Para tetamu semakin banyak datang. Raissa menunggu di bilik Faqih. Bilik yang sepatutnya menjadi bilik pengantin. Wajahnya yang hanya bertempek bedak sejuk dan bibir yang dioles dengan lip balm direnung pada pantulan cermin meja solek. Memang tidak dijangka, ketika sedang sibuk memikirkan peperiksaan akhir, tiba-tiba dia menjadi isteri orang.
Walaupun agak cepat untuk menerima, jika Faqih sudi menerimanya sebagai isteri, sudah tentu dia seribu kali sudi. Ketukkan pada pintu bilik mengejutkannya dari lamunan. Terjengul wajah Nisrin yang tersenyum lebar. Remaja berusia 14 tahun itu terus masuk ke dalam bilik dan duduk di atas katil.
"Nisrin masih terkejut lagi ni kak. Tak sangka..." Raissa sudah tidak mampu berkata apa. Dia hanya mampu tersenyum nipis. Senyuman Nisrin demakin lebar. Bagaikan ada sesuatu yang ingin dia katakan, namun ditahan. Baru saja dia hendak berkata lagi, pintu bilik dibuka dari luar.
Terjengul wajah Faqih yang kelihatan agak lesu. Melihatkan Nisrin di situ, dia memberi isyarat jari supaya adiknya itu keluar. Tanpa banyak soal, Nisrin keluar dari bilik itu dengan sengihan yang masih tersisa. Faqih menutup pintu bilik di dan melangkah menghampiri Raissa.
"Abang minta maaf." Faqih duduk bersila di atas lantai berhampiran kerusi yang diduduki Raissa. Melihatkan Faqih yang tunduk sambil mengusutkan rambutnya, Raissa ikut duduk bersimpuh di atas lantai. Mereka duduk berhadapan. Raissa merenung Faqih yang tunduk memandang lantai.
"Ini semua salah abang." Faqih melepaskan keluhan berat.
"Benda dah jadi." Faqih angkat wajah apabila Raissa bersuara. Pandangan mereka bertaut. Raissa tersenyum nipis menampakkan lesung pipit di pipi kirinya. Terpana Faqih seketika apabila melihat senyuman Raissa yang sudah lama tidak diukirkan untuk dia.
Sejak bergelar remaja, Raissa sering saja mengelak berpandangan dengannya. Apatah lagi untuk bertegur sapa. Sukar untuk dia gambarkan perasaannya ketika itu. Rasa bersalah kerana membuatkan Raissa terjebak ke dalam pernikahan mereka masih kuat.
"Raissa tak kisah kahwin dengan abang?" Mata bundar Raissa direnung dalam cuba mencari kebenaran dalam kata-katanya. Raissa mati kata. Memang dia tidak kisah, dia malah rasa lega.
"Kalau Raissa tak sudi, Raissa dah lari." Lari. Faqih menarik nafas panjang. Perkataan lari itu kembali membuatkan dia rasa sedih. Jika benar sekalipun Yana tidak sudi berkahwin dengannya, sepatutnya gadis itu tidak lari pada hari pernikahan mereka.
"Tapi Raissa tak lari sebab tak ada pilihan lain kan?" Pertanyaan Faqih membuatkan Raissa terkelip-kelip. Pertanyaan itu membuatkan ia kedengaran seperti Raissa dipaksa di dalam pernikahan mereka. Mungkin benar itu paksaan, namun dia bersetuju dengan adanya pujukkan umi dan kerana isi hatinya sendiri.
"Abang tak sudi ke Raissa jadi isteri abang?" Mendengarkan Raissa membahasakan dirinya 'abang' tanpa Faqih seperti biasa membuatkan Faqih sedikit tergamam. Pintu diketuk dari luar membuatkan perbualan mereka terhenti di situ.
Walaupun para tetamu yang terdiri daripada penduduk kampung sedikit bingung melihat Raissa yang menjadi pengantin perempuan, mereka tidak banyak bertanya. Majlis persandingan juga berjalan lancar. Pasangan pengantin di atas pelamin pula hanya mampu mengukirkan senyuman.
Majlis berakhir sepenuhnya pada pukul 10 malam setelah para tetamu pulang. Raissa menanggalkan pakaian persandingan yang dia tidak tahu bila disiapkan oleh mamanya. Kini dia hanya mengenakan tank top melebihi paras lutut. Ikatan pada rambutnya dibuka dan dibiarkan rambut panjangnya lepas.
Sedikit lega setelah hampir seharian rambutnya diselindungkan di bawah selendang. Semua kelengkapan sudah pun disiapkan oleh mamanya di dalam beg pakaian kecil. Tuala dikeluarkan dari beg sebelum langkah dibawa menuju ke bilik air.
Faqih masuk ke dalam bilik setelah Raissa menutup pintu bilik air. Jantung berdegup kencang memikirkan pemandangan yang dilihatnya sebentar tadi. Raissa memang cantik, namun melihat dia dalam keadaan tadi, dia terlihat lebih cantik. Nafas ditarik panjang sebelum dihela perlahan.
Setelah mengambil pakaian tidurnya, dia terus keluar dari bilik. Berhati-hati dia memandang sekeliling sebelum memasuki bilik tetamu di tingkat bawah.
Raissa memandang ke arah pintu bilik. Dari tadi dia menunggu Faqih. Rambut ikalnya yang sudah kering oleh pengering rambut disikat perlahan. Sesekali dia melirik jam di dinding, sudah pukul 1 pagi. Tanpa mengunci pintu dia menutup lampu dan baring di katil. Mata dipejamkan rapat dan perlahan-lahan dia terlelap.
"Apa yang Faqih buat kat bilik tetamu ni?" Pertanyaan pak su membuatkan Faqih yang hampir terlelap memisatkan matanya. Bilik itu sebenarnya disiapkan untuk pak su, tapi dia lambat sikit masuk tadi.
"Faqih terlelap pak su." Faqih sengaja membuat alasan. Dia yang sudah berbaju tidur diamati oleh pak su atas bawah. Pak su menggelengkan kepalanya.
"Bangun pergi naik atas." Mahu tak mahu Faqih keluar juga dari bilik itu dan melangkah ke biliknya. Nafas dihela perlahan sebelum dia membuka pintu. Ruangan bilik masih diterangi oleh samar-samar lampu tidur di sisi katil.
Melihatkan Raissa yang sudah tidur membelakang, perlahan Faqih baring di sebelahnya. Mahu tidak mahu dia perlu biasakan hal itu. Dia tidak akan mempersia-siakan perkahwinan mereka begitu saja.
Penat dengan apa yang terjadi seharian itu, dia turut sama terlelap.
Share this novel