Bab 2: Cita-cita dan Impian vs Realiti?

Young Adult Series 2043

“Apabila besar nanti, along nak jadi doktor!” beritahuku kepada ibuku dengan penuh bangga, walaupun suaraku lemah dek kerana demam panas yang tinggi. Aku sedang berehat di ruang pantri klinik di mana ibuku bertugas sebagai jururawat. Aku telah dibawa bertemu dengan doktor di klinik ibu kerana demamku yang enggan kebah, malahan doktor itu terkejut kerana suhu badanku sangat tinggi mencapai 39 darjah Celcius setelah memeriksa keadaanku. Patutlah kepalaku berasa amat berat dan sakit kepala yang berdenyut sepanjang berada di sekolah tadi, malahan asyik tidur sepanjang kelas berlangsung. Ibuku sedang menyediakan air milo panas untukku di pantri, kemudian meletakkan cawan mug berisi milo di atas meja yang terletak di hadapanku.

“Usah berfikir lagi, minum milo ni lepas tu tidur. Tinggi suhu badan along ni,” kata ibuku sambil tangan kanannya diletakkan atas kepala aku. Kerisauan mula menerjah di muka ibuku yang berusia pertengahan 40-an. Wanita ini masih lagi cantik dan menawan walaupun usia semakin menghampiri angka 50-an. Kagum aku akan kecantikan ibu yang seringkali disalaherti sebagai wanita berbangsa Tionghua. Kulit putihnya terserlah walaupun beruniform jururawat berona putih, gincu merah di bibirnya melonjakkan keaslian kecantikan wanita berdarah Minangkabau ini. Ibuku bingkas keluar dari bilik pantri setelah aku melelapkan mata bagi mengurangkan rasa sakit kepala yang melampau.

Aku dan adik-beradik dibesarkan oleh kedua-dua ibu bapa yang merupakan penjawat awam Persekutuan. Bapaku berkhidmat sebagai pegawai polis di ibu pejabat kontinjen negeri, manakala ibu pula di sebuah klinik pakar ENT (hidung, mulut dan tekak) di hospital besar kerajaan negeri. Seronok kadangkala ibu bapa bercerita kisah pertemuan mereka sebelum mereka disatukan di bawah ikatan bernama perkahwinan. Ibu bapaku bertemu sewaktu mereka di negeri tanah beradat, di mana bapaku masih lagi menjalani latihan kepolisan di PULAPOL manakala ibu pula sedang mengikuti kursus kejururawatan. Walaupun pertemuan mereka di sebuah perhatian bas, namun ibuku pernah menceritakan bahawa dia dan bapaku bertemu sekali sekala, makan bersama di kedai dan tidak lama selepas itu, ibuku mengajak bapaku ke rumah sewaktu hari Raya Aidilfitri untuk berkenalan dengan keluarganya. Perkenalan dengan ahli keluarga ibu menguatkan keputusan ibu untuk berkahwin dengan bapaku.

Seusai bernikah, bapaku telah mendapat penempatan di sebuah balai polis di utara tanah air. Maka, ibuku yang telah mendapat penempatan di sebuah klinik kesihatan di kampung kelahirannya membuat surat pertukaran rasmi kepada pihak majikannya agar dia dapat ditukarkan untuk tinggal sebumbung bersama suami. Setelah berpindah ke utara tanah air barulah datang rezeki dikurniakan anak-anak oleh Yang Maha Esa.

Seingat aku, keluarga aku hanyalah keluarga yang sederhana, tidak kaya dan tidak miskin. Namun disebabkan ini, aku dan adik-beradik sering dihina oleh ahli keluarga yang lain. Aku biasa “disumpah” oleh ahli keluarga besar kerana pekerjaan ibu bapaku. Aku sedar kerana ibu bapaku hanya memberi pendidikan kepada anak-anak, namun kerana hanya bekerja makan gaji, kedudukan kewangan keluargaku tidak seperti ibu bapa saudaraku yang menjalankan perniagaan. Bukan itu sahaja, rumah kami iaitu rumah pangsa milikan persendirian atau rumah pangsa kuarters turut menjadi bahan cacian. “Rumah burung merpati” – itulah nama yang diberikan oleh keluarga besarku kepada rumah keluargaku. Aku pasti ibuku sangat sedih mendengar kata cacian sebegitu rupa, aku juga panas hati tetapi apa yang aku boleh lakukan untuk menepis cacian sebegitu daripada menimpa keluargaku.

“Along belajar rajin-rajin tau. Ibu dan ayah hanya mampu memberi pelajaran kepada kamu dan adik-adik, tiada harta yang banyak untuk diwarisi. InshaAllah, dengan berkat ilmu pelajaran dan doa ibu dan ayah, kamu akan menjadi seorang berjaya pada masa depan,” ujar ibuku. “Betul tu. Esok yang senang kamu juga. Esok dah ada kerja elok, boleh beli rumah besar dan kereta cantik. Boleh pergi umrah dan haji di Mekah satu keluarga,” tambah bapaku. Berpegang dengan nasihat mereka, aku menanam azam untuk berjaya dalam pelajaran dan mengikut jejak langkah sepupu-sepupuku yang telah bergelar pelajar menara gading serta menjawat jawatan yang baik di sektor swasta.

Cita-cita yang kuangankan berubah seiring dengan usia dan juga hasil percampuran dengan sahabat-sahabat di sekolah; dari seorang doktor kepada seorang peguam kemudian sebagai pensyarah seterusnya sebagai ahli arkeologi. Mungkin kerana aku tidak konsisten dalam menanam cita-cita yang luhur maka aku masih lagi keliru akan masa depanku sehingga aku hampir menggadaikan masa depan kerana banyak bermain sewaktu di Tingkatan Lima. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh kurang memberangsangkan namun rezekiku masih ada kerana mendapat tempat di kolej matrikulasi nun di utara Malaysia di dalam aliran sains fizikal. Di matrikulasi tempatku belajar, terdapat tiga aliran pengajian iaitu aliran sains hayat (Biologi, Kimia dan Matematik adalah core subjects), aliran sains fizikal (Fizik, Kimia dan Matematik adalah core subjects) dan aliran perakaunan.

Sejarah hampir berulang tatkala keputusan semester 1 teruk semasa di matrikulasi (matrikulasi hanya mempunyai dua semester ketika itu), maka disebabkan itu aku perlu menghadiri kelas tutorial yang dianjurkan oleh pihak kolej yang menggunakan konsep mentor-mentee (pelajar yang mempunyai keputusan yang baik akan menjadi tutor). Mungkin kerana subjek-subjek semester 1 agak dry menyebabkan aku mudah bosan dan kurang fokus terhadap pelajaran. Namun, keputusan peperiksaan semester 2 aku amat baik kerana semasa di semester 2, aku telah jatuh cinta sepenuhnya kepada subjek Kimia dan Matematik, lagi-lagi Kimia kerana ketika ini banyak eksperimen melibatkan bahan kimia berwarna digunakan. Aku teruja melihat perubahan warna bahan kimia dalam subjek Kimia manakala bagi subjek Matematik, aku semakin faham apa yang dipelajari.

Beberapa minggu selepas memasuki semester 2, kami para pelajar matrikulasi perlu mengisi permohonan kemasukan universiti dengan memilih kursus pengajian yang diingini dan 8 buah universiti awam. Berbekalkan keputusan semester 1 yang kurang memuaskan, aku memilih untuk mengambil kursus pengajian fizik di beberapa universiti di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kami juga dikehendaki untuk mengemaskini kursus pengajian dan universiti pilihan apabila keputusan peperiksaan semester 2 dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Semasa di matrikulasi, aku semakin galak mengumpul komik manga Jepun, melukis karakter Jepun menyebabkan aku dikenali sebagai pelukis di kalangan rakan-rakan sekelas dan juga minat lagu-lagu Jepun.

“TAHNIAH! Anda telah ditawarkan tempat di Universiti XX dalam jurusan pengajian Ijazah Sarjana Muda Fizik.” Perkataan TAHNIAH yang terpampang di kaca skrin monitor komputer di kafe siber membuatkan mataku membulat besar, hatiku yang berdebar-debar sebentar tadi menunggu keputusan tawaran kemasukan universiti hilang sepenuhnya seolah-olah satu beban yang berat dan besar telah hilang di pundakku. Gembira hatiku bukan kepalang dan dengan segera berita itu disebarkan kepada kedua-dua ibu bapaku. Walaupun hatiku gembira, namun kegembiraan direntap pilu tidak lama selepas itu kerana aku mula bersedih apabila memikirkan bahawa aku akan meninggalkan ibu bapa dan kampung halaman. Kali ini, benar-benar aku terasa diri bak anak burung yang sudah berjaya terbang tinggi di udara, dan kemudian berhijrah keluar dari sarang untuk memulakan kehidupan baru. Suatu perasaan yang sukar digambarkan oleh seorang remaja yang tidak pernah melangkah keluar jauh, merantau seorang diri beribu batu untuk tempoh yang lama.

Setelah semua persediaan untuk memasuki universiti selesai, tibalah masanya ibu bapaku menghantar aku ke destinasi seterusnya. Hatiku gundah-gulana dan aku berdiam diri di sepanjang perjalanan, namun setelah tiba di pintu gerbang universiti serta melihat ramai pelajar baru sedang menunggu untuk mendaftar masuk ke kolej kediaman sambil ditemani ibu bapa, perasaanku bertukar menjadi tenang dan teruja. Kesibukan masa orientasi diikuti dengan bermulanya kelas pengajian memerlukan aku untuk sentiasa fokus dan berdisiplin dalam mengharungi kehidupan bergelar pelajar. Aku terpaksa berubah daripada seorang introvert kepada ambivert; membuang sifat malu bersuara dengan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti anjuran kolej kediaman, universiti dank o-kurikulum. DI menara gadinglah aku belajar menghadapi dunia sebenar!

Kali pertama bergelar pelajar universiti, perjalanan hidup di menara gading terasa lama, namun seiring dengan kesibukan aktiviti harian, menuntut selama tiga tahun terasa bagaikan sekali petikan jari. Pejam celik pejam celik akhirnya tiba di semester tiga tahun kedua di mana inilah masanya aku merasai peluang bergelar pekerja. Direzekikan untuk menjalani latihan industri di sebuah jabatan yang menjalankan pengimejan diagnostik di sebuah hospital kerajaaan selama dua bulan benar-benar membuka mataku mengenai perkhidmatan awam. Di sini timbul persepsi negatifku terhadap perkhidmatan awam yang mana persepsi itu terhasil akibat tindak-tanduk individu yang bergelar pekerja dan bukan mencerminkan perkhidmatan itu sendiri secara keseluruhan. Bak kata orang putih, we never know what others going through unless we are in his or her shoes. Memerhati gelagat dan juga mengenal pasti peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh semua orang di dalam sesebuah organisasi menimbulkan keinginan untuk aku memohon pekerjaan dalam sektor kesihatan sebagai Pegawai Sains Fizik apabila aku sudah menamatkan pengajian, fikirku.

Tiga tahun berhempas pulas di universiti, penat jerih berusaha untuk belajar serta diiringi oleh doa ibu bapa dan keluarga, akhirnya perjuanganku sebagai pelajar universiti tamat setelah berjaya menyiapkan Projek Sarjana Muda dan juga selesai menduduki kertas peperiksaan terakhir. Diriku yang penuh emosi mula melayangkan fikiran betapa sekejap masa berlalu tatkala aku mengemas barang untuk dibawa pulang ke kampung halaman; tanganku menyentuh setiap perabot yang ada di bilik asrama dan kemudian mengambil beberapa keeping gambar kenanganku di dalam bilik tersebut. Terasa sayu meninggalkan dunia universiti; benarlah sepertimana yang biasaku dengar “indah masa bekerja kerana punya wang sendiri, namun indah lagi bergelar pelajar yang bergelut dengan pelajarannya.” Welcome to the real world, Diana!

Sementara menunggu keputusan senat bagi penganugerahan ijazah sarjana muda, aku mula menerokai peluang-peluang pekerjaan yang ada bersesuaian denganku yang sudah bergelar graduan universiti. Sungguh indah khabar dari rupa, bukan mudah rupanya untuk mendapat pekerjaan setimpal selayak kelayakan akademik. Dengar saja ada job fair, pasti aku akan pergi dengan memakai pakaian pejabat yang bersesuaian. Resume disalin cetak banyak supaya aku boleh memberi kepada syarikat yang berminat untuk mengambilku bekerja semasa walk-in interview. Ijazah sarjana muda dalam bidang Fizik sepertinya hampir tiada nilai jika dibandingkan dengan bidang lain seperti perakaunan, kejuruteraan, undang-undang, sumber manusia, perubatan, pengkomputeran dan lain-lain. Kebanyakan pekerjaan dibuka adalah daripada syarikat peruncitan yang mana aku cuba elak untuk meminta kerja. How ironic!

Berbuih mulut ibu bapaku menyuruhku mengisi permohonan pekerjaan di dalam portal Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia, namun bukan rezekiku untuk mendapat tempat lebih-lebih lagi di dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Bukan mudah hendak menembusi sektor awam berbekalkan ijazah dalam bidang Fizik kerana tidak banyak jawatan di dalam kerajaan yang memerlukan ilmu pengetahuan dalam bidang sains tulen selain daripada perubatan dan kejuruteraan. Tak semena-mena aku merasakan ijazah yang aku ada tidak akan membawaku kepada cita-citaku (ampunkan aku, Ya Allah kerana aku terlupa bahawa semua nikmat dan rezeki ada dalam genggamanMu). Frusted and confused with no solid aim for bright future!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience