beritahu Iqbal. Hana mengerutkan dahinya.

“Tinggalkan Izu sorang-sorang kat sini? Kalau dia hilang?” soal Hana dengan nada terkejut. Dia menggelengkan kepala berkali-kali. Ternyata dia tidak setuju dengan cadangan Iqbal.

“Takkan hilang punya. Percayalah cakap abang. Izzati boleh jaga dia.” pujuk Iqbal.

“Izzati tak ikut kita? Kenapa tak boleh bawa dia orang?” tanya Hana lagi.

“Tak romantiklah nanti kalau ajak dia orang. Abang nak keluar berdua dengan sayang je. Sayangkan dah jadi ‘awek’ abang.”

Hana terdiam. Dia menjadi malu sendiri.

“Boleh ye, sayang?” pujuk Iqbal, manja.

“Oklah kalau macam tu.” Hana mula bersetuju. Iqbal tersenyum.

“Pukul berapa kita datang balik? Tak boleh lama-lama, kena balik sebelum pukul empat.” Tanya Hana lagi.

Iqbal melihat jam di tangan yang sudah beranjak ke angka sebelas dan berfikir sejenak.

“Kita keluar dua jam je lepas tu kita datang sini balik ambil Izu dengan Izzati, kita pergi makan pula.” Usul Iqbal. Hana mengangguk tanda setuju.

Iqbal bangun. Hana mengikut. Mereka berjalan beriringan melangkah keluar dari perpustakaan selepas mengambil beg dan kasut di loker.

***

Hana dibawa ke Plaza Alam Sentral, Shah Alam yang terletak di Pusat Bandaraya Shah Alam. Usai parking di lot bawah, mereka beriringan menaiki escalator untuk ke tingkat atas.

“Apa nama tempat ni?” soal Hana. Hana lihat ada gerai buah-buahan di sudut ruang tengah yang berhadapan dengan restoran KFC.

“Eh, ada jual buahlah. Abang belanja sayang buah boleh?” belum sempat Iqbal menjawab Hana terlebih dulu bersuara.

Hana terus ke gerai buah itu. Iqbal hanya megekor Hana.

“Abang, sayang nak buah jambu batu.” pinta Hana. Iqbal memandang Hana yang leka melihat buah yang disediakan.

“Kak, bagi buah jambu batu dengan tembikai merah satu.” minta Iqbal pada pelayan wanita yang setia berdiri menanti pelanggan.

Pelayan itu mengambil buah jambu batu dan tembikai merah lalu diletakkan di atas meja kaca yang menempatkan buah-buahan.

“Adik nak jeruk asam ke kuah?” soal pelayan itu pada Iqbal.

“Saya nak jeruk asam.” pinta Hana yang tidak sabar untuk memakan buah jambu batu. Hana memang suka betul makan buah jambu batu.

“Kak, buah jambu je letak jeruk, tembikai tak nak.” minta Iqbal pula.

Pelayan itu membungkuskan buah tersebut ke dalam beg plastik kecil berwarna oren.

“Empat ringgit dik.” beritahu pelayan itu.

Iqbal mengeluarkan not RM1 empat keping dari dalam dompetnya dan serahkan kepada pelayan itu. Serentak itu juga pelayan itu memberikan buah kepada Iqbal dan Iqbal suakan kepada Hana. Iqbal membawa Hana ke arah escalator untuk ke tingkat atas.

“Kita nak pergi mana?” tanya Hana.

“Abang nak ajak sayang main boling.” terang Iqbal.

“Boling? Boling tu apa?” soal Hana. Iqbal tersenyum memandang Hana.

“Nanti abang tunjuk.”

Hana hanya menjungkitkan bahunya dan mengikut Iqbal sehingga ke tingkat empat yang menempatkan pusat boling. Iqbal membukakan pintu untuk Hana dan terus ke kaunter pembayaran. Pusat itu sangat bising kerana bunyi bola dibaling dan bunyi suara-suara manusia yang sedang leka dan seronok bermain.

Usai membuat pembayaran dan mengambil kasut khas untuk bermain boling dan stoking, Iqbal dan Hana menuju ke tempat yang telah disediakan untuk mereka. Hana leka memandang sekeliling.

“Macam mana nak main?” tanya Hana sebaik melabuhkan punggung ke atas kerusi. Buah yang dibeli dimakannya satu persatu.

“Pakai kasut tu dulu. Abang pergi cari bola kejap,” suruh Iqbal lalu berjalan menuju ke tempat bola disediakan. Iqbal mengambil dua biji bola yang sesuai untuknya dan Hana.

Sebaik kembali ke tempatnya semula, Hana sudah pun siap memakai kasut. Iqbal meletakkan bola boling ke atas rak yang sepatutnya dan menyarungkan kasut bolingnya.

“Sayang dah ready?” soal Iqbal usai siap memakai kasut. Hana mengangguk laju kerana teruja sejenak dia memerhatikan orang lain bermain.

“Tengok abang main dulu, ok!” Iqbal berjalan dan mengambil bola lalu dibalingnya ke atas landasan panjang yang mana hujungnya terdapat pin-pin bola yang akan dijatuhkan.

Selepas gilirannya, Iqbal mengajar Hana cara membaling dengan betul namun hampir semua balingannya hanya masuk ke dalam longkang.

***

Usai puas bermain boling, Iqbal dan Hana memulangkan semula kasut khas boling. Mereka keluar dari pusat itu dan duduk berehat sebentar di atas kerusi yang memang disediakan.

“Seronok tak main boling?” soal Iqbal. Hana memasamkan mukanya.

“Seronok tapi asyik masuk longkang je.” monyok Hana. Dia merajuk dan berlagak manja pada Iqbal.

“Lain kali kita main lagi, ye?” ajak Iqbal.

“Betul? Janji ye?” Hana teruja. Baru pertama kali main, dia sudah jatuh hati pada sukan yang satu ini.

“Janji, sayang. sayang, kita ni dah lama couple kan?” tanya Iqbal.
Hana mengangguk.

“Abang bukan tak percaya pada sayang. Betul sayang cintakan abang?” tanya Iqbal lagi.

Sekali lagi, Hana hanya mengangguk dan senyum malu.

“Kalau macam tu, apa bukti sayang?”

“Abang nak bukti yang macam mana?” bukan jawapan sebaliknya Hana bertanya.

“Sebagai bukti, boleh tak abang pegang tangan sayang? bukan apa, ramai kawan abang buat macam tu kat ‘awek’ dia orang.” pinta Iqbal.

Hana sedikit terkejut. Dia ragu-ragu. Bukankah berdosa? Fikirnya.

“Kan berdosa tu.” ujar Hana.

“Ala.. pegang tangan je, bukannya besar sangat dosa tu.” Dalih Iqbal.

“ye ke? Ustaz kata berdosa.” Jawab Hana lagi.

Dia masih ragu-ragu walaupun dia sendiri ingin mencuba apabila sering melihat pasangan lelaki dan perempuan berpegang tangan sesama mereka. Sudah sah nikah ke belum tu tak dapat dipastikan. Konflik dan pengaruh dari TV pun ada tunjuk.

“Taklah. Cuba sayang tengok orang lain. Dia orang buat selamba saja. Macam tak ada apa-apa.” pujuk Iqbal lagi.

Pantas tangannya memegang tangan Hana. Hana yang terkejut menarik semula tangannya. Iqbal terkesima lalu memandang wajah Hana. Muka Hana kemerahan menahan perasaan. Entah marah entahkan malu dengan tindakan Iqbal.

“Tak baiklah. Kan kita ni bukan mahram.” tingkah Hana. Iqbal berpaling memandang ke arah lain. Kemudian dia memandang Hana semula.

“Sayang, kita ni dah lama couple. Tak ada apa-apalah. Lagipun, abang cintakan sayang, sayang pun cintakan abang juga. Suatu hari nanti, kita akan khawin juga.” pujuk Iqbal dengan nada yang manja. Dia merasakan jeratnya hampir mengena apabila Hana tersenyum.

“Betul abang nak khawin dengan Hana?” soal Hana. Dia mula memasang angan di usia yang muda untuk berumahtangga.

“Betul. Kenapa abang nak tipu sayang pula?”

“Oklah. Kalau abang dah cakap macam tu.” sebaik Hana habis bersuara, Iqbal terus menggenggam jemari mulus Hana.

“Lembutnya tangan sayang,” puji Iqbal sambil menggosok-gosok tangan Hana. Hana tersipu-sipu malu mendengar pujian dari Iqbal.

“Lepaslah, abang. Kita jalan macam biasa dah lah.” Pinta Hana.

Iqbal mengerutkan dahinya, kehairanan.

“Kenapa pula? Sayang tak suka ke?” soal Iqbal. Dia menarik kembali tangan Hana ke genggamannya. Tidak pula Hana menolaknya.

“Bukan. Tak selesalah.”

“Lama-lama nanti oklah. Sayang, jom kita pergi karaoke nak?” ajak Iqbal. Hana seperti teruja apabila tiba-tiba dia tersenyum.

“Menyanyi ke? Dekat mana?” soal Hana tak sabar.

“Dekat depan ni je. Jomlah.” Ajak Iqbal.

Iqbal membawa Hana ke pusat karaoke yang terletak berhadapan dengan pusat boling. Hana menoleh ke kiri dan kanan melihat orang lain dengan urusan masing-masing.

“Bang, satu box?” pinta Iqbal sebaik tiba ke kaunter pembayaran. Iqbal membuat pembayaran dan masuk ke tempat yang disediakan. Hana hanya mengekor.

***

Usai berkaraoke, Iqbal dan Hana keluar dari pusat itu. Tergambar satu kepuasan di wajah masing-masing. Mereka duduk di kerusi yang disediakan. Iqbal cuba memeluk bahu Hana namun Hana pantas mengelak. Dia masih belum biasa.

“Kenapa?”

“Abang kata nak pegang tangan je. Kenapa pegang bahu? Gelilah.”

“Tadi sayang ok je bila abang pegang tangan sayang. Samalah macam bahu pun.” ujar Iqbal.

Hana diam. Dia membiarkan saja Iqbal memeluk bahunya.

“Kecil-kecil dah pandai nak buat maksiat. Dah tahu dosa tapi buat jugak.”

Hana tersentak. Dia memandang ke kiri dan kanan. Tiada siapa. Orang yang lalu lalang pun sibuk dengan urusan sendiri. Siapa pula yang bercakap tu? Getus hati Hana. Hana menelan air liurnya. Dia pandang Iqbal. Biasa saja. Kelihatan seronok bila tangannya masih memeluk Hana. Mulut Iqbal bergerak tapi Hana tak dengar sebarang butir pun yang keluar dari mulut Iqbal. pandangannya seolah kosong.

“Percaya sangat cakap lelaki tu. Esok tambah besar maksiat. Berpelukan, lepas tu berzina. Elok sangatlah tu. Berangan pula nak kahwin. Itupun belum pasti berjodoh. Kalau betul pun, itu bukan jalan terbuka untuk buat maksiat sebelum nikah. Kalau Allah dah turunkan azab pedih, barulah nak insaf, meraung bagai. Bertaubatlah, nak!”

Hana terdiam. Siapa yang bersuara tu? Hana hanya memandang ke depan. Tidak berani menoleh lagi. Bahunya terasa dibelai. Barulah Hana seperti tersedar.

“Lepaslah, abang. Kita buat macam biasa dah lah.” Pinta Hana. Iqbal mengerutkan dahinya kehairanan.

“Kenapa pula? Sayang tak suka ke?” soal Iqbal. Dia menarik pula tangan Hana ke genggamannya. Sekali lagi Hana menolak.

“Bukan. Tak selesalah.”

“Lama-lama nanti oklah.” Iqbal masih tak putus asa.

“Tak naklah.” Hana menggeleng laju. Suaranya meninggi sedikit.

“Oklah. Abang tak pegang dah.” nak tak nak, Iqbal mengalah.

Hana mengeluh perlahan.

“Jomlah kita pergi library. Dah pukul dua ni.” ajak Hana sambil melihat jam di tangannya.

Iqbal hanya mengangguk tanpa menjawab apa-apa. Dia bangun dan terus berjalan. Hana mengekor laju sehingga berjalan seiring dengan Iqbal.

“Abang marah sayang ke?” tanya Hana melihatkan wajah Iqbal yang masam mencuka.

“Taklah. abang tak marah pun.” jawab Iqbal acuh tak acuh tanpa memandang Hana.

“Janganlah macam ni.” pujuk Hana.

“Jomlah kita balik. Abang tak ada mood lah!”

“Sayang minta maaf ye. Jangan macam ni.” tanpa sedar Hana memegang tangan Iqbal hanya semata-mata untuk memujuk Iqbal.

Iqbal hanya membiarkannya. Hana lega bila Iqbal mula tersenyum. Hana dan Iqbal berjalan sambil berpimpin tangan. Kerana keseronokan dunia semata, dia sanggup melupakan batasnya demi insan yang bukan mahramnya. Bisikan tadi terus dilupakan.

©KaryaSitiNadiahShahron (2020)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience