BAB 3

Romance Completed 10117

Setelah seminggu melabuhkan cuti di rumah, aku kembali bertarung dengan kertas-kertas. Masih ada tugasan yang berbaki untuk disiapkan. Dalam kesibukan, ada rindu yang terukir buat insan bernama Aril Ridzuan. Semester ini, kami tidak ditemukan dalam kelas yang sama dan aku redha, kerana mungkin Allah ingin memelihara hatiku. Ya, memelihara hatiku agar tidak leka!

Di saat rindu itu hadir, ada khabar duka yang aku terima. Nyata, sangkaanku memang tepat. Aril telah pun dimiliki oleh sang tunang yang sudah menambat hatinya sejak setahun yang lalu. Dan untuk apakah setiap tingkahnya pada semester yang lalu? Atau ia hanya sekadar tanggapanku cuma? Aku benar-benar buntu, lalu aku pendamkan semua di sudut hati. Allah lebih tahu yang terbaik buatku. Biarlah rasa hatiku mati sendiri.

“ Aira redha ke dengan semua ni? Aira mampu ke terima yang Aril tu dah berpunya?” soalan Syafa aku biarkan terbang dibawa angin pilu. Entah, aku sendiri tidak punya jawapan untuk persoalan itu. ‘Ya Allah, redhakah aku dengan semua ini? Mampukah aku menerima dugaan ini?’

“ Aira?”

“ Entahlah, Syafa. Sejujurnya, Aira sendiri tidak pasti dengan hati Aira. Redha atau tak hati Aira ni, semua dah pun berlalu. Aril dah pun jadi tunangan orang, dan mungkin inilah jawapan yang Aira tunggu selama ni. Aril dan Aira bukan untuk satu sama lain. Dan mungkin juga mata kita silap memandang.. Tingkahlaku Aril tu hanya dia dan Allah saja yang tahu. Mungkin dia memandang orang lain, tetapi disebabkan tumpuan kita pada dia, kita sangkakan pandangan dia pada Aira. Biarlah, Syafa. Aira akan cuba sedaya upaya untuk menjadi redha. Doakan Aira, ya?”

Syafa senyum. Jemariku digenggam erat. Mungkin dia sendiri mengerti akan perasaanku ini. Dan aku, pastinya akan berusaha sehabis yang mampu untuk melepaskan semua rasa itu pergi. Dan biarlah, aku terus menunggu dia yang tercipta untukku.

“ InsyaAllah, Allah akan hadirkan yang terbaik untuk Aira. Bersabarlah selagi termampu. Bukankah kesabaran itu akan terbalas dengan sesuatu yang lebih indah?” balas Syafa. Aku membalas senyumannya. Ya, akan hadir yang terbaik buatku!

Di saat waktu berlalu, aku meneruskan kehidupanku sebagai seorang pelajar universiti. Sungguh, semester ini benar-benar mengujiku. Menguji ketabahanku, menguji keimananku, menguji kekuatanku dalam menjadi Muslimah sejati. Kini, aku benar-benar bertudung labuh. Alhamdulillah, Allah mempermudahkan segalanya. Hijrahku hanya untuk kerahmatan-Nya. Cukuplah dengan kekhilafan yang telah aku lakukan di suatu ketika dahulu. Dan semoga taubatku diterima oleh-Nya.

Aril Ridzuan? Dia masih menjadi sebahagian daripada hidupku. Mana mungkin semudah itu aku mampu melupakan dirinya? Mana mungkin sesenang itu kenangan bersamanya hilang dari tubir mindaku? Ya, aku masih berusaha. Berusaha untuk menerima bahawa dia kini sudah sah menjadi tunangan orang, dan jelasnya, aku harus mengundur diri. Membiarkan semua kisah kami berlalu pergi. Allah.. bantu aku!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience