BAB 5

Romance Completed 3409

“Berhenti! Aku cakap berhenti!” Dalilah cuba menghentikan pertarungan tetapi tiada yang peduli. Dalilah sedaya upaya tidak mahu turut berlawan kerana semua yang berada di situ merupakan pelajar lelaki.

Namun, dia tetap tidak gentar sekiranya terpaksa berdepan dengan situasi yang genting. Dalilah masih mencuba nasib dengan menyuruh mereka supaya berhenti. Kali ini, suaranya lebih kuat. Namun, respons yang sama masih diberikan. Tanpa diduga, seorang pelajar lelaki yang masih memakai uniform sekolah menyerang betis Dalilah dan membuatkan gadis itu separa terduduk.

“Tak guna!” Dalilah sudah tidak boleh menahan sabar.

Dia membetulkan posisinya dan bersedia untuk bertarung. Dalilah mempersilakannya untuk menyerang terlebih dahulu. Pelajar-pelajar yang lain bertindak menghentikan pertarungan mereka tatkala baru menyedari kehadiran seorang perempuan di situ. Paling dahsyat, mereka tidak percaya Dalilah bersedia untuk bertarung.

“Kalau kau lelaki, kau lawanlah dengan lelaki!” Hafiz memberikan amaran kepada lelaki itu kerana dia tidak mahu Dalilah turut terlibat. Jika abangnya tahu tentang ini, pasti teruk dia dikerjakan.

Dalilah menolak Hafiz ke tepi, menandakan pertarungan ini miliknya.

“Kalau aku menang, kau dengan kawan-kawan kau tinggalkan anak-anak buah aku. Faham?” Dalilah memberikan amaran keras. Lelaki berambut kerinting yang menyerangnya itu sudah pecah ketawa. Dia tidak mungkin akan tewas dalam tangan seorang perempuan.

“Kalau aku menang?” soalnya kembali.

“Kalau kau menang, kami semua akan mengaku kelab kau hebat. Setuju?” Dalilah begitu yakin membuat rundingan.

“Ila...” Hafiz mahu membantah tetapi lelaki itu telah bersetuju. Kali ini, Hafiz tidak boleh masuk campur lagi. Dia terpaksa mengalah.

Lelaki berambut kerinting yang memakai tanda nama Saiful itu memulakan serangan. Dia mengacah-acah terlebih dahulu. Setelah menunggu masa yang sesuai, barulah kaki kanannya diangkat naik ke udara secara menyerong. Sasarannya adalah perut Dalilah. Dalilah pantas refleks.

Menyedari dia mempunyai peluang, dia mengundur setapak ke belakang dahulu sebelum kembali ke hadapan untuk menendang. Aksinya berjaya dikesan pihak lawan. Saiful menangkis tendangan tersebut dengan kedua-dua belah tangannya.

Saiful masih lagi cuba menyerang. Dia tidak akan berlembut dengan perempuan kerana dia sudah dapat mengagak bahawa Dalilah memiliki pangkat yang tinggi dalam Tae Kwon Do. Saiful mencuba turning kick sekali lagi tetapi Dalilah begitu tangkas dan sempat mengelak. Kali ini, Dalilah mencuba tendangan rahsianya iaitu double chopping kick.

Dalilah boleh dikatakan agak rendah berbanding Saiful. Saiful mungkin tidak akan menduga dia boleh melakukan tendangan tersebut, iaitu sedikit lompatan acah kaki kiri disusuli tendangan keras kaki kanan. Untuk melakukan double chopping kick, seseorang itu perlu mempunyai daya keyakinan yang tinggi disertai stamina tubuh.

Taktik Dalilah berjaya kerana tendangannya tepat mengenai batang hidung Saiful membuatkan lelaki itu akhirnya terjatuh di atas tanah. Semua yang menonton terus bertepuk tangan termasuk rakan-rakan Saiful sendiri.

“Kau nak teruskan lagi?” Dalilah menduga penuh yakin.

Dia sudah berlatih terlalu lama untuk sebuah pertarungan yang sebenar. Saiful bangkit dan memasang kekuda kembali. Dia menyentuh hidungnya yang kesakitan. Tak mungkin dia akan kalah pada hari itu. Dia perlu membuktikan bahawa dia yang lebih hebat.

Saiful mengacah ke hadapan sebelum melayangkan backthrust kick. Backthrust kick merupakan tendangan kejutan yang sukar diramal oleh pihak lawan kerana merupakan tendangan 360 darjah mengikut arah jam.

Dalilah tidak selemah yang disangka. Dia mampu meramal tendangan Saiful lalu dia memegang kasut lelaki itu untuk menahannya. Apabila Saiful sudah berada dalam posisi yang terkunci, Dalilah menyerang kaki kirinya sehingga menyebabkan lelaki itu sekali lagi tersungkur ke bumi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience