HUJAN turun renyai awal-awal pagi lagi. Sesekali embun hujan berhembus ke dalam ruang rumah yang terbuka hingga menyebabkan Izu yang duduk membaca buku di sofa panjang menggigil perlahan. Ibu yang sedang menonton tv, memandang Izu.
“Sejuk ye, Izu?” soal Ibu.
Izu hanya menggeleng.
“Ibu, Hana nak keluar ni,” Hana memberitahu sebaik keluar dari biliknya. Dia berjalan perlahan ke pintu rumah melihat kalau-kalau orang yang ditunggu sudah tiba.
“Eh Hana, tudung mana?” Soal Ibu. Hana tersentak. Diraba kepalanya.
“Lupa pula. Nak pergi pakailah ni,” Hana paling semula ke biliknya. Ketika dia berpusing sempat dia menepuk dahinya.
“Tak pernah-pernah kak Hana lupa nak pakai tudung.” Izu menyampuk.
“Nak cepat kot.” Ibu meneka. Tidak mahu bersangka buruk.
“Kak Hana nak pergi mana? Izu nak ikut boleh?” Izu menyoal sebaik Hana keluar dari biliknya.
“Tak boleh! Akak pergi dengan kawanlah.”
“Apa salahnya bawa Izu sekali? Hana nak pergi library je, kan?” Ibu memujuk Hana untuk membawa Izu bersama.
“Tak bolehlah, Ibu. Hana pergi dengan abang Zati.”
Aduh, tak memasal kena bawa pulak budak ni. Geram betullah. Bukannya nak pergi library pun. Getus hati Hana.
“Abang Zati? Hana pergi berdua?” soal Ibu.
Ibu bangun dari sofa dan mendekati Hana yang sudah berdiri di tepi pintu.
“Abang Zati yang bawa kita orang, Ibu. Zati pun ada.”
“Hana jangan keluar dengan lelaki, bahaya. Sekarang ni macam-macam boleh jadi, kes rogollah, kes bunuhlah. Hana dengar cakap Ibu ni. Ibu bukan apa, Ibu cuma fikirkan keselamatan Hana je. Ingat, bila kita berdua je dengan lelaki yang bukan mahram, yang ketiga adalah syaitan. Hana ingat tu. Macam-macam dia akan hasut fikiran kita untuk buat perkara yang ditegah dan dilarang oleh Allah SWT.” nasihat Ibu kepada Hana.
“Yelah, Ibu. Hana bukan berdua, zati pun ada sekali. Hana tahulah jaga diri. Kalau Zati tak ada, Hana tak pergilah library tu.” jawab Hana, acuh tak acuh.
“Dah tu, apa salahnya bawa Izu sekali ke library tu. Bolehlah sama-sama belajar. Ada masalah?”
“Tak ada, Ibu..."
Pin... Pin...
"Ha, tu dia orang dah sampai. Hana pergi dululah, Ibu. Lain kali Hana bawa Izu, ok?. Bye,” Hana menyalami Ibu dan tergesa-gesa keluar.
Ibu menjengah ke pintu dan melihat Hana membuka pintu belakang kereta dan masuk ke dalam kereta.
“Hai awak” tegur lelaki yang berusia lapan belas tahun itu.
“Eh, Zati mana?” Soal Hana.
Kereta yang dinaiki bergerak meninggalkan perkarangan rumah.
“Zati sakit perut. Dia tak dapat ikut.” Jawab Iqbal.
“Dia dah janji dengan saya yang dia ikut,” Hana mula tak selesa. Duduknya juga terasa bagai duduk di atas batu.
“Ala... Bukannya tak pernah pun kita keluar. Apa awak nak takut? Saya bukan nak buat apa-apa pada awak. Awak tak percaya pada saya ke?” pujuk Iqbal. Dia memandang sekilas wajah Hana melalui cermin pandang belakang.
“Tak adalah, selalu kalau kita keluar mesti dia ikut. Saya nak baliklah. Kita keluar esok ke? Saya tak naklah berdua dengan awak je.” cadang Hana. Dia bukan tidak mahu keluar dengan Iqbal, tetapi dia tidak selesa apabila keluar berdua dengannya.
“Kenapa? Awak tak percaya saya ke?”
“Bukan. Cuma pesan Ibu saya jangan keluar berdua dengan yang bukan mahram, sebab yang ketiga adalah syaitan.”
Iqbal diam. Mindanya ligat berfikir. Tiba-tiba matanya mencerlang teringatkan sesuatu.
“Tapi... Saya dah keluarkan duit sebab nak bawa awak tengok wayang. Lepas tu pergi makan-makan. Tak nak ke? Lagipun, ada something saya nak bagitahu awak.”
“Nak bagitahu apa?”
“Nantilah. Tunggu kita sampai sana dulu.”
Hana diam. Ala, dia dah keluar duit. Macam mana ya? Nak ikut ke? Bisik hati Hana.
“Macam mana? Nak balik juga ke?” tanya Iqbal.
“Oklah, saya ikut awak!” Hana terpujuk dengan alasan Iqbal.
**
“Kita nak tengok wayang kat sini ke?” Soal Hana sebaik masuk ke dalam pusat membeli belah.
“Ye, awak pernah datang sini?” soal Iqbal.
“Pernah tapi saya tak tahu sini ada tempat wayang.”
“Awak datang dengan siapa?"
“Dengan Ayah, Ibu dan adik saya.”
“Ayah tak bawa awak pergi tengok wayang ke?” soal Iqbal lagi.
Hana menggeleng perlahan.
“Ayah kata tempat macam tu tak elok untuk kami. Membazir duit dan waktu saja. Baik tengok tv di rumah.” jawab Hana.
“Kesiannya. Habis, datang sini buat apa je?”
“Shopping barang-barang dengan makan-makan kat sini aje lah.”
“Kesiannya tapi tak apa. Biar saya pula bawa awak. Jom Kita pergi beli tiket wayang dulu lepas tu kita pergi makan, ok?” Ajak Iqbal.
Iqbal berjalan mendahului Hana. Hana berjalan cepat untuk beriringan dengan Iqbal yang sudah menaiki tangga untuk ke tingkat atas. Namun, tertib pergaulan sebaik mungkin Hana cuba jaga sperti pesan Ustaz Ramli dan Ibu.
Iqbal mengeluh apabila terpaksa beratur panjang dan bersesak memandangkan hari itu adalah hari Sabtu. Tiba giliran mereka, Iqbal membeli tiket. Iqbal jugalah yang memilih filem apa yang akan mereka tonton. Hana menurut saja.
Usai membeli dua tiket wayang, Iqbal mengajak Hana ke satu arah yang menempatkan poster-poster filem.
“Ok. Tiket dah beli. Sempat lagi kalau kita makan dulu. Awak nak makan apa?” soal Iqbal.
“Ikut awaklah. Saya tak tahu,” jawab Hana sambil matanya merayap memandang ke segenap ruang. Selama dua kali dia ke situ bersama keluarganya, barulah hari ini dia berpeluang ke tingkat tiga yang menempatkan pusat karaoke dan panggung wayang.
“Kalau macam tu, kita makan pizzalah, ok?” cadang Iqbal. Hana menganggukkan kepala.
Sekali lagi mereka beriringan menuju ke arah tangga bergerak untuk ke tingkat bawah. Sebaik mereka tiba, mereka dibawa pelayan restoran makanan segera itu ke tempat duduk.
“Apa benda yang awak nak bagitahu tu?” soal Hana yang tidak sabar untuk mengetahui apa yang ingin diberitahu Iqbal sebaik sahaja pelayan itu pergi bersama pesanan mereka.
“Sebenarnya, saya malulah nak cakap. Hm… Sebenarnya…” Iqbal meraba-raba belakang tengkuknya dan memandang Hana yang sedang menanti butir kata seterusnya.
“Awak, kita ni dah kenal dekat dua bulan kan? Pada awak, saya ni siapa di hati awak?” Iqbal menyoal. Matanya hanya memandang pada wajah Hana. Hana tunduk memandang meja. Dia tersenyum malu.
“Sa.. Saya.. Erm.. Saya..” Hana teragak-agak untuk memberitahu perasaannya pada Iqbal.
“Tak apalah kalau tak nak jawab. Tapi sebenarnya, saya dah lama suka pada awak. Masa kita keluar kali pertama kali, sejak tulah saya suka awak. Saya tengok awak ni cute, comel, baik je.”
Lurus pun ye. Bisik hati Iqbal.
Hana terkedu. Dia memandang Iqbal, lama mereka saling berpandangan.
Kedatangan pelayan yang membawa sup dan air minuman pepsi membuatkan Hana memandang ke arah lain.
“Awak suka saya tak?” soal Iqbal sebaik pelayan itu pergi.
Hana hanya mengangguk. Dia malu sebenarnya dan hanya memandang kakinya di bawah meja.
“Pandanglah saya!” suruh Iqbal. Hana mendongak. “Sudi tak awak jadi kekasih saya?” sekali lagi Hana mengangguk dan tersenyum malu.
“Terima kasih awak sebab sudi terima saya jadi kekasih awak. Saya akan buat yang terbaik untuk awak.” Iqbal berjanji. Dia tersenyum gembira.
Pizza yang dipesan juga telah sampai ke meja mereka. Iqbal dan Hana menikmati makanan mereka dengan gembira sebagai pasangan kekasih yang baru mula berjinak-jinak ke alam percintaan. Gitu!
Sejam menikmati makanan, Hana dan Iqbal bergegas ke tingkat tiga yang menempatkan panggung wayang. Sebaik sampai, Iqbal menuju ke kaunter yang menjual bertih jagung dan air. Kemudian, barulah mereka beriringan berjalan masuk ke bilik wayang.
***
“Seronok tak cerita tadi?” Soal Iqbal. Hana mengangguk dan tersenyum.
“Seronok. Ceritaya kelakar sangat. Sakit perut saya gelak.” jawab Hana.
“Lain kali kita tengok wayang sama-sama lagi, ye?” cadang Iqbal. Hana mengangguk kemudian melihat jam tangan yang di pakainya.
“Dah pukul tiga petang. Saya kena baliklah. Awak, kita balik, ye?” ajak Hana.
“Awal lagilah, awak. Cepatnya nak balik? Saya tak puas tengok awak tahu.” Iqbal berpura-pura merajuk dengan harapan dapat bersama dengan Hana lebih lama.
“Nanti Ibu saya marah, macam mana? Lagipun, Ibu saya yang suruh balik sebelum pukul empat. Kita solat zohor pun belum.”
“Lecehnya. Oklah, kita balik.” Iqbal mengalah. Mereka berjalan beriringan menuju ke lot parking kereta.
“Seronok tak keluar dengan saya?” tanya Iqbal sebaik keretanya meluncur laju di atas jalan raya.
“Seronok juga.”
“Lain kali kita keluar berdua lagilah. Tak payah ajak Izzati lagi. Kacau daun je nanti.” cadang Iqbal.
“Tak pe ke?” tanya Hana ragu-ragu.
“Saya nak jumpa awak aja. Bukannya buat apa-apa pun. Kalau boleh, saya nak jaga awak selamanya,” pujuk Iqbal. Iqbal seolah-olah berjanji.
Hana terdiam. Dia memikirkan sesuatu.
“Awak?” panggil Iqbal.
“Ye?”
“Dengar tak apa saya cakap tadi?”
“Ye, saya ikut awak sajalah. Lagipun, awak dah janji. Awak tak boleh mungkir janji.”
“Ok, saya janji,” Iqbal tersenyum.
Iqbal membuka kunci kereta melalui remote control. Hana membuka pintu belakang.
“Aik?”
“Kenapa?” soal Hana.
“Saya ni kekasih awak, bukan driver awak.”
“Oh yelah maaf, saya dah biasa. Ok, saya ke depan.”
Hana beralih ke tempat duduk penumpang di depan. Iqbal menghidupkan enjin dan mula memandu tenang menuju ke destinasi. Mereka senyap mendengar bunyi siaran di radio.
©KaryaSitiNadiahShahron (2020)
Share this novel