BAB 4

Romance Completed 10117

Aku dan Syafa menuju ke arah kedai makan berhampiran. Perut yang kosong, minta diisi itu sudah tidak mampu aku tanggung lagi. Syafa sudah terlebih dahulu melintas jalan. Aku di belakang agak terkial-kial dengan keadaan jalan raya yang agak sesak di waktu puncak begini. Tika aku melintas jalan, entah apa yang menolak aku ke hadapan, menyebabkan aku jatuh ke bahu jalan. Sakitnya tak terkira lagi! Saat itu jugalah aku mendengar suara bising-bising di belakangku, dan orang yang berada di kedai makan juga berlari ke arah sama. Aku berpaling. Terkejut aku tatkala melihat orang ramai sedang mengerumuni sesuatu. Aku bangkit, dengan bantuan Syafa yang sudah mendekatiku.

“ Apa dah jadi Syafa?”

“ Aira tak sedar ke ada kereta bawa laju tadi? Lepas tu, ada orang yang tolak Aira ke depan. Syafa pun tak tahu siapa dia,” aku dan Syafa melangkah ke arah kumpulan yang sedang berkerumun itu.

“ Ya Allah! Aril!” terjelupuk aku melihat sekujur tubuh terbaring kaku di atas jalan raya. Darah keluar dari kepalanya. Lemah longlai aku merapati tubuh itu.

“ A.. Aril..” air mataku turun laju tanpa dipinta. Sungguh, aku tidak menduga ini yang akan terjadi. Kepala Aril aku pangku. Nafasnya tercungap-cungap.

“ A.. Aira..”

“ Aril, jangan cakap.. InsyaAllah, nanti ambulans sampai,” mutiara jernih di pipiku terusan membasahi pipi. Ya Allah, selamatkan dia! Dia tidak berdosa!

“ Aril!” Muaz datang mendekati. Aku tidak mampu mengalihkan pandangan. Di fikiranku hanyalah keselamatan Aril. Aku tidak mahu apa-apa terjadi kepadanya semata-mata untuk menyelamatkan aku!

“ Aira, sabar.. Diorang dah call ambulans. Sekejap lagi sampai,” untuk apa Muaz menenangkan aku, aku sendiri tidak tahu. Mungkin dia terkejut melihat aku yang teresak-esak melihat Aril begitu. Sesampainya ambulans, Muaz awal-awal sudah menaiki ambulans untuk mengiringi Aril ke hospital.

“ Muaz, Aira nak ikut..” pintaku. Muaz hanya mengangguk. Mungkin memahami perasaanku saat ini. Syafa menggenggam erat jemariku. Aku faham erti pandangannya kepadaku.

“ Syafa, Aira yang sebabkan dia jadi macam ni, dan Aira perlu bertanggungjawab. Jangan bimbang,” aku meninggalkan Syafa dan naik ke atas van.

Setibanya di hospital, Aril dibawa ke wad kecemasan. Aku dan Muaz menanti di luar. Suasana sepi. Aku mahupun Muaz langsung tidak bersuara setibanya kami di sini 30 minit yang lalu. Badanku terasa lemah. Mungkin kesan daripada kemalangan sebentar tadi.

“ Aira okey?” soal Muaz tiba-tiba. Aku hanya mengangguk.

“ Muka Aira pucat..” ujarnya lagi. Pandanganku berpinar-pinar. Mungkin jua akibat terlalu banyak menangis. Air mata di pipiku juga masih belum ada tanda untuk berhenti.

“ Kalau Aira tak cuai, mungkin Aril tak berada dalam tu. Ya Allah.. apa yang Aira dah buat ni, Muaz.. Aril terlantar, bertarung nyawa kat dalam tu sebab Aira!” Muaz menghampiri aku.

“ Jangan cakap macam tu, Aira. InsyaAllah, dia akan selamat. Banyak-banyakkan berdoa,” aku hanya tunduk. Kepalaku kian sakit.

“ Muaz! Aril macam mana? Apa kata doktor?” Kayrul dan Safwan tiba-tiba muncul.

“ Masih kat dalam. Doktor pun belum keluar lagi,”

“ Aira macam mana? Ni, Kayrul ada bawakan pakaian Aira, Nees kirimkan tadi..” aku melihat pakaian sendiri yang penuh dengan darah. Langsung aku lupa akan pakaian sendiri yang dipenuhi darah. Allah..

“ Aira pergi salin baju jap,” aku bangkit. Namun, kepalaku yang sakit membuat aku terpaksa bersandar pada dinding.

“ Aira okey tak ni?” aku segera menggelengkan kepala. Dan tika aku menapak satu langkah lagi, ku rasakan tubuh melayang. Jatuh menyembah bumi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience