BAB 4

Romance Completed 29171

Perjalanan ke kampung yang memakan masa hampir 2 jam itu membuatkan Azizah merasa tidak sabar untuk bertemu dengan sahabatnya. Dia mengambil keputusan untuk bertandang ke rumah Suzana terlebih dahulu. Halaman luas dengan suasana rumah yang bersih cantik membuatkan Azizah terkesima sebentar. Ah, tenang dan nyaman pula rasanya. Tambahan pula dengan pohon mangga yang redup dan rendang.

Azizah memberi salam dan ternyata salamnya bersahut. Suzana dengan riang menerima kunjungan rakannya yang datang bersama keluarga. Azizah bersalaman dengan Mak Temah dan Mak Temah begitu menyenangi akan keluarga yang baru bertandang itu.

“Masuklah. Buat macam rumah sendiri.” Pelawa Mak Temah. Azizah begitu senang dengan layanan keluarga Suzana. Mak Temah mengerling kepada pemuda yang agak segak dan menawan di antara keluarga Azizah itu. Erm, ada peluang ni. Apa lagi kalau bukan nak masuk jarum menjodohkan anaknya Suzana.

“O…. Azizah kawan Ana di bandarlah ye. Tak sangka sudi singgah rumah mak cik ni. Terima kasih Puan Siah sudi datang.”

“Tak payahlah nak panggil puan. Panggil Siah dah cukup kak. Yang ini saya kenalkan anak lelaki saya yang sulung. Daniel namanya.” Daniel tersenyum dan tidak bersuara.

“Kerja apa anak bujang ni?”

“Kerja driver, makcik.” Jawapan dari Daniel itu sudah cukup membuatkan Mak Temah lemah semangat. Driver? Ah, apa kelas nak kahwin dengan anak aku? Mulalah muncung Mak Temah panjang sedepa.

Daniel yang memandang kepada Mak Temah tersenggeh seperti kerang busuk. Mak Temah tidak senang duduk. Buatnya dia orang ni datang nak meminang kes haru ni. Mak Temah cuba untuk mencari alasan. E…. tak naklah berbesan dengan mereka ni.

“Anak perempuan Kak Temah manis orangnya.” Nah! Mak Temah menelan air liur yang tersekat di kerongkong.

“Siapa? Ana? Dia dah ada calon dah. Esok lusa dah nak bertunang pun.”

“Hah? Ana tak pernah cakap pun dengan saya yang dia nak bertunang.” Azizah terkejut dengan kata-kata Mak Temah itu. Mustahil kawannya itu merahsiakan darinya.

“Baru semalam orang tu datang meminang. Mak cik dah terima pinangan tu. Ana tak tahu lagi. Bukan calang-calang orangnya. Kerja kat bandar. Dah pulak tu, ada syarikat sendiri.” Beritahu Mak Temah dengan riak.

“Bukan apa Siah, sekarang ni kalau gaji kecik macam mana nak sara anak dara orang, ye tak?” Puan Siah mengangguk mengerti. Dia memandang kepada Daniel yang memperlihatkan wajah yang tidak bersalah. Mak Temah tersenyum puas dengan perubahan kepada wajah Puan Siah. Ala, bohong sunat apa salahnya. Takkan nak kahwinkan dengan driver?

Azizah seperti tidak puas hati. Kelibat Suzana cuba dicari. Dia perlukan kebenaran. Mustahil Suzana tidak memberitahu akan berita yang penting itu. Azizah memandang kepada Mak Temah yang tersenyum sinis. Huh! Pandang abang macam orang kerja kuli je!

Encik Hamdan tidak bersuara. Dia menyiku kepada anak lelakinya. Daniel mematungkan dirinya. Dia tidak memberi reaksi kepada isyarat yang diberi oleh Encik Hamdan itu.

“Yang sebenarnya Daniel ni…”

“Eh, lupa pulak saya. Yang sebenarnya saya ni nak keluar. Ada hal sikit. Er….” Encik Hamdan mengerti. Orang tak ingin takkan kita nak terhegeh-hegeh?

“Yang kami ni pun sebenarnya nak ke rumah kawan Azizah yang seorang lagi tu. Kami ni datang sebenarnya saja je nak berjalan. Nak tengok kampung orang. Alang-alang kami nak ke Batu Pahat sebab ada urusan.” Mak Temah mengangguk dan mengurut dada lega. Fuh! Ingat datang nak meminang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience