Bab 4

Romance Series 4598

SENYUMAN menghiasi bibirnya di saat kereta Honda Accord putih sudah menghampiri Rumah Anak Yatim As-Syifaa. Perasaanya teruja bercampur gembira tak terhingga. Hampir dua bulan lamanya Syahzani tidak dapat pulang menziarahi ibu dan ayahnya gara-gara sibuk dengan urusan kerja di Johor Bahru. Sebagai seorang arkitek, kerjanya tidak menentu. Perlu layan perangai client yang bermacam-macam ragam. Ada saja masalah yang timbul di tempat projeknya dan baru-baru ini pekerja kontraktor mogok kerana gaji mereka tidak dibayar dengan betul. Hal itu semakin menambah kesulitan yang sedia ada. Namun kes itu telah pun selesai dan semuanya berjalan seperti biasa. Otaknya hampir pecah di kala itu, memikirkan dateline dan rungutan client yang tak sudah. Nasib baik ada juga cuti seminggu ini, dapatlah dia melunaskan segala rasa rindu yang tersimpan.

Enjin kereta dimatikan sebaik saja berhenti di perkarangan parkir. Saat pintu hadapan banggunan itu sudah begitu jelas di pandangan matanya, hampir juga menitis air mata lelakinya. Sungguh dia terlalu rindu. Tatkala ternampak kelibat ibunya yang sedang berdiri, lagilah dia rasa sebak.

Perlahan-lahan dia mengorak langkah ke arah Puan Fatimah yang sedang leka melayan keletah anak-anak yatim di rumah itu. Sibuk sangat sampai tidak sedar akan kehadiran Syahzani di belakang.

Di kala itu, bunyi derapan tapak kasut menggamit perhatian Puan Fatimah. Dia segera menoleh dan terlihat akan senyuman manis yang terbias dari bibir seorang lelaki. Bebola mata Puan Fatimah sudah bersinar galak.

“Ya Allah, Syah! Bila sampai? Ibu tak perasan.” Ucap Puan Fatimah. Terus dipaut tubuh kekar itu dan melempiaskan rasa rindu yang terpendam.

“Miss you, ibu. Maaf Syah baru dapat jenguk sekarang. Banyak kerja di JB. Ibu sihat?” Ditatap wajah syurga itu. Tampak berseri walau sudah berusia. Wajah yang mampu menyejukkan hati. Mereka juga berkongsi gaya senyuman yang sama.

“Ibu sihat. Syah macam mana? Ibu tengok badan makin sado?” Puan Fatimah meraba-raba tubuh anaknya sambil tersenyum manis.

“Ibu pun apa kurangnya. Makin berseri. Pakai susuk ke?” Usik Syahzani.

Anak mata Puan Fatimah hampir tersembul dibuatnya. “Ada ke situ fikirnya. Ibu memang dari dulu berseri. Tak adanya pakai susuk. Itu semua amalan khurafat, syirik. Cukuplah ibu ambil wuduk setiap masa. Itulah kecantikan semula jadi yang Allah SWT bagi.”

Syahzani tersengih lebar mendengar bebelan si ibu. Inilah yang dia rindukan. Masih tak berubah seperti dulu. Ada saja yang menjadi bahan usikan Syahzani. Dia cukup tahu kecantikan Puan Fatimah tiada tolok bandingnya. Air muka yang lembut itu mampu memikat hati sesiapa saja yang memandang. Lebih-lebih lagi jika Puan Fatimah pamerkan senyumannya. Terukir jelas lekuk lesung pipitnya.

“Ayah mana?” Soal Syahzani kehairanan. Dia melihat kereta Toyota Vios milik ayahnya elok terparkir di garaj yang tersedia. Kereta ada, orangnya tak ada.

“Biasalah ayah kamu tu kat mana lagi? Dia dalam office, ada kerja. Ni ibu nak tanya, kali ni cuti berapa lama?” Puan Fatimah bertanya ingin tahu.

“Seminggu je ibu.” Syahzani tersengih bagai kerang busuk.

Puan Fatimah menjeling pada Syahzani. “Kejap sangat. Sambunglah dua minggu terus.”

Syahzani menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Bukan tak nak cuti lama ibu. Tapi serius Syah banyak kerja. Ini pun nak ikutkan cuti dapat tiga hari.”

Keluhan hampa terlepas dari bibir Puan Fatimah. “Tak apalah. Ibu faham Syah ada komitmen. Baguslah macam tu. Kerja itu ibadah dan amanah. Tapi dalam kesibukan kita melaksanakan tanggungjawab berkerja tu tak bermakna Syah kena abaikan kewajipan pada Allah SWT.”

Syahzani mengiakan saja. “Ya, Syah tak lupa semua tu.”

“Ada lagi satu benda. Bila nak kenalkan ibu dengan bakal isteri kamu?” Sengaja Puan Fatimah menekan nadanya.

Kali ini Syahzani mati akal untuk menjawab. Tak selesa apabila topik ini diungkit. Dia membiarkan soalan itu tergantung sepi. “Ibu, Syah nak jumpa ayah dulu. Nanti kita sambung borak lagi.”

“Nak mengelak lah tu kan?” Sekilas Puan Fatimah menjeling lagi.

Syahzani tersengih tanpa menjawab soalan si ibu. Lantas sebuah ciuman dihadiahkan ke dahi Puan Fatimah. “Ibu jangan marah-marah. Nanti susuk tu tertanggal.”

Mata Puan Fatimah sudah terjegil. Belum sempat cubitannya mendarat di lengan Syahzani, dia terlebih dahulu mengelak dan berlari anak ke arah tangga. Si ibu menggelengkan kepala melihat gelagat anak lelakinya. Tak pernah kering gusi jika sudah ada di depan mata. Di bibir Puan Fatimah terukir senyuman lebar, gembira tak terkira kerana anak terunanya pulang. Harapannya tinggi ingin melihat Syahzani berumahtangga. ‘Apa sajalah yang dia cari hingga sampai sekarang belum berkahwin?’ Desis hati Puan Fatimah.

Tanpa berlengah, Syahzani terus melangkah naik ke tingkat atas. Rumah Anak Yatim As-Syifaa ini mempunyai tiga tingkat dan reka bentuknya direka oleh Syahzani sendiri. Jadi, dia sangat tahu tentang selok belok banggunan tersebut. Strukturnya terdiri daripada satu unit surau khas, satu unit bangunan pentadbiran, satu unit kantin, empat unit blok akademik, 20 unit asrama dan dua unit rumah warden. Sebagai anak yang sudah berjaya dalam bidang binaan, dia amat berbangga kerana dapat merealisasikan hasrat ayahnya, Encik Muhsin. Memang impian ayahnya dari dulu hendak membangunkan sebuah pusat penjagaan khas untuk anak-anak yatim. Tiada apa yang menggembirakan hati Syahzani selain dari melihat impian si ayah tercapai.

Keletah anak-anak yatim di situ mencuit hatinya. Ada yang berlari dan bermain. Ada pula yang duduk setempat sambil bergurau. Tanpa sedar, Syahzani tersenyum sendiri. Terkenang pula zaman kecilnya. Saat itu, tiada apa yang difikirkan. Makan, bangun, belajar, bermain dan tidur. Tidak perlu lalui tekanan berkerja yang tiada kesudahan. Penuh dengan liku kehidupan. Namun hidup adalah satu perjalanan bukan perlumbaan. Dalam mengharungi setiap pahit getir, pasti ada kemanisan yang menunggu.

Dari jauh, Syahzani melihat sekumpulan pelajar yang baru keluar dari bilik. Mereka sakan tertawa girang.

“Abang Syah!” Sapa salah seorang kanak-kanak lelaki yang terserempak dengannya. Mereka berlari dan mula berkerumun di sekeliling Syahzani. Mereka sudah cukup kenal dengan Syahzani, jadi setiap kali berjumpa dia akan disambut mesra.

“Apa khabar semuanya?” Satu persatu wajah polos kanak-kanak itu dipandang. Terbias senyuman manis saat mereka menyalam tangan Syahzani.

“Kami semua sihat. Abang nak cari Ayah Muhsin kan?”

“Ya, ayah Muhsin ada kat pejabat?” Soal Syahzani lembut.

“Ayah Muhsin ada.” Kanak-kanak lelaki itu membalas laju.

“Tapi Abang Syah tak nak main dengan kami dulu ke?” Celah salah seorang kanak-kanak perempuan di situ.

Syahzani hanya mampu tersenyum. “Kejap lagi abang datang balik. Abang nak jumpa ayah kejap.”

Tanpa membuang waktu, Syahzani meninggalkan kumpulan kanak-kanak itu dan terus mencari ayahnya di pejabat. Matanya melilau di setiap blok. Nampaknya bangggunan ini dijaga dengan baik. Strukturnya masih lagi utuh dan baru. Dia berharap agar rumah yatim ini dapat membela nasib dan membuka peluang kepada kanak-kanak lain di masa akan datang.

“Sepanjang tahun kami akan membuka peluang kepada dermawan untuk menyumbang pelajar yang terdiri daripada anak-anak yatim. Kosnya berjumlah RM3500 setahun bagi seorang pelajar. Termasuklah yuran, asrama, aktiviti harian, dobi, makan minum dan sebagainya.” Suara Encik Muhsin kedengaran lantang dari luar ketika pintu pejabat dikuak Syahzani. Nampaknya ayah sedang berbincang dengan pihak penderma di telefon.

Perlahan-lahan Syahzani melangkah masuk ke dalam dan berdiri di satu sudut. Dia tidak mahu mengganggu perbualan itu. Matanya melingas keadaan sekeliling pejabat itu. Jarinya gatal mengusik ukiran perabot kayu jati dengan tekun. Sambil menunggu panggilan itu tamat, Syahzani mundar-mandir sambil menatap skrin telefonnya.

“Alhamdulillah. Terima kasih sangat-sangat saya ucapkan. Kami terima setiap amaun derma anda. Kami amat mengalu-alukan pihak tuan untuk membantu anak-anak Islam kita agar lebih ramai generasi muda dapat belajar dan mengenal Al-Quran. InsyaAllah. Terima kasih sekali lagi. Assalamualaikum.” Panggilan telefon dimatikan. Encik Muhsin menghela nafas lega. Ada lagi insan yang berhati mulia ingin menyumbangkan duit kepada yayasannya pada zaman ini. Mendapat bantuan sekecil zarah pun sudah cukup meringankan beban yang ada. Dia hanya mampu mengucapkan kata syukur, selebihnya Encik Muhsin serahkan ganjaran pahala kepada Allah SWT. DIA yang selayaknya. Tuhan pencipta semesta alam.

Bunyi deheman kecil menggamit perhatian Encik Muhsin sekaligus berpaling ke belakang, dia melihat seseorang sedang berdiri memandangnya sambil berpeluk tubuh. Kedua-duanya saling berbalas senyum. Terutama sekali Syahzani, senyumannya meleret panjang. Hingga menampakkan barisan gigi putihnya. Encik Muhsin segera meletak fail dan berjalan ke arah Syahzani.

“Assalamualaikum ayah.” Sapa Syahzani seraya mencium tangan ayahnya. Tubuhnya dipeluk erat dan lama.

“Waalaikummusalam. Anak ayah dah balik pun. Rindu betul ayah pada Syah. Kenapa baru sekarang balik? Syah ada masalah ke di JB?” Encik Muhsin bertanya risau. Tahulah sangat perangai Syahzani yang selalu menyendiri jika ada masalah.

“Tak ada masalah pun. Cuma busy sikit. Banyak projek baru masuk. Syah minta maaf kalau dah lama tak balik.” Jelas Syahzani. Rasa bersalah masih bersisa. Dia juga rindu pada kedua orang tuanya.

Encik Muhsin mengangguk faham. “Dah jumpa mak kamu?”

“Dah ayah, di bawah tadi. Ayah sihat?” Tanya Syahzani risau.

Encik Muhsin labuhkan punggung dan bersandar..
“Alhamdulillah ayah masih sihat dan mampu. Syah cuti berapa lama?”

“Seminggu.” Balasnya sepatah.

“Mesti ibu kamu bising kan?”

“Ayah rasa?” Soal Syahzani dengan kening yang terjungkit.

Encik Muhsin sudah tertawa. Dia cukup faham ragam isterinya itu. “Hari-hari dia tanya Syah bila nak balik. Ibu rindukan Syah tu.”

“Sebab tu Syah cuba luangkan masa untuk balik kampung.”

“Tak apa Syah, ayah faham kerja kamu. Biasalah orang perempuan dengan emosi tak boleh berpisah.”

Ketawa mereka saling bersambut. Jika sudah ada di depan mata, ada sajalah topik yang akan timbul. Seketika bebola mata Syahzani dihamparkan ke arah longgokan fail yang bertimbun. Pejabat itu nampak kurang terurus dan bersepah.

“Ada masalah yang ayah nak kongsi dengan Syah ke?” Nada Syahzani berbaur risau

Keluhan berat meniti di bibir Encik Muhsin. Matanya turut memandang ke arah yang sama. Encik Muhsin bersandar sambil berpeluk tubuh. Sedikit binggung dengan keadaan pejabatnya yang tunggang-langgang.

“Tak ada masalah serius pun. Cuma ayah perlukan seorang pembantu dalam pejabat. Kadang-kadang ayah ni pelupa, kena ada orang ingatkan. Nak harapkan ibu, dia pun ada banyak kerja. Nak uruskan rumahtangga lagi. Kalau ada pembantu, lebih senang kerja ayah di sini.” Luah Encik Muhsin. Sejujurnya dia amat memerlukan seorang pembantu yang berkebolehan. Maklumlah, umurnya sudah lanjut. Ada saja yang terlupa dan tertinggal.

“Kak Idah dengan kerani kan ada?” Kening Syahzani berkerut semasa bertanya.

“Mana boleh kalau nak harapkan dua tiga orang. Ayah kesiankan mereka. Kalau tambah seorang lagi boleh ringankan kerja yang ada.” Encik Muhsin menyatakan cadangannya.

Syahzani berfikir sejenak. “Ayah nak pembantu yang macam mana?”

“Seeloknya perempuan, yang bujang. Lepas tu lemah lembut, pandai ambil hati orang tua. Baik tingkah lakunya, sopan. Cantik itu biar pada perangai, barulah luarannya setara dengan kecantikan dalaman.” Encik Muhsin sengaja mencucuk jarum. Dikerling wajah anak lelakinya sekilas.

Syahzani bersandar di kerusi. Dia mengusap dagunya sambil tersenyum kelat. Sudah dia duga, ciri-ciri yang dimaksudkan ayah adalah untuknya. Namun dia berlakon bodoh.

“Lain macam je ciri-ciri yang ayah nak tu? Ayah nak cari pembantu ke nak cari isteri nombor dua ni? Jangan buat hal ayah.” Syahzani mencari akal untuk mengelak dari topik itu.

Encik Muhsin tersenyum lebar. “Tak payahlah kamu berdalih. Ayah yakin Syah faham maksud ayah. Tapi ayah tak memaksa pun. Cuma kalau ada yang tersimpan dalam hati, beritahulah kami. Jangan tunggu lama-lama sangat. Ayah dengan ibu makin menyembah bumi. Sebelum pejam mata, nak juga merasa ada cucu.”

Bibirnya terkunci. Syahzani diam tidak berkutik. Pandangannya jatuh ke riba. Seandainya mereka tahu realiti yang sebenar, tentang seksualitinya. Apakah mereka akan kecewa dan menerimanya dengan hati yang terbuka? Ataupun dia akan dicerca dan dipandang hina? Hatinya masih belum terbuka untuk menerima perempuan. Biarpun dia pernah mencuba, tetapi perasaan itu tak mampu dilawan.

“InsyaAllah.” Hanya itu yang mampu terkeluar dari bibirnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience