Bab 7

Romance Series 4598

LANGKAH Syahzani dilajukan sehingga dia hampir tersandung gara-gara tersepak batu di jalan. Meliar-liar matanya melihat sekeliling, tika itu pandangannya terpaku pada kereta putih milik Encik Muhsin yang elok terparkir di garaj. Kemudian Charles Jourdan di pergelangan tangan kiri dia lihat sekilas. Sudah lepas pukul satu pagi. Mampuslah aku, confirm kena tarbiah. Syahzani merungut di dalam hati.

Di saat kakinya melangkah ke pintu rumah, dia baru sedar lampu ruang tamu masih bernyala. Itu tandanya sama ada si ayah atau si ibu belum masuk tidur. Bagai cacing kepanasan Syahzani berjalan mundar-mandir di hadapan pintu rumahnya. Mindanya penuh dengan tanda tanya. Berteka-teki sendiri.

“Ah, lantaklah!” Syahzani mendengus berat. Tanpa berfikir panjang, dia segera membuka pintu rumah dan masuk ke dalam. Pintu yang terkuak itu ditutup kembali lalu di kunci semula.

Dari ruang tamu, dia membuka langkah ke dapur. Apa yang dia lihat, ruang itu ternyata kosong. Syahzani yang tadinya berdebar, kini rasa itu kian surut. Dia tercegat sambil bercekak pinggang. Dalam-dalam dia menggali nafas lega. Otaknya cuba membuat andaian sendiri. Mungkin ibunya terlupa untuk menutup lampu sebelum masuk tidur.

Rasa mengantuk mula datang, seiring itu keluhan ringan terlepas dari bibirnya. Dia yang kepenatan terus melangkah naik ke tingkat atas. Kakinya menapak separa perlahan, risau sekiranya Encik Muhsin tersedar dari tidur. Lebih parah jika Puan Fatimah yang terjaga. Sehari suntuklah dia akan dibebel. Syahzani tahu, dia tak mampu menahan telinga jika Puan Fatimah membuka mulutnya nanti. Hitam katanya, hitamlah. Putih katanya, putihlah. Tidak ada kelabu atau biru lagi. Begitu juga dengan Encik Muhsin yang akan menegurnya. Pedih kata-kata itu menikam hingga ke dasar hati.

Sedang dia mengatur langkah ke bilik, gegendang telinganya menangkap suara halus yang datang dari arah masterbedroom. Iaitu bilik tidur kepunyaan Encik Muhsin dan Puan Fatimah. Langkah perlahan itu termati tatkala berada di hadapan bilik ibubapanya. Pintu yang tidak tertutup rapat itu membolehkan Syahzani mengintai dari celahan lubang. Untuk mendapat visual yang lebih jelas, daun pintu itu ditolak perlahan. Kelihatan di satu sudut Encik Muhsin sedang bersujud. Barangkali ayah menunaikan solat sunat. Kemudian matanya beralih ke arah si ibu yang tertidur pulas di atas katil.

Bangkit dari sujud, Encik Muhsin duduk di antara dua sujud. Kemudian dia sudahi solatnya dengan salam kiri.

“Assalamualaikum warahmatullah...” Lantas, wajah itu disapu. Bibirnya terkumat-kamit membaca beberapa doa pilihan yang lain.

Encik Muhsin membetulkan cara duduknya dari bersimpuh ke bersila. Dia melenggok ke kiri dan ke kanan, berzikir dan berwirid. Panjang bacaannya sehingga Syahzani terleka kerana tekun mendengar. Kemudian Encik Muhsin menadah tangannya, memohon pada Sang Pencipta.

“Ya Allah, Ya Tuhanku segala puji bagi-Mu. Aku bermohon kepada-Mu, jadikanlah aku orang yang mendirikan sembahyang, yang beriman dan beramal soleh kepada-Mu. Sesungguhnya aku bersyukur di atas nikmat dan kurnia yang kau berikan padaku. Ya Allah Yang Maha Pengasih, kau lembutkanlah hati anakku agar dia sentiasa beriman dan menjalani hidupnya di jalan yang kau redhai. Peliharalah anakku Syahzani Amar, Ya Allah. Kurniakanlah sinar dan terangkan jalannya seperti mana kau kurniakan padaku. Jangan biarkan anakku terus hanyut dan leka dengan duniamu yang sementara ini, Ya Allah. Lindungilah anakku dan kau ampunkanlah dosa serta kelalaiannya...”

Tangkai perasaan Syahzani dijentik rasa pilu tika mendengar doa dari si ayah. Kelopak matanya dipejam. Tubir matanya pula sudah terasa berat. Di saat mutiara jernih itu menitis, dia biarkan saja. Langsung tidak diseka. Hatinya dirundum sebak selari dengan rasa bersalah.

“Sesungguhnya, engkau adalah sebaik-baik Pemberi Rahmat dan lagi Maha Kuasa. Amin Ya Rabbal Al-Amin.” Usai membaca doa, Encik Muhsin meraup muka dengan tangan berkedutnya.

Tanpa sedar, kalimah ‘amin’ itu terlepas perlahan dari bibir Syahzani. Encik Muhsin sudah memusing tubuhnya ke arah pintu. Dia terkejut melihat Syahzani yang berdiri di pintu ralit termenung ke lantai.

“Dah balik?” Tegur Encik Muhsin. Bibirnya tersenyum manis.

Suara itu membuatkan Syahzani mengangkat wajah. Dia membalas senyuman ayahnya dengan pandangan serba salah. Ditahankan saja rasa sedih itu. Tidak mahu terikut emosi.

“Dah.” Syahzani yang tercegat di jenang pintu membalas perlahan. Dia tidak mahu membangunkan ibunya yang sedang lena diulit mimpi.

“Syah dari mana?” Tanya Encik Muhsin seraya melipat sejadah menjadi dua. Lembut dan tenang saja nadanya.

“Dari jumpa kawan. Syah ingat ayah dah tidur.” Masih ada kekesalan yang tersisa di hujung bicara Syahzani. Dia tahu ayahnya sengaja berjaga.

“Belum lagi. Syah dah solat Isyak?”

Soalan yang ditanya itu membuatkan Syahzani bungkam.

“Tak apa, kalau belum... sebelum tidur Syah pergi solat dulu. Waktu Isyak panjang.” Encik Muhsin mengingatkan anaknya. Tubuh tua itu cuba berdiri namun kakinya hampir tersandung. Mujur Syahzani sempat memaut.

“Hati-hati.” Ucap Syahzani dengan nada risau. Tangannya masih utuh menggenggam lengan ayahnya.

“Allahuakbar...” Encik Muhsin mengeluh ringan. Pinggangnya yang berasa pegal itu diurut perlahan. “Inilah kitaran hidup manusia. Yang muda pasti tua, yang hidup pasti mati.”

Syahzani hanya diam. Dia memapah tubuh ayahnya yang kian uzur dimamah usia. Rasa kasihan apabila melihat ayahnya yang semakin tua. Dari pagi membawa ke petang membanting tulang di As-Syifaa. Kalaulah rasa sakit dan penat itu boleh dipindahkan ke tubuhnya, Syahzani sanggup. Kerana tubuhnya masih kuat dan muda. Berbanding dengan tubuh orang tua, sakitnya lebih memudaratkan.

“Ayah kena banyak rehat.”

Encik Muhsin tertawa halus. “Kalau ayah rehat, tak berasap dapur rumah ni nanti. Tak apa, ayah jalan sendiri. Syah dah boleh lepaskan ayah.”

“Ayah tidurlah. Dah lewat sangat.” Ujar Syahzani lantas menggaru kepala. Serba salah masih bersisa. Kerana dialah, ayahnya masih belum tidur.

Encik Muhsin menjeling sekilas ke arah isterinya di atas katil. Alang-alang peluang sudah ada di depan mata, ada baiknya dia mengajak Syahzani berbual di luar sebentar. Biarlah isterinya berehat. Dia tidak mahu mengganggu.

“Syah...” Panggil Encik Muhsin.

“Ya, ayah.”
“Ayah nak bercakap dengan kamu sekejap.” Kata Encik Muhsin. Lalu dia berjalan melepasi Syahzani dan membuka pintu biliknya. “Di luar.”

Syahzani akur. Tanpa sebarang bantahan dia membuntuti Encik Muhsin dari belakang. Pintu bilik itu ditutup kembali agar perbualan mereka tidak didengari oleh Puan Fatimah. Kedua-duanya keluar dari bilik dan melangkah ke ruang tamu yang berada di tingkat dua. Ruang itu lebih kecil berbanding ruang di tingkat bawah. Biasanya ia digunakan khusus untuk Encik Muhsin sekeluarga bersantai pada waktu malam.

Tempat sudah diambil. Kedudukan mereka saling berhadapan. Air muka Encik Muhsin yang bersahaja itu membuatkan Syahzani semakin berteka teki.
Apa yang hendak dibualkan?

Suasana menjadi hening seketika. Hanya kedengaran bunyi kipas yang dipasang diselangi bunyi deheman kecil oleh Encik Muhsin. Syahzani membetulkan duduknya di kerusi. Tunak matanya setia merenung wajah si ayah saat debaran mula menyerang. Dia tahu, malam ini dia akan diceramah.

“Ayah nak cakap apa?” Akhirnya Syahzani memulakan pertanyaan.

“Syah tahu apa maksud disebalik nama Syahzani Amar?” Soal Encik Muhsin sambil bersandar di sofa.

Syahzani pandang wajah itu tak berkelip. Sambil otaknya ligat berfikir. “Tak tahu.”

Segaris senyuman terbit di bibir Encik Muhsin. “Syahzani bermaksud kecergasan manakala Amar bermaksud yang memakmurkan, yang kuat iman dan yang menerangi. Dua nama itu adalah lambang kasih sayang ayah dan ibu pada kamu. Kami pilih nama itu dengan harapan Syah akan jadi seorang yang cergas, beriman dan juga menjadi penerang hidup kami.”

Syahzani terdiam. Dia menahan rasa sayu di dalam hati. Terasa luluh saat mendengar maksud namanya sendiri. Sungguh besar harapan Encik Muhsin padanya. Nama yang diberikan membawa maksud yang cukup beerti. Wajah tua itu Syahzani pandang lama. Itulah wajah yang banyak berkorban untuknya. Itulah wajah yang dia ingin banggakan. Yang sentiasa memberi galakan dan dorongan saat dia hampir mengalah dengan beban pelajaran sewaktu di universiti.

“Bukan niat ayah nak mengatur atau masuk campur dalam hidup kamu. Bagi ayah, Syah adalah seorang anak yang baik dan dengar kata. Ayah tak harapkan sesiapa selain daripada Syah, satu-satunya anak tunggal ayah. Yang ayah sayang, dan ayah harap Syah pandai menilai mana yang baik atau yang buruk.” Sambung Encik Muhsin apabila melihat Syahzani diam tidak berkutik.

Mata Syahzani mula berkaca. Dia tidak tahu hendak membalas apa. Bibirnya terkunci. Syahzani kucam dan hatinya dipagut rasa hiba. Pandangannya jatuh ke riba, sekadar diam dan mendengar teguran Encik Muhsin.

“Ayah tengok Syah makin leka. Setiap kali balik kampung, selalu tak ada di rumah. Solat Jemaah pun Syah langgar. Ada saja alasan yang Syah bagi. Maaf kalau ayah bertanya, tapi Syah pergi mana?” Soalan itu ditanya. Encik Muhsin menanti maklum balas dari anaknya dengan sabar.

Dalam-dalam Syahzani menarik nafas. Mengumpul kekuatan untuk menjawab. “Syah dah jawab tadi. Syah jumpa kawan.”

“Berkawan itu tak salah, tapi di samping berkawan terapkan nilai yang baik pada kawan kita. Jangan kita sama-sama lalai dan alpa.” Tegas Encik Muhsin.

“Kami cuma keluar minum dan makan. Enjoy sementara cuti.” Ucapnya acuh tak acuh.

“Kan bagus kalau kamu habiskan masa dengan membaca Al-Quran. Dari merayau tak tentu hala.”

Syahzani berdecit perlahan. Bukannya rimas, tetapi bengang. Bukannya dia berhibur di kelab malam, hanya makan dan bersembang. Takkan itu pun salah di sisi Islam?

Naluri seorang ayah sangat tepat. Dia tahu apa yang Syahzani sedang fikirkan.

“Ayah tahu Syah tak suka ayah membebel. Mana yang ayah boleh tegur, ayah tegurkan. Itu dah tugas dan tanggungjawab ayah. Untuk terus ingatkan Syah, yang hidup ini hanya sementara manakala akhirat itu selamanya. Allah telah menerangkan dalam surah Al-Ankabut ayat 64, dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya, akhirat itulah kehidupan sebenar jika mereka mengetahuinya. Syah kena ingat, tak salah mengecapi nikmat dunia asalkan ia masih di dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Faham?” Soal Encik Muhsin kepada anaknya. Dia bersungguh-sungguh menasihati Syahzani. Berharap teguran itu sedikit sebanyak dapat membimbing si anak ke arah yang lebih baik. Ke jalan yang diredhai Allah Swt.

Syahzani lambat memberi respon. Hanya diam membisu. Punggungnya terasa panas dan tak senang duduk. Jika lebih lama, boleh berdarah telinga dibuatnya.

“Ayah tanya, Syah faham?” Encik Muhsin mengulangi soalan itu untuk kali kedua.

Bagaikan burung belatuk Syahzani mengangguk. Riak kelat jelas terpamer di raut wajah Syazani. Dia bersandar lemah dan tak berhenti mengeluh. Sesekali dia meraup wajah dengan tapak tangan.

“Syah minta maaf. Kalau kesilapan Syah buat ayah sedih dan kecewa.” Ucap Syahzani sambil merenung ayahnya. Sungguh, dia rasa bersalah. Hanya maaf sajalah yang mampu dia lafazkan. Selain dari janji kosong yang mungkin tak tertunai.

“Sebagai makhluk Allah, kita tak luput dari dosa dan kesilapan. Tapi kalau kesilapan itu mematangkan kita itulah keuntungan yang kita dapat dalam hidup ini. Syah jadilah seorang anak yang soleh dan sentiasa berpegang dengan ajaran Islam. Jalankan tuntutan Islam, terutama sekali solat. Kerana itu tiang agama dan ia menjamin kebahagian yang hakiki. Jika kita bahagia di dunia, InsyaAllah kita mulia di akhirat. Ingat Syah, di alam semesta ini hanya ada satu kekuasaan iaitu Allah Swt. Segala apa yang berlaku, yang terjadi di atas bumi ini semuanya kehendak Allah. Walaupun perbuatan yang dilakukan oleh hambanya ringan dan kecil, tetapi bagi Allah cukup besar maknanya. Begitu juga dosa yang kecil bagi manusia mampu membuat Allah murka hingga ke hari Kiamat, apatah lagi dosa yang besar.” Berderet nasihat yang Encik Muhsin berikan kepada anaknya. Dia berharap agar Syahzani dapat menghadam setiap bait nasihat itu apabila dia sudah tiada nanti. Sudah menjadi tanggungjawab sebagai seorang bapa untuk terus menyampaikan ilmu dan semoga ia menjadi bekalan di akhirat kelak.

Tiba-tiba wajah Syahzani berubah sayu. Dia tunduk merenung dada lantai. Hati kecilnya benar-benar tersentuh. Terasa pegangan agamanya begitu lemah. Islam hanya pada kad pengenalan. Ibadah sekadar mencukupkan syarat Rukun Islam. Dia hanya mengamalkan solat sekurang-kurangnya seminggu sekali. Terawih jauh sekali. Jarang membaca Al-Quran apatah lagi menyentuhnya. Entah dia masih kenal ataupun tidak huruf Hijaiyah itu. Hidupnya bergelumang dengan maksiat. Tanpa ada sekatan dosa dan haram. Dia bertindak mengikut nafsu dan utamakan keseronokan di dunia yang sementara.

Hatinya tertanya-tanya. Apakah yang akan terjadi jika ayah dan ibu mengetahui perihal hubungan songsangnya? Tentang kelainan seksualiti yang dia sembunyikan selama ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience