Bab 8

Romance Series 52057

Faqih tersenyum senang melihat kehadiran Raissa. Raissa yang melihatnya dari jauh melambai perlahan. Bagasi ditarik menuju ke kereta. Tangan kanan Faqih dicapai dan dikucup lembut.


"Abang dah lama tunggu?" Raissa bertanya sambil melihat Faqih memasukkan bagasi ke dalam bonet kereta.


"Tak lama. Raissa dah makan?" Laju Raissa mengangguk apabila Faqih memandangnya.


Faqih memandu meninggalkan perkarangan kolej kediaman. Sepasang mata yang dari tadi memerhati tidak lepas sehinggalah kereta itu hilang dari pandangan.


"Danny?" Teguran Riana membuatkan Danny sedikit terkejut.


"Awak okay tak ni?" Danny hanya tersenyum nipis.


"Okay. Jomlah makan."


Deringan telefon membuatkan Farah yang lena terjaga. Dipisat-pisatkan matanya. Samar-samar cahaya mentari petang menjenguk wajahnya di sebalik tingkap yang terbuka.


"Hello?" Tidak sempat melihat nama pemanggil, dia terus menjawab panggilan dengan suara yang serak.


"Awal sangat kau tidur ni gajah." Terus saja Farah terduduk dan pandang skrin telefon. Tertera nama 'by' di atas skrin.


"Apa kau nak ni buaya?" Penat hendak berbalah, Farah menjawab tenang.


"Raissa ada abang ke?" Berkerut dahi Farah mendengar pertanyaan Danny.


"Raissa ada adik perempuan je. Dia mana ada abang, abang sepupu pun tak ada. Mak ayah Raissa anak tunggal." Farah memberitahu apa yang dia tahu sepanjang menjadi sahabat Raissa. Danny diam sejenak.


"Dah? Aku nak tidur ni." Farah kembali berbaring sambil memejamkan mata.


"Kau ni asyik tidur saja. Pergilah joging sana, memang patut pun kau gajah." Sempat Danny mengata sebelum mematikan talian. Farah terus melempar telefon ke hujung katil dan terus menyambung tidurnya.


Raissa mengikuti langkah Faqih masuk ke dalam rumah. Bagasinya dibawa oleh Faqih menuju ke tingkat atas. Langkah dipercepatkan untuk menyaingi langkah Faqih yang laju. Entah apa yang dia kejarkan.


"Ini bilik Raissa." Faqih membuka pintu bilik pertama di sebelah kanan. Di tingkat atas terdapat empat buah bilik di mana setiap bilik dipisahkan oleh 3 ruangan kecil menuju ke ke pintu balkoni dan satu ruangan yang menghala ke tingkat bawah. Di tengah-tengah empat bilik itu pula terdapat satu ruangan rehat lengkap dengan set sofa dan televisyen.


"Tapi kalau Raissa nak bilik lain, Raissa boleh pilih." Raissa gigit bibir perlahan, suasana tingkat atas itu sedikit suram jika bilik-bilik yang lain kosong.


"Bilik abang kat mana?" Teragak-agak dia bertanya. Jika Faqih kata biliknya di tingkat yang sama, tidaklah dia rasa seram sangat.


"Bilik abang ada kat bawah." Mendengarkan itu, Raissa terus capai bagasinya dari tangan Faqih.


"Raissa nak sebilik dengan abanglah." Tanpa menunggu jawapan Faqih, dia terus menuruni anak tangga sambil menjinjit bagasinya. Faqih tergelak kecil, dia tidak menyangka Raissa takut bersendirian.


"Pintu putih tu." Cepat-cepat Raissa membuka pintu bilik dan masuk. Sedikit terpegun dia melihat rekaan dalam bilik tersebut. Bilik yang besar itu mempunyai pintu di setiap sudut bilik. Di hadapan katil bersaiz king pula terdapat sebuah sofa besar yang menghadap tepat sebuah televisyen.


Semua itu terlihat asing bagi Raissa yang hidup di rumah peninggalan arwah datuknya. Dipandang wajah Faqih tidak percaya.


"Abang ke yang design rumah ni?"


"Iya. Dah lama abang design, 2 tahun lepas baru abang dapat buat rumah ni. Alhamdulillah dua bulan lepas siap. Bagaikan mahu saja Raissa tanya dari mana Faqih dapat duit sebanyak itu dalam waktu yang singkat.


"Abang tak buat kerja lain." Faqih bagaikan dapat membaca isi hati Raissa. Bagasi Raissa ditarik menuju ke sebuah pintu. Raissa mengikuti tanpa bicara.


"Ini almari Raissa." Raissa terkelip-kelip, ruangan yang lengkap dengan pelbagai jenis rak itu tidak mampu dia terima. Bajunya yang ada pun tidak dapat memenuhi suku daripada ruangan itu.


Belum sempat Faqih menjelaskan lagi, telefonnya berdering. Cepat-cepat dia melangkah keluar dari ruangan itu dan menyambut panggilan di luar. Raissa meninggalkan bagasinya dan turut sama keluar.


"Yana... " Mendengarkan Faqih menyebut nama itu, Raissa terus terkaku. Dia melangkah masuk ke ruangan tadi perlahan. Wajahnya terus jadi muram.


"Apa yang dah jadi ni Yana? Kenapa lari dan tak bagitahu apa-apa?" Suara Faqih kedengaran semakin perlahan apabila dia keluar dari bilik. Setelah yakin Faqih sudah keluar dari bilik, barulah Raissa keluar semula. Jam di dinding sudah menunjukkan ke angka 6.



Yana yang duduk terus saja berdiri setelah mendengarkan bicara Faqih di talian sebelah. Walaupun dia meninggalkan pernikahan mereka, dia tidak menyangka majlis masih diteruskan.


"Sampai hati awak. Kenapa tak batalkan saja majlis tu? Kenapa sampai perlu kahwin dengan orang lain?" Nada suara Yana jadi tinggi. Cepat-cepat Faqih jauhkan telefon dari telinga.


"Dah tak ada pilihan lain Yana. Awak yang lari."


"Saya cuma perlukan masa. Itu pun awak tak boleh nak bagi?" Jawapan Yana membuat Faqih kerutkan dahi. Alasan yang membuatkan keluarganya mendapat malu, bagaikan hal kecil bagi wanita itu.


"Semuanya dah berakhir Yana. Saya cuba hubungi awak untuk beritahu hal ini. Mulai dari hari awak lari, kita dah tak ada apa-apa. Awak boleh cari kehidupan awak sendiri tanpa terikat dengan sesiapa." Lebih baik mengakhiri daripada tergantung begitu saja.


"No... Faqih, kita masih boleh teruskan. Ceraikan dia dan kita kembali macam dulu? Kita tak perlu nak kahwin terus." Yana sudah gelabah. Jika Faqih benar-benar mengakhiri segalanya, bagaimana dengan dia? Faqih melepaskan keluhan berat.


"Saya tak boleh Yana. Perasaan saya dah tak sama macam dulu. Awak tahu apa yang awak dah buat." Faqih yang berhati lembut itu tidak mampu untuk mengungkit segalanya.


Hatinya sudah tawar untuk menerima wanita itu kembali. Cukuplah selama ini dia menjadi bodoh kerana rasa sayang sehingga dia selalu memaafkan Yana. Cukuplah dia menjadi lelaki dungu yang menuruti segala keinginan wanita itu.


"Tak terdetik pun di hati saya untuk tinggalkan awak macam ni, tapi kita memang tak boleh bersama. Maafkan saya atas segalanya, awak boleh cari kebahagiaan awak sendiri, dan saya akan cari kebahagiaan saya sendiri."


Setelah itu Faqih terus memutuskan panggilan. Terasa ringan sedikit beban di bahunya. Mungkin itu jalan yang terbaik.

I will try to keep publishing, terima kasih sudi baca <3

Share this novel

rimatanti
2021-11-08 10:23:07 

Semoga bahagia milik faqeh


NovelPlus Premium

The best ads free experience