BAB 9

Romance Completed 10117

Kisah ini telah aku lorekkan di dalam hati. Kisah antara kau dan aku. Kisah antara aku dan Penciptaku. Kisah antara kita semua. Dalam pencarian cintaku kepada Allah dan Rasul, ku temui sedetik wajahmu untuk ku ukirkan ke dalam hatiku. Hari itu telah tiba, dan kita bakal bersua. Saat lafaz ijab dan kabul bersatu, saat itu hati kita akan bersatu. Ya, bersatu dengan restu Yang Satu. Bersatu dalam erti halal yang sebenarnya. Moga kisah kita ini akan terus terukir indah di setiap detik dan waktu, bersulamkan munajat memuji keagungan yang Maha Tahu. Buat dirimu, insan yang bakal menapak ke dalam hidupku secara rasminya, peganglah tanganku saat aku terjatuh. Pimpinlah aku saat aku tersilap arah. Dakapilah aku saat aku resah. Peringatkanlah aku saat aku gelisah. Moga cinta kita dirahmati-Nya.. ~AMAF~

Nota itu hadir lagi. Hadir di saat ijab dan kabul bakal menyatukan kami. Ya, bila-bila masa sahaja aku bakal bergelar seorang isteri. Kini, aku sedia menunggu dia melafazkan ‘ saya terima nikahnya’ khusus untuk diri ini. Nota itu aku pegang erat. Perasaaan berdebar kian merajai diri. Siapa yang tidak berdebar menjadi ratu sehari buat sang raja yang belum pernah ditemui? Aku senyum sendiri. Bahagia yang diselit rasa syukur atas kekuasaan-Nya.

“ Anak dara, kau kenapa senyum sorang-sorang? Dah angau sangat ke nak jadi isteri orang?” Aneesa menepuk pahaku. Teman-teman yang lain ketawa kecil. Mungkin lucu mendengar soalan Aneesa itu. Lengan gadis itu aku cubit. Sedikit geram dengan pertanyaannya. Aneesa buat muka tidak bersalah.

“ Akhirnya bahagia tu jadi milik Aira juga, kan? Walaupun semua ni rasanya terlalu cepat dan tanpa kita sedar, Aira dah pun nak jadi isteri orang. Apa-apa pun, semoga Aira menjadi isteri yang solehah buat suami, dan menjadi ibu yang penyayang buat anak-anak.. Syafa sayang Aira sangat-sangat,”

Syafa memeluk tubuhku erat. Aku membalas pelukan itu. Dialah teman yang banyak memberi dorongan saat aku hampir jatuh tika kecewa dengan Aril dahulu. Dia dan Nurain lah yang banyak memberi sokongan. Tidak putus-putus menolong aku untuk keluar dari kepompong kesedihan. Dan kini, melihat dia menangis, membuat aku sendiri sebak. Terlalu banyak yang aku kongsikan bersama mereka berdua. Penghibur aku di saat aku berduka, penguat aku di kala aku hampir rebah. Peneman aku saat aku jauh dari keluarga. Allah, indah sungguh ukhwah ini!

“ Syafa! Apa ni.. janganlah buat pengantin baru menangis. Nanti tak cantik dah,” Nurain bersuara. Syafa melepaskan pelukan dan mengesat air matanya. Air mata yang menitis perlahan di pipiku juga disapu lembut olehnya.

“ Maaf tau! Dah tak cantik dah mekapnya. Hehehe,” kami ketawa mendengar usikan Syafa.

Datang Nurain memeluk aku pula. Lebih erat daripada Syafa. Dengan Nurain juga aku banyak berkongsi rahsia. Berkongsi cerita. Sering aku titipkan kata-kata semangat buatnya dalam menghadapi cinta memandangkan dia dan tunangannya bercinta jarak jauh. Dia di bumi Malaysia, dan si tunang pula di bumi Mesir. Berjuang mencari ilmu sebagai bekalan untuk kehidupan yang lebih baik.

“ Terima kasih kerana sudi menjadi sahabat Ain, Aira. Moga ukhwah kita terus berkekalan,” ujarnya, sedikit sebak. Aku angguk dalam senyuman. Ya, aku juga berharap sedemikian. Berharap hubungan kami terus terpaut walau apa jua dugaan yang melanda.

“ Eh, tadi marah orang. Ni dia pula yang buat Aira nangis,” tegur Syafa. Nurain sengih.

“ Lepas ni.. Aira mesti dah tak kongsi cerita dengan kita. Mesti dia kongsi dengan suami hensem dia tu. Hahaha,” riuh kamar pengantin yang dihias indah dengan gelak tawa mereka sehinggalah ummi datang memaklumkan majlis bakal berlangsung. Ummi duduk di sisiku. Aku menunggu di dalam bilik sahaja. Usai semuanya nanti, barulah dia akan datang menyarungkan cincin dan acara membatalkan air sembahyang dilakukan.

“ Aku terima nikahnya Aira Fittiya binti Ayman dengan mas kahwinnya sebuah kitab Al-Quran,” “sah! Sah! Sah!” Terdengar bicara itu di telingaku. Aku mengucap syukur. Dengan sekali lafaz, akhirnya aku sah menjadi isteri kepada Aryan Muqri, lelaki yang berjaya mengetuk pintu hatiku untuk berkahwin di usia semuda ini.

“ Assalamualaikum,” suara itu kedengaran. Aku memejamkan mata untuk seketika. Cuba menghilangkan debar di hati. Perasaan yang sekian lama pergi, kini hadir kembali. Debar yang pernah hadir untuk seorang lelaki yang aku temui suatu masa dahulu. Bukan Aril, dan bukan sesiapa. Tetapi, lelaki itu!

“ Aira Fittiya, abang datang membawa cinta yang diamanahkan oleh Allah untuk sama-sama kita jaga. Aira sudi menerimanya?” Aryan duduk bertentangan denganku yang masih menundukkan wajah. Tidak sanggup untuk menatap wajahnya. Bimbang aku menggelabah nanti. Al-Quran di tangan dihulurkan kepadaku. Al-Quran yang selama ini aku jaga seperti mana aku menjaga cinta kami. Aku sambut Al-Quran itu, dan mengangguk kecil sebelum menyerahkan kitab suci itu kepada Syafa yang menjadi pengapitku.

“ Aira, hulurkan tangan. Aryan nak sarungkan cincin,” bisik ummi. Aku mengikut arahan. Aryan menyambut huluran tangan itu, dan menyarungkan cincin pernikahan ke jari manisku. Sejuk tanganku usah ditanya. Memang sedari tadi aku berdebar-debar. Tangan Aryan aku cium lama. Tanda cinta ini benar-benar halal menjadi miliknya.

“ Aira..” wajahku diangkat. Mata kami saling bertentangan. Mulutku terlopong. Terkejut melihat insan yang berdiri di hadapanku. Dia! Dia yang berjaya mencuri hatiku di suatu petang itu! Yang telah aku sangkakan sudah berkahwin itu!

“ A.. a. awak!”

“ Kenapa Aira? Kenapa dengan Aryan?” soal ummi.

“ Dia ke suami Aira, ummi?”

“ Lah.. budak ni.. dah sah jadi suami kamu, tanya lagi! Itulah, nak surprise sangat kan. Dah pernah jumpa, tapi kamu tu yang tak ingat..sekarang, dah kahwin baru soal jawab,” ujar ummi. Aku tunduk malu. Terdengar ketawa kecil daripada sahabat-sahabat. Aryan pula sengih menunjukkan lesung pipit di pipi kirinya.

“ Aira tak sudi jadi isteri saya ke?” Aryan berbisik. Aku eleng.

“ Dah sah jadi isteri awak pun. Sudi ke tak sudi dah kena tolak tepi,”

“ Sila practice panggil saya abang. Bukan awak,” usiknya perlahan. Mungkin tidak mahu didengari oleh tetamu-tetamu

yang melihat.

“ Ummi dengar,” ummi pula menambah perasa. Mengusik kami berdua. Aku dan Aryan sama-sama senyum kepada ummi. Dan di situlah, bermula kisah aku dan dia..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience