BAB 1

Romance Completed 29171

Tangan tuanya ligat menyusun semua bekas kuih dan diletakkan di satu tempat. Kuih koci dan karipap yang masih berbaki dikeluarkan dari bekas. Dia menyeluk kocek bajunya dan mengeluarkan buku 555 untuk dia menulis keuntungan pada hari itu. Melebar senyuman Mak Senah melihatkan hanya berbaki tiga ketul sahaja yang tinggal. Alhamdulillah, rezeki Allah itu kecil atau besar tak pernah salah alamay.

Mak Senah memandang kepada Mak Limah tuan kedai tempat dia meletakkan kuihnya.

“Tak banyak yang tinggal, Limah. Bolehlah aku menyimpan.” Tegur Mak Senah sambil tersenyum.

“Hari ni pun aku tak menang tangan. Ramai sangat. Maklumlah cuti sekolah. Itu yang ramai makan luar. Eh, Sarah mana? Biasanya dia yang datang ambil bekas-bekas tu.” Mak Limah mencari.

“Ada kat rumah tu. Tengah siapkan tempahan tok penghulu. Katanya ada tetamu hari ni. Dia minta buatkan bakar berlauk dengan seri muka. Itu yang aku datang tu. Kalau lupa mana aku nak sumbat kuih aku esok ni.” Mak Limah tertawa.

“Siapa yang nak datang?”

“Entah, katanya kawan anaknya yang tinggal kat KL. Saja nak datang bercuti.”

“Oooo….”

Tiba-tiba pandangan mata Mak Limah terlihatkan Mak Temah yang sedang jalan berlenggang sambil membawa payung. Di tangan kanannya penuh dengan barang. Sambil berjalan dia menyanyi riang.

“Amboi Temah bukan main senang lagi kamu hari ni.” Tegur Mak Limah sambil matanya ralit memandang barang yang sarat di tangan kanannya.

“Marilah singgah.” Mak Temah menyimpang menuju ke gerai Mak Limah. Cuaca panas macam ni kalau pekena teh ‘o’ ais ni boleh jugak. Tekak dah kering ni. sudahlah penat mengangkut barang dari kedai si Husin tu.

“Banyak barang kau bawak, Temah. Kamu nak buat kenduri ke?” Kali ini Mak Senah pula yang bersuara.

Melihatkan penampilan Mak Temah itu membuatkan Mak Senah agak terpinggir. Baju kebaya bersulam kalau tidak main ratus bukan sulam namanya. Barang kemas? Usah cerita. Kalau tidak sampai lengan atau rantai sampai ke pinggang bukan Temah namanya. Tak takut kena samun agaknya si Temah ni.

“Adalah sikit. Panas betul hari ni. Eh, kamu berikan aku teh ‘o’ ais satu. Dahaga pulak rasanya.” Mak Limah masuk ke dalam dan membuat air untuk Mak Temah. Mak Senah melabuhkan punggung di hadapan Mak Temah sambil melemparkan senyuman.

“Barang untuk seminggu ke Temah?”

“Tak adalah Senah. Barang untuk masak esok nanti.”

“Banyak sangat ni. Macam nak buat kenduri satu kampung.” Ujar Mak Senah.

“Hish! Tak adalah Senah. Tapi kalau jadi insyaallah aku jamu satu kampung.” Mak Temah menyinsing lengan baju sambil mengibaskan tangannya. Mengerlip barang kemas Mak Temah. Silau setaman!

“Habis tu?”

“Tak, si Seri tu esok ada orang datang merisik. Itu yang aku beli barang sikit. Maklumlah nak jamu orang bandar. Bakal besan aku tu duduk rumah besar. Seganlah aku kalau aku nak hidangkan dia orang tu ikan masin.” Huh! Tak tanya pun!

“Untunglah kau Temah. Muda-muda lagi anak kau dah ada jodoh.” Ada masa Mak Senah cemburu juga dengan Mak Temah. Namun dia sedar ada jodoh dan rezeki untuk anak-anaknya.

“Siapa yang tak kenal dengan anak Mak Temah? Satu kampung tau beratur nak pinang anak aku. Cuma aku je yang tolak. Takkan nak tengok anak kita makan pasir. Tak gitu Senah?” Mak Senah mengangguk.

“Anak kau bila lagi, Senah?” Soalan cepu emas itulah yang membuatkan Mak Senah kunci mulut. Dia sendiri tidak tahu akan jawapannya.

“Entahlah Temah. Aku tak tahulah diaorang tu. Mungkin belum masanya untuk dia orang kahwin.”

“Takkan nak suruh anak kau tu jadi anak dara tua? Cubalah kau ikhtiar sikit. Ini kau simpan je si Sarah tu kat dalam rumah. Zaman sekarang bukan macam kita dulu.”

“Anak-anak aku tu bukannya lelaki yang boleh pergi masuk meminang. Anak-anak aku tu perempuan. Dia orang tunggu pinangan je. Lagi pun tak manis kalau perigi yang cari timba.” Mak Senah agak kurang senang dengan kata-kata Mak Temah itu.

“Ala zaman sekarang ni dah tak kira siapa cari siapa. Kau tu, tak terigin ke nak timang cucu?”

“Bodohlah aku kalau aku kata aku tak nak. Aku yakin ada jodoh anak-anak aku tu. Cuma lambat je. Aku dah tak kisah siapa yang akan jadi suami pada mereka tu. Yang penting boleh bahagiakan mereka.”

“Itu aku tahu. Tapi kalau buat tak tahu sampai bila pun jodoh tak sampai.” Mak Senah tersentak dengan kata-kata Mak Temah itu.

“Amboi, bukan main rancak lagi berborak.” Mak Limah keluar membawa teh ‘o’ ais seperti mana yang pesan oleh Mak Temah. Di kiri pula dia sediakan the panas untuk Mak Senah.

“Tak…. Ini aku tanya pada si Senah. Dia tak teringin ke nak timang cucu. Kalau dia simpan je anak dara tu macam mana dia nak dapat cucu. Ye tak Limah?” Berubah wajah Mak Senah bila mendengarkan sindiran dari Temah itu.

“Kau ni janganlah buat si Senah ni pening kepala. Ada jodoh anak-anak dia tu. Cuma lambat je. Mana tahu jodoh dia dengan orang yang kita tak sangka. Kau banyak sabarlah Senah.”

“Tapi kalau tak berusaha nak dapatkan menantu mana boleh?”

“Siang malam aku berdoa, Temah. Aku tahu yang Allah akan dapatkan jodoh untuk anak-anak aku tu.”

Mak Temah tidak bersuara lagi. Dia meneguk air sambil memandang kepada Limah dan Senah. Dia segera menghabiskan air dan mula bangkit.

“Aku nak balik dululah. Banyak lagi kerja yang aku kena buat. Nak melayan korang ni memang satu kerja pun tak jalan. Nanti kalau jadi aku ajak kau datang rumah. Lepas ni giliran anak aku yang bongsu pula.”

Mak Senah dengan Mak Limah hanya memerhatikan sahaja lenggang Mak Temah yang sudah meninggalkan gerai. Ada masa Mak Senah agak terasa dengan kata-kata Mak Temah. Namun dia telankan jua kerana dia yakin setiap yang hidup di dunia ini berpasang-pasangan.

Kemudiannya Mak Senah pula yang meminta izin untuk pulang. Sudah tentu Sarah ingin pergi ke rumah Tok penghulu untuk menghantar kuih. Mak Senah balik ke rumah dengan hati yang sedikit terguris. Masakan dia tidak kasihankan Sarah. Umurnya sudah meningkat mencecah ke angka 30 tahun. Aisyah dan Rohaya juga yang selang setahun masih belum bertemu dengan jodoh mereka. Namun Sarahlah yang paling kasihan. Dia hanya tinggal dikampung dan membuat kuih untuk membantunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience