Sudah berbulan-bulan lamanya sejak aku menduduki peperiksaan kemasukan ke perkhidmatan awam buat kali kedua. Peperiksaan yang tidak ubah macam di bangku sekolah, dengan semua calon duduk berasingan di antara satu sama lain mengikut lorong berdsarkan nombor kedudukan, menjawab soalan berupa subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik yang datang dalam bentuk objektif dan penulisan esei. Mujur sahaja soalan Matematik tidak datang dengan soalan berbentuk format kertas II dalam peperiksaan awam (soalan berangkai dan banyak anak). Yang membezakan peperiksaan ini dengan peperiksaan samada di sekolah, peringkat foundation mahupun di universiti adalah calonnya.
Calon peperiksaan yang datang dari pelbagai latar belakang meliputi taraf pendidikan, bidang pengajian semasa di universiti, status perkahwinan dan status pekerjaan. Yang datang semuanya matang dan bijak. Calon lelaki kelihatan kemas dan kacak mengenakan lounge suit dan kasut, manakala calon wanita manis dengan pakaian kebangsaan – baju kurung. Tambahan status perkahwinan bagi wanita; segelintir yang datang ke dewan ini lebih daripada sekadar diri sendiri kerana yang setia menemani mereka di kala kesusahan untuk mencari pekerjaan yang lebih baik ialah bayi yang sedang membesar di dalam rahim. Semoga ada rezeki bagi si ibu untuk melangkah jauh selepas daripada saringan peperiksaan ini.
Kedudukan aku di syarikat peruncitan ini seakannya tidak lama, setelah mendengar kebenaran berita bahawa syarikat ini akan berhenti operasi selewat-lewatnya Mac tahun berikutnya. Kurang dari satu tahun lagi aku melakar memori indah di sini, yang ditempa bersama-sama rakan seperjuangan. Hubungan aku dengan pengurus, Encik Syafiq masih kekal tidak baik kerana kedua-duanya saling mengelak bila bertemu. Yang menjadi medium perhubungan aku dengan beliau hanyalah di dada skrin komputer, di dalam e-mel rasmi dengan namanya diletakkan di bahagian cc. Aku malas hendak mengusutkan kepalaku, lantas hanya menumpukan soal kerja di tempat kerja sahaja.
Akhirnya, penantian yang menyeksakan telah berakhir. Alhamdullillah, kali pertama rezekiku untuk lulus dalam peperiksaan kemasukan ke perkhidmatan awam. Aku berjaya melangkah ke peringkat seterusnya iaitu Assessment Center. Berita yang menggembirakan seluruh keluarga tetapi tidak bagiku. Ini kerana tiada sesiapa pun di kalangan sepupu-sepapat yang pernah sampai ke peringkat saringan ini, jadi pada siapalah yang aku ingin ajukan yang boleh menjawab semua persoalanku. Berbekalkan kelajuan internet yang lembab di rumah, aku cuba mencari jawapan kepada persoalanku dengan harapan Mr. Google mampu menyelesaikan masalah yang membelengguku ini.
Sedikit sebanyak aku boleh mengagak apa yang aku lalui hasil pembacaan daripada luahan perkongsian pengalaman oleh mereka yang pernah melalui Assessment Center di dalam blog mereka. Bertambah tidak senang duduk aku dibuatnya, pelbagai perkara merisaukan aku dengan pelbagai perasaan menerjag di hati, biasalah terjadi apabila mengadap sesuatu buat pertama kali. Ibu bapaku sudah menyatakan hasrat mereka untuk membawa aku ke Assessment Center yang terletak di sebuah pekan kecil di selatan negeri Jelapang Padi Malaysia. Bertambah kecut perut apabila hari yang dinanti semakin dekat.
Sekali lagi pengurusku, Encik Syafiq menempelak kerana aku memohon cuti pada dua hari di hujung minggu. Masakan aku boleh mengubah tarikhnya kerana penetapan hari perjalanan penilaian tersebut berlangsung pada hari Sabtu dan Ahad; hari di mana majoriti orang bekerja di Malaysia mengisi masa untuk berehat di rumah atau melakukan pelbagai aktiviti yang bermakna bersama keluarga. Penetapan yang dibuat oleh SPA bukan boleh sembarangan boleh diubah.
“Buat yang terbaik, ya along.” Kata-kata semangat yang diungkapkan oleh keramat hidupku iaitu wanita yang telah membawaku ke dunia. Anggukan kecil tanpa sebarang perkataan yang terluah daripada mulutku. Mentari pagi yang diselimuti selimut malam, di sebalik gunung-ganang berwarna kebiruan sudah mula melontarkan bilah-bilah cahaya pagi berwarna merah keorenan yang lembut. Jam di tangan kananku ditilik. Baru pukul 7.20 pagi, kataku di dalam hati. Kereta Proton Persona berwarna perang milik keluargaku sudah selamat diparkir sejak 5 minit yang lalu, di kawasan parkir awam, di bawah rimbunan pohon yang rendang di Assessment Center. Angin sejuk lewat subuh masih lagi dirasai, menambahkan ketidakselesaan di dalam perutku, menambahkan kegusaran di hati yang sedia penuh dengan kerisauan.
Berdekatan dengan lokasi kereta keluargaku diparkir, anak mataku yang berwarna perang terpandang akan beberapa orang yang hampir sebaya atau lebih tua daripada umurku sedang keluar dari perut kereta masing-masing. Ada yang datang bersama pasangan dan anak-anak, ada yang datang ditemani oleh ibu bapa. Barangkali mereka juga calon seperti aku.
Ibu, ayah, doakan along selamat menempuh ujian ini dengan tenang dan jayanya. Bisik hati kecilku tatkala kaki melangkah menuju ke kaunter pendaftaran yang telah di sediakan di lobi institute Assessment Center terbabit.
Selesai mendaftarkan diri, ibu bapaku pun beredar dari Assessment Center tersebut dan bermulalah kisah dua hari satu malam aku berkampung di sana, menjalani kehidupan yang tidak pernah aku lalui. Siangnya pada hari pertama telah sibuk, jadual di tangan sentiasa diperhati, bimbang diri terleka. Sudah lama kehidupanku tidak tersusun dengan jadual yang padat sebegini – jadual yang bermula sebaik sahaja meletak beg pakaian di bilik di blok asrama.
Hari Pertama:
Pagi
Pendaftaran
Sesi Bahasa Malaysia : Perbincangan dalam Kumpulan
Sesi Bahasa Malaysia : Pengucapan Awam
Rehat : Makan Tengahari dan Solat Zuhur
Petang
Sesi Bahasa Malaysia : Pengurusan Majlis Kerajaan
Sesi Bahasa Inggeris : Perbincangan dalam Kumpulan
Latihan dalam Kumpulan (berpakaian pakaian sukan)
Larian 2.4km
Makan Malam dan Rehat
Malam
Ujian psikometrik
Pencarian bahan bagi penyediaan Pengucapan Awam (Bahasa Inggeris)
Hari Kedua
Sarapan pagi
Slot Bahasa Inggeris : Pengucapan Awam
Bersurai
Penat. Tidakku sangka seharian mengikuti aktiviti ini jauh lebih memenatkan daripada penat bekerja, penat mengangkat barang-barang dan bakul-bakul berat di pejabat. Ia bukan sahaja letih fizikal, malah otak dan emosi juga letih. Namun keletihan ini berjaya ditepis apabila bersama-sama rakan-rakan seperjuangan, bersembang dan bertukar cerita untuk menambahkan keakraban, menghidupkan click chemistry bagi mengurangkan ketidakserasian apabila bersama. Tidak semena-mena kami kelihatan bagai adik-beradik daripada keluarga yang besar.
Pukul 12.00 tengah malam. Itulah masa yang dipaparkan di skrin telefon pintarku. Mataku sudah berat, otakku juga sudah penat apatah lagi mulutku juga kering kerana mengulangi hafalan ke atas isi-isi yang telah kulakar di dada kertas. Apa yang boleh aku lakukan, tanpa komputer riba di sisi yang tidak lagi berfungsi seminggu sebelum aku tiba di Assessment Center ini. Semua maklumat yang ingin dibentangkan esok pagi telah aku siapkan di dalam Microsoft Powerpoint tanpa mempunyai salinan di tangan. Hanya beberapa gambar hasil screenshot slaid pembentangan di telefon pintar yang membantuku semasa aku melakukan mock presentation di dalam bilik, itupun tiada sebarang suara dilontarkan kerana bimbang mengganggu teman sebilikku yang juga sedang berusaha menghafal isi penting pembentangannya.
Dua jam berlalu dan aku masih lagi duduk di kerusi keras sambil menghafal isi pembentangan yang membawa tajuk pertanian di kawasan berbukit. Teman sebilikku yang berbangsa Tionghua sudah di alam mimpi sejak sejam yang lalu. Aku memutuskan untuk turut tidur kerana sudah terlalu lewat, hati kecilku berdoa pada Yang Maha Esa agar mengejutkanku dari buaian mimpi jam 6 pagi nanti. Setelah membaringkan tubuh di katil, mataku yang berat masih lagi terkebil-kebil – kebiasaan yang aku alami sekiranya aku tidur di sesuatu tempat yang baru.
Kringggggggg!!!! Bunyi alarm dari telefon pintarku yang nyaring mengejutkan aku daripada lena yang mendalam. Entah bila mataku tertutup pun tidak dapat dipastikan. Dengan keadaan yang masih lagi mamai, aku memaksa tubuh untuk bangun untuk bersiap bagi menghadapi ujian pada hari kedua dan hari terakhir ini. Pandangan mataku jatuh di atas figura yang masih enak berbaring di atas katil bertentangan dengan katilku. Dicapai tuala dan peralatan mandi, segera aku meninggalkan bilik menuju ke bilik air yang terletak bersama di dalam bilik tidur kami.
“Tak sabar betul nak habiskan slot pagi ni,” ujar teman sebilikku yang bernama Yvonne. Gadis Tionghua yang bertubuh tinggi lampai kelihatan manis pada pagi ini mengenakan baju kurunng moden berona biru tua. Rambutnya yang panjang berwarna hitam telah disanggulkan serta diletakkan di dalam net. Matanya yang agak kecil memandangku yang berdiri di hadapan cermin, tanganku sedang sibuk membetulkan tudungku yang berwarna merah darah.
Pandanganku dialihkan daripada cermin ke arah gadis tersebut. “Ya, kan? Semalam baru saja sampai, hari ni sudah mau ballik lepas siap slot pagi ni,” jawabku dengan senyuman terlakar di bibir.
“Nanti kita ambil gambar sama-sama ya sebelum balik.”
“Okay, Yvonne. Jom, saya sudah siap ni.”
Aku dan Yvonne beriringan berjalan keluar dari bilik kami di blok asrama ke kafe di blok pentadbiran sebelum berpisah ke bilik-bilik kuliah kecil. Sepuluh minit diberikan kepada setiap calon untuk membentangkan tajuk pembentangan yang diberikan oleh fasilitator selepas kami selesai menduduki ujian psikometrik malam semalam. Ditambah lima minit bagi sesi soal-jawab. Nombor giliranku agak hujung menghampiri sesi tamat slot Pengucapan Awam. Pukul 11 pagi merupakan masa yang kutunggu, namun perasaan cuak sangat menebal di dalam hatiku. Kali terakhir aku persembahkan pembentangan adalah semasa di bangku universiti, mempertahankan kajian dalam Projek Sarjana Muda aku, dan aku juga bukanlah seorang yang suka berdiri di hadapan khalayak ramai sambil berucap.
Alhamdullillah, selesai juga akhirnya, monologku sambil memanjatkan kesyukuran kerana telah selamat membentangkan tajuk pembentanganku. Lima belas minit sesi pengucapan awam terasa bagaikan setahun dan kini pundakku terasa ringan. Girang hati ini kerana telah selesai menjalani semua ujian, berlari kakiku menuju ke bilik tidur di blok asrama setelah pemakluman bersurai dimaklumkan. Beg pakaian dicapai di tangan kiri dengan tangan kanan sudah menyokong berat telefon yang terlekap di telinga kananku. “Along dah boleh balik,” maklumku kepada ibu menerusi telefon.
Hati melompat girang tatkala mataku terlihat akan dua figura yang sedang melambai tangan ke arahku setelah aku memulangkan kunci bilik tidur. Rindu betul pada mereka walaupun hanya berpisah sehari semalam. Aku segera memeluk tubuh kecil ibuku sebelum meletakkan beg pakaian di bonet belakang. Kami singgah di kedai makan untuk menikmati makanan tengahari sebelum pulang ke negeri kelahiranku. Kembali ke pangkuan keluarga telah meluputkan janji yang dibuat bersama Yvonne pagi tadi.
*****************************************************************************
“Diana akan ke sister branch selepas pejabat ini ditutup,” maklum Nadia yang merupakan pegawai sumber manusia di pejabatku. Dia telah menggantikan Kak Yan beberapa bulan selepas jawatan pegawai sumber manusia diisi oleh Nadia kerana Kak Yan berada di pejabat ini sebagai pengganti. Dia telah kembali ke sister branch selepas ketibaan Nadia, dan yang lebih mengejutkan adalah aku akan ke cawangan yang sama di mana Kak Yan bekerja.
“Betul ni, Kak Nad?” tanyaku seolah-olah sangsi dengan makluman yang disampaikan oleh Nadia atau Kak Nad. Nadia berusia setahun lebih tua daripadaku ini telah banyak kali tidak hadir bertugas kerana mengalami alahan mengandung yang teruk walaupun kandungan sulungnya sudah mencapai usia 7 bulan. Yang membuatkanku kagum dengan Nadia ialah perutnya tidak begitu menonjol biarpun sudah sarat mengandung, siap boleh mengenakan pakaian baju kurung yang sering dipakai ketika sebelum mengandung.
Pejabat cawangan ini bakal ditutup dua bulan daripada sekarang – suatu hakikat yang telahku dengar ura-uranya berlegar di kalangan para pekerja syarikat peruncitan ini sejak beberapa bulan yang lalu. Inilah nasib kami – para pekerja syarkat cawangan peruncitan yang dikategorikan sebagai non-profitable store walaupun usia pejabat ini tak sampai lima tahun. Pelik bin ajaib kerana cawangan ini dibuka di tengah-tengah bandar metropolitan, tetapi tidak mampu mengutip keuntungan. Keuntungan yang tercapai pun hanya berlaku sewaktu ambang Tahun Baru Cina. Penutupan cawangan ini sudah diandaikan sejak Ibu Pejabat mengurangkan bilangan pekerja di mana mana-mana pekerja yang berhenti kerja atau meletakkan jawatan bagi menerima tawaran pekerjaan yang lebih baik di luar sana ataupun sambung belajar tidak akan diganti dengan pekerja baru.
Kemudian, ruang jualan kami telah dikecilkan manakala barangan jualan yang akan dibawa untuk jualan telah dikurangkan terutamanya barang-barang kategori slow moving items. Selepas itu, barangan kategori consignment diperhebatkan di ruang jualan kerana barangan sebegini tidak memberi impak kerugian langsung kepada syarikat. Barangan ini umpama tumpang sewa di ruang jualan kami. Semakin menghampiri tarikh penutupan syarikat, semakin kurang barang jualan yang dipamerkan di display rack dan display bin, sekaligus mengurangkan bilangan pelanggan yang datang membeli di sini.
Aku dan rakan-rakan sekerja yang bekerja di bawah seksyen masing-masing sudah mula sibuk membuat persiapan untuk memulangkan semua stok yang boleh dipulangkan kepada pembekal. Yang mana tidak boleh dipulangkan kepada pembekal, dimaklumkan kepada sister branches yang lain untuk mengambil stok yang dikehendaki berdasarkan senarai stok yang kami sediakan. Pada masa ini jugalah semakan silang antara stok fizikal dengan stok yang dikunci di dalam sistem disemak bagi memastikan on hand balance adalah sama kuantitinya dengan maklumat di dalam sistem.
Akhirnya, pejabat ditutup pengoperasian jualan, namun kami masih lagi bekerja di belakang tabir, menyelesaikan semua perkara yang patut dilakukan. Ramai staf sudah tiada lagi kerana berhenti kerja setelah meletak surat peletakan jawatan berdasarkan Voluntary Separation Scheme (VSS). Sudah pastinya keadaan adalah lebih baik bagi mereka yang telah lama bekerja kerana duit pampasan yang diperoleh mencecah puluhan ribu ringgit berbanding dengan mereka yang baru bekerja. Sejujurnya tatkala aku dimaklumkan bahawa aku mendapat penempatan di sister branch lain, hatiku mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana bukan mudah untuk mencari pekerjaan lain ditambah dengan diri ini sedia mempunyai komitmen bulanan.
Hari bersejarah pun tiba. Selepas dua bulan kemudian, tepat jam 5 petang aku bersama-sama 4 orang rakan sekerja yang lain mengetip kad perakam waktu di pejabat ini buat kali terakhir. Kami sama-sama berdiri di hadapan pintu putih yang berat, iaitu pintu belakang yang membuka laluan kemasukan staf ke premis kami, melahirkan perasaan sedih dan dukacita yang mendalam sambil mulut masing-masing terkunci daripada berkata-kata. Memori di mana aku bekerja selama hampir 4 tahun terpahat di sini selagimana bangunan pusat membeli belah ini berdiri kukuh di sini, dan selagi hayat masih dikandung badan.
Glosari:
1. Assessment Center – saringan penilaian yang dijalankan ke atas calon yang lulus di peringkat peperiksaan kemasukan ke perkhidmnatan awam.
2. slow moving items - barang-barang yang kurang dibeli oleh pembeli walaupun disenaraikan sebagai barang promosi
3. display rack – rak besi yang menjadi tempat barang-barang disusun supaya nampak kemas dan mudah diambil oleh pelanggan
4. display bin – sebuah tempat khas yang diperbuat daripada besi yang menjadi tempat meletak barang-barang kecil untuk tujuan promosi sperti buah-buahan, sayur-sayuran, barangan basah seperti ayam dan ikan, pakaian, alat tulis dan lain-lain
5. sister branch(es) - cawangan kedai/premis yang terdapat di sesebuah negeri di mana pentadbiran utama adalah di Ibu Pejabat
6. on hand balance – baki stok yang wujud di sesuatu premis secara fizikal
Share this novel