BAB 2

Romance Completed 3410

Mana boleh hari-hari buat kek. Belanja untuk membeli barang dapur pun sudah mahal sekarang ini. Nasib baiklah rakan-rakan sebilik yang lain mampu bertolak ansur untuk berkongsi wang menampung kos perbelanjaan dalam rumah. Damia baru sahaja berpindah ke rumah baru kerana rumahnya yang lama terpaksa diberikan kepada penuntut universiti yang baru mendaftar.

“Damia!” satu suara kedengaran memanggil namanya dari belakang. Damia sudah kenal benar dengan suara itu. Namun demikian, dia tetap meneruskan perjalanannya tanpa mempedulikan si pemanggil berkenaan. Khadijah juga sudah memahami situasi tersebut. Dia tidak mahu masuk campur.

“Mia!” seorang lelaki bertopi merah menghentikan perjalanan mereka.

Dia berdiri tepat di hadapan Damia dan tidak mahu mengalah dengan situasi. Damia sering mengelak setiap kali bertembung dengannya. Kali ini, dia perlu mendapatkan suatu kepastian daripada wanita itu.

“Mia, saya tak fahamlah. Kenapa awak minta keluarga awak tangguhkan pernikahan kita? Saya dah cakap dengan ayah awak macam yang awak minta. Kenapa awak masih mengelak daripada saya?” Qayyum mendesak.

Dia tidak mengerti dengan wanita itu. Dia sudah empat bulan bertunang dengan Damia dan berhasrat mahu menjadikan hubungan mereka halal. Damia cuma memberitahunya supaya pergi menemui orang tuanya dan apabila Qayyum menunaikan permintaannya itu, ternyata Damia meminta supaya pernikahan mereka ditangguhkan. Dan layanannya kepada Qayyum masih sama dingin seperti dulu. Tidak seperti kebanyakan pasangan yang bercinta.

Damia yang sedari tadi menunduk, cuba memberanikan dirinya. Dengan mengumpul kekuatan yang ada, dia cuba menyusun kata.

“Qayyum, saya memang ada menyuruh awak jumpa ayah saya sebab saya tak tahu macam mana nak beritahu awak. Qayyum, saya masih ada impian. Saya nak genggam ijazah.”

Selama ini, Damia menyangka Qayyum juga sama seperti lelaki-lelaki lain yang sengaja mengganggunya. Ternyata, Qayyum ikhlas dengan niatnya apabila dia datang merisik dan akhirnya mereka bertunang. Masalahnya, Damia baru sahaja berusia 21 tahun dan impiannya masih panjang.

“Mia, sekarang ini ramai juga orang yang berkahwin sambil belajar. Dan dengan izin Allah mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih bahagia. Belajar pun lebih mudah kerana ada yang membantu. Apa salahnya...”

Damia memotong kata-kata Qayyum, “Qayyum, saya bukan nak menolak awak. Tapi, saya cuma minta tempoh masa beberapa tahun sehingga saya habis belajar. Itu pun jika awak masih mahu menunggu. Selagi kita bertunang, awak tak perlu risau apa-apa sebab saya ikhlas jadi tunang awak. Semuanya terpulang kepada awak.”

Wanita itu terus menarik lengan Khadijah dan segera menghilangkan diri dari situ, meninggalkan Qayyum sendiri. ‘Baiklah Damia. Aku akan tunggu kau,’ monolog Qayyum. Jika Damia sanggup berbuat apa sahaja untuk mengejar impiannya, Qayyum juga begitu.

Sepanjang perjalanan pulang, Damia cuma membisu. Khadijah tidak mahu Damia terlalu memikirkan tentang peristiwa yang berlaku sebentar tadi.

“Mia, sudah-sudahlah tu. Balik nanti, awak boleh tolong saya tak?” Damia bertentangan mata dengan Khadijah.

“Ibu saya ada kirimkan kain baju kurung dari Pudu. Saya nak awak tolong design dan jahitkan boleh? Nanti saya bayarlah,” rayu Khadijah.

Selain daripada pandai memasak, tiada orang boleh menyangkal bakat Damia dalam mereka busana. Damia memang bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang pereka fesyen muslimah. Oleh itu, dia tidak mahu cita-citanya terjejas apabila berkahwin kelak.

“Sudah tentulah! Awak tak perlu bayarlah, kita kan kawan. Saya akan pastikan baju itu akan buatkan awak tampil lebih elegan,” Damia bicara penuh semangat. Dia sudah terbayang-bayang beberapa rekaan dalam kepalanya. Tangannya sudah tidak sabar mahu mereka fesyen yang baru.

Telefon bimbit Hafiz yang berbunyi sejak tadi dicapai. Nombor awam tertera pada skrin telefon. Hafiz sudah boleh menduga siapa yang menelefonnya.

“Assalamualaikum. Uncle Hafiz! Diana telefon Kak Ila banyak kali dia tak angkat. Kak Ila ada tak?” satu suara kecil kedengaran di hujung talian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience