Bab 6

Romance Series 52057

Raissa yang tidak senang hati masih lagi terjaga. Pandangannya menghala tepat ke arah siling. Farah sudah lama lena di katilnya. Kipas yang berpusing pula yang diperhati. Dia bangun dari perbaringan dan duduk. Pandangan dihalakan ke arah telefon di atas meja belajar di hadapan katil.

Sudah tiga minggu sejak Faqih menghantarnya pulang ke kolej, namun belum pernah sekalipun Faqih menghubunginya. Hanya mesej pemberitahuan dari bank saja yang sampai apabila Faqih mengirimkannya duit belanja pagi tadi.


Tidak mampu melelapkan mata, dia turun dari katil dan duduk di atas kerusi. Telefon dihidupkan dan terus didail nombor Faqih. Jam sudah menunjukkan ke angka 1, sangkanya Faqih sudah tidur jadi dia hanya akan meninggalkan panggilan tidak berjawab. Sangkaannya meleset apabila hanya 2 kali deringan, panggilannya terus bersambut.


"Assalamualaikum Raissa," kedengaran suara Faqih di talian sebelah. Raissa diam.


"Raissa?" Lembut Faqih menegur dari talian sebelah. Dia yang masih lagi berjaga untuk menyiapkan prototaip bangunan berjalan menuju ke balkoni. Melihatkan nama pemanggil tadi, dia jadi lega. Serba-salah dia hendak menghubungi Raissa sepanjang tiga minggu itu kerana risau mengganggu.


"Waalaikumussalam, abang sihat?" Raissa akhirnya bersuara. Suara lembut Raissa membuatkan Faqih tersenyum. Satu rasa asing menjengah di hati.


"Abang sihat, Raissa sihat?" Tubuh disandarkan pada penghadang balkoni. Dalam samar-samar lampu dari luar tingkap, Raissa bangun dan keluar dari bilik menuju ke taman di belakang kolej. Lampu solar masih menerangi sekitar taman.


"Raissa sihat." Lama mereka membisu. masing-masing melayani perasaan sendiri.


"Esok Raissa dah habis peperiksaan, abang jemput Raissa boleh?"


"Boleh," diam lagi. Masing-masing tidak tahu apa yang hendak dibualkan lagi.


"Selamat malam abang."


"Selamat malam Raissa."


Setelah berpamitan, talian dimatikan. Lama dia merenung skrin telefon yang sudah gelap. Rasa terkilannya terhadap Faqih lebur begitu saja. Rasa rindu pula yang menghimpit jiwa. Walaupun masih belum lega sepenuhnya, dia akhirnya dapat melelapkan mata.


Faqih tersenyum senang. Lega apabila dapat berbicara dengan Raissa. Sebagai seorang yang agak lambat dalam hal perhubungan, itu merupakan salah satu sebab dia seringkali gagal dalam percintaan. Faqih bukanlah jenis yang akan bertindak lebih dulu dalam sesuatu hal.


"Kau balik terus ke Ica?" Farah bertanya apabila melihat Raissa yang sedang berkemas setelah masuk ke dalam bilik.


"Ya, kau balik bila?" Raissa menyusun buku-buku ke dalam kotak. Farah duduk di atas katil sambil memerhatikan Raissa yang kelihatan tergesa-gesa.


"Esok kot, abang aku sibuk hari ni." Raissa yang maklum Farah hanya tinggal berdua dengan abangnya mengangguk faham.


"Nanti kejutkan aku kalau kau nak turun tau, aku nak tidur kejap." Tanpa menanggalkan tudung di kepala, Farah terus baring dan pejamkan mata.



"Nak ambil cuti lagi?" Mikael kerutkan dahi apabila melihat surat yang diberikan Faqih tadi.


"Isteri aku dah mula cuti, sementara tak sibuk sangat ni aku fikir nak luangkan masa sikit dengan dia." Jujur dia menjawab.


"Kalau macam tu aku tak boleh nak halang. Dua hari je, cukup ke?" Melihat tarikh yang tertera di atas surat, Mikael sekali lagi kerutkan dahi.


"Cukup." Mikael tersenyum mendengar jawapan Faqih. Teringat dia akan isteri tersayang di rumah. Jangankan dua hari, setahun pun belum tentu cukup cutinya jika untuk isteri tersayang.


"Aku akan tunggu sampai kau cakap dua hari tu tak cukup." Bahu Faqih ditepuk perlahan sebelum cop dan tandatangan diturunkan ke atas surat tersebut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience