Setelah melakar kerjaya di syarikat peruncitan selama beberapa tahun dengan pelbagai kisah suka duka berjaya ditempuh, aku sudah mampu menyesuaikan diri dengan tugasan serta berhadapan dengan kerenah manusia sama ada sesama rakan-rakan sekerja mahupun daripada para pelanggan. Customer is always right, piagam yang menjadi keramat dalam dunia perniagaan namun aku merasakan kadangkala kami para pekerja dieksploitasi dengan kata keramat ini. Bekerja di syarikat peruncitan membuka mataku mengenai kepentingan menjaga harta benda terutamanya harta orang lain. Aku belajar untuk menghargai setiap benda yang dibelanjakan oleh syarikat. Ketika ini baru aku sedar antara punca kerugian syarikat peruncitan datangnya daripada sikap para pelanggan yang kurang bertanggungjawab.
Meskipun pekerjaan di syarikat ini amat dipandang serong oleh masyarakat, namun hakikat masyarakat belum sedar bahawa di sebalik para pekerja ini, mereka juga bukan calang-calang orang. Aku menyaksikan di hadapan mataku berapa ramai para pekerja ini memiliki diploma dan ijazah sarjana muda bahkan ada juga yang memegang ijazah sarjana.
Bukan itu sahaja, ada yang datang bekerja sementara di sini ialah graduan perubatan yang sedang menunggu panggilan housemanship. Bukan kami memilih untuk bekerja sebegini, namun yang kami pinta ialah perasaan hormat dan menghargai para pekerja di sini yang membantu anda semasa anda membuat pembelian di premis kami. Sebagaimana kami menghormati pelanggan kami, kami juga seharusnya menerima penghormatan yang sama. Kami juga sedang berusaha untuk mencari pekerjaan yang lebih baik, namun masih bertahan di sini kerana masih belum dikurniakan rezeki kerja yang lebih baik di tempat lain selain daripada komitmen diri dan keluarga sedia ada.
Selayaknya harta benda syarikat termasuk barang-barang yang mudah rosak seperti buah, sayur, chilled & frozen items dan makanan siap masak diletakkan di tempat sepatutnya sekiranya anda tidak mahu membelinya. Buah dan sayur bukanlah barang keras yang boleh anda tekankan dengan tangan atau goreskan dengan kuku untuk melihat kerangupan, kerana setelah anda bertindak sedemikian, anda terus memilih buah atau sayur yang baru untuk dimasukkan dalam shopping cart anda, manakala barang yang anda sendiri rosakkan diletakkan semula di tempat asal. Aku sangat sedih melihat sesetengah barang perishable seperti buah betik yang tidak mahu dibeli, menjadi rosak akibat tindakan pelanggan yang meletakkannya dalam peti sejuk beku. Apabila kami terperasan akan buah tersebut, ia sudah terlalu lewat untuk kami selamatkannya. Akhirnya harta syarikat yang satu ini dimasukkan dalam tong sampah dan direkodkan sebagai disposal. Unnecessary disposal yang berlaku akibat tindakan ketidakprihatinan para pelanggan dalam menjaga harta syarikat umpama harta sendiri.
Walaupun pekerjaan di bidang peruncitan dipandang lekeh oleh mata masyarakat, namun aku bersyukur kerana rezeki pertama aku dalam dunia pekerjaan ialah dalam syarikat peruncitan. Terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang berharga umpama emas yang tidak dapat dijual beli, antaranya ilmu kepenggunaan dan ilmu mengenali buah dan sayuran yang segar. Bekerja di jabatan fresh menyebabkan aku pernah merasai masam manis buah – suatu ilmu yang penting sebelum kami dapat mempromosikan kepada para pelanggan bagi meningkatkan jualan kami. Jangan salah faham, aku dan anak-anak buah merasai buah yang hampir atau sudah rosak walaupun buah baru tiba di premis kami. Diriku yang tidak mengenali sayur dan buah kini sudah mampu meneka masam manis buah hanya dengan melihat dengan mata serta memerhatikan ciri-ciri fizikal buah terbabit. Pelbagai sayur juga dapat dikenalpasti dan bertambah luas pemakananku dalam sayuran setelah merasai keenakan sayur. Antara buah dan sayur yang dahulunya janggal di pandangan dan lidahku tetapi kini menjadi idamanku adalah pisang kaki, ubi keledek Jepun, arrowhead (sedapnya dibuat keropok!), labu, cendawan shiitake, dan rockmelon.
Jika dahulu aku hanya mengenali epal sebagai epal, oren sebagai oren, kini aku sedar terdapat banyak kepelbagaian di dalam buah. Sebagai contoh, buah epal mempunyai pelbagai jenis seperti epal Fuji, Granny Smith, Ambrosia, McIntosh dan Red Delicious. Nama-nama epal yang suatu ketika dahulu muncul dalam perkataan di dalam karya Prof. Dr. Faisal Tehrani bertajuk Kerana Manisnya Epal kini sudahku kenal rupa fizikal mereka. Manakala buah oren juga mempunyai pelbagai jenis seperti mini tangerine, lokam (limau mandarin yang popular semasa Tahun Baru Cina), Navel, Valencia, murcott mandarine, cara cara dan grapefruit. Begitu juga dengan sayur umpamanya halia yang mana kita ada old ginger, blue ginger dan turmeric. Ada buah yang sama warna kulit luarannya tetapi berbeza warna pada isinya seperti buah naga yang mempunyai isi putih atau merah (suka yang merah sebab rasanya yang lebih manis).
Mangga juga sudah menjadi kegemaranku, tidak lagi tertumpu kepada mangga chokonan. Setiap kali ada musim mangga, pasti aku akan membuat tempahan untuk manga-mangga kegemaranku seperti black gold, waterlily dan golden waterlily selain membuat tempahan untuk mangga chokonan, farlan dan lain-lain. Sebagaimana durian musang king dan duri hitam menguasai dunia durian, mangga black gold yang dikenali sebagai Tong Dam adalah yang kedua paling manis selepas mangga Thai Waterlily. Don’t judge a book by its cover - ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan mangga black gold. Kulitnya yang berwarna hijau tua tanpa mengira masak atau tidak sesuatu mangga, tetapi isinya yang berwarna oren pekat dan rasanya yang manis membuatkanku terpukau dengan mangga jenis ini.
Dari pengalaman merasai buah mangga inilah yang aku membuatkanku mempromosikan buah tersebut kepada para pelanggan terutamanya kepada penggemar mangga. Jika selalu membeli buah mangga chokonan, aku memberi pendapat untuk mereka mencuba black gold pula. Tidakku sangka, keesokan harinya para pelanggan yang membeli mangga black gold atas pandanganku terus datang ke premis semata-mata untuk membeli mangga tersebut.
Selain daripada ilmu kepenggunaan serta ilmu sumber manusia yang aku peroleh sepanjang bekerja di syarikat peruncitan, aku turut membina hubungan yang baik dengan para pelanggan terutamanya yang datang daripada negara luar. Memandangkan aku berkebolehan untuk bertutur dalam Bahasa Jepun, dan kebetulan pula ramai orang Jepun yang datang membeli belah di kawasan premis syarikat aku bekerja, aku seboleh-bolehnya akan berusaha untuk bertutur dalam bahasa daripada Negara Matahari Terbit itu sekiranya aku terdengar ada pelangganku yang bertutur dalam bahasa tersebut. Mereka terkejut dan teruja pada masa yang sama kerana ada juga orang Malaysia yang boleh berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka; bahasa tersebut yang mengikat persahabatan kami dengan izin Allah jua. Mereka menjadi pelanggan tetapku, malah ada yang sanggup datang ke premis semata-mata untuk berbual denganku sambil membeli (hanya membeli barang di seksyen Fresh) sahaja.
“Ohayou gozaimasu, Diana-san!” tegur seorang lelaki berbangsa Jepun sambil senyuman lebar terlakar di wajahnya. Dia sedang mendekati bin di mana aku sedang sibuk menyusun buah-buah yang baru tiba daripada penghantaran DC. “Ah, ohayou gozaimasu, Yamada-san. Kyou mo koko ni kurun desune,” kataku sambil membalas senyumannya, tanganku masih lagi ligat menyusun buah. “Hai, sou desu. Koko no asagohan wa oishiikara, mata kimasu yo,” ujar Encik Yamada. “Ah, sou desuka. Sore wa yokatta desu ne. Jaa, kyou wa nan no asagohan wo kaimasuka?” tanyaku. “Ah, sou desu ne. Ja, kyou wa nashi remakku wo tabetai no~,” balas Encik Yamada sambil berfikir.
Walaupun dia berbangsa Jepun, tetapi Encik Yamada amat menyukai masakan Malaysia terutamanya nasi lemak. Hampir setiap hari dia datang ke premis semata-mata untuk membeli nasi lemak, walaupun mungkin hakikat kedatangannya adalah untuk bersembang denganku. Dia juga mampu bertutur dalam bahasa Inggeris namun denganku, namun hanya bahasa Jepun menjadi medium perbualan kami.
Encik Yamada adalah antara pelangganku yang akan datang ke premis sebanyak dua kali dalam tempoh sehari. Dia datang pada sebelah pagi untuk membeli nasi lemak, dan pada sebelah petang dia akan membeli nasi set berlauk. Apabila ditanya mengapa dia datang ke premisku dua kali sehari, dia hanya menjawab bahawa makanan di sini amat menyelerakan dan sangat murah. Melalui perbualanku dengannya, aku mengetahui Encik Yamada telah berkahwin dan mempunyai isteri yang kini menetap bersama-sama dengannya di Malaysia, manakala anak-anaknya yang merupakan dua orang anak perempuan berada di Kagoshima, Jepun. Anak-anaknya telah berkahwin dan mempunyai kehidupan mereka tersendiri. Selanjutnya Encik Yamada turut memaklumkan bahawa mereka tinggal di Malaysia sudah beberapa tahun melalui program Malaysia My Second Home (MM2H) dan telah memiliki rumah di Malaysia.
Apabila ditanya apa yang menyebabkan Encik Yamada memilih untuk tinggal di Malaysia, bekas pekerja syarikat Jepun dan juga pemilik ryokan di Kagoshima berkata isteri beliau yang mempunyai masalah kesihatan akan bertambah teruk keadaannya sekiranya berada di kawasan yang sejuk memandangkan Jepun adalah negara yang mempunyai empat musim. Dia yang pernah melawat Malaysia beberapa kali bersama isteri amat sukakan Malaysia yang mempunyai iklim panas dan hujan sepanjang tahun, selain daripada masyarakat yang baik dan ramah serta kepelbagaian makanan yang enak. Atas sebab-sebab tersebut, dia dan isteri akan menetap di Malaysia ketika Jepun dilanda musim kering dan musim sejuk dan akan kembali ke Jepun pada musim bunga dan musim panas. Dia juga menjemputku ke rumahnya di Kagoshima sekiranya aku merancang untuk melawat Jepun. InshaAllah, kerana aku juga pernah memasang impian untuk melanjutkan pengajian peringkat yang lebih tinggi di Toudai (Tokyo Daigaku = Universiti Tokyo)!
Selain daripada Encik Yamada, terdapat juga pelangganku yang berbangsa orang putih yang sering datang membeli belah di premis pekerjaanku. “Those apples look delicious, but how come you sell the by piece?” tanya Encik Johnson kepadaku. “I do not set the price nor method of selling, sir. All I know that we sell apples either by piece or pack,” balasku sambil melemparkan senyuman kepada lelaki yang berusia 50-an yang berasal dari Melbourne, Australia. “If you sell the apples by piece, I’m afraid to say that fruits in Malaysia are more expensive than in Australia. Believe me, we sell apples by kilograms. That would be much cheaper, don’t you think?” Soalan lelaki warga Australia ini membuatkanku terfikir.
Ada betulnya apa yang disoalkan itu, namun apa daya aku untuk memanjangkan persoalan ini ke pihak atasan sedangkan pihak atasan peringkat ibu pejabat yang membuat penentuan cara jualan? Soalan lelaki itu kubalas dengan senyuman bak kerrang busuk sahaja kerana aku tidak mempunyai idea untuk membalasnya.
Sesungguhnya, di kala keadaan kerjaku menjadi tegang kerana kerja yang banyak serta disulami dengan masalah dalaman pejabat dan kerenah pelanggan yang pelbagai, kehadiran pelanggan-pelanggan tetapku hampir setiap hari di premis membuatkan hatiku berbunga, wajahku menguntum senyuman dan terasa ringan di fikiran dan pundakku seolah-olah aku tidak punya sebarang masalah. Kesempatan bertemu dengan para pelanggan setiaku rupanya adalah momen indah yang singkat yang aku kecapi kerana jodohku dengan syarikat ini bakal berakhir tidak lama lagi. Keadaan syarikat tempat aku bekerja ini agak teruk akibat tempias kehilangan banyak barang yang tidak dapat dikesan selepas selesai operasi stocktake dijalankan dan juga syarikat ini mencatatkan negatif keuntungan setiap tahun walaupun ia boleh dikatakan baby di kalangan cawangan syarikat di negeri ini. Hubungan baik aku dengan para pelanggan setiaku berakhir suatu hari nanti apabila aku terdengar terdapat ura-ura bahawa cawangan syarikat aku akan ditutup sepenuhnya.
Glosari:
1. DC – distribution center iaitu pusat pengumpulan dan pengagihan barang ke cawangan
2. Ohayou gozaimasu – (bahasa Jepun) bermaksud selamat pagi
3. (nama)- san – (bahasa Jepun) san ialah suffix panggilan hormat yang bermaksud Cik/ Encik/ Tuan/ Puan
4. Kyou mo koko ni kurundesune – (bahasa Jepun) Hari ni datang ke sini lagi nampaknya.
5. Hai, sou desu. – (bahasa Jepun) Ya, betul.
6. Koko no asagohan wa oishikara, mata kimasu yo. – (bahasa Jepun) Makanan di sini sedap, sebab tu datang lagi.
7. Ah, sou desuka. – (bahasa Jepun) Oh, macam tu.
8. Sore wa yokatta desu ne. – (bahasa Jepun) Saya gembira mendengarnya.
9. Jaa, kyou wa nan no asagohan wo kaimasuka? – (bahasa Jepun) Jadi, hari ni nak beli apa untuk sarapan pagi?
10. Ja, kyou wa nashi remakku wo tabetai no~ - (bahasa Jepun) Hmm, hari ni rasa macam nak makan nasi lemak.
11. ryokan – (bahasa Jepun) hotel, rumah tumpangan
Share this novel