Bab 2

Fantasy Completed 35136

Malam itu, Teh Ariah susah untuk tidur. Kejadian itu sedikit sebanyak mengganggu fikirannya hingga dia sukar untuk melelapkan mata. Namun dipejamkan juga mata hingga dia terlena dengan sendirinya di dalam pelukan suami.

Ketika itu dia bermimpikan sesuatu.

“Adakah kau benar-benar wujud? Atau kau sekadar mainan tidur? Kalau kau benar-benar wujud di dunia nyata, apa yang perlu aku buat?” kata Teh Ariah kebingungan. Teh Ariah memejam mata rapat. Dalam kegelapan, muncul satu kelibat. Seperti seorang gadis yang berbaju kurung, bertudung litup dan berselendang labuh serba putih. Wajahnya tidak kelihatan kerana dia tidak memalingkan sepenuh pandangan ke arahnya. Mata tadi dibuka perlahan dan bayangan gadis itu hilang.

Teh Ariah mengeluh berat seraya meraup wajah kuning langsatnya. Kedua-dua tangan bertaut dan digenggam erat. Pandangannya nampak sayu dan tidak bermaya.

Seseorang berpakaian serba putih melangkah perlahan menyusuri air cetek separas buku lali. Kanan dan kirinya dihalang seperti benteng berhutan. Walaupun laluannya berair namun kakinya tidak basah malah tidak tenggelam ke dalam air. Kakinya seakan terapung di atas air. Selepas lama berjalan, dia mula menghampiri sebuah air terjun yang tinggi, setinggi bangunan lima tingkat. Di sebalik air yang begitu rakus menghempas kelihatan cahaya putih yang agak samar.

Tidak lama kemudian, keluar dua ekor harimau putih dengan mata putih keemasan berjalan mendekatinya.Dia ingin bergerak namun kakinya terlalu berat untuk melangkah. Kedua harimau tadi makin menghampirinya. Dia panik. Disebabkan terlalu takut, dia menjerit sekuat hatinya.

"Arghhhhhhhhhhhhhhh.....Tolong," jerit Teh Ariah yang masih terpejam matanya.

Anjang Bulat yang baru selesai mandi terkujat apabila isterinya menjerit sebegitu rupa.

"Teh... Teh... Kenapa awak ni? Bermimpi sampai terpekik telolong?" kata Anjang BUlat sambil menggoncang bahu Teh Ariah. Wanita itu masih lagi belum membuka mata dan bermimpi.

"Bangun Teh. Dah subuh ni... Awak ni mimpi apa?" omel Anjang Bulat lagi. Kali ini dia menepuk kuat pipi isterinya hingga Teh ariiah terjaga. Terasa pedih di pipinya akibat ditepuk kuat oleh tangan suaminya sendiri. Tangannya menggosok-gosok pipi kanannya yang masih pedih. Jantungnya masih berdegup laju lantaran mimpi yang dialaminya tadi.

"Astaghfiruallah..." ucap Teh Ariah. Peluh membasahi wajah dan tubuhnya. Bantal di pembaringan juga bermandi peluh.

"Awak mimpi apa sampai reaksi macam tu sekali?" tanya Anjang Bulat. Baju yang tergantung dalam almari disarung ke badan.

"Saya mimpi didatangi seorang gadis cantik dan harimau putih," jawab Teh perlahan. Nafasnya turun naik.

"Mimpi tu kan mainan tidur. Ni mesti sebab awak tidur lambat sangat sebab menjahit baju malam tadi. Bangunlah cepat. Bersiap untuk solat subuh. Saya tunggu awak," kata Anjang Bulat.

Teh Ariah melihat jam usang di dinding dan bigkas bangun dari tempat tidurnya. Setelah bersiap, Teh Ariah kembali kepada suaminya siap dalam persalinan telekung putih dan mereka solat bersama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience