Bab 5

Romance Series 4598

TEPAT jam lapan malam, selesai membersihkan diri Syahzani turun ke dapur untuk makan malam bersama keluarga. Sudah berbulan tekaknya mengidam masakan Puan Fatimah. Sebelum menapak ke ruang makan, dia melihat ke cermin untuk membetulkan juntaian rambutnya. Syahzani amati imej di pantulan cermin itu bersama senyuman sumbing. Handsome. Puji dirinya sendiri. Baju Melayu teluk belanga yang tersarung di tubuhnya menyerlahkan lagi ketampanannya. Nampak lagi jantan.

Tika itu, hidungnya tercium bau tumisan ikan bilis dan bawang dari dapur. Serta-merta perutnya bergendang minta diisi. Tanpa buang waktu, Syahzani masuk ke dapur. Kelihatan ibunya sedang menggoreng sesuatu di dalam kuali. Bau wangi itu menyelinap ke seluruh ruang dapur. Menggoda sungguh.

“Macam tahu je Syah craving ikan masak taucu ibu.” Ucap Syahzani sambil menghadiahkan ciuman di pipi Puan Fatimah.

Puan Fatimah tersenyum lebar. “Ibu dah tahu. Sebab tu ibu dah masak awal-awal. Ini kan favourite Syah dari dulu. Ingat?”

“Syah ingat. Ibu selalu masak ikan taucu ni dengan bubur.” Ujar Syahzani sambil memerhatikan ibunya memindahkan lauk yang siap dimasak itu ke dalam mangkuk. Baunya menyengat hidung. Terliur dibuatnya.

“Kalau ibu tak tinggalkan sikit lauk ni... Syah mesti mengamuk. Merajuk dengan ibu satu hari.” Puan Fatimah mengimbau kembali kenangan lama. Sewaktu Syahzani masih bersekolah, lauk ini tak jemu diminta. Boleh dikatakan setiap hari Syahzani akan merengek.

Syahzani tersengih bagaikan kerang busuk. Segala memori lampau kembali terbayang di benaknya.

“Tapi sekarang tugas ibu nak masakkan untuk Syah dah habis.” Sambung Puan Fatimah.

“Maksud ibu?” Syahzani kurang mengerti.

Puan Fatimah mengela nafas. “Ibu bukan nak mengatur hidup Syah. Tapi Syah tak rasa ke dah sampai masanya ibu ada menantu? Kadang-kadang ibu rasa sunyi sangat. Bila jumpa kawan-kawan ibu, semuanya bercakap pasal menantu kesayangan masing-masing. Ibu? Nak cakap apa? Ibu tumpang dengar je. Teringin juga nak memasak kat dapur dengan menantu.”

Mendengarkan rintihan Puan Fatimah itu membuatkan Syahzani terdiam seketika. Dia cukup lemah apabila isu jodoh menjadi topik perbualan. Pada masa yang sama otaknya sedang memproses jawapan untuk mengelak. Syahzani yang terkulat-kulat tetap membisu, tidak memberi sebarang respon. Begitu juga dengan Puan Fatimah yang setia merenungnya.

“Diam tu tengah fikir jawapan nak mengelak lah kan? Apa lagi alasan Syah? Ibu nak dengar.” Kata Puan Fatimah sambil bercekak pinggang. Lagaknya seperti cikgu disiplin yang sedang memarahi pelajar bermasala di sekolah.

“Syah bukan nak mengelak, tapi kalau jodoh belum sampai nak buat macam mana?” Hanya itu saja yang timbul di mindanya.

“Mana nak sampai kalau sibuk berkerja. Jodoh tu ibarat rezeki. Kalau Syah tak keluar mencari mana nak dapat? Bukannya dia datang bergolek. Syah kena banyakkan berdoa pada Allah. Mintak kat Dia, jodoh yang terbaik dan solehah. Yang mampu jaga Syah sampai bila-bila. Ayah dengan ibu dah lanjut usia, kami tak tunggu dunia. Ibu sebenarnya malas nak ungkit, nanti lama-lama Syah tak nak balik kampung sebab menyampah. Tapi kena ingatkan juga, sebab kahwin itu tuntutan agama. Yang harus dilaksanakan. Jika dah cukup syarat, dah cukup persediaan. Kena segerakan perkahwinan. Apa lagi yang Syah tunggu ni? Syah nak tunggu bidadari turun dari kayangan?” Puan Fatimah sudahi bebelannya dengan soalan.

“Kalau boleh nak yang muka ala-ala Fazura.” Syahzani berloyar buruk.

Laju cubitan Puan Fatimah mendarat di lengan Syahzani. Kali ini dia tak dapat mengelak seperti pagi tadi. Dahi Syahzani sudah berkerut menahan bisa cubitan ibunya.

“Sakitlah ibu.” Syahzani mengaduh kecil.

“Itu baru sikit. Pergi letak mangkuk ni atas meja.” Arah Puan Fatimah dengan wajah bengang. Geram kerana bebelan tadi dianggap bahan jenaka. Baru dia tahu penangan cubitan ketam ibunya.

Tanpa banyak bantahan, Syahzani akur dengan arahan ibunya. Bisa pedih dek cubitan itu digosok perlahan. Setelah siap memasak, Puan Fatimah dan Syahzani duduk di kerusi sambil menunggu kedatangan Encik Muhsin. Selang beberapa minit kemudian, Encik Muhsin yang siap berpakaian baju Melayu dan berkain pelikat turun ke dapur untuk makan malam.

“Amboi sedapnya bau.” Puji Encik Muhsin tatkala hidungnya tercium bau masakan isteri tercinta. Punggung sudah pun dilabuhkan.

“Saya masak ikan caru masak taucu hari ni. Ada orang mengidam nak makan.” Ucap Puan Fatimah sambil menyendukkan nasi ke atas pinggan Encik Muhsin dan Syahzani. Sempat lagi Puan Fatimah menjeling anaknya. Geram masih bersisa.

“Untunglah orang tu. Minta je terus dapat.” Ucap Encik Muhsin dengan nada bergurau.

“Habis selama ni kalau abang nak makan, saya tak pernah masak ke?” Bidas Puan Fatimah.

“Lambat. Kalau anak kesayangan dia balik cepat je masakkan. Yelah, siapalah kita ni.” Encik Muhsin menahan senyum dari tadi. Merajuk kononnya.

Syahzani sekadar menjadi pemerhati di meja makan. Ibu dan ayahnya adalah lambang cinta yang suci. Pasangan suami isteri itu tak kekok menunjukkan kemesraan mereka di hadapan Syahzani. Kesetiaan ayah dan ketaatan ibu bukti kebahagiaan mereka.

“Jangan nak merepek. Ni abang siap berbaju Melayu dengan kain pelikat, nak pergi mana?” Tanya Puan Fatimah kehairanan.

“Pergi mana lagi? Ke masjid lah. Syah ikut ayah sekali nanti.”

Hampir tersembur Syahzani dibuatnya semasa dia sedang meneguk air putih. “Ada apa ayah?”

“Ada pesta buih.” Spontan jawapan itu terkeluar.

“Abang...” Tegur Puan Fatimah.

“Biar betul ada pesta buih dekat masjid?” Syahzani masih kehairanan.

“Ayah kamu bergurau. Abang pun satu, kalau gurau tu melampau. Tak berfikir.” Puan Fatimah menegur suaminya.

“Lepas Isyak nanti ada majlis ceramah di Masjid Al-Amin. Alang-alang Syah balik, apa salahnya pergi sekali. Kita solat jemaah Isyak kat sana. Bukannya selalu.” Jelas Encik Muhsin.

“Lama ke majlis tu ayah? Bukan apa, Syah nak tidur awal malam ni. Penat drive pagi tadi tak hilang lagi.” Syahzani berdalih.

“Majlis ilmu tu bukannya aktiviti lasak pun. Syah cuma perlu duduk, hayati dan dengar. Adalah tanggungjawab kita sebagai orang Islam untuk hadirkan diri dalam majlis ilmu kerana mempelajari ilmu merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat sama ada secara rasmi atau tak rasmi. Di samping itu, banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah. Rasullah SAW pernah bersabda, ‘sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkannya jalan ke Syurga.’ Selain mendapat kelebihan, ia dapat menimbulkan kesedaran dan keinsafan dalam diri. Zaman sekarang, orang lebih mengejar duniawi dari akhirat. Sedangkan dunia ini hanya sementara manakala akhirat itu selamanya.” Panjang lebar Encik Muhsin memberi penjelasan. Bagi Encik Muhsin ilmu pengetahuan agama adalah sangat penting bagi menjamin kesejahteraan manusia.

Dalam-dalam Syahzani menggali nafas. Kata-kata ayahnya itu tajam dan tepat menusuk hingga ke dasar hati.

“Syah ikut jelah ayah ke masjid. Teman ayah, selalunya ibu. Boleh kan?” Puan Fatimah bertanya.

“Boleh.” Balasnya sepatah bersama senyuman kecil.

“PERTAMANYA, jodoh daripada Syaitan. Ada pasangan lelaki dan perempuan ini berkenalan dan melakukan maksiat. Akhirnya si perempuan mengandung dan mereka bernikah. Kedua, jodoh daripada Jin. Kerana cinta bertepuk sebelah tangan, akhirnya salah seorang dari mereka melakukan perkara khurafat. Contohnya si lelaki atau si perempuan sihirkan pasangan mereka agar dapat bernikah. Dan yang ketiga, jodoh daripada Allah SWT. Ia melibatkan perasaan yang lahir dari hati yang tulus dan ingin membimbing pasangannya ke jalan yang diredhai. Lalu apakah tanda-tanda dari Allah jika jodoh kita semakin mendekat?” Pertanyaan itu bergema di segenap ruang Masjid Jamek Al-Amin. Penceramah muda itu merenung setiap inci wajah para jemaah di hadapannya satu persatu.

Di satu sudut, Encik Muhsin mendengar ceramah tersebut dengan tekun. Topik yang dibahaskan adalah tentang tanda-tanda jodoh daripada Allah SWT. Sengaja Encik Muhsin membawa anak terunanya ke masjid, semoga majlis ilmu ini dapat membuka mata hati Syahzani untuk mencari akhwat yang terbaik.

Encik Muhsin menoleh sekilas ke arah Syahzani yang sedang tertunduk. Bertuah punya anak, dia tertidur rupanya. Tolakan di bahu membuatkan Syahzani tersentak dan segera mengangkat kepalanya. Seiring itu, senyuman kekok tersungging di bibirnya. Encik Muhsin menggeleng-geleng kepala. Kemudian pandangannya beralih ke hadapan semula. Syahzani yang menahan kelat dari tadi terus mendengar ceramah itu biarpun matanya terasa berat.

“Ketika seseorang bertemu dengan orang yang memiliki tingkat keimanan serta kemiripan sifat, barangkali itulah petanda daripada Allah SWT. Seperti yang terkandung dalam surah An-Nuur ayat 26, yang bermaksud ‘wanita yang tidak baik adalah untuk lelaki yang tidak baik dan lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita yang tidak baik. Manakala lelaki yang baik, adalah untuk wanita yang baik dan begitulah sebaliknya. Di dalam agama Islam, jodoh itu sudah tertulis namanya di Luh Mahfuz bahkan jauh sebelum kita dilahirkan, sebelum manusia diciptakan. Jodoh itulah yang akan ditakdirkan untuk menjadi pendamping hidup kita di dunia, akhirat dan Insyallah di Syurga kelak. Jadi kita sebagai hambanya tak perlu bingung atau terlalu memilih dalam mendapatkan jodoh. Kerana sesungguhnya, jodoh yang akan datang merupakan hasil dari setiap doa dan usaha kita. Jika kita ingin mendapatkan jodoh yang membawa kepada kebahagiaan, maka berusahalah dulu mendapatkan cinta Allah SWT. Kerana semua yang berlaku di atas muka bumi ini, hanya ada satu kekuatan yang mengawalnya. Iaitu Allah yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu.” Panjang lebar penceramah itu menyambung hujahnya.

Jauh di sudut perasaan, Syahzani menghadam maksud surah itu hingga ke dasar hatinya. Lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik. Jika benar, mungkin sampai bila-bila dia tidak akan bertemu dengan seseorang yang mampu mengubahnya. Jika ada pun, adakah wanita itu mampu bertahan dan bersabar dengannya? Ataupun menerima segala kekurangan dirinya. Suara penceramah itu kedengaran sayup di gegendang telinga. Syahzani memilih untuk melayan perasaannya sendiri. Hatinya dipagut resah. Walaupun berada di dalam rumah Allah, jiwanya tak tenteram.

Ya Allah, apa sebenarnya yang aku cari? Bisik hati Syahzani yang paling dalam.

“ASSALAMUALAIKUM.” Sapa Encik Mohamad saat terlihat Encik Muhsin yang baru saja keluar dari perkarangan Masjid Jamek Al-Amin.

Serentak kepala Encik Muhsin dan Syahzani menoleh ke arah suara itu. Langkah mereka terhenti ketika seorang lelaki berkopiah menghampiri bersama senyuman lebar.

“Waalaikummusalam.” Encik Muhsin menjawab salam sambil menghulur tangannya.

Syahzani hanya berdiri dan melihat kedua-dua lelaki itu saling berbalas pelukan mesra. Lagaknya seperti sahabat lama yang terpisah. Setelah itu gilirannya pula berjabat tangan. Dia mengangguk sedikit tanda hormat. Otaknya cuba mengingati wajah itu, namun ingatannya samar-samar. Maklumlah, orang rajin balik kampung.

“Bila kali terakhir kita jumpa, Sin?” Dahi Encik Mohamad berkerut sedikit semasa bertanya.

“Rasanya tahun lepas, waktu raya haji. Kita sama-sama sembelih lembu di surau Taman Koperasi.” Balas Encik Muhsin yang separuh yakin.

“MasyaAllah. Hampir setahun tak jumpa. Kau sihat, Sin?” Tanya Encik Mohamad yang kelihatan teruja.

“Alhamdulillah.” Senyuman nipis tersisa di bibir Encik Muhsin.

Kemudian pandangan Encik Mohamad beralih pada lelaki muda yang tegap di sebelahnya. “Ini anak kau?”

Encik Muhsin mengangguk sambil tersenyum. “Kenapa? Handsome macam ayah dia kan?”

Ketawa mereka saling bersambut. Ada segaris senyuman nipis yang terbit di hujung Syahzani saat dipuji secara berdepan. Dia sudah biasa mendapat pujian seperti itu. Normal baginya.

“Jarang nampak anak kau. Kerja di mana?” Encik Mohamad bertanya lagi.

“Saya kerja di JB.” Syahzani menjawab bagi pihak ayahnya.

“Sebagai apa?” Encik Mohamad ingin tahu.

“Arkitek.” Balas Syahzani sepatah.
“Baguslah muda-muda dah berkerjaya.” Puji Encik
Mohamad sambil menepuk bahu bidang Syahzani.

“Alhamdulillah berkat doa ibu ayah saya.” Syahzani merendah diri.

“Bila dah ada kerja yang bagus, jangan sia-siakan. Kerana kerja itu satu amanah. Maklumlah sekarang ni memang susah nak cari kerja yang menjamin masa depan.” Seiring itu, satu keluhan ringan terlepas keluar dari bibir Encik Mohamad.

“Nampak resah je Mat, ada masalah ke?” Encik Muhsin tiba-tiba bertanya. Melalui getaran nada dan air muka Encik Mohamad, dia dapat mengagak ada sesuatu yang bermain di fikiran sahabatnya.

Untuk beberapa saat Encik Mohamad memandang tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba dia berasa segan kerana Encik Muhsin mempunyai reputasi di bandar Batu Pahat. Niat baiknya membangunkan sebuah rumah anak yatim di tengah bandar sangat dipandang tinggi. Tambahan pula, orang ramai sering meminta bantuannya. Baik dari segi duit ataupun kerja. Disebabkan itu, Encik Mohamad teragak-agak menyuarakan hasratnya. Walaupun bersahabat, dia tidak mahu dianggap mengambil kesempatan.

“Mat, janganlah malu-malu. Aku tahu ada benda kau nak cakap.” Ucap Encik Muhsin ketika melihat lelaki di hadapannya diam tidak berkutik.

“Memang ada hajat. Tapi serba salah aku dibuatnya.” Kata Encik Mohamad lantas menggaru kepala.

“Janganlah macam tu. Mana tahu ada yang aku boleh bantu.” Tenang saja nada suara Encik Muhsin.

“Aku nak tanya, kalau-kalau di rumah anak yatim tu ada kerja kosong?” Soal Encik Mohamad. Rasa malu itu semakin bercambah. Lebih-lebih lagi dia bertanya di hadapan anak lelaki Encik Muhsin.

Namun Syahzani kekal diam. Dia tidak mahu mengganggu perbualan penting itu

“Ada tu memang ada. Tapi untuk siapa?” Encik Muhsin ingin kepastian.

“Untuk anak perempuan aku, Ainnun Maryam. Sebelum ni dia kerja sebagai kerani kilang. Tapi dah berhenti. Sekarang tengah cari kerja. Kalau boleh aku nak dia kerja dekat sikit dengan keluarga. Manalah tahu ada rezeki.” Ucap Encik Mohamad.

Encik Muhsin segera tersenyum kemudian dianggukan kepalanya. Bagai pucuk dicita ulam mendatang. Baru saja pagi tadi dia berbual dengan Syahzani mengenai pembantu am yang amat dia perlukan. Nampaknya secepat itu Allah memakbulkan permintaannya.

“Memang aku perlukan pembantu am di rumah anak yatim tu. Maklumlah, aku ni dah berusia. Kena ada minda orang muda yang ingatkan. Beginilah Mat, esok pagi suruh anak kau datang ke pejabat. InsyaAllah, ada kerja kosong untuk dia.” Cadang Encik Mohamad. Dia tidak mahu memperpanjang perbualan dan menganggap jawatan itu sudah ada pemiliknya.

Membulat habis anak mata Encik Mohamad ketika mendengar jawapan yang berbaur positif. Memang benarlah. Rezeki tak pernah salah alamat. Syukur Alhamdulillah, Ya Allah. Kau mudahkan rezeki Ain. Doanya di dalam hati.

Tak sabar rasanya Encik Mohamad hendak menyampaikan berita gembira ini kepada anaknya. Tangan Encik Muhsin dia salam dan genggam erat-erat.

“Terima kasih banyak-banyak Sin.”

Encik Muhsin menggosok bahu sahabatnya sambil tersenyum. “Rezeki anak kau. Apa-apa hal bincang dulu dengan dia. Pintu pejabat aku sentiasa terbuka. Kalau tak ada apa-apa lagi, aku minta diri dulu. Bila ada masa, InsyaAllah kita jumpa lagi.”

“InsyaAllah...” Barulah Encik Mohamad berasa lega.

“Jom Syah, kita balik.” Ajak Encik Muhsin. Badannya mulai terasa letih. Ada baiknya dia pulang sekarang untuk menempuh hari esok.

Syahzani akur dengan arahan ayahnya. Dia menyalam tangan Encik Mohamad sebelum membuka langkah pergi. Hatinya berkutik sendiri. Nama itu menangkap perhatian Syahzani. Jika dipandang dari makna Islam, Ainnun bermaksud mata manakala Maryam adalah nama ibu kepada Nabi Isa AS. Entah kenapa, tetapi dia seakan-akan menyukai nama itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience