KRING!!! Loceng berbunyi tanda tamatnya waktu rehat sesi petang membuatkan pelajar-pelajar Sekolah Menengah terkocoh-kocoh masuk ke dalam kelas untuk sesi pembelajaran seterusnya. Hana dan Izzati berjalan perlahan.
“Hm.. Lewat. Kamu berdua dari mana?” Tegur Ustaz Ramli apabila Hana dan Izzati baru masuk ke kelas. Rakan sekelas yang lain semua sudah masuk.
“Kami ke tandas tadi, Ustaz.” Jawab Izzati. Tenang sahaja lagaknya seolah tiada rasa bersalah.
“Sebelum ustaz masuk kelas tadi, Ustaz nampak berlenggang lenggok je kamu jalan. Tak dengar bunyi loceng? Tak reti nak jalan cepat?” Soal Ustaz Ramli. Dia memandang Hana dan Izzati yang tunduk memandang lantai.
“Sudah. Duduk di tempat kamu. Lain kali jangan lewat lagi.” Ustaz Ramli memberi amaran.
Hana berjalan membelakangi Cikgu Ramli. Ketika itu, dia mencebik tanda geram. Dia sudah biasa lewat masuk ke kelas selepas waktu rehat kecuali pada hari di mana Ustaz Ramli yang akan mengajar. Tapi hari ini dia dan Izzati terlupa.
Izzati menyerahkan sehelai kertas yang ditulisnya kepada Hana. “Macam mana boleh lupa waktu kelas Ustaz ni? Benci! Buat malu aku je."
Hana membaca lalu membalasnya. “Itulah. Ala.. Bukan selalu pun kena,” Hana menyerahkan semula balasannya kepada Izzati. Izzati membaca tapi tidak membalasnya semula.
“Hari ini kita belajar tentang adab menjaga fitrah, adab pergaulan dan adab berkawan.” Ustaz Ramli berhenti sejenak untuk mengambil nafas. Dia memandang anak muridnya. Masing-masing diam memandang Ustaz Ramli.
“Pertama adalah adab menjaga fitrah. Salah satu contoh fitrah adalah batas pergaulan lelaki dan perempuan. Ustaz nak ceritakan iktibar daripada peristiwa zaman Nabi Luth a.s. Pada zaman kaum Nabi Luth a.s, mereka suka mengamalkan hubungan seks sesama jenis. Kalau sekarang, kita panggil homeseksual antara lelaki dengan lelaki dan lesbian antara wanita dengan wanita. Hubungan sejenis ini adalah amat dilarang, ditegah dan haram untuk diamalkan,” Ustaz Ramli berhenti lagi dan mengambil nafas. Ustaz Ramli mengambil sebuah kerusi dan meletakkannya menghadap murid lalu dia duduk di atas kerusi itu.
“Ustaz, kalau lelaki dengan perempuan bolehlah, ye?” Tanya seorang pelajar lelaki.
“Ye tapi haruslah dalam hubungan yang sah iaitu pernikahan antara lelaki dan wanita macam ibu bapa kamu juga. Dan jangan melakukan zina jika tiada ikatan yang sah dengan pasangan kamu kerana ada akibatnya yang kita tak dapat nak bayangkan. Kalau di dunia, kita akan disisih oleh orang sekeliling, kena penyakit berbahaya yang boleh membawa kepada kematian, dan macam-macam lagi. Dan di akhirat nanti, Nabi tidak akan mengakui kita sebagai umatnya, dilaknat oleh Allah dan Nabi selagi kita tidak bertaubat. Wallahualam.” Ustaz Ramli berightifar sekejap.
“Ingatlah, kita ini adalah manusia yang memerlukan tali yang kukuh yang boleh selamatkan kita dari hanyut dalam gejala maksiat, ia adalah solat dan agama Islam yang sempurna. Dalam pergaulan lelaki dan lelaki, kita mesti bagi salam, hormat menghormati, ajak kawan lelaki lakukan perbuatan yang berfaedah, jaga pakaian, tak boleh berpakaian menyerupai perempuan. Sama juga bagi perempuan, jangan berpakaian seperti lelaki. Saling bertegur mana yang tak baik, menasihati, jaga sifat, jangan kasar, sentiasa lemah lembut. Buat aktiviti yang berfaedah dan yang paling penting, kenalah jaga dan pelihara maruah diri. Faham semua?” Terang Ustaz Ramli panjang lebar. Ada yang mengangguk tanda faham dan ada yang menjawab faham.
“Yang paling penting, adab pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Ini pun harus dijaga, terutama yang perempuan. Orang perempuan ni eloklah berpakaian sopan seperti berbaju kurung atau yang menutup aurat. Jangan pakai ketat-ketat, singkat atau jarang. Sebab Sembilan puluh Sembilan nafsu Allah kurniakan kepada wanita dan cuma satu nafsu saja yang ada pada orang lelaki iaitu seks, jadi yang perempuan ni, elaklah daripada tunjuk aurat tu. Takut terjadi pula benda yang tak elok. Ada juga yang selalu orang perempuan dedahkan, memang sangat ramai. Aurat di kaki. Kaki pun aurat. Yang boleh dinampakkan cuma tapak tangan dan muka saja.”
“Lagi penting, jangan berdua-duaan lelaki dengan perempuan sebab yang ketiga itu adalah syaitan yang akan menghasut kita kepada maksiat. Yang perempuan ni, Ustaz nasihatkan janganlah terlalu terperdaya dengan kata-kata pujuk manis lelaki hidung belang ni, kadang-kadang dia orang suka menipu. Sekarang ni macam-macam kes rogol dan bunuh berlaku. Kamu nak jadi macam tu?” Ustaz Ramli menggeleng. Dia memandang pelajar perempuan yang masing-masing menggeleng dan memandang rakan-rakan perempuan yang lain.
“Nak berkawan boleh tapi jaga adab. Jangan berpegang sana sini. Eloklah kalau lebih daripada dua orang kawan perempuan bila jumpa seorang kawan lelaki, ye. Takut jadi fitnah. Dan kamu kena tahu, sedikit sekalipun kamu memegang orang yang bukan mahram dengan kamu, bahang api neraka takkan kamu dapat bayangkan.” Ustaz Ramli bertegas tatkala mengajar anak muridnya. Seorang pelajar perempuan bersuara.
“Macam mana kalau kita tak sengaja pegang?”
“Itu situasi yang tak dapat dielakkan, mungkin. Boleh dimaafkan. ‘Ter’ tidak mengapa, jangan kamu tersengaja sudahlah. Ingat! Allah itu maha mengetahui apa yang kamu lakukan. Sebolehnya cubalah mengelak. Takut yang tak sengaja tu jadi sengaja, faham?”
“Faham, Ustaz.”
“Dalam adab berkawan pula. Kawan itulah yang akan membimbing kita di masa depan. Dah jadi fitrah kita ni saling memerlukan antara satu sama lain supaya kita tak sunyi, bosan, boleh berkongsi perasaan kita dan bersama melakukan aktiviti yang berfaedah. Seorang sahabat mestilah seseorang yang akan menjaga aib dan maruah kita, sanggup bersama susah dan senang dan juga sanggup berkorban kerana Allah SWT. Maksudnya, seorang sahabat ini sudi buat yang terbaik untuk kawannya hanya kerana Allah SWT. Satu hari nanti, kamu akan faham erti persahabatan yang sebenarnya.” Ustaz Ramli berhenti lagi. Matanya memandang wajah anak-anak muridnya.
“Ehem.. Kamu semua ni tak ada soalan nak tanya Ustaz ke? Senyap aje.”
“Saya ada soalan, Ustaz. Macam mana kita nak tahu yang dialah sahabat kita?”
“Seorang sahabat ni memang susah nak dicari. Lagi-lagi sahabat yang sejati. Sahabat ni yang akan sentiasa bersama kita dalam susah dan senang. Dalam tawa dan tangis. Sudi bantu apa sahaja demi kebaikan kita. Dalam adab berkawan, Kita kena mendoakan kebaikan kawan kita, saling menasihati, jujur, ikhlas, dan sentiasa bersikap baik dengan kawan kita. Tapi, kawan yang baik tu, dah kamu tahu dia boleh buat apa saja untuk kamu, janganlah kamu permainkan dan pijak kepala dia pula. Kamu tu bukan sahabat yang baik dah kalau macam tu. Tak beradab betullah.” Ustaz Ramli berlelucon.
Gamat seketika kelas itu dengan ketawa murid-murid Ustaz Ramli.
Ustaz Ramli tersenyum kecil. Baru hendak bersuara, tiba-tiba loceng berbunyi.
“Loceng dah bunyi, ye. Tak apa, esok Ustaz cerita pasal adab lagi. Kamu semua pun nampak berminat tentang adab ni ye. Ustaz keluar dululah. Assalamualaikum.”
Semua pelajar bergegas bangun.
“Waalaikumsalam. Terima kasih Ustaz.”
Ustaz Ramli mengangguk sambil mengambil bukunya dan berjalan keluar dari kelas. Sebaik Ustaz Ramli keluar, Hana memandang Izzati.
“Zati, kau ikut aku ke esok?”
“Abang aku tu nak keluar dengan kau. malaslah aku ikut.”
Izzati memandang Hana yang sudah cemerut dan seakan berfikir jauh. Dia mengeluh.
“Ala.. Jangan risaulah. Tak ada apa-apa. Itukan abang aku! Bukannya kau tak biasa keluar dengan dia. Berapa kali dah kan. Tak pernah kantoi pun.”
“Selama ni, kau temankan. Kalau berdua je, aku tak naklah!”
“Ish.. Aku malaslah. Nanti kena tinggal sorang-sorang kat belakang.” Rungut Izzati.
“Kau tak dengar ke apa Ustaz kata tadi? Tak boleh keluar berdua dengan lelaki. Kena ada teman lebih dari seorang. Kalau tak, nanti orang ketiga adalah syaitan. Kalau kau tak nak ikut, aku tak nak keluar dengan abang kau!”
“Yelah. Yelah. Nanti aku tanya abang aku, ok?”
“Janji?” Pinta Hana.
“Tengoklah!” Izzati mencebik pada Hana.
“Hm..” Hana diam.
Rasa seperti tak guna memaksa. Kalau dia tak ikut, kirim salam aku mahu berdua dengan abang dia. Gerutu hati Hana.
©KaryaSitiNadiahShahron (2020)
Share this novel