Ibu baru saja selesai menghidangkan makan malam untuk keluarganya. Hana dan Izu juga sudah berteleku di meja makan sementara menanti Ayah yang masih membaca Al-Quran di dalam bilik. Seketika kemudian, barulah Ayah keluar dari biliknya dan menyertai anak dan isterinya di meja makan.
“Alhamdulillah, rezeki. Giliran siapa baca doa malam ni?” Soal Ayah sebaik duduk di tempatnya.
“Giliran Izu,” Izu segera menadahkan tangan dan membaca doa makan.
“Jom kita makan,” Ajak Ayah usai mengaminkan doa makan.
Mereka sekeluarga makan dengan penuh berselera sekali sehingga tiada seorang pun yang bersuara. Usai makan, Izu dan Hana membantu Ibu dengan membawa pinggan mangkuk yang telah digunakan ke sinki untuk dibasuh. Usai saja, Hana dan Izu duduk bersama Ayah di hadapan televisyen.
“Ayah, Ayah kata nak beritahu pasal solat pagi tadi.” tegur Izu sebaik sahaja dia duduk di sebelah Ayah.
“Oh, ye. Apa yang Izu nak tahu?” Soal Ayah. Surat khabar yang dibaca, dilipat dan diletakkannya ke atas meja.
“Kawan Izu kat sekolah kata dia tak solat. Boleh ke macam tu, ayah?”
“Kawan Izu tu beragama Islam ke?” Bukan jawapan yang diberi, sebaliknya disoal semula.
Izu mengangguk laju. Hana hanya fokus menonton siaran astro di channel Oasis. Dalam hati dia mencebik dengan pertanyaan Izu. Dia rimas dengan perkara yang sudah didengar berulang kali.
“Macam ni, syarat wajib solat mestilah beragama Islam, baligh, berakal atau tak gila, suci dari haid dan nifas, tidak buta dan tidak pekak kecuali salah satunya sempurna.”
Ayah memandang Hana yang menumpukan perhatian pada televisyen. Ibu yang baru selesai kerjanya di dapur, datang dan duduk di sebelah kiri Ayah.
“Tak faham,” ujar Izu sambil mengembungkan kedua-dua belah pipinya.
“Beragama Islam tu macam kita sekarang ni yang memang dilahirkan dalam keluarga yang beragama Islam. Ada juga Muallaf iaitu orang yang memeluk agama Islam. Jadi, kita wajib menunaikan solat. Sekali kita berikrar Islam, tuntutan yang wajib mesti dilakukan. Yang kedua, baligh. Baligh ni sebaik saja dia telah mencapai umur didatangi haid bagi perempuan dan air mani bagi lelaki…”
“Maksudnya, kalau Hana tak solat pun tak apalah, kan? Sebab belum datang haid lagi,” Tiba-tiba Hana menyampuk tanpa sempat Ayah menghabiskan bicaranya.
“Err.. Tapi lebih baik kalau mula dari kecil supaya besar nanti tak adalah rasa susah,” Terang Ayah.
“Ha.. Hai.. Haid dengan air ma.. ni tu apa, Ayah?” Izu gagap bila cuba menyebut perkataan yang jarang didengarinya.
“Haid tu maksudnya keluar darah dari faraj wanita. Air mani pula lendiran yang keluar dari kemaluan lelaki. Tapi, bagi perempuan yang datang haid atau nifas ni, tak diwajibkan solat. Nifas ni maksudnya keluar darah dari faraj wanita yang baru lepas melahirkan anak. Ha.. ha.. Ayah pun tak pasti nak terangkan macam mana, tunggu lagi dua, tiga tahun nanti Hana dengan Izu akan faham sebab Hana dan Izu pun akan melaluinya juga,” Ayah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia memandang Ibu meminta bantuan untuk menjelaskan.
“Satu hari nanti, Hana dengan Izu akan tahu.” Itu sahaja yang mampu Ibu katakan. Biar mereka tahu perkara yang wajib dulu.
“Sebab tu, kalau budak macam umur Izu tak solat pun tak apa tapi lagi bagus kalau Izu mula dari sekarang. Bila besar nanti, anak ayah semua ni akan tahu lebih banyak tentang solat.” Ayah menyambung.
“Oh.. Macam tu.” Seloroh Izu menjawab.
“Kira Izu ni kalau tak solat pun tak apalah, ye?” Hana mencebik.
Belum sempat Ayah menjawab, Ibu terlebih dulu berkata-kata.
“Umur macam Izu ni dah diharuskan untuk dirotan sekiranya tak nak solat. Kalau nak kena rotan, Izu dengan Hana janganlah solat. Mahu? Rotan memang ada je nie.” Tegas Ibu. Sengaja ditekankan suaranya supaya anak-anaknya akan mendengar kata. Ibu tersenyum memandang suaminya. Ayah juga tersenyum.
“Izu dengar cakap Ibu, Ibu jangan rotan. Sakit,” Izu meraba-raba tapak tangannya macamlah dah kena rotan.
Hana hanya menjeling. Tak hairan. Dia tahu ibunya takkan sampai hati merotan. Sekadar ugutan semata-mata. Izu memang penakut. Bidas hati Hana.
“Ibu ada pesanan untuk kamu berdua,” Ibu menarik dan menghembuskan nafas perlahan. Dia memandang wajah Izu dan beralih memandang Hana yang kembali leka melihat siaran astro di televisyen.
“Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad’, jadi, kesimpulan Ibu kat sini nak tanya kerja sekolah dah buat?” Soal Ibu.
Izu mula kelam kabut bangun dan mengambil buku di dalam bilik. Namun, Hana masih leka duduk namun kepalanya bukan menghadap tv.
“Hana…” Ayah memanggil perlahan namun tiada reaksi. Ibu melihat Hana.
“Ya Allah, tidur rupanya dia. Hana, bangun! Pergi tidur dalam bilik,” Ibu menggoyangkan bahu Hana. Hana terpisat-pisat membuka matanya.
“Ye, Ibu?”
“Bangun, pergi tidur dalam bilik,” Arah Ibu.
Hana bangun dan berjalan masuk ke bilik tidurnya. Sesampai di pintu, dia bertembung dengan Izu yang memegang buku di tangan. Hana membisikkan sesuatu dan Izu hanya menganggukkan kepala. Kemudian, Izu terus ke meja di ruang tamu. Hana menutup pintu bilik dan menguncinya.
“Kak Hana tak ada kerja sekolah ke, Ibu?” Soal Izu sebaik duduk bersila di depan meja.
“Kak Hana mengantuk, tadi dia tertidur atas sofa tu,” Terang Ibu.
“Oh.. Patutlah Akak suruh Izu ketuk pintu sebelum masuk, tak nak diganggu kot.” Duga Izu.
Ibu dan Ayah berpandangan. Dah kenapa Hana suruh Izu ketuk pintu bilik yang dihuni mereka berdua. Bukankah lebih mengganggu?
**
Di dalam bilik, Hana duduk di meja belajar dan mengeluarkan sebuah kotak yang berada di dalam laci. Sambil menapak ke katil, Hana mengeluarkan isi di dalam kotak itu, dia tersenyum. Telefon bimbit Nokia diaktifkan. Kemudian, dia mula menghubungi. Sambil menunggu panggilan berjawab, dia baring. Kotak tadi diketepikan.
“Hello?” Hana bersuara sebaik bunyi talian bersambut.
“Sorry lah, lambat sikit je. Apa? Rindu kat saya? Saya pun rindu kat awak. He.. He.."
Hana diam.
“Kalau saya tak buat-buat tidur tadi, nanti saya kena buat kerja sekolah dengan adik saya. Lagilah lama awak kena tunggu.”
Hana senyap, mendengar apa yang dikatakan lelaki itu.
“Apa? Nak ajak saya keluar lagi? Nak ke mana pula?”
Hana senyap lagi. Tangannya ligat bermain-main dengan rambutnya yang panjang melepasi bahu.
“Plaza Alam Sentral? Mesti jauh kan? Ibu dengan Ayah mesti tak bagi walaupun Zati ikut.”
“Bagi alasan dekat Ibu nak pergi library? Hm.. Oklah, tengoklah nanti macam mana ye.”
Tiba-tiba pintu bilik diketuk.
“Kakak oh kakak.” Suara Izu kedengaran berselang dengan bunyi ketukan.
“Awak, saya letak dulu. Bye!” kelam-kabut Hana mematikan talian. Segera dia menyembunyikan telefonnya di bawah bantal dan bergegas membuka pintu bilik.
“Kak tidur ke?”
“A’ah, kenapa?” soal Hana sambil berpura-pura menggosok matanya dengan jari tangan kanan.
“Ibu suruh solat Isya’ dulu,” beritahu Izu sambil menenong masuk ke dalam bilik.
“Izu pergilah dulu. kejap lagi akak solat.”
Izu mengangguk dan terus keluar semula.
Masa inilah Hana cepat-cepat menghantar mesej pesanan ringkas kepada si jejaka yang dihubunginya tadi. Selesai menghantar, dia sembunyikan telefon bimbit yang sememangnya di modkan silent bercahaya menandakan ada mesej baru masuk.
“Nanti kita contact lagi ye, sayang. Sweet dream and good night.” Hana membaca mesej yang diterima. Dia tersenyum.
Kemudian, dia mematikan telefon bimbitnya. Terburu-buru dia menyimpan semula gajet itu ke dalam kotak. Serentak itu juga Izu masuk ke dalam bilik.
©KaryaSitiNadiahShahron (2020)
Share this novel