Bab 9

Romance Series 4598

USAI membersihkan diri dan mengerjakan solat Isyak, Ainnun bermalas-malasan di atas katil. Perut yang lapar sudah diisi dengan nasi goreng kampung yang dimasak oleh Puan Salmah. Pijar cili kampung itu masih melekat di bibirnya. Tahulah sangat ibunya cukup sinonim dengan masakan pedas. Lebih-lebih lagi sambal tumis ikan bilis. Walaupun pedas tetapi sedap. Bukan orang Melayu namanya kalau tak makan pedas.

Waktu sudah hampir pukul 11 malam. Ainnun terpusing ke kiri, terpusing ke kanan. Cuba mencari posisi yang sesuai untuk melelapkan mata. Namun gagal. Matanya masih belum mengantuk. Lalu dia bersandar di bedpost sambil berfikir sejenak. Alang-alang ada masa lapang lebih baik dia sambung menulis cerpen yang tergantung. Sementara idea masih ada.

Tangannya laju mengambil laptop HP Pavilion di atas meja. Rambutnya pula sudah disanggul tinggi agar tidak menutup wajah ketika menaip. Dibiarkan saja juntaian anak rambut mengusap di dahi. Barulah macam minah Korea.

Tubuhnya direbahkan semula. Dalam posisi meniarap, jemari runcing gadis itu mula menaip di papan kekunci. Laju dan tidak berhenti. Ada ketika tangannya menopang dagu semasa mencari idea. Bagaikan mata helang Ainnun menyemak perenggan cerpen yang baru ditaip untuk memastikan tiada kesalahan tatabahasa ataupun ejaan. Dia perlu menyusun ayat supaya lebih teratur. Hal ini kerana, kunci utama untuk menjadi seorang penulis yang baik ialah penulisan yang kemas. Tidaklah susunan plot itu caca marba dan memeningkan.

Dalam sibuk mencari idea yang tertandus, Ainnun termenung sejenak. Hujung jarinya mengetuk papan kekunci sambil ralit memandang skrin putih, seiring itu keluhan ringan meniti di bibirnya. Ainnun kehabisan idea. Lalu telefon pintar jenama Honor 8x berwarna hitam terus dicapai. Tidak menunggu masa yang lama, data internet terus diaktifkan. Bertubi-tubi WhatsApp dan notifikasi dari Fac diterima. Satu persatu pesanan itu dibaca. Ainnun ketawa sendiri ketika membaca puluhan chat dari group yang bernama Perempuan di Bawah Lindungan Kaabah.

Sekali dengar rasa nak tergelak. Ini semua kerja rakan baiknya si Hajar. Gara-gara obses dengan novel dari penulis Indonesia yang berjudul Perempuan Berkalung Sorban. Dialah dalang yang meletak nama group chat itu. Sejak menamatkan pelajaran di UTM Skudai, mereka hanya berhubung melalui media sosial. Tingkah lakunya yang brutal tetapi bertudung itu selalu mencuit hati. ‘Kalau aku tak ada, hidup kau mesti susah punya wa cakap sama lu.’ Wajah ceria dan suara gadis itu menyapa di mindanya. Tiba-tiba rasa rindu pula.

Ainnun leka membalas WhatsApp di telefon. Ada saja topik yang dibualkan. Group itu sentiasa aktif. Maklumlah perempuan dan gosip tak boleh dipisahkan.
Ainnun yang sedang khusyuk melayan gelagat temannya di group seakan-akan tidak menyedari bunyi ketukan pintu dari luar.

Dia terkocoh-kocoh bangun dari katil dan terus ke pintu bilik. Daun pintu di buka sedikit. Terpempan Encik Mohamad berdiri di muka pintu dalam pakaian jubah dan kopiah. Barangkali baru balik dari masjid.

“Dah tidur?”

“Belum lagi ayah.” Ainnun membalas lembut

“Ayah nak masuk kejap boleh?”

“Boleh.”

Pintu itu dikuak luas. Ainnun memberi ruang kepada ayahnya untuk masuk ke dalam bilik. Lantas Encik Mohamad melabuhkan punggungnya di atas katil sambil melihat komputer riba yang terbuka. Ainnun memandang si ayah dengan wajah kebingungan. Jarang Encik Mohamad masuk ke biliknya. Pasti ada topik yang hendak dibualkan.

“Ayah ganggu Ain menulis ke” Soal Encik Mohamad.

“Eh, tak adalah ayah. Ain saja-saja tulis sebab tak dapat tidur. Ayah baru balik dari masjid?” Giliran Ainnun pula bertanya.

“Ya, tadi ada mesyuarat di surau. Itu yang lambat balik.”
Ainnun mengangguk.

“Ain, sini kat ayah.” Dada tilam itu ditepuk sebagai isyarat.

Ainnun akur tanpa banyak soal dan duduk di sebelah Encik Mohamad. “Ada apa ayah?”

Untuk beberapa saat Encik Mohamad menarik nafas. “Tak ada apa-apa. Ayah saja nak berbual dengan Ain. Nak tanya kerja baru macam mana?”

Mendengar soalan itu sudah mampu membuatkan Ainnun tersenyum lebar. Tubuhnya dipusing menghadap Encik Mohamad. Kedua-dua tangan ayahnya digenggam erat seolah-olah tidak mahu dilepaskan.

“Ain nak ucap terima kasih sangat-sangat kat ayah sebab carikan Ain kerja kat situ. Ain suka sangat. Sumpah tak pernah jumpa majikan sebaik Encik Muhsin. Dah lah baik, rendah diri pula tu.” Bersungguh-sungguh Ainnun bercerita tentang keperibadian Encik Muhsin kepada ayahnya.

Encik Mohamad tersenyum lega. “Alhamdulillah. Itu memang perangai dia dari dulu. Suka menolong. Tak pernah menunjuk dan sentiasa bersederhana. Ramai orang hormat pada dia kerana sikap yang prihatin tu. Jadi, ayah harap Ain kerjalah baik-baik. Jangan sia-siakan peluang yang orang bagi. Bila dah dapat majikan yang baik, jangan ambil kesempatan. Islam dah menggariskan adab yang perlu diamalkan dalam mencari rezeki untuk memastikan setiap kerja tu mendapat redha Allah SWT.”

Ainnun memandang ayahnya bersama senyuman manis di bibir. Pesanan ayah selalu dia semat hingga ke dasar hati. Kali ini Ainnun akan memberi seluruh komitmen dengan kerja barunya di As-Syifaa.

“InsyaAllah ayah. Ain ingat pesanan ayah. Ain bersyukur sangat dengan rezeki yang Allah bagi.”

“Itu yang paling penting kerana syukur itu merupakan hal yang harus dilakukan manusia kerana ia diperintahkan oleh Allah seperti di dalam surah Al-Quraisy ayat 3-4 yang bermaksud; Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan pemilik rumah ini yakni Kaabah, yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan. Kalau rasa syukur itu selalu diterapkan, nescaya benda yang rumit pun jadi mudah.” Untuk kesekian kalinya Encik Mohamad berpesan.

Ainnun sekadar menganggukkan kepala. Betapa dia rasa beruntung apabila dikurniakan insan istimewa seperti Encik Mohamad. Lelaki itu bukan setakat ayah malahan adalah rakan yang sangat memahaminya. Yang tak pernah jemu menasihatinya dalam menempuh dugaan hidup. Yang selalu menghulur tangan jika dia terjatuh.

“Terima kasih ayah. Ain sayangkan ayah.” Kepalanya terlentok di bahu Encik Mohamad.

“Sama-sama. Ayah pun sayangkan Ain. Ingat pesan ayah tadi. Tunaikan tugas dan tanggungjawab dengan jujur sebab kerja itu satu ibadah.” Tambah Encik Mohamad. Dia mengusap kepala yang terlentok di bahunya itu.

Ainnun mengangguk lagi.

“Tapi ayah, orang sebaik Encik Mushin tu mesti ramai yang dengki kan?”

Encik Mohamad tertawa kecil. “Kenapa Ain terfikir soal tu?

Ainnun mencebik bibir sambil mengangkat bahu. “Ain agak je sebab masyarakat sekarang ni buat baik pun dipandang salah. Ada saja tak kena. Disebabkan cemburu, sanggup buat apa saja untuk jatuhkan orang lain. Ayah rasa macam mana?”

“Dengki dan iri hati ni merangkumi sesiapa saja. Dari orang yang berjaya mahupun tak berjaya. Sedangkan Allah SWT dan menyatakan manusia adalah mahluk sempurna yang diciptakan dengan pelbagai kelebihan iaitu akal dan hati. Jika hati seseorang itu baik maka akhlaknya juga baik.” Balas Encik Muhsin. Tenang saja nadanya semasa berkata.

“Bukan ke Allah dah susun yang terbaik untuk hidup kita? Kenapa masih ada rasa dengki?” Ainnun yang gemar berdiskusi itu menyoal lagi.

“Timbulnya rasa dengki itu kerana kurang rasa bersyukur dengan apa yang dimilikinya. Menurut Islam, dengki dan iri hati itu adalah satu penyakit hati. Dalam surah An-Nisa ayat 32, Allah berfirman; dan janganlah kamu iri terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian lain. Mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu.” Terang Encik Mohamad.

Ainnun menghela nafas. Dia tekun mendengar bicara si ayah tanpa mencelah.

“Lagi satu kesan yang akan berlaku pada manusia yang dengki dan iri hati ni amat memudaratkan. Dari rasa dengki boleh bertukar jadi fitnah dan ghibah. Selain tu, ia termasuk dalam ciri-ciri orang munafik dan merupakan salah satu tanda kecil akhir zaman. Nauzubillah... Kalau boleh jangan ada sekelumit pun rasa negatif tu.” Encik Muhsin menyambung ulasannya.

“Teruk kan ayah? Semoga Ain terhindar dari rasa dengki dan iri pada orang lain.”

“InsyaAllah, kalau Ain selalu berdoa dan bersyukur. Ain tidurlah. Dah lewat. Ayah pun nak masuk tidur.” Ucapnya sambil menepuk peha Ainnun. Encik Mohamad bingkas bangun dan terus ke pintu.
Namun, langkahnya terhenti di muka pintu. Dia menoleh.
“Sebelum tu ayah nak tanya. Ain dah solat?”

“Dah ayah. Lepas makan malam Ain terus solat.” Ainnun membalas tenang.
Dia telah diajar oleh ayahnya agar selalu mengerjakan solat tepat pada waktu. Jangan bertangguh kerana solat itu perkara wajib yang perlu diutamakan. Tinggalkan sebentar hal duniawi yang bersifat sementara untuk mencari ketenangan ukhrawi yang bersifat selamanya.

“Baguslah kalau macam tu. Ain pun dah besar jadi ayah tak perlu suruh lagi. Dah boleh bezakan mana yang baik dan mana yang buruk.” Ujar Encik Mohamad sebelum keluar.

“Ain selalu ingat.”

“Lepas ni terus tidur. Jangan hadap gadget sampai lewat malam. Esok kan nak kerja.” Encik Mohamad tak henti-henti mengingatkan anaknya.

“Baik tuan!” Ainnun memberi tabik hormat persis pegawai kadet.

Ketawa mereka saling bersambut. Encik Mohamad menggelengkan kepala melihat keletah Ainnun yang keanak-anakan. Dia kemudiannya berlalu pergi dan masuk ke bilik tidur.

Melihat bayang ayahnya telah tiada, Ainnun pun berdiri dari duduknya. Dia menutup dan mengunci pintu bilik semula. Setelah lampu dan komputer riba ditutup, perlahan-lahan Ainnun merangkak naik ke atas katil dan menarik selimut menutupi paras dadanya. Secara automatik, matanya mula terasa kelat. Sedar tak sedar, akhirnya Ainnun sudah terlena diulit mimpi.

LAZIMNYA Syahzani akan keluar dan berjumpa dengan kawannya pada waktu begini, namun gara-gara ‘mesyuarat’ kecil yang berlaku tempoh hari telah membantutkan niatnya. Syahzani dilanda kebosanan. Sejak tadi dia leka menonton televisyen di ruang tamu. Manakala Encik Muhsin dan Puan Fatimah sudah lama tertidur pulas di bilik mereka. Barangkali sudah belajar ke alam mimpi. Mujurlah ada intisari rancangan yang menarik perhatiannya. Kalau tidak, masuk angin keluar asap jawabnya. Tambahan lagi, anak tunggal sepertinya tiada teman berbual.

Sambil bersandar di sofa, mulutnya asyik mengunyah keropok kentang Pringles berperisa keju. Sekeping demi sekeping keropok itu di telan. Nak kata lapar, dua pinggan nasi sudah dibedalnya sewaktu makan malam. Matanya tetap terpaku di skrin LCD yang melekat di dinding. Suasana pula semakin sunyi. Hanya kedengaran bunyi kipas berpusing dan suara dari televisyen. Syahzani melihat jam sudah menunjukkan pukul dua pagi. Matanya bukan semakin kelat malah semakin segar.

Kesimpulannya, dia terus berteleku di sofa dan melayan sitkom That ’70s show yang menjadi kegemarannya dari dulu.

Syahzani mengekek ketawa setiap kali babak Fez yang dimainkan oleh Wilmer Valderrama muncul. Wataknya yang lurus tetapi annoying itu menjadi penyeri di dalam sitkom tersebut. Manakala watak Micheal yang dimainkan oleh Ashton Kutcher menjadi kegilaan dan pujaan hati para gadis pada era 90an. Siapa yang tak kenal Ashton Kutcher? Personanya mampu memikat Mila Kunis yang juga tak kurang hebat lakonannya.

Ketawa Syahzani termati tatkala terdengar bunyi deringan telefon pintarnya. Lantas dipanjangkan tangan untuk mencapai Huawei P30 di atas meja. Syahzani melihat nama si pemanggil. Tertera nama Ilham di skrin telefon. Wajah Syahzani berubah dari ceria ke panik. Dia kaget. Tidak menyangka pada waktu ini dia mendapat panggilan mengejut dari Ilham. Terintai-intai kepalanya ke belakang untuk memastikan tiada sesiapa di situ. Sebagai langkah berjaga-jaga, dia menukar tempat agar dapat melihat sesiapa yang turun atau naik dari tangga.

“Hello.” Kedengaran satu suara menyapa di hujung talian.

“Hi, how are you?” Tanya Syahzani separuh berbisik. Risau sekiranya perbualan itu tertangkap. Bahaya.

“Been good. Tak tidur lagi?” Ilham pula bertanya. Dari nadanya terdengar penat.

“Belum. Aku tengah layan movie. Kau tak tidur lagi?” Syahzani sandarkan tubuhnya di sofa sambil kakinya berlunjur panjang. Suara televisyen dikuatkan sedikit untuk menutup perbualannya di telefon.

Ilham mengeluh. “Baru balik dari after party. Ada photoshoot dengan majalah Maxim. Client nak aku stay sampai habis event.”

Syahzani hampir terlupa. Ilham pernah bercerita tentang kariernya sebagai model sampingan untuk sebuah majalah lelaki. Tak hairanlah pada waktu ini dia masih belum tidur. Harinya padat dengan jadual photoshoot dan parti mewah di kelab malam.

“Someone is having fun. You seem tired, go get some rest.”

Terdengar tawa halus yang sinis dari lelaki itu. Apa yang kelakar?

“Macam tu je? Aku harapkan someone call dan tanya khabar aku. Someone yang aku harapkan itu kau. Where have you been, Syah? Kenapa terus senyapkan diri? Are you avoiding me?” Bertubi-tubi soalan itu ditanya. Ilham cukup bengang dengan sikap Syahzani yang hilang secara tiba-tiba. Seolah-olah tiada apa yang berlaku di antara mereka.

Dahi Syahzani menahan kerut. Apa masalah dia ni? Sejak bila dia perlu melapor semua aktivitinya kepada Ilham?

“Aku balik kampung. Jenguk ibu dengan ayah aku.”

Kali ini tawa itu semakin meledak. Nadanya meleret panjang seiring dengan bunyi sedu-sedan. “Seriously? Relevan lagi ke alasan jenguk mak ayah tu? Kau balik JB bila?”

Syahzani menahan geram. Nada Ilham yang separuh mengejek itu menyakitkan telinga Syahzani. Dari gaya percakapannya, Ilham sudah mabuk teruk.

“Lagi dua hari.”

“Good to know. You know what Syah... you really miss someone when you crave something so simple such as the sound of their voice.” Ucap Ilham menggoda. Dia sudah tak mampu menahan perasaan. Kesan dari alkohol membuatkan dia hilang rasa malu. Syahzani adalah definisi lelaki idamannya. Yang mampu mengubah lelaki straight menjadi gay manakala perempuan lesbian menjadi straight.

“Are you drunk?” Syahzani cuba berdalih.

“Jangan ubah topik Syah...”

“Pergilah tidur. Dah malam ni.” Hanya perkataan itu saja yang bermain di benak Syahzani.

“I just wish you were here with me, in my bed. Like always. Syah, I miss you.” Desah nafas yang menyapa itu berbaur sensual. Ilham tahu apa kelemahan terbesar Syahzani. Dia menggunakan suara manjanya untuk menaikkan berahi Syahzani.

Pelupuk mata Syahzani dipejam rapat. Jemari dan rahangnya diketap serentak. Cuba menahan gelodak di dadanya. Dia harus bijak mengawal perasaan agar tak terikut dengan emosi.

“It’s normal to miss someone when you’re lonely.”

“Jadi kau nak cakap aku cari kau bila bosan? Busy pun aku selalu ingat kau. That’s true affection.” Jujur llham. Dia akui, Syahzani telah mencuri hatinya. Jika selama ini dia hanya memandang dan berimaginasi sendiri, namun sekarang lelaki itu sudah berada di depan mata. Dia tidak mahu Syahzani jatuh ke tangan orang lain.

Syahzani menggeleng kepala. Pelipisnya diurut-urut. Tiada gunanya berbicara dengan orang yang mabuk. Mereka tak tahu apa yang terkeluar dari ucapan yang berada di luar kesedaran akal waras. Dia tidak mahu meneruskan perbualan kosong itu.

“You are drunk. Esoknya kau bangun, semua yang ada dalam kepala kau pun lesap.”

“Well, never forget what someone says to you when they are drunk. Because drunk words are sober thoughts.” Ucap Ilham bersama tawa sinis yang masih bersisa.

Syahzani bungkam. Dia lambat memberi respon. Bibirnya dikemam sambil otaknya ligat mencari ayat. Namun belum sempat dia membuka mulut, bunyi derapan tapak kaki turun ke bawah menangkap perhatian Syahzani. Nampak sahaja bayang Encik Muhsin turun dari tangga, Syahzani cuak.

“I’ll call you back. Goodnight.”

Laju tangannya mematikan panggilan itu. Syahzani berpura-pura menonton televisyen saat Encik Muhsin yang baru sahaja turun dari tangga menghampirinya. Dikerling jam besar di dinding. Sudah lewat malam namun anaknya masih belum tidur.

“Syah buat apa tadi? Ayah dengar macam ada suara orang berbual.” Soal Encik Muhsin. Dia sekadar berdiri dan memandang Syahzani di sofa.

“Ayah salah dengar kot. Suara tv agaknya.” Dalih Syahzani. Pada usia selanjut itu, boleh tahan juga pendengaran ayahnya.

“Kenapa belum tidur lagi?”

“Syah nak layan sitkom ni dulu. Lepas tu baru Syah tidur. Ayah nak apa-apa ke?” Giliran Syahzani bertanya.

“Ayah nak minum air. Tekak ni tiba-tiba rasa haus. Tapi alang-alang Syah ada, ayah nak cakap sikit.” Ujar Encik Muhsin sebelum dia membuka langkah ke dapur.
Syahzani yang sedang bersandar segera betulkan posisinya. Apa lagi kali ini?

“Apa dia?”

“Esok jangan lewat datang ke As-Syifaa. Sebab ayah nak kenalkan kamu dengan pembantu am baru.”

Untuk beberapa detik, Syahzani diam. Tiba-tiba kejadian di surau petang tadi menyapa di mindanya. Pertemuan yang singkat namun memberi kesan kepadanya hingga sekarang. Hatinya berkotak-katik sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience