BAB 6

Romance Completed 3409

“Is that the best you can do?” Dalilah semakin mencabar. Rakan-rakan Saiful mentertawakannya. Saiful tidak tahan dimalukan sedemikian rupa. Dia terus bangkit dan mengalah. Gadis di hadapannya itu sudah pasti bukan calang-calang orangnya.

“Baiklah. Aku dan kawan-kawan aku tak akan ganggu akak dengan anak-anak buah akak dah,” Saiful mengajak ahli kelabnya berundur. Mereka terpaksa akur kerana menang kalah merupakan adat seni mempertahankan diri Tae Kwon Do.

“Tabiklah Kak Ila. Boleh kalahkan Saiful!” seorang pelajar tingkatan tiga membuat gaya tabik di hadapan Dalilah. Dia merupakan salah satu pelajar yang menuntut di EF Centre.

“Kamu semua ni, lain kali cubalah jangan buat hal lagi. Tae Kwon Do ni merupakan seni untuk mempertahankan diri, bukannya untuk buktikan siapa lagi hebat. Mengarut betul,” Dalilah menggeleng kepala.

“Ila, kenapa nak lawan juga? Hafiz pun bolehlah settlekan si Saiful tu,” Hafiz mendabik dadanya.

“Kau tu mentah lagi. Kalau kau cedera, macam mana aku nak jawab dengan ayah nanti?” Dalilah sengaja mengusik Hafiz meskipun dia mengakui kebenaran kata-kata bapa saudaranya itu.

“Eh, kita ni beza setahun sajalah!” Hafiz menegaskan sambil membonceng motosikal yang ditunggang Dalilah.

Abangnya terlalu sibuk mencari rezeki untuk menanggung kehidupan Hafiz dan tiga orang anak buahnya. Damia pula sedang menuntut di sebuah universiti tempatan manakala Diana sedang belajar di sekolah berasrama penuh. Oleh itu, Hafiz lebih banyak meluangkan masa bersama Dalilah. Tambahan pula, usia mereka lebih kurang sebaya.

Tiba di rumah, Dalilah terkejut mendapati Damia sedang menunggu di ruang tamu. Mungkin dia tiba sejurus sahaja Dalilah keluar tadi. Tanpa berkata apa-apa, dia terus memeluk satu-satunya kakak yang dimilikinya itu.

“Bila kakak sampai? Kenapa tak beritahu dulu?” Dalilah separuh teruja. Ayahnya pernah memberitahunya bahawa kakaknya akan pulang, tetapi dia tidak menyangka secepat itu.

“Dahlah. Kakak dah cakap dengan ayah, kakak cuti semester. Mana ayah? Kerja?” ujarnya setelah melihat seisi rumah itu kosong.

“Ayah pergi ambil Diana di asrama. Nanti kita boleh berkumpul lagi. Oh ya, kakak pulang naik apa?” soal Dalilah kemballi sambil menjeling ke arah luar.

Tidak ada kenderaan lain di luar melainkan satu-satunya motosikal yang dimilikinya itu. Belum sempat lagi Damia menjawab, Dalilah sudah membuat andaian sendiri.

“Oh, kakak balik dengan Abang Qayyum ya? Amboi, dah pandai balik sekali ya sekarang!”

Damia mencubit kedua-dua pipi Dalilah geram. Meskipun Dalilah selalunya berperwatakan kasar, adiknya itu sebenarnya seorang yang manja dan pandai mengusik.

“Kakak balik naik teksilah! Sudahlah. Kalau hendak dilayan Ila ni memang tak akan habis. Kakak nak pergi sediakan makanan. Harapkan kamu, berhabuk sajalah dapur tu!” Dalilah tersengih-sengih.

“Memang pun. Selalunya Along akan beli makanan dari luar. Hafiz pun selalu beli makanan kantin sekolah, Kak Mia,” Hafiz sengaja menambah perisa. Dalilah segera meluku kepala Hafiz.

Damia terhibur melihat keletah mereka. Dia tidak sanggup mahu memaklumkan kepada mereka satu perkhabaran yang baru diterimanya sejurus sebelum bertolak ke rumah tadi. Damia menarik nafas panjang.

Diana memerhatikan jam tangannya yang sudah menunjukkan jam 3 petang. Ayahnya masih juga belum muncul. Semua kelengkapan untuk pulang sudah tersusun rapi di tempat menunggu. Kebanyakan pelajar lain sudah pulang bahkan mungkin sudah selamat tiba di rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience