BAB 5

Romance Completed 10117

“ Aira.. Alhamdulillah.. dah bangun dah dia,” aku membuka mata seluasnya saat mendengar suara orang berbual berhampiran denganku. Kelihatan teman-temanku ada bersama.

“ A.. Aira dekat mana?”

“ Aira pengsan tadi. Mujurlah Kayrul call Nees beritahu, kalau tak, kami takkan tahu Aira pengsan,” mendengar

bicara Aneesa, aku terus bangun. Namun, sakit di kepala membuat aku kembali terbaring.

“ Aira rehat dulu..”

“ Aril? Aril macam mana? Syafa, dia okey tak?” Syafa senyum.

“ Alhamdulillah, dia selamat. Dia dekat wad sekarang,”

“ Aira nak tengok dia..”

“ Sabar Aira.. Tunggu Aira sihat sikit..” akhirnya aku mengalah walau dalam hatiku masih berputik kebimbangan buat Aril Ridzuan. Ya Allah, lindungi dirinya..

Doktor mengkhabarkan Aril mungkin koma untuk beberapa hari. Ia kesan daripada hentakan sewaktu dia dilanggar oleh kereta. Benar, aku terlalu terharu dengan perbuatannya itu. Aku? Alhamdulillah, keputusan x-ray yang dikeluarkan tidak menunjukkan sebarang masalah yang besar. Badanku ada sedikit calar dan luka, tetapi tidak seteruk yang Aril alami. Hari ini, seperti pagi dua hari yang lepas, aku meneruskan rutinku, mengunjungi Aril selepas menunaikan kewajipan pada Yang Satu. Al-Quran ku bawa bersama. Saat membuka pintu, ada rasa sayu menyelinap ke ruang hatiku. Mungkin rasa bersalah yang sudah mula menghuni hati.

“ Assalamualaikum, Aril. Selamat pagi. Alhamdulillah, kita masih bernafas di dunia-Nya lagi kan? Awak apa khabar? Moga awak cepat sembuh. Tabahkan diri, Aril. InsyaAllah.. Allah akan bantu awak. Kuatkan semangat. Allah sentiasa ada bersama kita,” aku berbicara sendiri.

Kata doktor, mungkin Aril terbaring kaku tanpa berbuat apa-apa, tetapi dia mendengar bicara orang di sekelilingnya. Kerana itulah aku tidak pernah putus-putus berbicara dengannya, kerana aku yakin Allah pasti akan menyembuhkan dia.

“ Rasulullah s.aw apabila menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu, didatangkan kepada baginda s.a.w, Baginda mengucapkan doa yang bermaksud : “Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.” (HR Bukhari). Lalu, doakanlah begitu kepada orang yang sakit itu, insya-Allah, Allah akan menyembuhkan penyakitnya,” kata-kata ustazah tempat aku mendalami ilmu agama terngiang di telinga.

Aku membuka langsir yang menutupi ruang di kamar Aril. Baru sebentar tadi jururawat datang memeriksa Aril. Alhamdulillah, Aril masih dalam keadaan baik walaupun belum menunjukkan tanda untuk sedar. Tiba-tiba, pintu bilik dibuka dari luar. Kelihatan seorang wanita dan dua orang lelaki masuk. Masing-masing terkejut melihat aku di situ.

“ Assalamualaikum,” aku memberi salam.

“ Waalaikumussalam. Anak ni siapa? Nurse kat sini ke?” aku tersenyum, lantas menyalami tangan wanita yang mungkin tua sedikit daripada ummiku. Lelaki yang berdiri dekat dengan wanita itu hanya ku hulurkan senyuman.

“ Bukan, saya kawan Aril. Mak cik ni ibunya ke?” wanita itu mengangguk.

“ Ini abahnya, dan itu Adif, abangnya. Apa nama anak?”

“ Saya Aira,” aku lihat ibu Aril menghampiri katil anaknya yang sedang terbaring, dan mengelus rambut itu. Ya

Allah, ampunkan aku kerana membuat hati seorang ibu berduka.

“ Mak cik, pak cik, maafkan saya..” ujarku, sebak. Aku yang bersalah dalam hal ini, dan aku harus mengakui kesalahanku. Mereka memandangku pelik. Mungkin tidak mengerti dengan bicaraku. Aku menarik nafas sedalamnya, sebelum menghembuskan ia perlahan-lahan. Satu persatu aku ceritakan kepada orang tua Aril, dan aku benar-benar lega tika mendengar bicara kedua-dua orang tua Aril. Sebuah kemaafan dihulurkan untukku atas kesilapan yang tidak pernah aku jangkakan itu.

Petang itu, dan hari terakhir aku di hospital, aku dan ibu Aril sama-sama membaca surah Yassin untuk Aril. Kepada ibu Aril, sempat aku titipkan semangat agar dia terus tabah menghadapi dugaan Allah ini. Dan petang itu juga menyaksikan permulaan baru hidupku. Kisah yang bermula dengan linangan air mata dan yang membawa aku pergi. Pergi jauh dari hidup Aril Ridzuan yang sewajarnya ku lakukan sejak dari dulu lagi.

“ Saya tunang Aril, Zafirah..” tersentak aku tika mendengar kata-kata itu. Hati ini cuba aku tenangkan kerana aku sendiri sudah sedia maklum akan status lelaki itu. Riak wajah cuba aku sembunyikan dari dikesan.

“ Jadi..”

“ Saya minta awak jauhkan diri daripada Aril. Kebelakangan ni, dia dah banyak berubah. Saya tak tahu apa puncanya, tapi kalau boleh, saya nak elakkan daripada semua ni. Awak mesti faham, kan?”

Berkerut dahiku saat mendengar kata-katanya. Untuk apa dia memberitahu semua ini kepadaku sedangkan antara aku dan

Aril, kami tidak pernah menjalinkan sebarang hubungan, malah persahabatan sekalipun!

“ Saya..”

“ Saya sayangkan dia. Cintakan dia. Dua tahun kami bersama, dan saya setia dengan dia walau banyak halangan yang kami tempuh. Jadi, saya harap sangat tak ada lagi orang yang akan ganggu hubungan kami. Keluarga kami dah uruskan persiapan untuk perkahwinan, dan saya tak mahu ada gangguan seperti ni lagi,” ujar Zafira lagi. Aku memejamkan mata. Baru ku faham situasi sebenar. Nyata dia tersilap meneka.

“ Cik Zafirah.. maaf, tapi saya bukanlah seperti yang awak sangkakan. Saya seorang kawan yang kedatangannya hanya mahu mendoakan kawan yang lain. Antara saya dan Aril, kami tak pernah lebih daripada yang awak sangka. Saya yakin, hanya awak di hati Aril. Saya tak pernah nampak dia keluar dengan mana-mana perempuan, dan rasanya awak tak perlu bimbang. InsyaAllah, jika Allah dah jodohkan awak dengan dia, awak tetap akan dengan dia.. Saya pergi dulu ya? Sampaikan salam saya kepada orang tua Aril. Assalamualaikum,”

Usai tangan itu aku salami, aku melangkah pergi. Aku menahan sebak. Entah mengapa, hatiku rasa pedih sekali. Terasa bagai ada pisau yang menoreh hati. Allah, peliharakan hatiku. Hilangkanlah sakit yang bermain di jiwaku. Dan di saat itu, aku nekad. Nekad dengan keputusan yang ku yakin tidak akan berubah untuk kali seterusnya. Biarlah kisah antara aku dan dirinya kekal menjadi rahsia hati ini. Biarlah rasa yang menebak di hati buat lelaki itu kekal menjadi kenangan diri.

“ Aril Ridzuan. Saya lepaskan awak pergi demi kebahagiaan awak. Biarlah saya setia menanti hingga tiba Adam milik saya mengetuk pintu hati. Allah telah pun berikan saya jawapan kepada soalan saya selama ini. Hati saya bukan milik awak. Cinta saya bukan ditakdirkan untuk awak. Hanya untuk DIA, Pencipta kita. Dan dia yang bakal menjadi imam saya. insyaAllah..”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience