HANA gumam. Izzati yang menunggu Iqbal dan Hana di luar Perpustakaan Negeri memaklumkan yang Izu telah pulang ke rumah dengan Ayah sewaktu Hana keluar ke Plaza Alam Sentral bersama Iqbal. Hana buntu memikirkan apa yang nak dijawab pada ayahnya. Dia tahu Ayah sangat tegas orangnya. Setiap kata tidak boleh dilawan. Dia akan tahu jika anak-anak berbohong.
Hana memandang Iqbal dan Izzati yang juga memandangnya. Mereka juga buntu. Lama mereka terdiam. Masing-masing tidak mahu bersuara. Hana memegang erat jari jemarinya. Dia memandang pula ke arah jalan. Otaknya ligat mencari idea.
“Apa kau nak buat, Hana?” soal Izzati tiba-tiba.
Hana diam. Dia hanya memandang Iqbal dan Izzati silih ganti. Perlahan dia menarik nafas dan menghembuskannya semula. Iqbal cuba mententeramkan perasaan Hana dengan memeluk bahunya. Tiba-tiba Hana bangun, menyebabkan Iqbal sedikit terkejut.
“Kita balik?” ajak Hana.
“Jom.” balas Izzati.
Iqbal hanya menjungkitkan bahu. Dia tidak mahu masuk campur. Biarlah Hana selesaikan sendiri. Dia mengikut sahaja. Walaupun sudah masuk ke dalam kereta, Iqbal masih tidak mahu bersuara sedang Izzati galak memujuk dan menenangkan Hana yang diamuk resah.
Enjin kereta dihidupkan. Beberapa saat sahaja kereta sudah meluru ke jalan besar. Masing-masing diam tidak bersuara dan hanya kedengaran suara lunak penyampai radio wanita menyerikan suasana sepi itu. Hana bingit. Terus radio itu dimatikan.
Iqbal menghentikan keretanya berhampiran dengan rumah Hana. Hana tidak segera keluar. Dia memandang Iqbal mengharapkan Iqbal akan menemaninya namun Iqbal berpura-pura tidak mengerti dan langsung tidak memandang Hana.
“Abang, temankan Sayang, please?” ajak Hana.
“Tak naklah. Turunlah cepat. Abang nak balik!” kasar Iqbal menjawab.
Hana memandang Izzati namun Izzati hanya mampu tunduk dan berdiam diri. Hana terpaksa turun juga dan menghadap Ayah sendirian. Usai pintu kereta ditutup, segera Iqbal memandu meninggalkannya. Hana kaget. Dia hanya memandang sepi sehingga kereta Iqbal hilang dari pandangannya.
Kemudian dia berjalan lemah masuk laman rumahnya. Ibu dan Izu setia menanti di pintu. Masing-masing berwajah sedih. Saat itu Hana berasa tidak sedap hati.
Ayah duduk menunggunya di sofa di ruang tamu. Wajah Ayah bengis sehingga Hana sendiri berasa kecut. Tiba-tiba Ayah bangun.
“Kau dari mana?” soal Ayah.
“Da.. da.. dari library ayah.” jawab Hana, gusar.
“Dari library atau kau keluar bergesel dengan jantan!” Ayah menengking.
Hana terkejut. Air liur yang ditelan terasa perit. Seperti sukar untuk bernafas. Ibu segera mendekati suaminya dan berusaha menenangkannya.
“Sabar abang.”
“Sabar? Kiah tak tahu apa yang abang nampak kat Plaza Alam Sentral tadi. Abang malu pada kawan-kawan abang!” mencerlang mata Ayah memandang Hana.
Izu sudah berdiri di belakang Hana. Dia menggigil ketakutan. Hana memandang wajah adiknya. Tiba-tiba wajah Ayah sudah bertukar kemerahan dan menakutkan tatkala Hana memandangnya. Hana terdorong ke belakang.
“Baik kau cakap apa yang kau buat tadi?” keras nada Ayah.
“A.. Akak..” Hana tergagap. Dia tidak mampu menjawab. Tekaknya seperti tersekat. Dia seperti orang bisu yang cuba bersuara.
“Kau tinggalkan Izu dekat library, lepas tu kau berpegang tangan, berpelukan dengan jantan tanpa segan silu. kan? Kau ingat Ayah tak nampak?”
Hana cuba bersuara, dia menggeleng keras.
“Anak tak tahu malu. kurang ajar!” pantas sahaja lima jari Ayah hinggap ke pipi Hana. Tamparan kuat itu menyebabkan Hana terjatuh. pandangannya menjadi pinar sekejap.
“Akak! Ya Allah, abang?” Ibu mengucap panjang. Dia mendekati Hana yang masih terduduk. “Bawa adik masuk dalam bilik!” arah Ibu.
“Jangan kau berani, Kakak!” ugut Ayah.
Hana segera menarik tangan Izu dan membawanya masuk ke dalam bilik. Pintu bilik ditutup dan dikunci dari dalam. Kedengaran bunyi ayah menjerit. Ibu pula menenangkan Ayah. Hana dan Izu ketakutan. Mereka duduk berpelukan di hujung katil.
“Kakak, buka pintu ini! Berani kau, ye. Aku dah kata jangan menggatal. Kau degil, ye?” tiba-tiba suara ayah menjerit kedengaran bersama bunyi ketukan pintu bertalu-talu.
Hana terkejut. Semakin erat dia memeluk Izu. Tiba-tiba, yang disangkanya Izu kini berubah menjadi satu jasad tidak bernyawa berbungkus kain putih. Hana cuba melepaskan pelukan itu tapi gagal apabila tangan jasad itu terkeluar dan memeluknya erat. Hana menjerit dan meronta untuk melepaskan diri. Penat meronta dan gagal melepaskan diri, Hana menangis. Dia memejam erat matanya.
“Apa semua ni?” bisik hati Hana.
Jasad tersebut mulai menghilang. Bunyi jeritan dari luar juga sudah tak kedengaran lagi. Perlahan Hana membuka matanya dan memandang keliling. Izu tiada. Jasad berbungkus putih tadi juga sudah tiada. Semuanya normal.
Tiba-tiba pintu bilik terbuka sendiri dari luar. Muncul satu Lembaga yang kelihatan kabur pada pandangan Hana. Semakin lama semakin dekat. Terbeliak mata Hana. Lembaga itu kini menyeringai di depan matanya.
“Arghh!!” Hana cuba menjerit namun suaranya langsung tidak kedengaran.
Lembaga itu sangat menakutkan. Matanya merah saga, badannya besar, lidah terjelir dan kepalanya bertanduk tiga. Hana langsung tidak boleh bergerak untuk melarikan diri.
Tiba-tiba Lembaga itu tersenyum lebar sehingga menampakkan giginya yang penuh bertaring dan kuning. Leher Hana dipegang. Hana semakin ketakutan. Peluh dingin membasahi dahinya. Hana bernafas kuat.
Semakin lama semakin dekat Lembaga itu dengan muka Hana. Bau busuk memenuhi ruang. Baunya boleh buatkan sesiapa saja pengsan. Hana hampir muntah apabila Lembaga itu memeluknya erat. Lembut dan kemas bagaikan sang kekasih yang memeluknya. Tapi baunya... Yark… Hana masih memejam matanya.
“Aku sayangkan kau sebab kau ikut cakap aku. Kau mesti bahagiakan bila dapat berpelukan dengan Iqbal. Aku suka sangat!” Lembaga itu bersuara garau bersama gelak tawa yang mengerikan.
Mata Hana terbuka. Suasana bilik kini sudah bertukar menjadi sebuah gua berapi. Hana semakin ketakutan.
“Aku kat mana ni? Ibu.. Ayah.. tolong Akak.” Jerit hati Hana. Hana mula menangis.
“Aku akan jadikan kau permaisuri neraka kalau kau sentiasa ikut kata aku. Teruskanlah apa yang kau buat sekarang. Derhaka pada ibubapa kau. Tipu mereka lagi, lakukan maksiat dan nanti kita akan hidup bersama di neraka nanti.” kata Lembaga itu lagi sambal tertawa kuat.
“TIDAK!!” Jerit Hana. Namun jeritannya tenggelam dek kerana tawa yang kuat dari mulut Lembaga itu. Dari mulut itu juga, keluar berkelompok berbagai jenis ulat jatuh ke atas muka Hana.
Hana meronta kuat.
“Arghhhh.”
Tubuh Hana digoncang kuat. Lembaga itu ketawa ngeri. Di saat ketakutan yang amat sangat, tiba-tiba kedengaran satu suara seorang lelaki memanggilnya. Berselang seli dengan suara perempuan.
“Ibu.. Ayah.. Tolong Akak. Akak takut.”
Hana meronta lagi apabila Lembaga itu memeluknya dengan lebih erat.
“Hana!” suara lelaki.
“Hana?” suara perempuan.
“Akak, bangunlah!” suara seorang budak perempuan pula kedengaran.
Hana terjaga. Dia terdiam seketika dan melihat sekeliling. Seakan sedar, dia meraba badannya, elok. Dia kini sedang berada di dalam kereta. Hana melepaskan nafas lega. Lega kerana perkara buruk tadi hanyalah mimpi. Tapi memberi kesan dalam dirinya. Hampir basah seluruh bajunya kerana peluh. Walhal penghawa dingin kereta kuat juga.
Hana meraup mukanya. Dia hanya senyap sahaja biarpun dihujani berbagai soalan. Tiba-tiba dia rasa jemarinya dipegang. Sebaik melihat Iqbal yang memegang, segera dia menepis. Dia langsung tidak mahu memandang Iqbal. Sekarang dia takut. Takut mimpi ngeri itu berulang. Dia dah mula terasa bahangnya jika dia teruskan apa yang dia lakukan.
“Kenapa ni?” soal Iqbal, prihatin.
“Tak ada apa, mimpi buruk je. Hm… Lambatnya nak sampai rumah.”
Iqbal hairan. Izu dan Izzati juga begitu. Mereka pelik dengan sikap Hana yang tiba-tiba berubah dingin. Tadi elok Hana seronok dan manja dengan Iqbal. Selepas terjaga, moodnya berubah pula. Iqbal membiarkan sahaja.
Sampai saja di hadapan rumah, Hana bergegas keluar selepas mengucapkan terima kasih. Tidak menunggu lama, terus sahaja dia berlalu masuk ke dalam rumah. Izu mengekor sehingga ke dalam bilik. Dia juga kehairanan.
“Akak ok?” soal Izu. Beg berisi buku diletaknya di atas meja belajar.
Hana hanya mengangguk. Tanpa membuka tudung terlebih dulu, bersahaja dia berbaring. Izu duduk di birai katil. Dia seolah memahami.
“Akak mimpi apa tadi? Mesti mimpi buruk kan? Kuat akak jerit tadi.” beritahu Izu.
“Hah, kuat ke?” soal Hana. Segera dia duduk mengadap Izu.
“Kuat. Akak minta tolong tadi. ceritalah kak. Mimpi apa tadi?” gesa Izu ingin tahu. Hana tidak menjawab. Dia berbaring semula dan membiarkan Izu ternanti-nanti.
“Tak ada apalah.” jawab Hana apabila sedar yang Izu masih belum berganjak dari katilnya.
“Akak?” panggil Izu.
“Hm…”
“Tadi akak keluar tinggalkan Izu dengan Kak Zati, ye?” soal Izu.
Hana diam. Dia masih berbaring dengan lengannya menutupi mata. Hana masih terkejut dengan mimpi tadi. Izu pula masih setia menanti. Tiba-tiba Hana bangun.
“Izu…”
“Ye, kak?”
Hana tidak terus bersuara. Otaknya ligat berfikir sesuatu. Mimpi tadi membuatkan baringannya jadi tak tenang.
“Pergaulan di antara lelaki dan wanita bukan mahram haruslah ada batasannya. Demi mengelakkan maksiat dan perkara yang tidak diingini eloklah sekiranya kita ajak teman yang sejantina dengan kita. Biarlah lebih wanita daripada lelaki. Atau sebolehnya untuk perkara yang mustahak sahaja. Sekiranya kita berduaan dengan bukan mahram, maka yang ketiga adalah syaitan.”
Bagai terdengar-dengar suara Ustaz Ramli yang mengajar tentang adab dan pergaulan dulu.
“Akak?” panggil Izu lagi tatkala terlihat dahi Hana berkerut resah.
“Akak ok ke? Kenapa ni? Akak buat Izu takutlah.”
segera Izu bangkit dari katil.
“Akak ok. Cuma akak tak sedap badanlah.”
Hana juga bangun dari katil.
“Akak nak mandilah. Waktu zohor pun dah nak habis ni.”
Tergesa-gesa Hana mencapai tuala di belakang pintu dan segera menuju masuk ke bilik air.
“Peliklah Akak ni.” gumam Izu sendirian. Dia menjungkitkan bahu.
“Cakap dengan Siapa tu, Izu?” soal Ibu di balik pintu. Dia kebetulan ingin ke dapur apabila tiba-tiba terdengar Izu bercakap seorang diri.
“Akak tu, Ibu. Dari dalam kereta nak balik tadi, pelik je.”
“Apa yang peliknya?” Ibu masuk ke bilik dan duduk di birai katil Hana. Izu menuruti.
“Akak tidur dalam kereta tadi. Terjerit-jerit.” beritahu Izu.
“La... kenapa boleh sampai terjerit pulak?” soalnya.
Izu hanya menjungkitkan bahu. Hana muncul di balik pintu. Tanpa bersuara dan pedulikan Izu dan Ibu, dia terus mencapai telekung dan menunaikan solat. Ibu dan Izu berpandangan.
“Izu dah solat ke belum?” Ibu menyoal. Izu tersengih menampakkan giginya.
“Belum.”
“Tunggu apa lagi?”
Terburu-buru Izu keluar menuju ke bilik air. Ibu hanya menggelengkan kepala. Seraya dia bangun dan keluar ke dapur.
Beberapa minit kemudian, di dalam bilik, Hana yang baru saja selesai menunaikan solat, berdoa dan menangis. Mimpi ngeri yang dialaminya tadi betul-betul menakutkannya. Izu yang baru masuk tidak menghiraukannya. Dibiarkannya saja Hana merintih. Terus dia memakai baju dan mencapai telekung mini. Hana bangun dari sejadah dan menyuruh Izu menunaikan solat.
Telekung ditanggalkan. Kemudian, Hana ke dapur untuk membantu Ibu. Dilihatnya sinki yang penuh dengan pinggan mangkuk, segera dia tolong basuh.
“Akak ok?” soal Ibu.
“Ok je. Kenapa Ibu?”
“Ibu bukan apa. Selalu Ibu suruh, barulah nak tolong. Itu pun liat.” Luah Ibu. Tangannya laju mengacau sayuran yang sedang digoreng.
“Kalau macam tu, Akak tak nak basuhlah.” Hana berlelucon. Namun, tangannya masih lagi membasuh. Ibu hanya menggelengkan kepala dan tersenyum.
Usai membasuh, Hana menarik tangan Ibu dan memegangnya. Ibu terkedu.
“Ibu, Akak minta maaf sebab Akak buat tak tahu saja dengan apa yang Ibu pesan. Lepas ni, Akak janji Akak akan ingat semua pesan Ibu. Akak janji Akak nak jadi anak yang baik,” Hana mencium tangan ibunya. Ibu hairan namun masih tersenyum dan mengangguk.
“Walau apapun yang Akak buat Ibu dah maafkan. Cuma janganlah lari daripada batas agama kita. Kita ni hidup di dunia sementara. Apa yang kita cari semua sama, keredhaan Allah itu yang penting. Cuma yang Ibu harap, walau apa pun yang terjadi, janganlah Akak menyimpang jauh dari agama Islam kita ini” Ibu senyum. Dalam hati dia mengucap syukur kepada Allah.
“Baik Ibu.”
“Tadi Izu kata Akak tidur terjerit-jerit. Akak mimpi apa?”
“Tak ada apa, Ibu. Mimpi kena kejar hantu je.”
Ibu hanya menggeleng. “Tulah. Tidur siang lagi.”
Hana hanya tersengih. Namun, dirasakan bagai terlepas satu beban dari bahunya. Dia tenang.
©KaryaSitiNadiahShahron (2020)
Share this novel