BAB 1

Romance Completed 10117

Panorama pantai di depan membiru dan luas terbentang ku pandang sepi, fikiranku jauh menyinggah pada si dia dan juga rasa ini. Rasa yang telah mengubah diriku jadi tak keruan. Puas aku mencari sebab musabab kenapa hatiku ini sukar untuk melupakannya. Buka tiada lelaki lain cuba menjentik hatiku namun aku tetap teringatkannya, ya pada si dia lelaki bermata empat itu.

“ Ya Allah.. Apakah sebenarnya rasa yang sedang aku alami sekarang ini? Adakah perasaan itu bakal menjadi milikku atau ia hanya satu mainan perasaan? Adakah rasa ini akan hilang seiring waktu yang berjalan? Tetapi kenapa terlalu lama waktu yang aku perlukan untuk menemukan jawapan? Ya Allah.. aku pohon, tunjukkan aku jalan.. Aku hanya mahukan satu kepastian. Jawapan kepada persoalan yang sentiasa bermain di fikiran. Jangan Kau biarkan rasa ini terus menggangguku, Yang Maha Penyayang. Aku khuatir, aku akan leka dengan mainan perasaan sehingga aku alpa pada tujuan kehidupan yang sedang aku titi sekarang.”

“ Jangan pernah putus asa dengan Allah, Aira. Allah tidak akan mencipta perasaan itu tanpa sebab. Allah tahu, Aira mampu untuk menghadapi ujian yang kecil ni. Bukankah dugaan itu tanda Allah kasih dan cinta kepada seseorang? Bersyukurlah kerana menjadi antara yang bertuah untuk merasa cinta Allah!” kata-kata Najwa, kawan seusrahku terngiang-ngiang di telinga. Aku melepaskan keluhan kecil. Ya! Masakan Allah ingin menganiyai hambaNya?

Dudukku dibetulkan. Keindahan pantai yang terbentang luas di hadapan bagai menggamit ketenangan yang sekian lama diimpikan. Anak-anak kecil kelihatan riang bermain di pesisiran pantai, ditemani ibu bapa yang terkadang ketawa melihat telatah comel permata hati mereka. Tidak terlepas untuk menyertai keseronokan itu ialah Aisya Suhana sendiri. Sungguh terserlah keseronokannya bermain di tepi pantai, berkejaran dengan kawan-kawan sekelasnya yang lain, tidak sepadan dengan usianya itu. Sengaja aku membawa mereka keluar berjalan-jalan, untuk melepaskan tekanan setelah hampir sebulan bertungkus-lumus dan bergelumang dengan peperiksaan SPM yang baru tamat.

Aku merenung pantai. Nun di hujung sana, sang matahari indah mula perlahan-lahan menyembunyikan diri. Indah sekali pemandangan itu. Ciptaan Tuhan, penuh dengan keindahan yang sering kali membuat kita kagum. Dan diri ini jua mengerti, perasaan yang dialami olehku sekarang juga salah satu ciptaan Tuhan. Keindahan yang Allah ingin berikan, tetapi dari sisi yang berbeza. Mungkin dulu aku memandang perasaan itu sebagai suatu masalah untukku, tetapi kini aku sudah faham bahawa aturan Allah itu lebih indah daripada segala-galanya. Syukur kerana rasa itu tidak pernah melebihi perasaan cinta dan kasihku kepada Tuhan Pemilik segala Rasa. Dan akhirnya, aku senyum sendiri.

“Assalamualaikum,” terdengar suara seorang lelaki memberi salam. Aku tersentak. Pantas aku berpaling ke arah suara itu.

“ Maafkan saya, saudari. Boleh saya tahu, tempat duduk ini ada orang lain punya?” aku sedikit menggelabah. Bukan kerana takut dengan lelaki itu, tetapi kerana aku tidak selesa berbicara dengan orang yang tidak dikenali.

“ Er..er..” aku sudah bangkit dari duduk.

“ Saudari?” dengan mengumpulkan sedikit kekuatan, aku cuba bertenang. Terasa jantung berdegup kencang. Menari tidak seperti kebiasaannya.

“ T.. tak ada, duduklah. S.. saya pun dah nak pergi,” tanpa menunggu lebih lama, aku mula melangkah, tetapi suara itu kedengaran lagi.

“ Terima kasih, saudari.” aku hanya mampu menundukkan sedikit kepala saat terpandang senyuman yang terukir di bibir lelaki itu.

“ Kenapa angah?” soal Aisya tika melihat aku tiba-tiba berdiri di sisinya. Mungkin pelik melihat aku yang agak resah.

“ T.. tak ada apa-apa. Angah bosanlah sorang-sorang dekat sana,” ujarku, sekadar menutup resah. Memandang sekilas ke tempat duduk tadi, kelihatan lelaki itu mendukung seorang kanak-kanak yang mungkin berumur lingkungan tiga tahun. Wanita di sisinya pula hanya tersenyum.

‘ Mungkin pasangan suami isteri’, itulah yang aku fikirkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience