PERKENALAN di antara Hana dan Iqbal berlanjutan sehingga ke bulan seterusnya. Hana rasa bahagia dan dihargai. Telefon bimbit yang dihadiahkan Iqbal disembunyikan dengan baik. Sehingga Ibu dan Ayah serta adiknya langsung tak tahu yang dia memiliki telefon bimbit. Setiap hari di waktu malam, gajet itu akan diaktifkan dalam mode senyap.
Hana yang sedang menelaah di dalam bilik terasa poket baju yang dipakai bergetar. Dia melihat ke arah pintu yang memang dibiar terbuka. Dari sudut meja belajar, Hana lihat Ibu, Ayah dan Izu duduk bersantai di hadapan tv.
Hana tersenyum membaca mesej ringkas yang dihantar oleh Iqbal. Sebelah tangan memegang telefon bimbit. Sebelah tangan lagi memegang kertas konon nak sembunyikan gajet itu supaya tak terlihat dek Ibu dan Ayah.
Iqbal: Hai sayang. Buat apa tu?
Hana: Tak ada buat apa-apa. Awak?
Iqbal: Tengah rindu kat awaklah. Rindu sangat nak tengok muka awak yang cantik tu.
Muka Hana terasa merah. Hana memegang kedua pipinya. Dia menjadi malu apabila dipuji. Lagi-lagi dari lelaki yang disayangi. Begitu asyik.
“Kak?” tiba-tiba Izu menjenguk ke dalam bilik.
Ya?” Hana terkejut. Terus berpaling memandang ke arah Izu.
Mujur Hana sempat menyorokkan telefon bimbitnya di bawah kertas semasa dia memegang kedua pipinya tadi.
“Kenapa muka akak merah?” tanya Izu. Segera Hana meraba mukanya.
“Panas. Ada apa, Izu?” Hana berpura-pura mengipaskan mukanya menggunakan tangan.
“Ibu panggil, makan.”
“Kejap lagi. Nak siapkan kerja sekolah sikit,” dalih Hana. Izu mengangguk dan terus keluar dari bilik. Hana menarik nafas lega. Dia mengambil semula telefon bimbitnya dan membaca mesej lain yang dihantar Iqbal sekejap tadi.
Iqbal: Kenapa awak tak balas mesej saya? Awak marah ke?
Hana: Taklah. Tadi adik saya masuk bilik. Dia kata Ibu panggil makan.
Iqbal: Oh ye ke?
Hana: Awak, nanti saya mesej awak, ye?
Hana segera ke katil dan menyimpan telefon bimbitnya di bawah bantal. Kemudian, dia keluar dari bilik untuk menyertai keluarganya di ruang tamu.
“Banyak kerja sekolah, Kak?” tanya Ayah sebaik sahaja Hana bersila di sebelah meja kopi.
“Tak banyak. Matematik je.” jawab Hana.
“Boleh jawab semua? Tak nak Ayah tolong?”
“Kakak dah habis jawab semua soalan yang cikgu ajar tapi boleh juga kalau Ayah nak semak-semak dulu. Kejap Kakak pergi ambil buku,” Hana bangun dan segera berlalu.
Di dalam bilik, Hana berjalan ke arah katil dan memeriksa telefon bimbitnya yang disorokkan tadi. Di skrin gajet itu tertera perkataan ‘1 message received’ menandakan ada satu mesej masuk. Hana tidak segera membacanya sebaliknya dia simpan di dalam poket baju dan berjalan ke arah meja belajarnya untuk mengambil buku latihan matematik yang dibuatnya tadi. Kemudian, dia keluar semula ke ruang tamu.
“Ini bukunya. Ayah semaklah dulu. Kakak nak pergi toilet jap.” Hana menyerahkan buku yang sudah dibukanya kepada Ayah kemudian dia bergegas ke bilik air.
Sebaik pintu bilik air ditutup dan dikunci, Hana membaca mesej yang dihantar oleh Iqbal.
Iqbal: Bosanlah saya malam ni. Saya rindu sangat kat awak. Sayang, jangan lambat ye.
Hana tersenyum membaca mesej itu seraya menggelengkan kepalanya. Dia rasa seperti dihargai dan perasaan itu terasa sangat indah.
Hana: Macam biasa Ibu akan suruh masuk tidur pukul 10. Sekarang baru pukul 9.30 malam. Nanti saya mesej awak, ok. Bye.
Mesej berjaya dihantar. Hana terus mematikan telefon bimbitnya dan terus keluar dari bilik air.
“Kakak, pandai Kakak jawab soalan matematik ye. Semua betul ni. Pandai anak Ayah.” belum sempat Hana duduk di atas lantai, Ayah sudah memujinya.
Hana tersenyum bangga mendengar pujian daripada Ayahnya. Dia memandang Izu dan mengangkat keningnya berulangkali tanda bangga. Izu hanya mencebik.
“Kalau orang puji, kita kena jawab apa ye, Kak?” soal Ibu.
“Terima kasih Ayah.” ucap Hana, gembira. Bukan setakat gembira kerana dipuji tapi juga kerana cinta monyetnya.
“Selain tu, kita juga kena ucapkan Alhamdulillah yang bermaksud syukur kepada Allah.” beritahu Ibu.
“Kenapa, Ibu?” tanya Izu.
“Kerana ilmu itu semua datangnya daripada Allah, kita kena sentiasa bersyukur dan terima apa yang kita peroleh. Kalau kita mendapat kejayaan, jangan sombong. Sentiasa tunjukkan rasa syukur dan ikhlas kepada Allah.” ujar Ibu.
“Macam mana kita nak tunjukkan rasa syukur tu?” tanya Izu lagi.
Hana seperti masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja apabila berpura-pura mendengar kerana fikirannya hanya kepada Iqbal.
“Bila mendapat berita gembira dan kejayaan yang baik, cemerlang atau selesai melakukan sesuatu, ucaplah Alhamdulillah. Kita mula melakukan sesuatu pekerjaan dengan Bismillah dan akhirinya dengan Alhamdulillah.” terang Ibu lagi. Ayah hanya menganggukkan kepala tanda setuju dengan isterinya.
“Oh.. Macam tu,” jawab Izu. Hana mentertawakan Izu yang terangguk-angguk mendengar.
“Kelakarlah Izu ni. Angguk macam burung belatuk,” Hana memperli dan mentertawakan Izu.
“Apa gelakkan adik macam tu, Kak. Tak baik.” tegur Ayah.
“Ni Kak, Ibu nak tanya sikit.” tegur Ibu lagi bila melihat anak sulung daripada dua beradik itu asyik sangat gelak.
“Ye, Ibu?” tanya Hana. senyuman Hana serta merta mati apabila Ibu seperti serius memandangnya. Dia tidak jadi untuk mengunyah buah jambu yang dipegang.
“Ibu tengok Kakak dengan abang Izzati tu, siapa nama dia?” tanya Ibu, dia cuba untuk mengingati nama abang kepada kawan Hana.
“Iqbal, Ibu?”
“Ha, Iqbal. Ibu tengok Kakak selalu kalau nak ke library mesti dengan dia. Dia tak kerja ke?” tanya Ibu. Hana memandang Ibu dan Ayahnya.
“Sabtu dengan Ahad memang dia cuti, Ibu. Lagipun, Zati kata abang dia yang nak bawa Kakak dengan Izzati pergi library. Tak boleh ke, Ibu?”
“Ibu tak kata tak boleh tapi macam kerap pula Kakak pergi dengan dia. Jiran-jiran kita kata kat Ibu pernah nampak Kakak keluar berdua dengan lelaki. Itu yang Ibu nak tahu ni?” tanya Ibu.
Bukan Ibu tak percaya pada anaknya tapi sebolehnya dia tidak mahu percaya sangat cakap orang lain sebelum sahih dari mulut anaknya.
“Ibu ni, takkan Ibu tak percaya kat Kakak kot. Ibu percaya cakap orang lain kenapa? Kakak tahulah jaga diri,” Hana membentak.
Semua yang mendengar terkejut. Selama ini Hana memang kadang-kala keras kepala dan degil tapi tidak pernah pula Hana memberontak macam tu.
“Kakak, apa cakap kat Ibu macam tu? kenapa Kakak nak marah ni? Kan Ibu tanya ja tu. Ayah tak pernah ajar Kakak cakap macam tu pada Ibu. Minta maaf cepat!” tegur Ayah kepada Hana.
“Kakak minta maaf.” ucap Hana perlahan antara dengar dan tidak.
“Kakak, Ibu bukan tak percaya pada Kakak. Macam yang Ibu pesan, jangan keluar berdua dengan orang yang bukan mahram, nanti boleh jadi fitnah. Macam nilah contohnya. Jiran kita ingat Kakak keluar berdua dengan Iqbal. Mungkin masa tu jiran kita tak nampak Izzati sekali, itu yang dia fikir Kakak berdua dengan lelaki. Ibu dah terangkan pada jiran kita.” ujar Ibu lembut.
Hana memandang ke arah lain dan hanya berdiam diri.
“Sekarang ni kita kat zaman moden, macam-macam boleh jadi. Ibu tak nak Kakak jadi mangsa. Kakak tu mentah, muda lagi, tak kenal lagi ragam manusia ni macam mana. Ibu Cuma harap kalau keluar dengan kawan-kawan ke library atau berjalan ke mana pun, biarlah beramai-ramai. Kawan kakak kan ramai, kenapa pergi dengan Izzati dan abang dia saja? Lagipun..” tak sempat Ibu habis memberikan nasihat, Hana mula memintas.
“Ibu... Ibu tak payahlah risau. Kakak tahu nak jaga diri. Bukannya Kakak buat jahat pun, Kakak keluar pergi library je. Kenapa Ibu baru nak mengungkit sekarang ni?” bentak Hana. Dia mulai rimas dengan bebelan Ibunya. Sebolehnya dia mahu pergi saja dari situ.
“Kakak, apa ni? Cakap elok-elok sikit tak boleh? Jangan tinggikan suara pada Ibu, tak cium bau syurga nanti!” marah Ayah.
Hana mengeluh. Hujung seluar ditarik geram.
“Ibu cuma nasihatkan Kakak je,” ujar Ibu lagi.
Hana menjeling seraya terlihat jam di dinding sudah ke angka sepuluh.
“Ye, Kakak dengar. Ustaz pun ada pesan. Ibu, Kakak mengantuklah. Kakak nak tidur.” Hana mengalah. Dia bingkas bangun dan mengambil bukunya di atas meja.
“Kakak!” panggil Ayah, tegas.
Hana berpura-pura tidak mendengar terus ke biliknya dan menutup pintu bilik.
“Abang.” Ibu menggelengkan kepala kepada suaminya supaya suaminya membiarkan saja Hana masuk ke biliknya.
***
Hana menghempaskan tubuhnya ke atas katil. Dia mengomel sendirian. Lantas, dia teringatkan telefon bimbitnya yang dimatikan tadi dan terus membukanya semula. Terdapat tiga mesej yang telah dihantar oleh Iqbal. Hana lekas membaca dan membalasnya.
Hana: Awak, minta maaf saya lambat hantar mesej kat awak. Sorry ye.
Iqbal: Kenapa lambat? Awak tak sayang saya ke? Sampai hati awak buat saya tertunggu-tunggu mesej awak tahu? Awak, saya rindulah.
Hana: Saya pun rindu kat awak. Tadi saya asyik teringatkan awak je tahu.
Iqbal: Iye? Sukanya saya. Awak, kita ni kan dah lama kenal. Sejak dari mula kawan sampailah dah couple ni, kita asyik bersaya awak ja. Macam tak special pula saya pada awak.
Hana: Kenapa awak cakap macam tu? Awak tak percaya saya?
Iqbal: Bukanlah. Saya teringin nak jadi macam kawan-kawan saya yang panggil awek dia orang dengan panggilan sayang. Boleh tak kalau saya panggil awak sayang?
Hana: Bukan awak memang dah panggil saya sayang ke?
Iqbal: Alamak, tak perasan pula saya. Awak, memandangkan saya ni lebih tua daripada awak, kenapa awak tak nak panggil saya abang?
Hana: Saya tak biasalah.
Semakin lama Hana suka berbalas mesej dengan Iqbal sehingga dia berangan untuk bersama Iqbal suatu hari nanti.
Iqbal: Awak tak sayang saya, ye?
Hana: Sayang.
Iqbal: Kalau sayang, panggil abang ni abang ye, sayang!
Hana: Ok, abang.
Iqbal: Ha, macam tulah baru bertambah sayang abang pada sayang. Sayang, terima kasih ye sayang sebab sudi panggil abang macam ni. Thank you.
Hana: Welcome. Hehe.
Tiba-tiba pintu bilik diketuk dari luar. Hana yang terkejut cepat-cepat menyembunyikan telefon di bawah bantal. Ibu membuka Pintu dan menghampiri Hana. Hana cepat-cepat menutup muka dengan bantal.
“Kakak, dah tidur ke?” Tanya Ibu.
Hana merasakan katilnya bergoyang sikit. Dia tahu Izu yang memanjat katil. Di hujung katilnya, ibu sedang duduk. Hana hanya diam. Ibu menarik perlahan bantal yang menutup muka Hana. Dia melihat mata Hana terpejam rapat tanda sudah tidur. Ibu mengucup dahi Hana dengan penuh kasih.
“Baca doa sebelum tidur, jangan lupa.” ujar Ibu kepada Izu.
“Baik Ibu,” patuh Izu. Izu baring dan menyelimuti tubuhnya. Seperti Hana, Izu juga dikucup oleh Ibu.
“Tidurlah. Ibu pun nak tidur. Mengantuk pula,” Ibu pun keluar dari bilik anaknya.
Sebaik lampu dan pintu ditutup, barulah Hana membuka matanya. Dia melihat Izu di sebelah bagi memastikan Izu sudah tidur. Hana menutup mukanya dengan bantal dan mengeluarkan telefon bimbit yang disembunyikan. Dia membuka dan membaca mesej Iqbal.
Iqbal: Sayang, minggu ni kita keluar tengok wayang lagi nak?
Hana memandang ke siling dan berfikir sejenak. Kali ni mesti kena bawa Izu dengan Izzati. kalau tak, nanti Ibu tahu macam mana? Hana berkira-kira di dalam hati lalu dia membalas mesej Iqbal.
Hana: Tak bolehlah. Kalau nak keluar pun, kita kena bawa adik saya dengan Zati. Saya takut nanti Ibu saya tahu. Tadi pun hampir-hampir terkantoi pasal kita.
Iqbal: Kenapa ber’saya awak’ lagi ni? Tak apalah. Asalkan saya dapat jumpa awak, nak bawa sepuluh orang pun saya sanggup. Rindu sangat kat awak. Jadi ye sabtu ni kita keluar?
Mesej Iqbal yang berbaur separuh merajuk mengundang rasa kasih dan simpati Hana. Dia bertekad untuk menyayangi Iqbal dengan sebaiknya seperti mana Iqbal yang dirasakan juga menyayanginya.
Hana: Kalau abang dah cakap macam tu. sayang ikut ajalah.
Iqbal: Thank you, sayang. I love you.
Hana: I love you too. Abang, sayang nak tidurlah. Dah ngantuk sangat.
Iqbal: Ok. Mimpikan abang tahu. Good night sayang. Assalamualaikum.
Hana: Good night. Wa’alaikumsalam.
Hana tersenyum. Kemudian dia terus mematikan telefon bimbitnya dan simpan semula di bawah bantal. Dengan senyuman yang masih terukir di bibir, Hana memejamkan matanya dan tidur lena diulit mimpi. Mimpi yang sekadar mimpi dan dunia semata.
©KaryaSitiNadiahShahron(2020)
Share this novel