Bab 6

Romance Series 4598

ENJIN kereta Kelisa dimatikan sebaik saja kenderaan itu berhenti di hadapan banggunan dua tingkat yang tersergam indah. Papan tanda berukiran warna emas dan bertulisan jawi itu dipandang lama. Rumah Anak Yatim As-Syifaa. Cukup indah maksudnya. Syifaa bermaksud penawar. Sesuai dengan konsep rumah ini dibina. Rumah ini menjadi penawar dan penyembuh bagi kanak-kanak bernasib malang yang tidak mempunyai ibubapa. Di sinilah kanak-kanak itu menumpang kasih, maka bersyukurlah pada mereka yang hidup masih mempunyai ibubapa. Sesungguhnya, tiada apa yang lebih bermakna selain dari merasai kasih sayang ibubapa yang tiada penghujungnya.

Tanpa buang waktu, Ainnun membuka pintu kereta dan menutupnya kembali setelah beg serta failnya dicapai. Lampu oren berkelip, menunjukkan penggera kereta telah dimatikan. Dalam-dalam Ainnun menggali nafas, dia mencari keyakinan di tempat dia berdiri. Hatinya berdebar hebat.

“Allahumma yassir walaa tu'assir." Ainnun meraup wajahnya. Lantas, dia membuka langkah dengan kalimah Bismillah.

Bebola matanya melingas di sekitar perkarangan parkir. Kelihatan beberapa buah kereta yang terparkir elok di garaj. Laman yang kelihatan bersih tanpa sebarang daun kering membuatkan cemas Ainnun semakin bercambah. Dari pengamatannya, pasti Encik Muhsin seorang yang mementingkan kesempurnaan. Lihat sajalah susun atur lanskap yang sangat rapi. Kata ayah, Encik Muhsin ini baik dan peramah orangnya. Dia suka membantu golongan yang susah. Ainnun hanya tersenyum kelat mendengar kenyataan ayahnya.

Tetapi, bagaimana jika jangkaan ayahnya meleset? Bagaimana jika Encik Muhsin sebenarnya seorang yang cerewet dan dingin? Ainnun menggeleng laju. Cuba membuang andaian negatif jauh-jauh dari mindanya.
Dia tetap berjalan ke arah pintu utama seiring dengan bacaan zikir penenang hati. Bibirnya terkumat-kamit sendiri. Daun pintu ditolak perlahan, seiring itu kepalanya menjengah ke dalam. Mulutnya sudah ternganga kecil. Luas banggunan ini dua kali ganda besar dari rumah keluarganya. Biarpun ringkas namun cukup dengan semua kelengkapan.

Kakinya menggeletar saat melangkah masuk ke dalam banggunan dua tingkat itu. Dikerling ke seluruh pelosok sudut ruang dengan mata yang penuh minat. Hidungnya terbau semburan lavender Ambi Pur yang menambahkan lagi ketenangan di ruang itu.

Tika itu, pandangannya tertancap pada seorang pekerja wanita yang kelihatan sibuk di kaunter penyambut tetamu. Ainnun mula mendekati meja itu untuk bertanya soalan padanya.

“Assalamualaikum.” Ainnun memberi salam sambil tersenyum manis.

“Waalaikummusalam warahmatullah. Ada apa yang saya boleh bantu?” Soal pekerja wanita yang bertagkan nama Hafizah di dada kirinya.

“Nama saya Ainnun Maryam. Saya datang ke sini nak berjumpa dengan Encik Muhsin.” Ucap Ainnun dalam nada sopan.

“Boleh saya tahu atas urusan apa?” Gadis itu bertanya ingin tahu. Tugasnya sebagai pegawai helpdesk adalah untuk merekodkan nama serta tujuan setiap pengunjung yang datang ke rumah anak yatim tersebut.

“Atas urusan kerja.” Jawab Ainnun.

Pekerja itu mengangguk dan meminta Ainnun menulis nama serta nombor kad pengenalan di buku rekod. Dia menunjukkan kolum yang harus Ainnun isi sebelum dia diberi keizinan untuk berjumpa dengan Encik Muhsin. Sebagai langkah protokol. Ainnun segera akur dan meninggalkan maklumat dirinya di situ.

“Kak, saya nak tanya. Ini rumah anak yatim ke?” Soal Ainnun ingin kepastian seusai menulis.

Gadis yang bernama Hafizah itu tersenyum. “Ini banggunan pentadbiran. Rumah anak yatim ada di belakang.”

“Besar juga kawasan ni.” Ainnun seakan-akan kagum.

“Tempat ini memang besar sebab Ayah Muhsin pentingkan keselesaan anak-anak yatim di sini. Dia mahukan penjagaan yang terbaik.”

Bagaikan burung belatuk Ainnun mengangguk. “Encik Muhsin ada di pejabat?”

“Beliau selalu ada di pejabat.”

“Boleh saya jumpa dia sekarang?” Ainnun bertanya lembut.

“Silakan. Pejabat dia ada di tingkat dua, di bahagian kiri.” Jawab Hafizah sambil menuding jarinya ke arah tingkat paling atas.

“Saya tak payah set appointment dulu?” Ainnun bertanya lagi.

“Tak perlu.” Hafizah tersenyum manis.

“Terima kasih.” Ucap Ainnun sebelum berpaling dan mengorak langkahnya ke arah tangga.

Kini Ainnun berada di hadapan pintu kayu jati. Di permukaan papan itu tertera tulisan Pejabat Tuan Haji Muhsin. Matanya meleret dan membaca nama itu di dalam hati. Rasa berdebar semakin menggunung. Sebelum mengetuk pintu, Ainnun membetulkan lipatan selendang di cermin yang tersedia bersebelahan dengan pintu pejabat tersebut.

Penampilannya yang bersahaja itu dipandang lama. Dia hanya mengenakan sepasang baju kurung berwarna krim cair dan selendang bercorak bunga pastel. Senyuman nipis terbias di bibirnya. “InsyaAllah... kau boleh Ain.”
Tanpa berlengah, daun pintu pejabat Encik Muhsin diketuk bersama debaran. Dalam kepalanya ligat berteka-teki bagaimana perwatakan Encik Muhsin itu. Paling ditakuti sekiranya temuduga itu tak berjalan seperti yang dirancang.

Untuk seketika, tiada maklum balas dari dalam bilik itu. Lalu, Ainnun mengetuk pintu itu untuk kali kedua.

“Masuk.”

Terdengar satu suara lelaki menyahut. Darahnya semakin mengepam laju dan jantungnya terasa hampir gugur. Bibir Ainnun tak henti kumat-kamit. Segala zikir dan istigfar dia baca untuk meredakan resah sendiri. Sebaik debarannya mulai reda, tombol pintu digenggam dan perlahan dipulas. Pintu itu dibuka luas lalu Ainnun melangkah masuk ke dalam pejabat itu dan menutupnya kembali.

“Assalamualaikum Tuan Haji Muhsin.” Sapa Ainnun dengan nada yang sopan.

Kepala Encik Muhsin yang tunduk segera diangkat. Dia melihat seorang gadis berbaju kurung sedang berdiri di hadapannya bersama senyuman manis.

“Waalaikummusalam. Ainnun Maryam kan?”

Ainnun sedikit terkejut. “Dari mana Tuan Haji Muhsin tahu nama saya?”

Encik Muhsin tertawa halus melihat reaksi gadis itu. Tangan ditunjukkan ke arah kerusi yang tersedia di hadapannya. “Silakan duduk.”

Ainnun akur tanpa sebarang bantahan. Dia terus labuhkan punggung dan posisi duduknya dibetulkan agar selesa. Beg tangan serta fail diletakkan di atas meja dan kedua tapak tangannya berada di atas peha. Melihat raut wajah Encik Muhsin yang mesra itu, debarannya kian surut. Perkara negatif yang berlegar di mindanya juga lesap.

Tanpa disuruh, Ainnun segera menghulur fail yang berisi sijil dan resume kepada Encik Muhsin. Dia menyusunnya sebelum lampiran itu bertukar tangan. Tika Encik Muhsin sibuk menyelak kepingan kertas itu, Ainnun memerhati di sekeliling pejabat dengan tekun. Susun aturnya ringkas dan kemas. Cuma di beberapa tempat saja yang bersepah. Terutama sekali di bahagian fail. Pandangannya terus meleret dan terhenti di satu sudut. Bingkai gambar yang berada di atas rak buku itu menangkap perhatian Ainnun. Gambar seorang lelaki yang berpakaian jubah konvokesyen sambil memegang segulung kertas. Potret itu ditatap lama tanpa kelip. Sehingga tanpa sedar, nama di dalam gambar itu meniti di bibirnya.

“Syahzani Amar...”

“Awak kenal dengan anak saya?” Tegur Encik Muhsin tiba-tiba.

Merona wajah Ainnun saat ditegur. “Tak. Saya Cuma baca nama kat dalam gambar tu. Maafkan saya sebab mengelamun.”

Encik Muhsin senyum sumbing. “Jadi saya perlu panggil awak Ainnun atau ada panggilan lain?” Kedua tapak tangan Encik Muhsin ditekap semasa bertanya.

“Panggil Ain je boleh.”

“Baiklah Ain. Saya dah baca dan teliti resume serta sijil kelayakan awak. Memuaskan dan ada ciri-ciri yang saya mahukan sebagai pembantu am. Sebelum ini awak berkerja sebagai kerani kilang kan?” Encik Muhsin bertanya ingin kepastian.

“Ya, Tuan Muhsin.” Ainnun balas tanpa teragak-agak.

“Boleh saya tahu kenapa awak berhenti?”

“Sebab tempat kerja saya sebelum ini jauh dari keluarga.” Ainnun tidak mahu berterus terang alasan yang sebenar. Walaupun sudah berhenti, dia tetap menjaga intergriti.

“Sebelum ni kerja di mana?” Encik Muhsin bertanya lagi.

“Kerja di Muar. Kilang tu tak ada cawangan di Batu Pahat. Jadi saya terpaksa berulang-alik setiap minggu untuk balik kampung.” Tutur Ainnun tenang. Sememangnya dia sudah bersedia untuk menjawab setiap soalan yang bakal ditanya.

“Baiklah...” Encik Muhsin mengangguk faham dan menekan butang intercom di atas meja. “Ruhaidah, sila masuk dalam pejabat.”

“Ya, Ayah Muhsin” Kedengaran suara wanita menyahut dari hujung talian.

“Awak diterima.” Beritahu Encik Muhsin seraya menghulur fail kepada Ainnun.

Air muka Ainnun berubah riang. Hati Ainnun sudah berbunga gembira. Dia hampir tidak percaya dengan kenyataan Encik Muhsin. Biar betul dia diterima? Tak mungkin semudah itu. Ya Allah, puji syukur ke atas-Mu. Terima kasih di atas limpah rezeki yang kau berikan padaku. Ainnun menadah tangan dan berdoa sendiri.

“Terima kasih Tuan Haji Muhsin.” Ucap Ainnun bersama senyuman lebar. Fail itu diambil semula.

“Tak perlu panggil saya Tuan Muhsin. Semua pekerja di sini panggil saya Ayah Muhsin. Memandangkan awak dah jadi kakitangan As-Syifa, awak tak terkecuali.” Terang Encik Muhsin. Dia lebih selesa dengan gelaran itu. Baginya pangkat dan darjat di dunia tidak mengukur tingginya iman atau taqwa seseorang. Biar rendah di sisi manusia tetapi jangan hina di sisi Allah SWT.

Bunyi ketukan kedengaran di pintu. Kemudian, muncul seorang gadis yang berbaju kurung cotton corak bunga serba merah jambu. Dia berjalan menghampiri meja Encik Muhsin sambil tersenyum manis.

“Ruhaidah, kenalkan ini Ainnun. Dia adalah pembantu am yang baru.”

Wanita yang bernama Ruhaidah itu memandang padanya dan tersenyum. Dia menghulur tangan kanan dan Ainnun menyambutnya mesra.

“Panggil Kak Idah je.”

“Saya Ain.”
Genggaman yang cukup erat itu menyenangkan hati
Ainnun. Tanda kehadirannya disambut baik. First impression itu penting dalam sesi perkenalan. Dari air muka, Ainnun pasti wanita di hadapannya itu seorang yang baik hati
“Awak boleh minta tunjuk ajar dari Ruhaidah. Dan Ruhaidah pula tunjukkan meja kerja pada Ain ya. Kalau boleh kenalkan Ain sekali pada staff yang lain dan tunjuk dia di kawasan sekeliling.”

Ruhaidah mengangguk saja.

“Sebelum tu Idah, Syah ada datang ke sini?” Encik Muhsin bertanya pada pembantunya.

“Saya tak pasti. Rasanya belum.” Balas Ruhaidah.
“Eh, kemana pula budak bertuah ni?” Encik Muhsin mengerutkan dahinya. Jam tangannya dikerling sekilas. Sudah lepas waktu sarapan. Pelik kerana selalunya Syahzani akan munculkan diri pada waktu ini. Jangan-jangan dia sambung tidur. Encik Muhsin berdecit sendiri. Apa nak jadi dengan anak lelakinya?

“Ayah Muhsin perlukan apa-apa ke? Nak saya hubungi Puan Fatimah atau Syahzani sendiri?” Ruhaidah bertanya sekiranya ada masalah.

“Tak apa. Cuma minggu depan saya ada perjumpaan dengan pihak penderma. Tolong siapkan fail dan letak di atas meja saya nanti.” Arah Encik Muhsin dengan nada lembut. Dia kemudiannya duduk semula di kerusi dan meneruskan kerjanya yang tergendala.

Ruhaidah menggangguk lagi. Kemudian dia memandang ke arah Ainnun.
“Mari, Ain. Kak Idah tunjuk meja Ain.”

Ainnun menurut saja. Punggung, beg tangan serta failnya sudah diangkat. Kakinya mengikuti langkah Ruhaidah tanpa banyak bicara. Dia dibawa masuk ke bilik pentadbiran. Sampai di sana, Ruhaidah memperkenalkan Ainnun kepada kakitangan As-Syifaa yang lain. Mereka sempat beramah mesra dan berbual seketika. Suasana di situ terasa menyenangkan. Dalam diam, Ainnun menghela nafas lega. Usai sesi suai kenal, Ruhaidah membawa Ainnun pusing-pusing di sekitar Rumah Anak Yatim As-Syifaa.

Dari banggunan pentadbiran mereka berjalan ke blok akademik. Tidak lupa juga surau khas yang serba selesa dan dewan makan yang boleh menampung hampir 300 orang penghuni. Akhir sekali, Ruhaidah membawa Ainnun ke tempat tinggal anak-anak yatim tersebut. Asrama yang menempatkan penghuni anak-anak As-Syifaa mempunyai tiga tingkat. Kesemuanya 20 bilik. Ainnun diberitahu, setiap satu bilik mempunyai penghawa dingin dan kemudahan lain yang canggih seperti makmal komputer. Dalam erti kata lain, cybercafe persendirian. Di bibirnya terlakar senyuman nipis saat melangkah masuk ke dalam bilik yang serba lengkap dengan gadget dan kemudahan yang terkini. Untungnya anak-anak As-Syifaa ini.

“Makmal komputer ni siapa yang jaga?” Tanya Ainnun ingin tahu.

“Warden asrama yang pantau. Makmal komputer cuma dibuka pada setiap hari Sabtu iaitu pada hari anak-anak As-Syifaa cuti sekolah am. Jadi mereka tak adalah lalai sangat bermain komputer. Jom, akak bawa Ain pergi padang.”

Kemudian kakinya mengikuti langkah Ruhaidah yang membawanya ke padang rumput. Terletaknya di bahagian belakang asrama. Ainnun terlopong saat melihat luasnya kawasan padang itu.

“Besar kan?” Soalan itu ditanya. Ruhaidah dapat mengagak apa yang ada di kepala Ainnun.
Ainnun mengangguk.

“Nak tahu siapa yang reka banggunan ni?”

“Siapa kak?”

“Anak Ayah Muhsin sendiri. Dia tu arkitek. Jadi semua yang Ain nampak depan mata ni rekaan dia. Dulu rumah anak yatim ni kecil je. Tapi lepas Ayah Muhsin beli tanah di sebelah, terus jadi besar. Sebab jumlah anak yatim makin bertambah dari tahun ke tahun.” Jelas Ruhaidah. Mereka berjalan seiringan di koridor.

“Dah berapa lama rumah anak yatim ni dibangunkan?” Soal Ainnun.

“Sekitar enam atau tujuh tahun.”

“Baiknya Ayah Muhsin. Mudah-mudahan tempat ni terus kekal sampai bila-bila.” Doa Ainnun bersama senyuman manis.

“Ayah Muhsin memang insan yang baik. Susah nak jumpa manusia yang sanggup berhabis duit semata-mata untuk menjalankan ibadah Allah. Pada zaman sekarang, mereka lebih leka dengan hal duniawi. Lupa nak bersedekah sebab terlalu asyik dengan nikmat dunia.” Tutur Ruhaidah. Dia sangat bersyukur kerana mempunyai majikan sebaik Encik Muhsin. Sejak dari awal rumah anak yatim ini dibina, tidak pernah sekali dia melihat Encik Muhsin mengambil hak anak-anak yatim di sini. Kebajikan pekerja juga dijaga dengan baik.

“Kalau boleh saya nak tahu, Encik Muhsin ada berapa orang anak?” Ainnun mencungkil cerita.

“Seorang. Syahzani Amar namanya. Kenapa Ain tanya?” Giliran Ruhaidah menyoal Ainnun.

Jawapan itu dibalas dengan gelengan kepala. “Saja nak tahu. Isteri Ayah Muhsin selalu datang sini?”

Ruhaidah berfikir sejenak. “Kerap juga. Adalah seminggu tiga kali. Biasa Puan Fatimah datang sebab nak tolong pekerja kantin agihkan makanan untuk anak-anak yatim. Pasangan suami isteri ni memang sayang pada anak-anak yatim di sini. Mereka dah dianggap macam anak sendiri. Sebab itulah, Encik Muhsin sangat jaga makan minum dan tempat tinggal mereka.”

“Berapa ramai jumlah anak-anak yatim yang ada dalam ni Kak Idah?”

“Dalam 200 lebih orang. Yang paling tua dalam lingkungan 12 tahun, paling muda lima tahun. Alhamdulillah, mereka semua dengar kata. Setakat ni, tak ada kes buli atau gaduh. Ayah Muhsin selalu terapkan nilai-nilai baik pada budak-budak ni sebab dia tak mahu ada aura negatif yang tersebar. Macam kes sekolah tahfiz yang kena bakar sebelum ni, disebabkan setitik nila rosak susu sebelanga. Jadi mereka pandang serong pada sistem asrama yang berkonsepkan madrasah.” Ruhaidah sudahi luahannya dengan satu keluhan berat.

Ainnun sekadar mendengar. Dia juga turut merasa simpati dan bersedih dengan tanggapan masyarakat zaman sekarang yang hanya membabi buta percaya tanpa usul periksa. Masyarakat sekarang yang tahunya membaca tajuk dari isi arktikel.

“Tak apalah Kak Idah, yang penting niat kita ikhlas. Pedulikan tanggapan orang luar yang sempit otaknya. Ayah Ain selalu pesan, kita ni hanya ada dua tapak tangan. Nak tutup mulut orang kat luar sana memang tak mampu, jadi baik kita tutup dua telinga kita. InsyaAllah niat yang baik selalu dipermudahkan jalannya.” Tenang Ainnun menyusun ayatnya.

Ruhaidah menguntum senyuman lebar. Sedikit sebanyak kata-kata yang terbit dari bibir gadis itu dapat mengurangkan keresahan hatinya.

“Kalau dalam dunia ni semuanya berfikiran macam Ain kan bagus?”

Ainnun tertawa halus. “Ain cuma suarakan apa yang betul. Susah nak puaskan hati orang.”

Ruhaidah mengangguk setuju. “Itu betul. Apa-apapun selamat datang ke As-Syifaa. Ain jangan risau, di sini semua kakitangan jaga hubungan sesama pekerja. Tak ada perasaan hasad atau dengki. Jadi, kalau ada apa-apa, Ain jangan malu atau segan. Boleh tanya dan minta pendapat kalau ada yang tak faham.”

Ainnun mengiakan seiring mengangguk kepala. “InsyaAllah.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience