BAB 7

Romance Completed 10117

“Ada lamaran untuk angah. insya-Allah, dua minggu lagi dia akan datang dengan rombongan meminang. Tapi, sebelum tu, dia nak tahu keputusan angah..”

Rebah aku saat mendapat perkhabaran itu daripada ummi. Langsung tidak menjangka diri akan disunting di waktu muda ini. Adakah kata-kata ummi dahulu akan menjadi kenyataan? Kata ummi, lelaki itu meminta aku istikharah dahulu dan dia sanggup menunggu sehingga aku memperoleh jawapan. Tetapi, bukan itu persoalannya. Masalahnya adalah aku! Adakah aku mampu menggalas tanggungjawab itu pada usia semuda ini? Adakah aku sudah bersedia untuk menjadi seorang zaujah yang baik untuk bakal suami yang tidak ku kenali ini?

Aku memandang sekeliling. Sungguh, suasananya agak mengelirukan. Aku sendiri tidak tahu di mana sebenarnya aku berada. Nun, di hujung sana, ada seseorang mendekatiku. Aku amati wajah itu, namun tidak jelas. Selang beberapa langkah daripadaku, dia berhenti. Terukir secebis senyuman di wajah itu.

“ Assalamualaikum bakal zaujahku,” tuturnya, lembut. Aku terpana. Suara itu pernah bermain di halwa telingaku, namun aku tidak pasti siapa orangnya!

“ Waalaikumussalam. A.. awak siapa? Saya di mana?” soalku, tidak sabar. Dia masih seperti tadi. Tak lekang dengan senyuman.

“ Saya bakal imam awak, insya-Allah di dunia, dan akhirat jua. Di sinilah kita akan mengukir cinta kita ke dinding bahagia. Di sinilah istana kita akan tersergam dengan kalimah-kalimah cinta buatnya. Di sinilah kita akan memperbanyakkan keturunan Muhammad untuk kita didik menjadi khalifah umat Islam yang setia. InsyaAllah. Sudikah awak menjadi pendamping saya untuk turut serta dalam perjuangan saya ini?” al-Quran bertukar tangan. Aku memegang erat kitab suci itu.

“ Awakkah orang yang hantar al-Quran pada saya tempoh hari?” dia mengangguk perlahan. Aku terkedu. Allah, kebetulan ini begitu indah! Teringat beberapa hari lepas apabila satu bungkusan diserahkan kepadaku oleh posmen. Terkejut aku tika mendapat hadiah itu. Aneesa dan Kirana sudah sedia membuat muka tertanya-tanya. Menanti jawapan yang aku sendiri tidak pasti. Saat diajukan kepada posmen itu, dia sendiri mengangkat bahu. Mengatakan lelaki itu hanya datang ke pejabat pos dan meminta dihantarkan bungkusan itu kepadaku. Tika bungkusan itu dibuka, ada al-Quran di dalamnya. Al-Quran sama yang aku pegang kini. Adakah ini jawapan kepada istikharahku jua?

“ A.. awak.. siapa?”

“ Aira Fittiya, sesungguhnya saya mencintai awak kerana Allah. Kerana agama yang ada pada awak. Kerana cinta yang awak miliki buat Pencipta kita. Izinkan saya, Aryan Muqri menapak ke dalam hati awak. Mencintai awak seperti mana cintanya kita kepada Allah yang Satu, dan Rasulullah yang dirindu. Izinkan saya membimbing awak ke syurgaNya.. insya-Allah, hingga ke akhir hayat saya..” air mataku menitis perlahan. Terharu mendengar bicara itu. Lalu aku angguk perlahan, dan menapak ke arahnya..

“ Aira? Aira? Bangun, bangun Aira..”

Aku membuka mata. Aneesa dan Kirana memandangku dengan wajah pelik. Lalu aku lihat kedudukanku. Siling di atas aku renung. Lantas aku bangkit. Aku masih di atas katil. Jadi, apa makna semua yang aku alami sebentar tadi? Adakah ia mimpi?

“ Aku kat mana?”

“ Alahai minah ni.. buat tanya pula. Kau dekat rumahlah! Dekat mana lagi? Kenapa? Mimpi indah erk..” Aneesa dan Karina sengih jahat. Bantal yang berada di atas kepala sempat aku ambil dan lempar kepada kedua-duanya yang sudah terkedek-kedek berlari meninggalkan bilikku sambil ketawa. Aku senyum. Terhibur dengan gelagat kedua-duanya.

Pagi itu, nombor ummi aku dail. Ya, aku sudah punya jawapannya. Jawapan kepada soalan yang ummi tinggalkan untukku seminggu yang lalu.

“ Ummi, boleh angah tahu nama lelaki yang merisik angah tu?”

“ La.. kan ummi dah beritahu hari tu.. Aryan. Aryan Muqri.” Aku mengulum senyuman. Ya, nama itu! Aku kenal nama itu! Pemilik nama itu sudah muncul dalam mimpiku semalam. Allah, ku yakin dengan aturanMu! Andai ini sememangnya yang terbaik untukku, aku terima jodohku. Walau siapa pun lelaki ini, aku percaya, dialah yang telah Engkau hantarkan untuk memimpin aku ke jalan keredhaanMu. insya-Allah..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience