"Raissa!" Panggilan Danny membuatkan langkah Raissa menuju ke kafe terhenti. Tergesa-gesa lelaki campuran Cina-Melayu itu mengejarnya.
"Saya nak minta maaf." Raissa melepaskan keluhan perlahan.
"Awak betul-betul menyesal?" Wajah Danny dipandang meminta kepastian. Danny terdiam, dia sedar perbuatannya keterlaluan.
"Ya, saya sedar saya salah. Saya tak patut buat macam tu." Melihatkan penyesalan pada wajah Danny, Raissa akhirnya akur. Tiada gunanya dia hendak mengelak lagi daripada Danny jika benar lelaki itu sedar kesalahannya.
"Ingat Danny, perempuan ni bukan macam baju nak tukar-tukar sesuka hati." Raissa meneruskan langkah dan dituruti oleh Danny dengan wajah yang masih muram.
Luahan cinta Danny terhadapnya sebelum cuti benar-benar membuatkan Raissa terkejut, namun apa yang lebih mengejutkan ialah apabila Danny mengatakan sanggup putus dengan Riana demi Raissa. Kalau Raissa suka pada Danny pun belum tentu dia sanggup menyakiti hati perempuan lain demi kepentingannya.
"Kita masih boleh jadi kawan kan?" Pertanyaan itu membuatkan Raissa pandang wajah Danny dalam. Lelaki berkulit cerah dengan wajah yang kacak itu benar-benar punya ciri-ciri buaya, entah kenapa dia tidak pernah menyedari hal itu.
"Kalau awak okay, saya tak ada masalah." Danny akhirnya mampu tersenyum. Raissa hanya mampu mengeluh perlahan. Danny benar-benar tidak boleh dijangka.
Farah yang baru saja tiba ke kafe mencari-cari kelibat Raissa. Pandangannya terarah ke hadapan apabila melihat kelibat Raissa dan Danny yang beriringan menghampiri kafe. Sudah lama dia tidak melihat mereka bersama.
Sangkaannya yang mereka bergaduh rupanya salah. Tidak mahu mengganggu perbualan mereka, dia bergerak menuju ke kaunter, nantilah dia menegur mereka. Sambil itu dia memikirkan apa yang akan dia beli untuk makan tengahari.
"Happy nampak, tak makan?" Farah menegur Danny yang tersenyum senang sambil memerhati Raissa yang sedang memilih makanan. Senyumannya mati melihat kehadiran Farah.
"Senyum pun salah ke?" Farah mencebikkan bibir dengan jawapan selamba Danny.
"Kau ingat Danny, kau jangan nak try Raissa tu. Kalau aku tahu, siap kau aku kerjakan." Danny tersenyum sinis, wajah manis yang dia paparkan kepada Raissa kini hilang serta-merta.
"Kau yakin ke kau dengan Raissa tu kawan rapat? Aku nampak macam kau tak tahu apa-apa pasal dia." Farah terdiam, memikirkan maksud di sebalik kata-kata Danny.
"Kau tahu apa? Makan je, sebab tulah badan kau besar macam gajah." Menyirap darahnya mendengarkan label gajah daripada Danny.
"Badan aku kau jangan nak hina Danny! Dasar buaya!" Danny mahu membalas, namun melihatkan Raissa yang menghampiri, dia hanya mampu diam. Wajahnya terus dimaniskan. Farah yang meluat dengan kepalsuan wajah Danny terus mengalihkan pandangan kepada makanannya.
Raissa yang baru tiba di meja sudah dapat mengagak apa yang terjadi. Farah dan Danny memang selalu saja bermasam muka kalau berjumpa. Dia pun tidak tahu menahu atas sebab apa dua sahabatnya itu berbalah.
"Tak makan Danny?" dia duduk di sebelah Farah. Danny gelengkan kepalanya, masih lagi tersenyum manis.
"Buaya mana makan nasi." Farah mencelah tanpa pandang wajah Danny. Danny sempat memandang tajam gadis itu sebelum kembali pandang ke arah Raissa.
"Saya makan dengan Riana nanti." Raissa hanya angguk faham sebelum mula menyuapkan nasi ke mulut. Sesekali Farah dan Danny berbalas pandangan tajam.
'Gajah.' Danny membuat gerak bibir yang boleh difahami oleh Farah.
'Buaya.' Farah membuat perkara yang sama.
Share this novel