Bab 2

Romance Series 4598

AINNUN Maryam menyusun empat biji pinggan di atas meja. Kedudukan pinggan disusun rapi dan teratur. Mangkuk kaca berisi nasi lemak diletakkan di hujung meja manakala mangkuk lain yang berisi sambal udang diletakkan di tengah-tengah meja makan. Sepinggan lagi yang berisi telur rebus dan timun menghiasi hidangan sarapan pada pagi itu.
Untuk beberapa saat matanya tekun melihat susunan di atas meja makan. Masih ada yang kurang padanya. Barulah dia teringat kacang tanah yang baru digoreng sebentar tadi. Dia bergegas menuangnya dari bekas ke dalam mangkuk yang lebih kecil dan meletakkannya di sebelah mangkuk sambal udang. Kini menu sarapan itu sudah lengkap. Ainnun segera tersenyum. Berpuas hati kerana berjaya menyiapkan sarapan tanpa bantuan ibunya. Selesai sahaja mengerjakan solat Subuh dia mula memasak. Sekarang, dia hanya menunggu ahli keluarganya turun untuk makan. Sudah lama mereka tidak sarapan bersama.

Puan Salmah yang baru sahaja turun dari tangga segera tercium bau aroma nasi lemak yang datang dari dapur. Serta-merta perutnya bergendang kelaparan. Wanita itu terus berjalan masuk ke dapur. Ingin menjengah apa sajalah anak daranya sedang lakukan.

Derapan tapak kaki Puan Salmah menangkap perhatian Ainnun semasa dia sedang membancuh teh panas.

“Ibu dah turun pun. Ain baru nak panggil.” Ujarnya sambil tersenyum lebar. Kedatangan Puan Salmah ke dapur membuatkan Ainnun menjadi semakin teruja. Tak sabar ingin mengetahui pendapat si ibu terhadap masakannya.

“Ain masak semua ni sendiri ke?” Tanya Puan Salmah sambil melihat hidangan yang sudah siap tersusun. Rasa kagum dan bangga kerana ada anak perempuan yang boleh diharap.

Ainnun mengangguk laju. “Saja nak masak untuk semua. Ibu duduklah dulu. Ayah dengan adik mana? Tak turun lagi?”

“Kejap lagi turunlah tu.” Hujung lidah si ibu mula memberi rangsangan saat dia mencicip sambal udang. Boleh tahan juga rasanya. “Ain, mari sini.” Panggil Puan Salmah seraya melabuhkan punggungnya di tempat biasa.

Ainnur terkedu seketika dan menghampiri ibunya sambil membawa secawan teh panas. “Kenapa ibu?”

“Ain demam ka? Kut malam tadi mimpi ngeri. Tu yang rajin masak pagi ni.” Puan Salmah bertanya sambil tersengih. Saja ingin mengusik anaknya.

“Sampai hati cakap macam tu. Ain masak ikhlas tau.” Ainnun mencebik bibirnya. Dia tahu ibunya itu suka menyakat.

“Alah ibu berseloroh je. Macam tak kenal ibu suka sakat anak-anak.” Ucap Puan Salmah sambil menghirup teh panas di cawannya. “Ibu cuma nak beritahu sambal udang Ain tu sedap. Cukup garam, cukup gula, cukup pedas. Pandai anak ibu masak. Air teh ni pun sedap. Tak manis, tak tawar. Sesedap rasa. Macam orangnya, sedap mata memandang. Tak lama lagi dah boleh kahwin ni. Ibu approved!”

Ainnun tersenyum manja tanpa membalas bicara si ibu. Pipinya terasa panas apabila Puan Salmah membuka topik perkahwinan. Siapa yang tidak mahu berkahwin? Itu adalah tuntutan sunnah yang harus dilaksanakan. Ainnun tidak menolak jika sudah bertemu jodoh. Tetapi buat masa ini, dia masih belum berpunya. Masih tercari-cari lelaki yang dia inginkan. Bukanlah putera raja yang ditunggu-tunggu tetapi seorang kekasih yang mampu memimpinnya ke Syurga Allah Swt. Itulah impiannya sejak dahulu.

“Ain, boleh ibu tanya sikit tak?” Soal Puan Salmah tiba-tiba. Di bibirnya berputik senyuman penuh makna.

“Apa dia ibu?” Balas Ainnun kebingungan. Dia duduk dan memandang ibunya dengan mata yang terkebil-kebil.

“Masa belajar di universiti, Ain tak ada berkawan dengan sesiapa ke?” Soal Puan Salmah.

“Ada.” Jawabnya sepatah.

Mata Puan Salmah sudah bersinar. “Siapa?”

Ainnun makin binggung. “Ramai lah ibu. Hajar...”

“Maksud ibu, kawan lelaki.” Potong Puan Salmah. Dia tidak mahu berkias. Biarlah dia nyatakan hasrat sebenarnya.

“Setakat kawan untuk buat group assignment dengan program tu adalah.” Terang Ainnun.

“Lebih dari tu?” Puan Salmah makin ingin tahu.
Mendengarkan soalan itu membuatkan Ainnun terdiam seketika. Lantas mindanya cuba mengarang jawapan untuk berdalih.

“Apa maksud ibu?”

“Maksudnya, ibu tengok anak dara ibu ni cantik, sopan, lemah lembut. Takkan tak ada seorang yang berkenan dengan Ain?” Puji Puan Salmah bersama senyuman manisnya.

Saat itu pipi Ainnun sudah panas. “Mana ada cantik. Ramai lagi yang cantik dari Ain.”

“Malulah tu kan? Ibu puji bukan sebab Ain anak ibu. Ramai orang cakap benda yang sama. Kalau Ain elok parasnya, ibu harap budi pekerti pun elok sama. Macam Saidatina Aisyah.” Ujar Puan Salmah.

“Tak adalah ibu. Jauh sekali nak dibandingkan. Ain belum terfikir nak cari. Ain nak fokus dengan hidup dulu. Baru fikir soal kahwin.” Biarpun klise, hanya itu yang mampu terkeluar dari bibirnya.

“Ibu bukannya memaksa. Cuma nak ambil tahu. Zaman sekarang tak macam dulu. Ibu kena peka dengan siapa Ain berkawan, bercinta. Kalau dah ada yang tersimpan dalam hati apa salahnya? Kita teruskan, beres.” Ucap Puan Salmah.

“Hah, akak nak kahwin ke ibu?” Kedengaran suara asing mencelah. Masyitah yang terdengar perbualan kakak dan ibunya terus melabuhkan punggungnya di kerusi.

“Orang tua berbual jangan menyampuk. Ayah mana? Tak panggil sekali?” Soal Puan Salmah kehairanan. Di mana sajalah suami tercintanya itu?

Masyitah mencebik bibir. “Tadi ada dalam bilik. Tapi betul ke ibu, akak nak kahwin?

“Kalau betul pun kenapa?” Tanya Ainnun dengan muka selamba. Bergurau mulut dengan adiknya itu biasa, pasti ada saja yang hendak diperbalahkan jika sudah ada di depan mata.

“Masalahnya ada ke orang nak kat akak?”
Masyitah tersenyum nakal manakala Ainnun sudah terlopong. Spontan cubitan Ainnun mendarat di lengan adik perempuannya. Masyitah mengaduh kecil. Boleh tahan pedih rasanya dek penangan cubitan berbisa dari kakaknya.

“Mak tengoklah akak cubit adik... sakitlah.” Masyitah merengek manja sambil menggosok lengannya.

“Eleh mengada. Bukannya kuat pun. Kau yang tak tahan sakit.” Ejek Ainnun. Setakat cubitan kecil itu apalah sangat.

“Eeii... garang macam ni tak ada siapa nak!” Ucap Masyitah dengan wajah cemberut.

“Masyitah...” Tegur Puan Salmah tidak senang dengan gurauan anak-anak daranya.

“Akak ni main cubit-cubit. Sakit tau. Ibu marahlah dia sekali.” Rungut Masyitah.

“Ibu lebih sayang aku dari kau. Kalau kau nak tahu, kau tu anak angkat.” Usik Ainnun lagi. Ditahankan saja tawanya supaya tidak pecah.

“Mak...” Masyitah makin merengek.

“Ini kenapa pagi-pagi dah riuh?” Encik Mohamad yang baru sahaja masuk ke dapur turut hairan mendengar gurauan keluarganya.

“Tak ada apa abang. Saya saja berbual dengan Ain fasal perkahwinan. Abang rasa macam mana?” Puan Salmah bertanya kepada suaminya pula.

Encik Mohamad mengambil tempatnya di kerusi utama. Pandangannya melirik sekilas ke arah anak sulungnya.

“Kalau jodoh sampai, apa salahnya? Ain dah bersedia ke?”

Serta-merta wajah Ainnun merona merah. Otaknya tidak dapat memproses jawapan pada ketika itu. Biar betul, ayahnya bertanya terus padanya. Apa yang harus dia jawab? Matanya terkebil-kebil memandang wajah ayah, ibu dan adik yang setia merenungnya.

“Ain berserah sepenuhnya dengan ketentuan Allah.” Walaupun dia sangat rapat dengan keluarganya, tapi kalau sudah menyentuh topik perkahwinan rasanya malu nak berbincang dengan mereka.

“Dah ada calon?” Encik Mohamad mencungkil cerita.

Ainnun yang terkedu menjawab soalan itu tersipu malu. “Belum, Ain nak fokus dengan kerja dulu.”

“Ayah nak pesan pada anak-anak ayah. Kamu jangan anggap perkahwinan itu satu perkara yang membebankan. Agama Islam menyarankan kita untuk menyegerakan perkahwinan jika sudah cukup syarat. Yang paling penting, saham akhirat kita juga akan terjamin apabila ada anak soleh yang mendoakan untuk kita nanti. Lagipun berkahwin ni banyak syafaatnya.” Terang Encik Mohamad sambil memandang wajah isteri dan anak-anaknya yang kelihatan tekun.

“Apa dia ayah?” Soal puteri bongsu Encik Mohamad.

“Kita dapat banyak pahala. Bermula dari akad nikah, sewaktu merenung wajah pasangan, bila kita tunjukkan kemesraan depan anak-anak, suami marah isteri untuk menegur dan yang paling berlipat kali ganda pahalanya saat suami imamkan isterinya. Allahuakbar... seronoknya." Sambung Encik Mohamad lagi.

Tangkai perasaan Ainnun bagai dijentik sesuatu ketika mendengar nasihat ayahnya tentang kelebihan bernikah. Ayat Encik Mohamad yang terakhir itu menangkap perhatian Ainnun. Itulah yang dia idam-idamkan selama ini. Dapat menjalani ibadah bersama yang tersayang. Hati manusia mana yang boleh tahan dengan godaan duniawi pada zaman sekarang. Kerana itulah perkahwinan yang dipupuk dengan cara Islam itu tersangatlah indah.

“Dengar tu, banyak lagi manfaat yang lain. Contohnya dapat mengelak dari zina. Perkara yang musyrik macam berpegangan tangan, sms dan bergayut tak berhenti itu semua boleh membangkitkan nafsu dan membawa kepada zina ya anak-anak ibu. Jadi solusinya kita perlu menyegerakan perkahwinan agar tidak apa?” Puan Salmah bertanya kepada kedua-dua puterinya.

“Terlanjur.” Ainnun dan Masyitah menjawab serentak. Mereka berdua saling berbalas pandangan nakal.

“Pandai anak-anak ibu.” Puan Salmah tersenyum manis.

“Jadi jangan takut dengan perkahwinan. Anggap ia melatih kita menjadi lebih bertanggungjawab dan dapat mengubah hidup seseorang yang dulunya terumbang-ambing menjadi lebih terurus.” Tambah Encik Mohamad.

“Tapi, Islam benarkan kita bercinta ke ayah?” Dahi Masyitah berkerut. Dia agak musykil dengan larangan bercinta dari segi Islam. Pada usia semuda itu, masih banyak persoalan yang belum terjawab.

“Islam tidak melarang kita bercinta, yang dilarang adalah tindakan negatif yang kamu lakukan atas nama cinta. Perasaan cinta ini sama seperti rasa haus, lapar dan lainnya. Jadi ianya rasa yang tak termasuk antara halal dan haram asalkan berpegang dengan akidah dan tetap beriman kepada Allah Swt. Contoh ayah dan ibu, sebab kami berdua jaga adab dan maruah semasa bercinta dan sampai sekarang kami bahagia. Dapat anak yang cantik-cantik dan solehah. Yang boleh diharap macam sekarang ni.” Ucap Encik Mohamad lembut dengan harapan kedua-dua puterinya mendapat input dari penjelasannya. Sebagai seorang ayah, memberi nasihat adalah salah satu tugas utamanya.

“Dah sudah. Kita makan dulu. Lepas ni, baru sambung borak. Lauk pun dah naik sejuk.” Tegur Puan Salmah. Pinggan yang kosong kini sudah berisi nasi dan lauk. Hanya tinggal makan.

Encik Mohamad mengiakan saja. Dia mula membaca doa sebelum makan. Manakala yang lain turut menadah tangan dan berdoa seiringan. Semoga rezeki yang ada ini terus diberkati dan diredhai.

“Siapa yang masak semua ni?” Tanya Encik Mohamad usai membaca doa. Matanya memerhati setiap menu yang terhidang dengan penuh berselera.I

“Ain yang masak. Jemput makan semua.” Pelawa Ainnun penuh sopan. Dia menyuap suapan kecil ke bibirnya sambil tersenyum manja. Tak sia-sia bangun pagi. Masakannya boleh tahan sedap.

“Dia nak practice memasak tu abang. Untuk persediaan akan datang. Nak belajar jadi isteri solehah. Kan?” Puan Salmah sempat menyakat.

Tersedak terus Ainnun dengan usikan itu. Ditepuk-tepuk dadanya sambil meneguk air kosong. Sebaik saja batuk terhenti, seiring itu senyuman kekok tersimpul di bibirnya. Encik Mohamad menggelengkan kepala melihat keletah anak sulungnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience