BAB 3

Romance Completed 3410

“Waalaikumussalam. Ila kerjalah. Diana dah lupa ya? Ila kan sekarang tolong Along dengan business lori tu. Petang nanti dia baliklah. Ada apa-apa nak pesan? Nanti Hafiz sampaikan,” ujar Hafiz yang tidak gemar membahasakan dirinya ‘Uncle’ meskipun anak saudaranya yang satu itu suka memanggilnya dengan gelaran itu.

Diana cuma muda dua tahun sahaja daripadanya dan sekarang ini sedang belajar di sekolah berasrama penuh di tingkatan tiga. Tahun ini, Hafiz bakal mengambil peperiksaan SPM dan Diana pula PMR.

“Ya lah, Diana lupa Kak Ila kerja dengan ayah. Tak apalah Uncle Hafiz. Cakap dengan ayah atau Kak Ila, hujung minggu ni Diana balik. Itu saja.”

Setelah memberi salam, Diana meletakkan gagang telefon awam yang disediakan di sekolah itu. Diana menghela nafas panjang. Meskipun dia mengerti semua orang di rumah sibuk, dia masih rindu mahu berbual-bual dengan kakaknya.

Sedikit perasaan kecewa mengulit hatinya ketika itu. Sudah sebulan lebih dia tidak pulang ke rumah. Dia memerhatikan kamera DSLR yang tergantung pada lehernya. Kamera itu merupakan pemberian Damia kepadanya. ‘Ah, rindunya...’

“Cakap dengan ayah atau Kak Ila, hujung minggu ni Diana balik,” satu suara mengejek kedengaran.

Diana menoleh ke belakang dan mendapati Tengku Fatehah sedang berdiri di belakangnya. Sejak bila dia berdiri di situ pun tidak dapat dipastikan. Diana menelan liur. Beberapa rakan Tengku Fatehah yang lain turut mentertawakan Diana. ‘Ya Allah, musibah apa lagi yang akan menimpa aku sekarang?’ bisik hatinya.

Semenjak tingkatan satu lagi, Tengku Fatehah tidak pernah menyenangi kehadiran Diana kerana berpendapat orang miskin seperti Diana tidak layak untuk masuk ke sekolah itu. Tengku Fatehah ialah anak orang yang berpengaruh di Malaysia dan juga di sekolah itu.

Namun, sifatnya jauh berbeza dengan sifat orang tuanya yang bersopan-santun dan sentiasa menghormati orang lain. Tengku Fatehah sering menggunakan statusnya untuk menindas insan yang lebih lemah. Bahkan, senior-senior di asrama pun tidak berani mengusiknya kerana tidak mahu dibuang sekolah.

Diana cuba bergerak pergi namun perjalanannya dihalang Tengku Fatehah. Jika dia mahu melarikan diri sekalipun, rakan-rakan Tengku Fatehah yang lain ada di situ untuk menghalangnya.

“Fatehah nak apa? Diana nak balik asrama ni. Malam ni kan ada kelas prep?” Diana masih cuba mengelak. Tengku Fatehah sengaja melanggar bahunya dengan bahu Diana membuatkan gadis itu terundur ke belakang sedikit.

“Aku nak apa? Aku tak inginlah nak tengok muka kau di sini. Muak! Kau boleh buat-buat baik, alim dengan satu asrama. Tapi kau tak perlu nak pura-pura baik depan akulah,” Tengku Fatehah meluahkan rasa geram.

Rasa iri hati telah menguasai hatinya untuk membenci gadis itu meskipun dia tidak pernah melakukan sebarang kesalahan terhadapnya.

Hati Diana seolah-olah tertusuk pedang dan terhiris mendengar kata-kata itu. Sungguh dia tidak menyangka begitu sekali tanggapan Tengku Fatehah terhadap dirinya. Memang benar, dia baik dengan semua orang termasuk kakak-kakak di asrama. Tetapi semuanya dilakukan ikhlas dan bukannya sandiwara semata-mata.

“Fatehah tak tahu apa-apa tentang Diana,” ujarnya.

“Kau dah berani melawan ya sekarang?” tanpa diduga Tengku Fatehah menolak kuat Diana sehingga terlanggar dinding.

Mujurlah kamera kesayangannya itu tidak terkena apa-apa. Diana memegang lengannya yang kesakitan. Tengku Fatehah merapati tubuh Diana dan berbisik padanya, “Kau belum kenal lagi siapa aku.”

Dia dan rakan-rakannya segera beredar meninggalkan Diana. Diana bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru dialaminya tadi.

Dalilah memegang bingkai gambar keluarganya. Rasa rindu datang bertandang tatkala dia melihat wajah arwah ibunya. Dia masih ingat lagi ketika kejadian tersebut berlaku.

Pada waktu itu, Damia dan Diana keluar mengikuti ayahnya kerana mendapat panggilan kerja. Dia sahaja yang tidak mahu mengikuti mereka kerana mahu menemani ibunya. Ketika itu dia baru sahaja berusia enam tahun.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience