BAB 10

Romance Completed 3410

“Kakak, ajaklah Qayyum masuk. Kenapa berdiri di luar sahaja?” Ayah Damia yang memerhatikan dari tadi memecahkan kesunyian. Damia yang masih segan kerana telah meluahkan isi hatinya itu langsung masuk ke dalam rumah.

Si ayah menarik nafas lega. Meskipun Qayyum merupakan anak kepada pembunuh isterinya, Qayyum tidak bersalah. Dia juga sedang belajar untuk memaafkan Amri atas perbuatannya itu.

Dia percaya, Amri telah berubah dan menyesali perbuatannya apabila dia sanggup untuk mengaku dan menyerahkan diri kepada pihak polis. Dan dia sering berpesan kepada anak-anak serta adiknya untuk memaafkan pembunuh orang tua mereka kerana setiap manusia pernah melakukan dosa. Sedangkan nabi pun mengampuni umatnya, apatah mereka sesama manusia.

“Ayah,” seru Diana yang entah dari mana munculnya. Diana memandang ayahnya dengan perasaan bersalah. Dia tidak mahu berselindung lagi. Dia terpaksa menceritakan segala-galanya kepada ayahnya.

Si ayah sudah dapat menduga sesuatu yang tidak kena dengan anaknya. Dia menjeling Hafiz yang sedang sibuk melayan Qayyum di ruang tamu sebelum mengalihkan pandangan kembali kepada anak bongsunya itu.

“Ada apa Adik?” lembut sekali tutur katanya. Diana berfikir panjang sebelum mula berkata-kata.

“Ayah, sebenarnya kamera DSLR yang kakak belikan untuk Diana dah rosak...” Diana menunduk. Dia sudah bersedia untuk dimarahi kerana tidak pandai menjaga kamera.

Ayah masih berlagak tenang. “Bila rosaknya?”

“Tiga bulan yang lepas.” Ayah mengukir senyum membuatkan Diana semakin hairan. Ayah ni dengar atau tidak kamera itu rosak?

“Diana, ayah nak cakap sikit dengan Diana. Beberapa hari yang lepas, Tengku Adam telefon ayah.”

“Tengku Adam? Ayah Tengku Fatehah tu?” Diana semakin hairan. Keningnya dikerutkan.

“Ya. Kawan ayah tu. Tengku cakap, dia ada terbaca diari anak dia, Fatehah. Dan dia terkejut sebab dalam diari tu, Fatehah tulis tentang semua perbuatan dia kepada Adik, termasuk rosakkan kamera Adik. Jadi Tengku minta maaf bagi pihak Fatehah. Dia pun janji hendak belikan Diana kamera yang baru, itupun kalau Diana sudi,” jelasnya.

Diana lagi tertunduk kesal. Ayahnya sudah mengetahui perkara itu sebelum dia memberitahunya. Dan dia masih lagi terkejut dengan berita yang baru diterimanya itu. Si ayah menyambung lagi, “Diana, kenapa Diana tak beritahu ayah atau kakak-kakak Diana yang Fatehah selalu buli Diana di sekolah? Kenapa tak laporkan kepada sesiapa?”

“Ayah, Diana minta maaf sebab tak beritahu ayah awal-awal. Diana malu. Diana malu orang tahu Diana dibuli. Padahal Kak Ila belajar Tae Kwon Do. Tetapi, adik dia sendiri tak dapat lindungi diri sendiri. Diana malu dengan semua orang,” Diana tertunduk hiba. Air mata mula bertakung di kelopak matanya.

“Adik, kenapa sampai kamera rosak pun tak nak beritahu sesiapa? Dah tiga bulan, baru beritahu ayah sekarang. Bukankah Diana selalu cakap nak jadi professional photographer satu hari nanti? Kenapa biar impian Adik terkubur begitu sahaja?”

“Ayah, maafkan Diana. Diana terlalu dikuasai oleh perasaan malu. Rasanya Diana tak layak kejar cita-cita Diana tu.”

Si ayah bertentang mata dengan anaknya. Dia sentiasa mahu menyokong cita-cita ketiga-tiga anak gadisnya dan tidak mahu mereka berputus asa kerana dia tahu, Damia, Dalilah dan Diana masing-masing punya cita-cita yang tinggi menggunung.

“Adik, Adik ada cita-cita. Jangan biarkan perasaan malu dalam siri Adik tu menghalang Diana daripada buat apa yang Diana suka. Buang jauh-jauh perasaan malu tu. Kejar cita-cita Diana. Lepas ni kalau Tengku Fatehah masih buli Diana di sekolah, terus buat laporan kepada guru disiplin. Jangan takut, jangan malu. Anak ayah semuanya berani,” dia mengusap lembut kepala Diana yang bertudung itu.

Diana mula mengukir senyum. Peristiwa yang dialaminya itu, banyak memberikan pengajaran kepada dirinya sepanjang prosesnya membesar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience