Bab 3

Romance Series 4598

JAM di dinding menunjukkan pukul 10 malam. Namun pelupuk mata Ainnun masih belum kelat. Entah kenapa malam ini terasa seperti terlebih vitamin saja. Selesai membersihkan diri dan makan malam, dia terus naik ke bilik untuk mengerjakan solat Isyak. Usai bersolat, Ainnun memasang niat untuk bersantai di beranda rumahnya pada malam itu. Bersama secawan milo panas, dia tekun menatap skrin komputer tanpa mempedulikan suasana yang semakin sunyi.

Fokusnya tidak terganggu walau sedikitpun. Jemarinya tetap lincah menaip di papan kekunci. Ada ketika dia akan berhenti menaip jika ketandusan idea. Milo panas disisip sedikit untuk mencari ilham. Setelah ideanya kembali datang, dia sambung menaip. Inilah rutinnya jika ada masa lapang. Ainnun gemar menghabiskan masanya dengan menulis. Dia menulis apa saja yang terlintas di kepalanya. Diari ataupun cerpen pendek. Itulah bakat terpendam yang ada pada Ainnun. Segala koleksi cerpen tersimpan rapi di dalam komputernya untuk dibaca sendiri. Belum ada niat untuk menghantarnya sebagai manuskrip. Namun itu adalah salah satu impiannya dari dulu. Jika ada rezeki, dia tidak akan menolak. Buat masa ini, Ainnun masih belum bersedia.
Ainnun yang sedang khusyuk menaip seakan tidak menyedari malam sudah terlalu lewat. Dia melihat jam di telefon pintarnya sudah menunjukkan pukul 11.30 malam. Rupanya sudah hampir dua jam dia berada di luar. Barulah Ainnun terasa letih dan mengantuk. Tubuhnya tiba-tiba kedinginan. Suhu pada malam itu boleh tahan sejuknya. Tanpa membuang waktu, dia segera menutup komputer riba dan membawanya masuk bersama.

“Ain dari mana?” Soal Puan Salmah apabila kaki Ainnun melangkah masuk ke dalam rumah.

“Dari depan. Saja ambil angin malam. Kenapa ibu?” Tanya Ainnun kehairanan.

“Ingatkan Ain dah tidur. Kalau belum sinilah duduk.” Pelawa Puan Salmah sambil melabuhkan punggung di kerusi sofa.

“Ada apa ibu?” Walaupun rasa penat sudah menjalar, Ainnun tahankan saja. Sebagai anak, dia tidak mahu menghampakan ibunya. Dia duduk di sebelah dan menanti maklum balas Puan Salmah.

“Ain ada masalah kat tempat kerja ke? Dari minggu lepas lagi ibu perasan. Ibu tengok Ain kusut. Ada apa-apa yang Ain nak kongsi?” Tanya Puan Salmah lembut.

Pandangan mereka bersabung. Ainnun memang dilanda masalah di tempat kerjanya. Cuma belum ada kesempatan untuk bercerita pada keluarganya. Tak sangka ibunya dengan mudah menangkap perubahan anginnya kebelakangan ini.

“Ain dah berhenti kerja minggu lepas.” Ucap Ainnun dengan perasaan hiba.

“Berhenti sebab apa?”

“Tempat kerja Ain tu dah tukar bos baru. Jadi sistem dengan bayaran gaji pun dah lain. Ain dah tak selesa kerja kat sana, dah tak ada hati ibu. Maafkan Ain sebab tak beritahu dulu sebelum berhenti. Tapi ibu jangan risau, Ain akan cari kerja lain. Kawan Ain nak tolong.” Jelas Ainnun panjang lebar. Wajah Puan Salmah dipandang dalam-dalam.

Puan Salmah hanya tersenyum setelah mendengar luahan anaknya. Hati seorang ibu itu sangat mengetahui, tidak susah untuk meneka apa yang sedang bermain dalam kepala anak gadisnya.

“Ibu tak marah. Cuma ibu terkilan. Kenapa tak jujur dari awal kalau Ain ada masalah?” Soalnya pada Ainnun.

“Ain tak nak susahkan sesiapa. Ibu dengan ayah dah banyak berkorban. Dulu ayah yang carikan kerja tu untuk Ain. Malulah Ain kalau ayah tahu. Ibu jangan beritahu...” Kata-kata Ainnun tergantung tatkala melihat kelibat Encik Mohamad di belakang Puan Salmah. Matanya membulat. Bila masa ayahnya ada di situ?

“Ayah...” Terserlah riak cuak di wajahnya. Seiring itu, senyuman kekok tergaris di hujung bibir Ainnun.

“Ayah terdengar perbualan kamu dari luar tadi. Apa yang nak dimalukan Ain? Kita kan keluarga. Kalau ada salah seorang ahil keluarga yang susah, kita wajib tolong. Itu dah tanggungjawab ayah untuk menjaga Ain.” Ucap Encik Mohamad tenang. Dia segera duduk dan menyandarkan badan di kerusi sofa.

“Maafkan Ain ayah, ibu. Ain buntu sangat masa tu. Yelah, zaman sekarang ni susah nak cari kerja. Patutnya Ain berbincang dulu.” Masih ada kekesalan yang tersisa di hujung bicara Ainnun. Rasa bersalah kerana menyembunyikan hal ini dari keluarganya.

“Tak apalah benda dah jadi. Rezeki Allah itu luas. Dia yang pegang, jadi kita kena minta dengan Allah SWT. Selain dari usaha, doa itu penting.” Encik Mohamad tersenyum nipis. Dia tidak mahu menambahkan keresahan anak gadisnya. Perkara kecil tak perlu dibesar-besarkan.

“Kalau nak rezeki lagi luas, kena selalu bersedekah. Dalam bersedekah pula kenalah ikhlas. Jangan pula kita beri sedekah tapi mengharapkan balasan.”Celah Puan Salmah. Bahu Ainnun digosok lembut tanda memberi semangat.

“Betul cakap ibu. Memberi tanpa mengharapkan balasan adalah lebih mulia di sisi Tuhan. Allah menyatakan dalam firmannya; orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara sembunyi dan tidak terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kebimbangan pada mereka dan tidak pula mereka bersedih, ayat Al-Baqarah 274.” Sambung Encik Mohamad. Senyuman tak lekang dari bibir si ayah. Dia tak pernah jemu memberi nasihat dan pandangan.

Bagaikan burung belatuk Ainnun mengangguk. Segala nasihat yang diberikan oleh ayahnya dia serap bagaikan span. “Terima kasih ayah. Ain janji akan jadi anak yang baik dan selalu ingat pesan ayah. Ibu pun banyak bantu Ain dari kecil sampai besar.”

Puan Salmah menarik bahu anaknya dan memeluk erat. “Ibu dan ayah tak minta apa-apa balasan. Cukup Ain jaga maruah, jaga diri dan yang paling penting jaga agama. Kalau Ain berpegang pada ajaran yang betul, Insyallah semua urusan dipermudahkan. Doa ibu untuk anak-anak tak pernah putus.” Tutur Puan Salmah sambil memaut erat bahu anaknya.

“Kalau boleh kali ini nak cari kerja tu janganlah jauh sangat. Dekat-dekat sini pun ada. Ayah risau. Minggu ni balik, minggu depan tak balik. Bahaya bawak kereta sorang-sorang.” Bebel Encik Mohamad.

Ainnun tersengih manja. Tahu sangatlah kerisauan ayahnya itu bukan perkara yang dapat dihalang. Dari dulu sampai sekarang ayah akan sentiasa berjaga-jaga kerana dia tidak mahu perkara buruk terjadi padanya. Begitulah kasih sayang seorang ayah yang tiada penghujungnya.

“Ayah takut rindu Ain kan?”

“Mana ada. Ayah tak rindu pun. Ayah dekat sini duduk elok-elok je. Atau Ain yang rindu pada ayah nanti?” Dalih Encik Mohamad. Macam tak tahu, Ainnun Maryam adalah anak yang menjadi kebanggaan mereka. Mana boleh berpisah jauh-jauh.

“Yelah tu. Abang jangan bila Ain dah kerja jauh, abang suruh saya call dia setiap masa. Suruh tanya bila Ain nak balik.” Puan Salmah menyakat suaminya.

“Awak jangan sebelahkan Ain. Naik kepala budak ni kalau dia tahu saya yang suruh awak call dia selama ni. Da, saya nak naik atas. Esok nak bangun awal, saya dah janji dengan Pak Imam Kamal nak solat Subuh berjemaah di masjid.” Encik Mohamad segera bangun dari kerusi dan berganjak dari situ.

Ainnun sudah ketawa besar. “Kan dah kantoi. Kalau rindu tu mengaku jelah ayah, jangan malu-malu.” Semakin galak Ainnun menyakat ayahnya.

“Tak ada maknanya ayah nak rindu kamu. Baik ayah rindu ayam-ayam dekat reban tu lagi bagus.” Ucap Encik Mohamad dalam nada gurau. Ditahankan saja tawanya dari tadi.

“Apa abang ni? Sikit punya lawa anak kita, dia bandingkan dengan ayam.” Spontan Puan Salmah memukul lengan suaminya dari belakang.

Encik Mohamad yang tersentak dek pukulan segera tersenyum kepada isterinya. “Abang bergurau je. Awak janganlah serius sangat.”

Puan Salmah melemparkan jelingan sedas. “Saya tak terima tau. Punyalah susah saya jaga dia dari kecil sampai besar. Suka hati abang je nak ayamkan dia.”

“Ya, abang minta maaf.” Encik Mohamad tidak mahu memperpanjang gurauannya. Bebelan Puan Salmah terdengar sayup ketika membuntuti suaminya menaiki tangga. Pasangan suami isteri itu akhirnya masuk ke dalam bilik untuk masuk tidur.

Ainnun yang dari tadi mendengar tersenyum lebar hingga ke telinga. Melihat gelagat ibu dan ayahnya membuatkan Ainnun semakin teruja untuk mencari pasangannya sendiri. Tanpa membuang waktu, gilirannya pula beransur ke tingkat atas. Tubuhnya sudah terlalu letih. Tiada siapa yang ingin mengangkatnya jika dia tertidur pulas di sofa ini. Ada baiknya dia berehat di bilik.

Sebelum itu, dia ingin menunaikan solat Hajat terlebih dahulu. Sejadah telah dihamparkan menghadap ke kiblat. Usai mengambil wuduk, Ainnun menyarung telekung berwarna biru laut ke tubuhnya. Fikirannya dikosongkan untuk lebih istiqamah semasa menunaikan solat tersebut.

“Assalamualaikum warahmatullah.” Ainnun menyudahkan solat dengan salam kiri kemudian dia membetul cara duduknya. Tangan pula diangkat, menadah dan memohon sesuatu daripada Sang Pemberi, Sang Pencipta. “Ya Allah Ya Tuhanku, segala puji yang tertentu bagi-Mu, yang telah memberi kenikmatan dan keberkatan pada kami. Aku bermohon pada-Mu Ya Allah, Ampunkanlah dosaku dan keluargaku. Limpahkan rezeki dan rahmat-Mu dalam kami mengharungi apa jua keadaan. Sihatkan tubuh kami agar terus beribadat dan beriman kepada-Mu. Kurniakanlah aku jodoh yang terbaik dari-Mu, jodoh yang sejati, yang abadi dan yang mampu memimpin aku ke Syurga-Mu kelak. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik perancang dan Engkaulah Tuhan Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Amin Ya Rabbal Al-Amin.”

Selesai berdoa, Ainnun menyapu muka dengan tangan lembutnya. Dia lepaskan satu keluhan ringan. Matanya dipejamkan.

“Wahai jodoh, di mana pun engkau berada, jaga dirimu baik-baik. Insyallah kita akan berjumpa satu hari nanti.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience