BAB 10

Romance Completed 10117

“ Terima kasih sebab sudi terima abang walaupun Aira sendiri tak tahu abang ni macam mana orangnya,” Aryan bersuara tika kami mengambil angin di beranda. Aku senyum kepada dia yang berjaya mencuit hati ini.

“ Terima kasih juga sebab abang sudi tunggu Aira walaupun abang sendiri tak pasti Aira akan terima abang ke tak,” jemarinya aku genggam. Tubuhku dipusingkan menghadap dirinya sebelum Aryan mengeratkan lagi pelukan di tubuhku.

“ Jodoh itu rahsia Allah, sayang. Pertama kali abang jumpa Aira dekat pantai hari tu, hati abang mula berdebar. Tapi, abang bimbang, itu cuma mainan perasaan. Untuk seketika, abang biarkan perasaan itu. Namun, perancangan Allah maha hebat! Kita bertemu lagi kali kedua di pasar, tapi orang tu tak perasan abang pun kan?” aku sengih mengingatkan peristiwa lama. Peristiwa di mana aku langsung tidak menyedari akan wujudnya dia.

Pertemuan pertama kami di tepi pantai itu merungkai kekusutan yang melanda jiwa. Telahanku tentang statusnya ketika itu rupanya tidak tepat. Wanita yang ku lihat bersama dia sebenarnya ialah kakak kandungnya sendiri, Kak Afira Wahidah. Dan pertemuan kedua itu pula bermula dengan sesi perkenalan daripada ummiku sendiri. Ya! Ummilah yang mengatur pertemuan itu untuk kami, namun sayangnya aku tidak memberi sebarang reaksi akan peristiwa tersebut membuat ummi menganggap aku masih belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“ Pertemuan kedualah yang membuat abang yakin yang jodoh abang dah sampai. Istikharah abang kepada Pencipta kita juga menemukan jawapan yang sama. Sebab tu, abang beranikan diri jumpa ummi dan abah untuk suarakan hasrat abang. Abang berani mati je pergi hari tu, tapi alhamdulillah, umi dan abah terima hasrat abang.. abang bimbang juga, bimbang Aira akan tolak.tapi, syukur. Memang sayang abang ni dah Allah tetapkan untuk menjadi pemilik hati abang,”

“ Dan kini.. dia dah sah menjadi milik abang, kan? Sekarang, cinta kita sudah pun halal. So, Aira nak ayat-ayat cinta, boleh?” aku senyum menggoda. Goda suami sendiri okey! Aryan menarik hidungku.

“ Sakitlah abang..! Tahulah hidung kita tak mancung macam dia,” aku pura-pura merajuk, hanya untuk membuat dia memujuk. Terserlah kemanjaanku di situ. Manja untuk yang halal, apa salahnya, bukan?

“ Cinta abang, rindu abang, sayang abang, hanya untuk seorang teman. Teman yang bakal menemani hari-hari abang selepas ini. Teman yang akan menggenggam erat tangan abang di saat abang jatuh. Teman yang akan memimpin tangan abang di saat abang tersalah arah. Teman yang akan memeluk abang di saat abang resah. Teman yang akan setia di sisi abang setiap masa, setiap ketika, di setiap perjalanan abang dalam menggapai cinta Allah. Hanya untuk teman yang sedang menemani abang di bawah langit Allah,” dahiku dikucup lembut. Aku senyum bahagia. Tubuh itu aku rangkul erat. Bahagia dengan cinta yang Allah titipkan ke dalam hati kami.

“ Dia yang akan membimbing Aira dalam mendalami ilmu-ilmu Allah. Dia yang akan memimpin Aira dalam menuju cinta Allah. Dia yang kini menjadi pengganti abah untuk membawa Aira ke jalan keredaan Allah. Hanya dia. Pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul, Aryan Muqri!”

Aryan melabuhkan pandangannya ke wajahku. Aku menunduk malu. Sukar sebenarnya untuk aku membuang sifat ini di dalam diri. Perasaan maluku pada lelaki sememangnya sudah sebati sejak dahulu lagi. Dan kini, bersama suami sendiri juga aku masih punya perasaan itu.

“ Izinkan abang menjadi pemilik hati kepada pemilik mata ini, sayang. Jadikan hanya abang yang berhak ke atas setiap pandangan, setiap renungan yang terzahir daripada mata ini. Biarkan mata ini terus melahirkan isyarat cinta buat suamimu ini. Bolehkah sayang?” Aryan mengangkat wajahku dengan jemarinya, memaksa aku untuk terus melabuhkan pandangan ke matanya. Lama mata kami bersatu, menzahirkan cinta yang terlakar indah di lubuk hati.

“ InsyaAllah abang. Selagi mata ini mampu melihat, selagi itulah mata ini hanya akan setia menatap cinta yang Allah anugerahkan kepada sayang. Selagi itulah renungan ini hanya akan menjadi milik seorang insan. Dan selagi itu jugalah, mata ini akan meluahkan isyarat cinta buat dia yang didatangkan Tuhan buat sayang. Hanya untuk abang, pemilik hati sayang..”

Aryan menghulurkan senyuman lebar kepadaku. Dibawa aku ke dalam pelukan. Terasa begitu selamat berada dalam pelukan dia yang halal buatku. Nyata, di sebalik duka yang aku tanggung suatu ketika dahulu, Allah titipkan bahagia buatku. Hadirnya Aryan Muqri telah pun melengkapkan pencarian cintaku. Kini, di setiap sujud, di setiap doa, ada namanya yang meniti di bibirku, hanya untuk pemilik cintaku selepas Allah dan Rasul.

Alhamdulillah syukur atas anugerah Mu yang tidak terhingga ini, sungguh aku merasa kerdil dan adakalanya terlalu sedikit berdoa namun Engkau hamparkan kebahagian yang lebih dari ku minta. Syukur Ya Allah. Semoga saja rasa cinta kami ni tidak terpesong dan lalai sehingga melupakan rasa cinta kami terhadap Engkau Ya Allah. Terima kasih untuk happy ending yang di luar pemikiran ku ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience