BAB 6

Romance Completed 10117

“ Sejak kau keluar dari hospital, tak sekalipun kau senyum Aira. Apa yang sebenarnya dah jadi waktu kau dekat hospital sebenarnya? Sampai Aril sedarkan diri pun kau tak nak melawat dia. Ada sesuatu yang perlu aku tahu ke?” soal Aneesa di suatu hari. Ketika itu, aku dan dia menemani Kirana ke klinik. Aku hanya mengeleng, lantas melemparkan pandangan ke luar tingkap.

“ Aira..”

“ Cukuplah kau tahu, aku okey, Nees. Biarlah semua tu jadi rahsia aku, dan aku pun tak mahu ingat lagi semua tu. Silap aku yang tersalah arah,” Aneesa melepaskan keluhan. Mungkin tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan.

Aku memandang pemandangan yang terbentang luas di hadapan mata. Sungguh aku rasa tenang saat ini. Sebentar tadi, Aneesa mengajak aku dan Kirana ke tasik yang terletak berhampiran. Dahulu, aku sering ke sini, menghabiskan masa dengan menikmati keindahan yang Allah hamparkan di hadapan mata, sambil mengingati keagunganNya. SubhanAllah! Kini, aku datang lagi. Tetapi dengan membawa secebis doa dan harapan agar kesedihan itu juga akan berlalu pergi. Pergi dibawa angin yang bertiup lembut. Pergi bersama setenang air yang memenuhi tasik ini.

“ Aira..” tersentak aku tika mendengar suara itu. Tubuh aku pusing perlahan-lahan. Allah! Apakah semua ini?

“ A.. apa awak buat dekat sini? Nees? Kirana? Apa maksud semua ni?” aku pandang wajah dua sahabat yang tampak bersalah. Ya! Seharusnya mereka punya rasa bersalah setelah membuat aku sebegini rupa!

“ M.. maaf, Aira.. Kayrul call aku tadi. Tanya kita dekat mana. Aku just beritahu, tak ada niat apa-apa,” aku memejamkan mata sebentar. Allah, lututku terasa lemah. Tidak menjangka akan ada pertemuan lain setelah semua kejadian itu.

“ Jangan salahkan mereka, Aira. Aril yang nak jumpa Aira. Hal kita belum selesai. Aira lupa? Ada sesuatu yang harus kita rungkaikan..” lelaki itu bersuara lagi. Aku tunduk. Allah, kenapa dugaan ini masih belum berakhir? Adakah ini satu lagi ujianMu untukku?

“ Setahu saya, saya tak ada sebarang masalah dengan awak. Saya tak nak masuk campur dalam apa jua urusan awak. Maaf,” aku bergerak ke arah Aneesa dan Kirana, bersedia untuk mengajak mereka pulang.

“ Aira jangan tipu diri Aira lagi. Aira tahu apa yang Aril maksudkan. Dan kita sama-sama tahu, kita sama-sama merasai perasaan tu,” aku terkedu. Allah, apa yang ingin diperkatakan oleh Aril Ridzuan?

“ Saya tak faham apa yang awak cuba sampaikan. Kalaupun saya tahu apa yang awak nak sampaikan, itu hak saya untuk memilih. Dan saya memilih untuk melupakan semua tu!” aku bertegas.

“ Jadi Aira rela terluka? Aira sendiri tak tahu perasaan Aril kan? Jadi, Aira pun tak layak nak jatuhkan sebarang hukuman pada Aril.. Tak cukupkah setiap tindakan Aril untuk tarik perhatian Aira dulu? Aril tahu Aira sedar semua tu, tapi kenapa kita tak boleh mengorak langkah seterusnya?” aku memegang dada. Ada rasa sakit di situ. Allah, nyata telahanku tidak pernah silap selama ini. Memang semua tindak-tanduknya itu ada maknanya. Kenapa ia harus sekarang? Kenapa ia harus di saat aku ingin melupakan?

“ Saat Aril terpandang seorang gadis yang sering menundukkan kepalanya waktu bertembung dengan mana-mana lelaki, saat itu hati Aril terdetik satu rasa. Awalnya Aril sendiri tak faham dengan perasaan yang Aril alami. Dan pertemuan demi pertemuan buat hati Aril makin dekat dengan gadis tu. Bila saja kami jumpa, dia mesti tundukkan pandangan dia. Dan lepas kelas Prof Aman hari tu, masa tu jugalah Aril pasti, Aril dah tertaut hati pada dia. Aril nak kenali dia, tapi Aril tak tahu macam mana. Hanya dengan memandang dari jauh. Ya! Aril ingat lagi kali pertama Aril bertentang mata dengan dia. Itu pun secara tak sengaja. Dia tunduk. Aril pun! Sungguh, Aril jatuh hati pada dia!”

Aku memaut Kirana. Mutiara jernih mula membasahi pipiku. Langsung tidak menyangka akan ada sesi luahan perasaan seperti ini! Allah, andai cinta itu bukan milik kami, kenapa harus aku dan dia punya rasa yang sama? Andai cinta itu telah Kau titipkan buat insan lain yang terbaik buat kami, kenapa harus ada rasa yang menyeksa jiwa?

“ Aira..”

“ Cukup, Aril Ridzuan. Ya! Mungkin kita pernah berkongsi rasa yang sama. Tapi itu dulu.. sebelum saya tahu hati awak ada yang punya! Sebelum saya tahu, Allah dah hadirkan yang terbaik untuk awak jaganya. Dan saya pula siapa, Aril.. Saya hanya seorang insan yang hatinya diserahkan kepada orang yang bukan tercipta untuknya. Aril, pergilah. Pergi pada yang lebih layak menerima cinta awak. Dia lebih baik daripada saya..”

“ Tapi hati Aril. Hati Aira..”

“ Tak perlu bimbang tentang hati saya. Hati saya dah pulih sepenuhnya. Mungkin hari ini saya nampak lemah sebab saya langsung tak jangka yang Allah akan turunkan ujian ini untuk saya. Tapi percayalah, saya dah lama meredhai semua tu. Saya yakin Allah dah aturkan yang terbaik untuk saya. Untuk kita. Hati awak ada pada Zafirah. Jagalah. Lindungi dia. Dialah bakal zaujah awak, Aril. Anggap saja kisah antara kita berakhir di sini. Demi Allah, saya dah lama melepaskan cinta saya pada seorang lelaki bernama Aril Ridzuan. Cinta saya, rindu saya, hanya untuk Pencipta saya, dan bakal imam saya..”

“ Aira.. Aril sayangkan Aira..”

“ Saya juga sayangkan awak, tapi hanya sebagai kawan. Belajarlah menerima ketentuanNya. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,” Aneesa dan Kirana mengekoriku. Aku tahu, hati itu retak kembali. Luka lagi. Namun, aku sudah pun bersedia untuk semua ini. Allah, moga inilah yang terbaik untuk kami. Untuk aku. Untuk Aril Ridzuan juga. Noktah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience