Episod 6

Short Story Completed 431

SUASANA di dalam kelas bising memandangkan guru matapelajaran sesi itu belum masuk. Masing-masing membuat hal sendiri. Ada yang membaca, ada yang termenung tapi lebih ramai lagi suka bersembang. Hana sedang membaca buku manakala Izzati mencari-cari sesuatu di dalam beg sekolahnya.

“Hana!” panggil Izzati.

“Apa dia?” jawab Hana tanpa memandang ke arah Izzati.

“Ni ha,” Izzati terus meletakkan bungkusan plastik di atas meja Hana.

“Apa ni?” tanya Hana sedikit terkejut.

“Abang aku bagi. Bukalah!” suruh Izzati.

Sebenarnya Izzati tidak tahu apa isi kandungan dalam bungkusan tersebut. Tapi sebab dia menghormati hak orang lain, Izzati bersabar sehingga Hana sendiri yang membukanya. Orang lain punya hadiah, dia sendiri teruja. Ditanya pada Abangnya pun tidak dijawab. Izzati perhatikan saja Hana membuka dan menarik keluar selendang. Jarang dan bewarna merah.

“Selendang?” hampir menjerit Izzati bersuara.

Hana memandang Izzati dan mengangguk namun wajahnya berkerut seolah tidak suka dengan pemberian Iqbal.

“Kenapa? Kau tak suka ke?” soal Izzati.

“Bukan. Aku suka tapi kenapa abang kau bagi aku hadiah?” tanya Hana seraya menyimpan semula selendang tersebut ke dalam beg plastik.

“Entahlah. Dia suka tengok kau pakai tudung kot. Hm… Abang aku pesan, suruh kau pakai waktu dating nanti. Dia nak tengok ok ke tak pilihan dia ni. Mati-mati aku ingat dia bagi kau baju rupa-rupanya selendang. Tak ada kelaslah abang aku ni. Ada ke bagi selendang. Orang bagilah yang berkelas sikit.” Rungut Izzati.

“Abang kau juga.” bidas Hana sambil ketawa. Izzati mencebik namun dia turut ikut ketawa.

“Hai, apa yang seronok sangat kau orang gelak ni?” tegur Shira, rakan mereka yang duduk di belakang Hana. Izzati menoleh.

“Tak ada apa. Hana ni, pandai pula dia buat lawak Arab.” dalih Izzati. Dia mengangkat kening kepada Hana dan tersenyum. Hana terlopong. Dia mengetip bibir tanda geram. Memang dia tahu dia terpaksa cari idea lawak apabila Shira bertanya nanti.

“Apa lawak tu? Ceritalah! Nak dengar juga.” gesa Shira. Ligat otak Hana berfikir.

“Hm.. Memang kelakar cerita tu. Dekat stesen minyak ada seorang pekerja lelaki ni. Masa tu, minyak kat tempat dia kerja dah habis. Tiba-tiba dia nampak seorang pak Arab ni datang nak isi minyak. Dia nak bagitahu pak Arab tu yang minyak dah habis, tapi tak tahu macam mana. Yelah, pak Arab kan. Sah-sahlah dia tak tahu bahasa Melayu. Lepas tu, dia teringat satu ayat yang selalu orang sebut bila dah habis mengaji Al-Quran. Dia pun cakap kat pak Arab tu ‘sadakallahu azim’.”

Hana lega. Mujurlah dia teringat lawak ini. Untung juga baca majalah ni. Shira tergelak. Izzati mengangkat ibu jarinya pada Hana dan tersenyum. Mereka ikut sama ketawa.

“Lawak. Memang lawak,” ujar Shira dengan sisa ketawanya.
Tiba-tiba guru matapelajaran mereka masuk. Kelas menjadi senyap sunyi. Semua bangun untuk memberikan salam tanda hormat kepada guru mereka.

***

Sekolah sesi petang baru saja tamat, ramai pelajar berpusu- pusu untuk ke destinasi yang sama iaitu pulang ke rumah. Tidak ketinggalan juga Hana yang sedang berjalan beriringan dengan Izzati menuju ke pintu gerbang sekolah.

“Abang aku dah sampai.” beritahu Izzati sebaik terlihat kereta perodua kancil milik ayahnya yang dipandu oleh Iqbal.

“Kenapalah abang kau awal sangat? Bas sekolah aku pun lambat lagi nak sampai.” rungut Hana.

Iqbal keluar dari kereta sebaik terlihat kelibat Hana dan Izzati. Dia berdiri di tepi kereta menunggu Hana dan Izzati datang sendiri ke arahnya.

“Hai Hana?” tegur Iqbal sebaik Hana dan Izzati tiba.

“Hai.” balas Hana. Dia memandang Izzati yang tersengih-sengih.

“Abang, tadi ada orang merungut cakap abang ni datang awal sangat ambil Zati kat sekolah sebab bas sekolah dia datang lambat.” beritahu Izzati. Hana mencubit lembut lengan Izzati.

“Aduh.. Sakitlah! Tengoklah, jari dia ni memang ketam betullah.” adu Izzati. Iqbal hanya ketawa senang.

“Kalau sayang nak abang hantarkan sayang balik jomlah, abang tak kisah. Suka lagi ada,” pelawa Iqbal manja. Izzati melopong mendengar perkataan ‘sayang’.

“Sayang? Eeuwww.. Tolonglah. Geli.” Izzati ketawa. Segera dia masuk ke dalam kereta kancil.

“Jealouslah tu.” Iqbal tertawa.

“Kirim salam nak jealous, ok!”

“Jomlah, sayang!” ajak Iqbal lagi. Hana tidak menolak.

“Zati, duduk belakanglah. Biar Hana duduk depan.” suruh Iqbal.

“Ala abang ni. Yela.”

Tanpa keluar dari kereta, Izzati terus ke tempat duduk belakang. Hana menjadi serba salah. Dia berdiri sekejap di depan pintu kereta sebelum memasukinya dan duduk di kerusi penumpang bersebelahan Iqbal.

“Suka tak selendang yang abang bagi tu? Zati ada bagi tak tadi?” soal Iqbal sebaik masuk ke dalam kereta. Kemudian, dia memandu terus menuju ke rumah Hana.

“Suka. Terima kasih.” ucap Hana.

Hana hanya memandang terus ke depan. Dia sebenarnya malu dengan Izzati disebabkan panggilan yang dituturkan Iqbal. Izzati di belakang berpura-pura tak dengar sedangkan dalam hati dia mencebik tanda rimas dan geli-geleman.

“sorrylah ye sebab abang bagi tudung. Bukan apa, abang tak tahu nak pilih. Abang tengok cantik jadi abang pun belilah.” beritahu Iqbal. Hana hanya mengangguk.

“Kenapa sayang senyap?” tanya Iqbal. Tangannya memegang tangan Hana namun dek kerana terkejut, pantas Hana menepis tangannya.

“Tak ada apa.” Jawab Hana. Iqbal diam dan terus memandu sehingga tiba di hadapan rumah Hana.

“Terima kasih,” ujar Hana tanpa memandang Iqbal dan terus keluar dari kereta dan berjalan masuk ke rumah.

“Siapa yang hantar Akak tu?” soal Ibu.

“Abang Izzati, Ibu. Izzati yang suruh abang dia hantar Akak sebab kesian tengok Akak hari-hari tunggu bas datang lambat. Akak penatlah, Ibu. Akak mandi dululah, ye.” jawab Hana.

Hana sebenarnya masih lagi gugup dan terkejut apabila tangannya dipegang Iqbal dalam kereta tadi. Hana masuk ke dalam biliknya dengan perasaan sebal.

“Kak?’’ panggil Izu.

“Apa?” Hana memandang Izu. Terjengil matanya apabila Izu menunjukkan sebuah telefon bimbit. Cepat-cepat Hana menutup pintu bilik dan merampas telefon di tangan Izu.

“Hei, mana Izu dapat ni?” soal Hana kasar. Beg sekolah dihempasnya ke atas meja.

“Izu jumpa kat dalam laci akak.” jawab Izu takut-takut.

“Apa Izu buat kat laci akak? Hei, Izu check barang Akak ye? Izu ni memang nak cari pasallah! Akak dah pesan jangan sentuh barang Akak, kan! Degillah Izu ni!” Hana menyimpan semula gajetnya itu ke dalam laci.

“Izu cari gunting. Nak gunting kertas. Masa cari tulah Izu terjumpa telefon tu.” beritahu Izu. Dia mendekati Hana namun menjauh apabila Hana membulatkan matanya.

“Habis, Izu jumpa gunting tu?” tanya Hana.

Izu menggeleng. Hana mengeluarkan bekas pensil dari dalam beg sekolahnya lalu mencari gunting dan menyerahkannya kepada Izu. Izu menyambutnya.

“Ibu tahu pasal ni?”

Sekali lagi Izu menggeleng.

“Izu baru je jumpa telefon akak tu.”

“Ingat, ni rahsia. Izu je yang tahu. Jangan bagitahu Ibu atau sesiapapun. Faham?”

Izu menganggukkan kepala.

“Akak ingat nak ajak Izu keluar ke library sabtu ni tapi kalau Izu bagitahu sesiapa, tak dapatlah Izu ikut,” Hana separuh mengugut. Dia tahu Izu suka apabila diajak keluar. Jadi, taklah susah nak membodek.

“Izu janji tak bagitahu sesiapa. Akak janji ye sabtu ni?”

“Ok. Apa-apa hal pun biar Akak yang bagitahu Ibu nanti. Izu diam je, faham?” Hana menjeling adiknya. Dia menanggalkan tudung yang dipakai dan mencapai tuala.

“Akak nak pergi mandi. Jangan usik barang Akak,” pesan Hana sebelum membuka pintu bilik dan keluar menuju ke bilik air.

Ketika melintasi dapur, Hana melihat Ibu sedang menyiapkan makan malam. Belum sempat Hana masuk ke dalam bilik air, dia sudah ditegur.

“Bising-bising tadi tu kenapa?” tanya Ibu sambil tangannya ligat meletakkan ikan goreng ke dalam pinggan.

“Tak ada apa, Ibu. Izu bising cari gunting tak jumpa pula.” bohong Hana. Dia segera masuk ke dalam bilik air mengelakkan dari disoal lagi.

***

Jam loceng di atas meja belajar menunjukkan ke angka 10 malam. Hana menguap. Namun, digagahkan juga dirinya menyiapkan kerja sekolah. Esok dah kena hantar.

“Akak marah Izu lagi ke?” tanya Izu yang duduk di sebelahnya. Hana memandang Izu dengan senyuman.

“Taklah. Akak minta maaf sebab marah Izu tadi,” ucap Hana.

“Sebenarnya Izu jumpa telefon tu sebelum Ibu yang jumpa tengah hari tadi.”

“Hah?” Hana terkejut. Matanya yang tadi rasa mengantuk menjadi segar semula.

“Betul Izu cari gunting tapi tak jumpa lepas tu Izu tanya Ibu. Masa Ibu tengah cari tu, Izu terjumpa telefon akak. Tapi Ibu tak tahu.” beritahu Izu. Hana terlopong mendengar.

“Izu, tolong jangan bagitahu Ibu ye.” mohon Hana. Izu mengangguk.

Tiba-tiba meja Hana bergegar menandakan ada panggilan telefon. Hana mengambil gajet itu dan melihat skrin, panggilan daripada Iqbal.

“Kawan akak telefon. Kalau Ibu atau ayah panggil, cakap akak dah tidur, kalau tak akak tak bawa Izu keluar sabtu ni. Akak nak jawab ni.”

Izu mengangguk dan keluar dari bilik untuk menonton televisyen. Hana berjalan ke katil dan berbaring di atasnya. Mukanya yang ditutup dengan bantal memudahkan dia untuk bercakap dengan nada perlahan.

“Wa’alaikumsalam,” jawab Hana.

“Kenapa macam berbisik je ni?” tanya Iqbal.

“Takut ada orang dengar sebab saya kata saya nak tidur.”

“Tak apa ke abang call sayang ni?”

“Tak apa. Pandailah sayang kelentong.”

“Pasal dalam kereta tadi tu, Abang minta maaf sebab tak sengaja pegang tangan sayang. Betul sayang.”

“Oklah sayang maafkan, kalau terpegang tak apalah. Jangan sengaja. Berdosa Ustaz kata.”

“Terima kasih sebab maafkan abang ye, sayang. Sayang?”

“Ye?”

“Abang rasa makin tebal rasa cinta abang pada sayang. Sayang cintakan abang tak?”

“Malulah nak cakap.”

“Tak apa. abang tahu sayang cintakan abang. Sayang, abang nak sayang tahu sayanglah segalanya untuk abang. Sayanglah yang boleh bagi semangat untuk abang teruskan hidup. Hope tak ada rahsia antara kita. Abang janji abang akan jaga sayang.”

Panjang lebar Iqbal memberi janji yang entah betul entahkan tidak tapi itu sudah cukup membuatkan Hana tersenyum senang. Dia berasa seakan terpujuk mendengar kata-kata Iqbal tadi. Hana rasa bagaikan di kayangan.

“Sayang pun sayang pada abang.” Luah Hana tanpa disedari oleh dirinya sendiri. Sebaik sedar apa yang diucap, spontan tangannya menekup mulut.

“So sweet, thank you, sayang. I love you.”

“I love you too.”

“Sayang, jadi ke kita keluar hari sabtu ni?”

“Jadi, tapi kita pergi library bawa Izu dengan Zati sekali ye?”

“Ikut sayanglah. Asalkan abang boleh jumpa sayang.”

“Terima kasih. Abang, dah lama ni. Sayang kena letak dululah.”

“Ok, sayang. malam ni mimpi abang lagi tahu, Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumsalam.” Hana mematikan gajetnya.

Bantal yang menutup kepalanya tadi diangkat dan ketika itulah dia terpandang Izu yang entah bila masuknya, tengah khusyuk buat kerja sekolah.

“Bila Izu masuk?”

“Tadi,” Izu menoleh.

“Kalau nak ikut sabtu ni, ingat janji Izu tadi.”

Izu mengangguk. Jari telunjuk tangan kanannya diletak ke bibir.

“Izu dengar Akak cakap dalam telefon tadi?”

Izu menggeleng laju. Terus Hana berbaring semula dan membaluti tubuhnya dengan selimut hingga tertidur.

“Betul ke apa yang Akak buat? Harap-harap Akak tak tipu Ibu. Ayah kata berdosa kalau menipu. Lama-lama nanti jadi pencuri. Lagi-lagi pada Ibu. Berdosa besar, kan? Tapi kenapa Akak nak tipu Ibu?”

Izu bermonolog. Dia memandang Hana yang sedang tidur. Izu menguap lantas dia menutup buku dan menuju ke katil. Izu terus berbaring di sebelah Hana.

©KaryaSitiNadiahShahron (2020)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience