Episod 1

Short Story Completed 431

SUARA azan yang dilaungkan dari surau di taman perumahan itu sayup-sayup berkumandang memenuhi ruang alam semesta. Menyeru manusia yang masih sedang lena tidur supaya bangun untuk menunaikan solat Subuh.

Ibu membuka pintu bilik dan memasuki ruang kamar tempat anak-anaknya beradu. Dia menggeleng perlahan melihat gaya kedua anak perempuannya tidur. Ibu tersenyum.

“Hana.. Izu.. bangun, sayang. Dah Subuh ni. Pergi mandi, ambil wuduk dan solat ye,” Perlahan sahaja Ibu menepuk-nepuk kaki mereka supaya bangun dari pembaringan.

Hana, yang berusia 14 tahun mulai menggeliat. Selimut yang hampir terjuntai, ditarik sehingga menutupi seluruh tubuhnya. Bila disuruh bangun pagi, itulah perkara sama yang akan dibuatnya. Liat nak bangun Subuh sampai beberapa kali pernah terlepas solat Subuh. Sekali lagi Ibu menggoncang lutut kanan Hana.

“Bangun Hana, nanti terlepas Subuh!” pujuknya lembut.

“Ala, Ibu ni. Hana nak tidur sekejap je lagi. Nanti Hana bangunlah!” jawab Hana walaupun selimut masih menyelubungi tubuhnya.

Izu, yang tidur di sebelah Hana mulai terpisat-pisat membuka matanya. Dia menggeliat sambil menguap tanpa menutup mulutnya.

“Bangunlah sayang. Nanti terlepas Subuh pula,” kejutnya lagi tanpa jemu. Kemudian Ibu beralih memandang Izu yang sudah duduk bersandar di kepala katil. “Izu pergi mandi, lepas tu solat Subuh, ye?” suruhnya.

Izu mengangguk. Tidak susah untuk menyuruh Izu yang masih lagi di tahun tiga sekolah rendah tu kerana dia jenis mendengar kata. Izu mencapai tuala di atas penyangkut dinding dan segera keluar dari bilik tidur.

“Bangun, Hana. Nanti tak sempat ke sekolah pula.”

Selimut yang menyelubungi Hana ditarik perlahan oleh Ibu.

“Ibu, Hana sekolah sesi petanglah. Mana tak sempat pula?” Hana menjawab malas dengan mata masih terpejam. Ibu tersenyum nipis.

“Sekurang-kurangnya Hana kenalah bagi contoh yang baik untuk adik Hana. Kan bagus tu. Lagipun, Allah tak suka orang yang melewat-lewatkan solat dan tidur selepas waktu Subuh.”

Ibu tersenyum apabila Hana sudah membuka matanya. Hana mengeluh keras tanda tidak puas hati. Kerap kali Ibu mengingatkannya perkara yang sama. Hana bingkas bangun dan mencapai tuala. Dia memandang Ibunya.

“Yelah. Hana dah bangun. Kejap lagi Izu habis mandi, Hana pergilah.”

“Hana tak boleh macam ni. Kena ikhlas dalam melakukan Ibadah. Hana kena…”

“Izu dah habis mandi.”

Tiba-tiba Izu mencelah. Dia berjalan masuk dan memakai pakaian sekolah yang sudah siap digosok.

“Jangan lupa solat. Ibu keluar dulu. Nak siapkan makanan,” Ibu bangun dari katil dan bergegas menuju ke dapur.

Izu memandang kakaknya, lama. Hana yang mulai perasan dipandang menoleh ke arah kirinya. “Apa pandang-pandang? Solatlah!”

Cepat-cepat Izu menyarung kain telekung. Hana bangun dari katil dan segera mencapai tuala. Baru nak menapak keluar, tiba-tiba..

“Kakak, kenapa ya kita kena solat? Kawan-kawan Izu kat sekolah kata dia orang tak solat pun,” soal Izu pantas. Hana memandang adiknya. Otaknya ligat mencari jawapan yang sesuai.

“Hm.. Kakak pun tak tahulah. Nanti kita tanya Ibu dengan Ayah. Mungkin mereka lebih tahu.” jawab Hana.

“Oh.. Izu tak kisah sebenarnya kalau solat setiap hari, Izu cuma nak tahu bolehkah kalau tidak solat? Lagipun Ibu dengan Ayah selalu pesan, solat lima waktu itukan wajib. Solat itu tiang agama..”

“Izara!”

Tidak habis Izu menghabiskan katanya, Hana menjengilkan matanya. Izu menundukkan kepalanya. Hana melepaskan nafas perlahan.

“Tak apalah. Nanti kita tanya Ibu dengan Ayah aje. Akak nak pergi mandi dululah. Cepatlah solat. Banyak cakap, nanti terlepas Subuh pulak,” sindir Hana.

“Ok, Akak.”

Sebaik Hana keluar dari bilik. Segera Izu menunaikan solat Subuh.

*****

Ibu duduk dengan Ayah di meja makan. Mihun goreng dan Teh O panas sudah siap terhidang.

“Panggil anak-anak kita sarapan sekali. Dah lewat ni.” Ayah menjeling jam di tangan kanannya yang sudah menginjak ke angka tujuh.

“Sekejap ye saya panggilkan.”

Ibu baru menapak selangkah apabila terlihat Hana dan Izu yang berjalan ke arahnya. “Hah, dah keluar pun Hana dengan Izu.”

Izu lengkap memakai baju sekolah bersama beg yang dijinjingnya. Hana pula masih berbaju tidur. Keduanya cepat-cepat jalan dan duduk di meja makan.

“Kakak!” Panggil Izu. Hana berpaling. Izu menunjukkan isyarat mata ke arah Ayah. Hana yang tidak memahami mengerutkan dahinya.

“Ada apa Izu jeling-jeling Ayah ni?” Ayah pandang Izu. Menanti jawapan dari anak bongsunya. Izu tidak menjawab, sebaliknya dia memandang kakaknya, Hana.

“Yelah. Akak tanya,” jelingnya pada Izu. Kemudian dia memandang Ayah. “Tadi Izu tanya Kakak, boleh ke kalau kita tak solat sebab kawan sekolah dia pun tak solat?” Terang Hana, acuh tak acuh saja.

Ayah tersenyum nipis. Satu pembelajaran yang wajib didedahkan kepada anak-anak kerana solat lima waktu itu adalah wajib dalam rukun Islam yang kedua.

“Hm.. memandangkan kita dah lewat, apa kata kita habiskan sarapan lepas tu pergi sekolah dulu? Malam karang Ayah janji akan cerita semuanya tentang solat, ok?”

“Janji ye, Ayah? Ok, Izu tunggu.” Izu cuba bersabar walaupun semangat ingin tahu menebal dalam hati.

Pin… Bunyi hon van sekolah kedengaran di hadapan rumah mereka. Izu kelam kabut menghabiskan makanan dan minumannya dan terus bangun, menyalami Ibu, Ayah dan Hana.

“Izu pergi dulu. Assalamualaikum.” Izu meminta diri dan segera menyarungkan kasut sekolahnya.

“Wa’alaikumsalam. Belajar elok-elok kat sekolah,” Pesan Ibu yang menurutinya ke pintu.

“Baik, Ibu.” Jawab Izu.

Sebaik Izu menaiki van sekolah, barulah Ibu kembali menyertai suaminya di meja makan.

“Mana Hana?” Soal Ibu sambil duduk di tempatnya.

“Dah masuk dalam bilik. Dah kenyang katanya,” jawab Ayah.

“Hana makin pelik sekarang ni. Dulu rajin dia bangun solat subuh, sekarang dah liat semacam,” adu Ibu. Perlahan dia mengeluh. Dia kurang tegas dalam mendidik anaknya ke? Bisiknya.

“Kita kena ajar anak-anak perlahan-lahan. Hana tu dah semakin meningkat remaja. Dan dah remaja pun. Kadang-kala dia akan protes juga kalau kita terlalu mendesak.” Ayah terbatuk perlahan kemudian menghirup teh O panas yang masih bersisa.

"Abang pergi dulu. Dah lambat.” Ayah terus bangun dan berjalan menuju ke pintu rumah.

Ibu mengambil dan memakai tudung yang sengaja diletakkan di atas sofa panjang yang terletak berdekatan dengan pintu. Kemudian, dia keluar dan mendekati suaminya yang sudah masuk ke dalam perut kereta. Ibu bersalaman dengan Ayah.

“Abang pergi dulu. Jaga rumah dan diri baik-baik, kunci pintu tu. Assalamualaikum.”

“InshaAllah. Abang pun baik-baik ye. Wa’alaikumsalam.”

Ayah mengundurkan kereta. Sebaik kereta Ayah menghilang dari pandangan, segera Ibu menutup rapat pintu pagar rumah.

©KaryaSitiNadiahShahron (2020)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience