Bab 12

Romance Series 52057

Raissa menggaru kepala yang tidak gatal, dari pagi tadi dia ke hulu ke hilir mencari telefonnya. Faqih sudah lama ke tempat kerja. Hampir dua minggu cuti semester diluangkan sendirian. Habis saja cuti Faqih hari itu, Faqih kembali sibuk. Selalu saja Faqih pulang setelah Raissa sudah tidur.

Akhirnya telefon bimbit ditemui di atas karpet di ruang tamu. Dahinya ditepuk perlahan, dari tadi dia mencari di ruang tamu. Satu panggilan terlepas daripada Danny membuatkan keningnya bertaut. Mesej daripada Farah dibuka.

Danny tu asyik tanya pasal kau je, korang ada apa-apa ke? - Farah

Raissa terdiam sejenak. Sejujurnya dia masih tidak percaya yang Danny menyukainya lebih daripada seorang kawan. Tidak mungkinlah Danny serius tentang hal itu. Keluhan perlahan dia lepaskan. Sepatutnya dari awal dia sudah mengelak daripada berteman dengan Danny.

Tak ada apa-apa. Kau buat apa je kat rumah?

Mesej Farah dibalas. Farah terlihat sedang menaip. Belum sempat Farah membalas mesejnya, panggilan daripada Danny masuk. Raissa membiarkan panggilan tidak dijawab seketika. Beberapa saat kemudian, punat hijau ditekan.

"Raissa..." Kedengaran suara Danny dari talian sebelah. Suaranya kedengaran sedikit tidak teratur.

"Kenapa call saya ni?" Raissa melangkah ke balkoni. Pandangannya tertumpu ke arah simpang masuk untuk ke kawasan perumahan itu. Sedikit berharap Faqih pulang, walaupun Faqih tidak pernah pulang untuk makan tengahari.

"Saya dah putus dengan Riana." Tidak teragak-agak Danny mengatakan itu. Raissa tercengang. Sangat membingungkan perilaku Danny itu.

"Apa kena mengenanya dengan saya?" Danny kedengaran menarik nafas panjang.

"Jadi girlfriend saya?" Raissa terus menepuk dahi lalu meraup wajahnya.

"Saya tak suka awak Danny. Nampaknya awak dah lupa janji awak hari tu. Jadi kawan pun kita tak boleh lagi. Maafkan saya." Talian terus dimatikan. Sakit kepalanya memikirkan tingkah laku Danny itu. Terus saja nombor telefon Danny dia sekat.

Pelik semacam dah aku dengan Danny tu. Kau tahu kali ni dah hari ke empat dia belikan aku makanan semata-mata nak tahu pasal kau. Tapi kau jangan risau, aku bagitahu benda basic je.

Raissa tersenyum membaca perkataan basic itu. Setelah membalas mesej Farah, dia terus mematikan telefon dan turun ke dapur untuk membersihkan apa yang patut. Rumah itu masih lagi terasa janggal untuknya dan dia masih menganggap dirinya hanya menumpang di situ.

Manakan tidak, hubungannya dengan Faqih masih belum ada kata putus yang sebenar-benarnya. Walaupun Faqih sudah berkata bahawa dia tidak akan melepaskan Raissa, siapa tahu jika lelaki itu mengubah fikirannya. Tangannya yang membasuh pinggan terhenti.


Pandangannya menghala tepat ke dinding sambil minda berfikir ligat. Hubungan mereka, adakah perlu diteruskan jika masing-masing tidak merasakan cinta yang sebenar-benarnya? Keluhan perlahan dia lepaskan. Jujur dia juga tidak tahu bagaimana untuk mendefinisikan hubungan mereka ketika itu.

Tidur sebilik dan sekatil namun belum pernah melepasi batas yang satu itu. Senang dengan kehadiran masing-masing walaupun tidak banyak bicara. Hubungan mereka, boleh dikatakan hanya sekadar memenuhi ikatan yang sudah terlaksana. Raissa menyayangi Faqih layaknya seorang insan yang sudah dia kenali dari kecil, dan Faqih mungkin juga menyayanginya atas dasar yang sama.

Raissa menggelengkan kepalanya apabila dia menyedari dirinya terlalu berfikir. Basuhan pinggan dihabiskan sebelum dia kembali ke ruang tamu dan merehatkan dirinya seperti hari-hari sebelumnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience