Bab 8

Romance Series 4598

SKRIN komputer ditenung lama. Ainnun fokus dengan kerjanya. Langsung tidak mengendahkan bilik pejabat yang agak lengang itu. Hanya kedengaran bunyi penghawa dingin seiring dengan bunyi papan kekunci. Jari runcingnya ligat menekan dan tidak berhenti. Menaip berbagai-bagai jenis email serta merekodkan surat-surat yang diterima dan yang akan dihantar.

Tugasnya sebagai pembantu am rendah merangkumi semua aspek. Termasuklah mengatur dan mengemas kini pejabat Encik Muhsin. Dia harus menjaga kebersihan pejabat-pejabat, menyimpan dan menentukan kedudukan fail-fail dokumen. Setiap arahan yang dikeluarkan, Ainnun harus patuhi. Mujur ada Ruhaidah sebagai pembantu tadbir yang berpengalaman membantunya mencetak cyclostile iaitu surat-surat yang berhubung dengan mesin pendua. Dia juga amat berterima kasih dengan kakitangan As-Syifaa yang mesra menolongnya. Benar kata Ruhaidah, di sini tidak ada pekerja yang simpan rasa dengki. Mereka saling membantu antara satu sama lain. Jika ada yang terlambat pekerja lain ringan tulang menyambung kerja mereka yang tergendala.

Seketika Ainnun mengerling jam tangannya. Baru pukul sembilan pagi. Perutnya masih kenyang walaupun hanya diisi kuih karipap yang dibelinya pagi tadi semasa dalam perjalanan ke Rumah Anak Yatim As-Syifaa. Dia bergegas awal kerana tidak mahu menempuh traffic jam di Jalan Rahmat. Jalan itu sentiasa sibuk lebih-lebih lagi pada waktu puncak. Kesimpulannya, Ainnun sambung menaip untuk menyiapkan kerja yang menjadi tanggungjawabnya.

Buku rekod yang berada di atas meja diselak satu persatu. Sebelum menyerahkannya kepada Encik Muhsin, dia harus menyemak rekod itu terlebih dahulu sekiranya ada kesalahan atau maklumat yang terlepas pandang. Setelah berpuas hati dengan hasil kerjanya, Ainnun bingkas bangun seraya menyusun buku rekod untuk dihantar ke pejabat Encik Muhsin. Fail dokumen juga dibawa bersamanya. Dia membetulkan selendang di cermin sebelum melangkah keluar dari bilik pentadbiran. Pesan ibu, penampilan harus selalu dijaga. Kerana ia mencerminkan peribadi seseorang.

Daun pintu diketuk tiga kali setibanya berada di hadapan pejabat Encik Muhsin. Tangannya menggenggam tombol pintu kemas-kemas sambil menunggu respon dari dalam. Senyap. Eh, aku ketuk perlahan sangat ke? Katanya di dalam hati. Wajah Ainnun berkerut seribu. Sekali lagi pintu itu diketuk tetapi kali ini lebih kuat.

“Ya, masuk.” Sahut Encik Muhsin dari dalam.

Sebaik pintu dikuak, Ainnun melihat kelibat Encik Muhsin sedang membawa tindihan fail dengan sebelah tangan.

Membulat mata Ainnun tatkala fail-fail itu hampir terlepas dari tangan Encik Muhsin. Setangkasnya Ainnun menyambut fail itu sebelum ia mencium dada lantai. Lantas, dia menyusunnya di atas meja.

“Ayah Muhsin cari apa?” Tanya Ainnun dengan wajah yang kebingungan.

“Saya ingat nak semak fail-fail lama tu sebelum simpan di tempat lain. Rak tu dah penuh sangat.” Balas Encik Muhsin dengan nafas tercungap-cungap. Dia kemudiannya duduk di kerusi dan bersandar untuk mengatur nafas.

Buku rekod itu dipeluk rapat ke dada sambil merenung Encik Muhsin dengan riak risau. “Ayah Muhsin sakit?”

Encik Muhsin menggeleng sambil tertawa halus. Dadanya ditepuk, menunjukkan dia tiada apa-apa. “Biasalah. Kudrat orang tua. Ada saja yang sakit itu, sakit ini. Jangan risau. Saya baik-baik saja.”

Nafas lega dihembus keluar. Melihat keadaan Encik Muhsin yang susah bernafas itu menimbulkan rasa risau di hati Ainnun. Umur selanjut itu selayaknya duduk di rumah dan berehat. Namun kerana rasa cinta akan anak-anak yatim di As-Syifaa, Encik Muhsin gagahkan jua tubuh itu.

“Tak apa, fail yang lama tu biar dulu. Nanti saya tolong susunkan semula.” Ujar Ainnun sambil melihat timbunan fail tadi di atas meja. Sambil itu otaknya mencari idea untuk mencari tempat simpanan fail-fail lama.

Keluhan ringan terlepas, seiring itu Encik Muhsin menguntum senyuman manis. “Terima kasih.”

“Dah tugas saya.” Ucap Ainnun.

“Ain macam mana kerja di sini? Selesa?” Encik Muhsin menyoal ingin tahu.

“Setakat ni ramai yang tolong kalau saya tak faham. Kak Idah selalu pantau kerja saya.” Balas Ainnun.

“Alhamdulillah. Baguslah tu. Di sini semuanya macam keluaga. Jadi Ain jangan malu minta tolong pada staff lama.” Pesan Encik Muhsin dengan nada lembut. Sifatnya yang baik terhadap kakitangan As-Syifaa itu memang tak dapat disangkal lagi.

Ainnun mengangguk patuh.

“Buku rekod yang saya minta tu dah siap?” Tanya Encik Muhsin seraya membetulkan duduknya.

“Dah. Ini dia.” Buku rekod itu dihulur kepada Encik Muhsin.

Kini buku itu sudah bertukar tangan. Encik Muhsin menyambutnya dan segera membaca rekod serta lampiran yang sudah disiapkan itu. Nampak kemas dan senang dibaca. Setiap rekod itu diteliti dengan mata yang tekun. Ainnun yang tercegat menahan gusar dan menanti maklum balas dari Encik Muhsin sekiranya ada masalah di dalam buku rekod itu.

“Resit dah sediakan?” Soal Encik Muhsin sambil matanya ligat membaca rekod di buku.

“Kak Idah dah uruskan.” Jawab Ainnun laju.

“Fail pula macam mana?” Encik Muhsin bertanya ingin kepastian.

“Saya dah kemaskini.”

Encik Muhsin mengangguk lalu menutup buku rekod dan diberi kembali kepada Ainnun. Buku itu dipegang kemas-kemas oleh Ainnun. Dia masih berdiri untuk mendengar arahan kerja yang seterusnya dari Encik Muhsin.

“Sebelum saya terlupa, ini ada surat yang awak perlu pos. Rasanya yang paling dekat di Jalan Rahmat. Kalau di Senggarang jauh sangat. Jadi tolong jangan lupa ya.” Encik Muhsin mengingatkan Ainnun tentang kerja itu.

Untuk beberapa detik Ainnun memandang surat-surat itu di tangan Encik Muhsin. Lantas dia mengambil huluran itu seraya mengangguk faham.

“Baik, saya tak lupa.”

“Jarak kerja dari rumah awak ke sini jauh ke?” Tiba-tiba soalan itu terpacul keluar.

“Tak berapa jauh. Dalam 15 minit. Tapi saya kena gerak awal sebab tak nak tempuh sesak di Jalan Rahmat.” Ulas Ainnun.

“Jalan Rahmat memang sesak kalau waktu pagi dengan petang. Sebab kat situ banyak bank dengan pejabat-pejabat besar. Lagipun itu jalan sehala, kereta pun banyak lalu sana.” Sambung Encik Muhsin.

“Kalau setakat jalan Batu Pahat ni saya boleh drive lagi sebab dah biasa.” Ujar Ainnun sambil tertawa halus.

“Tapi hati-hati. Saya tak nak ada apa-apa jadi pada kakitangan saya. Saya harap awak berkerja lama di As-Syifaa sebab saya perlukan pembantu berkebolehan macam awak untuk tolong Ruhaidah dan kerani lain.” Jujur Encik Muhsin.

“Sebelum ni tak ada orang minta kerja di sini ke?” Soal Ainnun dengan wajah kehairanan. Tak mungkin kerja semudah ini tidak ada orang yang mohon.

“Ada. Tapi mereka tak serius. Kerja beberapa bulan lepas tu berhenti. Orang sekarang tak suka kerja yang disuruh, diarah. Ibaratnya, sesuatu syarikat tak akan membesar jika pekerja bersikap ‘penumpang’. Yang saya mahukan adalah pekerja yang bersikap ‘pemandu’. Yang datang cukup masa, balik cukup waktu.” Terang Encik Muhsin dengan nada kesal.

Ainnun diam sejenak. Ada benarnya kata Encik Muhsin, kerja tak akan selesai jika pekerja bersikap tidak produktif. Mungkin pekerja sebelum ini tidak pandai mengambil hati majikan dan menjaga intergriti semasa bekerja. Tahunya makan gaji buta saja. Namun Ainnun berasa sangat berbesar hati dapat berkhidmat di As-Syifaa. Sudahlah dekat dengan rumahnya, keadaaan tempat kerja yang selesa. Ditambah pula dengan majikan yang prihatin. Keseronokan di tempat kerja turut meningkat.

“InsyaAllah saya akan buat yang terbaik untuk As-Syifaa. Terima kasih sebab beri saya peluang untuk kerja di sini.” Ucap Ainnun dengan lembut. Dia tidak akan mensia-siakan kerja pembantu am ini.
Ada segaris senyuman yang terukir di hujung bibir Encik Muhsin. Dia mengangguk kepala. “Kita sama-sama akan buat yang terbaik.”

.

LAGU Di Penjara Janji oleh Wings menemani Syahzani semasa dalam perjalanan menuju ke As-Syifaa. Hatinya berbunga teruja ketika lagu itu dimainkan. Lalu volume dikuatkan sedikit. Syahzani sememangnya meminati kumpulan rock era 90an itu sejak dari bangku sekolah lagi. Dari lagu yang tak dikenali ramai seperti Jelankung Dalam Almari hinggalah lagu yang menjadi fenomena seperti Sejati semuanya dia hafal. Tetapi lagu Di Penjara Janji adalah lagu kesukaannya. Vokalis kumpulan Wings yang bersuara tinggi itu tetap menjadi pujaannya biarpun industri muzik pada zaman sekarang dibanjiri dengan bakat-bakat baru. Baginya genre muzik rock itu tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas dan akan menjadi lagu terbaik sepanjang masa.

Kenderaan putih itu terus meluncur ke satu jalan yang agak lengang. Memandangkan Syahzani sudah cukup arif dengan selok-belok laluan dalam jadi jalan pintas menjadi pilihannya untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan lampu trafik. Di samping itu dapat menjimatkan masa. Dengan kelajuan yang sederhana, Syahzani bersantai-santai sambil bersiul kecil. Mengikut lirik lagu itu dan mengajuk gaya Awie bernyanyi. Jarinya mengetuk di stereng seiring dengan bunyi rentak double paddle drum. Kepalanya teranguk-angguk perlahan sambil melihat kenderaan lain yang berada di simpang mahupun di jalan raya. Biarpun jalan itu tidak banyak kenderaan akan tetapi keselamatan tetap dijaga. Tahulah sangat pemandu jalan raya di Malaysia ada yang senget otaknya. Buka signal ke kanan tetapi belok ke kiri. Masuk simpang tak nyala signal, memotong ikut laluan kiri. Menyusahkan pemandu lain.

Sekilas dia mengerling jam di pergelangan tangan. Waktu sudah menunjukkan pukul dua petang. Pasti kedatangannya ditunggu-tunggu oleh anak-anak As-Syifaa. Sudah menjadi tabiat Syahzani setiap kali dia pulang ke kampung. Berbagai-bagai jenis hadiah akan diberikan kepada mereka. Dia juga akan menggantikan kerja Puan Fatimah yang selalunya menyediakan makanan di dewan makan. Dibiarkan saja ibunya berehat di rumah sementara dia ada untuk membantu.

Syahzani yang sedang khusyuk melayan perasaan teruskan pemanduannya membelah jalan raya. Tika itu, bunyi dentingan telefon menggamit perhatiannya. Tanda ada pesanan WhatsApp yang diterima. Lantas tangannya menggagau Huawei P30 yang berada di atas dashboard lalu menyentuh fingerprint sensor di bahagian belakang telefon. Notifikasi itu dibaca bersama senyuman yang terlakar nipis. Ternyata pesanan WhatsApp itu daripada Ilham.

Ilham 2.15 PM
Hi, buat apa? Tiba-tiba teringat kau.

Huawei P30 digenggam kemas. Syahzani sempat mengambil swafoto dengan sebelah tangannya sebelum dihantar ke Ilham sebagai balasan untuk soalannya tadi. Dia menunggu respon dari lelaki itu. Sambil memandu matanya menjeling skrin telefon itu setiap minit. Tanda kelabu bertukar biru. Itu menunjukkan gambar telah dilihat. Dentingan mesej berbunyi lagi. Syahzani menyentuh skrin telefon untuk membaca pesanan itu. Kali ini senyumannya semakin melebar.

Ilham 2.17 PM
Handsome. Nak pergi mana?

Syahzani tidak membalas. Sekadar membiarkan soalan itu tergantung. Bibirnya menguntum senyuman kecil. Bayangan wajah cemberut lelaki itu menyapa di mindanya. Dia yakin sebentar lagi ada WhatsApp baru akan masuk. Tahulah sangat perangai Ilham. Pantang jika teksnya tidak dibalas.

Ilham 2.19 PM
Bluetick je?

Syahzani senyum lagi. Sudah dia agak. Ikon mikrofon ditekan lalu Syahzani mendekatkan bibir ke skrin telefon.

“I’m driving.” Syahzani membalas dalam bentuk voicenote.
Ilham 2.20 PM
Hmm... yelah. Jangan nakal. I miss you.

Skrin telefon dipandang sepi. Seperti tadi, Syahzani bungkam. Dia masih berbelah bagi untuk membalas ucapan rindu itu. Dia akui, acapkali Ilham bermain di mindanya. Namun, dia tidak mahu terburu-buru. Buat masa sekarang dia memilih untuk membuang fikiran itu jauh-jauh.

Kereta Honda Accord yang memasuki pintu gerbang Rumah Anak Yatim As-Syifaa seakan-akan memberi sinar kepada para penghuni di situ. Kedatangan Syahzani disambut mesra oleh kanak-kanak yang sedang melakukan aktiviti riadah di kawasan padang. Turun saja dari kereta, sekumpulan kanak-kanak terus mengejar dan berkerumun di sekeliling Syahzani. Wajah-wajah suci itu dipandang penuh rasa sayang.

“Abang Syah nak main bola dengan kami?” Satu suara nyaring menyoal riang.

Syahzani menggeleng sambil tersenyum. “Abang nak tolong Pak Daud kat dewan makan.”

“Ala... Jomlah abang.” Rengeknya. Tangan Syahzani digenggam kemas. Kanak-kanak itu cuba mengajak.

“Abang minta maaf semua. Abang ada kerja. Kesian Pak Daud. Tak apa, lain kali kita main ya.” Syahzani memujuk lembut.

Bibirnya sudah muncung sedepa. “Janji ya?”

“Ya, abang janji.”

Mata kanak-kanak itu membulat dan bersinar. Mereka segera mengangguk dan menjerit kegirangan. Keletah mereka yang aktif dan riang itu tidak pernah membosankan. Syahzani tak berhenti tersenyum saat melihat kanak-kanak itu gembira bermain. Terpancar kebahagiaan di air muka yang polos itu. Ada yang berlari, ada yang bermain setempat sambil membaca buku dan ada yang sibuk dengan permainan di padang. Aktiviti mereka selalunya dipantau oleh petugas yang telah diberi amanah. Kebajikan dan keselamatan anak-anak As-Syifaa selalu diutamakan. Tempat tinggal dan makan minum juga sangat dititikberatkan.

Tika itu, pandangan Syahzani tertancap pada sebuah kereta Kelisa berwarna silver yang terparkir elok di ruang garaj. Hatinya berkutik sendiri tatkala melihat nombor pendaftaran yang asing itu. Dia langkahkan kaki menuju ke arah kenderaan tersebut dan berfikir sejenak. Kereta siapa ni? Tanyanya di dalam hati.

Malas hendak berfikir panjang, dia masuk ke dalam banggunan pentadbiran untuk bertanya sendiri kepada pekerja yang bertugas di situ.

“Hah, baru sampai. Ayah Muhsin cari Syah tadi.” Tegur Hafizah saat melihat kelibat Syahzani muncul.

Syahzani tersengih. “Kak Fiza, nak tanya sikit boleh?”

“Apa dia tu?”

“JJX 7716 kereta siapa?” Soal Syahzani ingin kepastian. Tubuhnya bersandar dalam keadaan santai di sisi meja kerja Hafizah.

“JJX 7716?” Hafizah terpinga-pinga.

“Alah, Kelisa silver tu. Kereta siapa?” Pertanyaan itu diulang lagi.

“Tak silap akak, itu kereta staff baru. Baru semalam dia masuk kerja. Eh, lawa tau orangnya. Kalau nak jumpa dia, cari kat bilik pentadbiran.” Hafizah cucuk jarum.

Ucapan Hafizah dibalas dengan segaris senyuman nipis. Syahzani menjuihkan bibirnya. “Syah tanya bukan nak berkenalan pun.”

“Manalah tahu kan. Dari mata turun ke hati.” Hafizah bermadah pujangga.

Syahzani tertawa kecil. “Syah nak pergi dewan makan.
Kalau Ayah Muhsin tanya cakap Syah dah sampai.”

“Yelah.” Hafizah membalas senada apabila gurauannya tidak dilayan.

Syahzani segera melangkah keluar dari banggunan itu. Dia berjalan di laluan koridor kecil yang merupakan jalan pintas ke dewan makan. Langkahnya dipercepatkan kerana sudah terlambat. Jam sudah menunjukkan pukul tiga menandakan waktu makan petang anak-anak As-Syifaa sudah hampir. Namun sebelum dia memulakan kerja, Syahzani berniat hendak membuang air kecil. Rasa terkucil sudah di hujung tanduk.

Dia kemudiannya masuk ke dalam bilik air yang berada di surau untuk melunaskan hajatnya. Usai mencuci dan membasuh tangan, Syahzani segera menapak keluar dari bilik air. Sambil matanya melihat persekitaran surau yang bersih dan tenang itu. Keadaaan surau yang sunyi sangat mendamaikan. Tidak riuh dan bising seperti di Johor Bahru yang pesat dengan kenderaan dan pencemaran bunyi.

Di saat itulah, gegendang telinganya terdengar sesuatu. Bunyi halus dan lunak yang datang dari dalam surau. Tapak kakinya berderap perlahan, setapak demi setapak mencari sumber suara itu. Dari pendengarannya, itu seperti suara seseorang yang sedang mengaji. Suara itu semakin lama semakin kuat apabila Syahzani menghampiri ruangan solat wanita. Dia mengintai dan melihat empunya suara itu dari selakan langsir.

Benar sangkaannya. Itu suara orang sedang mengaji. Apa yang mengejutkan, suara itu adalah milik seorang gadis.

Syahzani terpaku ketika bacaan Al-Quran yang meluncur dari bibirnya kedengaran begitu mengasyikkan. Syahdu yang teramat. Hati kecilnya turut berasa sayu. Bacaannya amat lancar seiring dengan tajwid yang betul. Kalimah suci itu dialunkan dengan sempurna. Lantunan serta lenggok suaranya mampu memukau telinga sesiapa saja yang mendengar. Merdu bak buluh perindu. Syahzani yang sedang tekun menghayati tidak sedar matanya sudah terpejam. Walaupun dia kurang pasti surah apa yang gadis itu baca tetapi Syahzani seakan-akan mengerti maksud yang terkandung di dalamnya. Kelopak matanya dibuka semula. Dia ingin sekali melihat wajah gadis itu. Tapi sayangnya yang kelihatan hanya dari belakang. Namun putus asa tidak ada di dalam kamus hidup Syahzani. Kali ini Syahzani berpindah ke tepi surau untuk melihat dengan lebih jelas.

Wajah yang tertunduk itu ditenung lama. Pandangannya meleret dari alis kening yang terletak hingga ke dagu yang cantik terbentuk. Syahzani yakin, tiada secalit bahan kimia pun yang melekat di kulit mukanya.

“Angkatlah kepala...” Syahzani berbisik perlahan. Dia benar-benar terdesak.

“Syah... buat apa tu?” Tegur satu suara dari belakang.

Hampir gugur jantung dibuatnya. Terserlah riak cuak semasa dia menoleh ke arah individu yang menegurnya. Ternyata Pak Daud sedang berdiri sambil mengangkat sebuah tarmus makanan yang besar. Nafas lelaki itu kelihatan termengah-mengah. Kebetulan dia lalu di kawasan itu untuk menjimatkan masa, sebaliknya dia ternampak Syahzani sedang terintai-intai di sebalik tingkap.

“Tak buat apa-apa. Tingkap ni macam nak terjatuh. Tapi Syah dah betulkan. Pak Daud nak bawa tarmus ke dewan makan?” Syahzani berdalih.

“Haah, nak di bawa ke sana. Tolong Pak Daud boleh? Tarmus ni berat sangat kena angkat dua orang.” Pak Daud meminta bantuan Syahzani. Pada usia selanjut itu boleh tercabut pinggang dibuatnya jika tarmus ini diangkat sendiri.

Tanpa berlengah, Syahzani segera menjinjing sebelah tangkai manakala Pak Daud di bahagian satu lagi. Dengan seluruh tenaga dia mengangkat tarmus yang berisi makanan itu ke dewan makan untuk diagih-agihkan kepada anak-anak As-Syifaa sewaktu makan petang pada pukul enam nanti. Dia sempat menoleh ke belakang sebelum membuka langkah pergi. Dengan harapan, pertemuan singkat itu akan terjadi lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience