Bab 5 : Menangani Politik Pejabat yang Menyakitkan

Young Adult Series 2042

“Pandai kau, kan? Apa entah kau kipas bos sehingga bos asyik dengar cakap kau je?” kata Maria dengan suara yang agak tinggi sambil pinggangnya dicekak oleh kedua-dua tangannya kepadaku. Aku termangu seketika memikirkan apa yang telah menyebabkan rakan sekerjaku, Maria berkata sedemikian kepadaku. “Apa aku dah buat, Maria? Aku tak pernah kata apa-apa pun pada bos,” balasku dengan penuh kehairanan. “Usahlah kau nak berlakon baik kat sini, semua orang kat sini tak suka kau sebab kau kaki kipas bos. Bukan aku tak tahu kau cuba menjatuhkan kawan baik kau dengan cubaan hendak mengambil jawatan yang dia pegang.”

Aku tersentak sekali lagi. Kata-kata Maria padaku seperti pedang yang menghunus hati kecilku. Sungguh aku tidak mengerti mengapa Maria begitu marah kepadaku. Bukan itu sahaja, rakan sekerja yang lain rupanya sependapat dengan Maria sehingga memulaukanku. Patutlah sejak kebelakangan ini aku merasakan tingkahlaku rakan-rakan sekerjaku berlainan sekali. Namun, mengenali diriku yang tidak pernah ambil pusing akan kata atau perihal orang lain, aku membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap perbuatan mereka. Hati kecilku pedih menerima tusukan kata-kata Maria, tak semena-mena air mataku bergenang di mataku yang tersembunyi di sebalik cermin mataku. Sebelum sempat air mata jatuh membasahi pipi, kakiku segera membawa tubuhku kembali ke ruang pejabat seksyen aku dan aku segera melabuhkan punggungku di kerusi sambil kedua-dua tanganku menekup mukaku. Cermin mataku telah dialihkan dari kepalaku dan diletakkan di atas meja.

Anak-anak buahku, “anak” yang sudah layakku memanggil sebagai makcik kerana berusia lebih kurang usia ibuku, Kak Wati dan Aunty Chan terkedu melihat keadaanku yang sedang menangis di meja kerjaku. “Apa pasal nangis?” tanya Aunty Chan lembut. Aku mengangkat wajahku dan mengalihkan tanganku daripada menekup wajah; mataku memerhatikan raut wajah wanita Cina yang berumur mencecah 60 tahun dalam-dalam. Di tangan kanannya memegang pisau manakala terdapat sebiji buah mangga yang hanya separuh dibuang kulitnya. Kak Wati yang berkulit putih dan berusia pertengahan 50-an menarik sebuah kerusi di penjuru pejabat dan meletakkannya di sebelah kiriku sebelum melabuhkan punggungnya di atas kerusi terbabit. Aku segera mengalihkan pandanganku daripada Aunty Chan kepada Kak Wati.

Aku pun membuka mulut, sambil bercerita sambil diselangi dengan sedu sedan tangisan. “Aunty, Akak, saya sudah tak boleh tahan kerja di sini. Saya tidak complain apa pun sama bos, tapi kenapa Maria tuduh saya kaki kipas bos? Lagi dia cakap saya cuba ambil balik jawatan Pegawai Teknologi Maklumat daripada Julia. Padahal saya cuma kesian sama Julia, kerja teruk lagi ada Masters tapi gaji dia jauh lebih rendah daripada semasa saya pegang jawatan tu. Saya kesian tengok Julia stress kerja, dia pun lagi cakap mahu berhenti kerja. Saya cuma kata kalau mahu berhenti, kasitau sama saya sebab saya yang bawa dia masuk sini.” Aunty Chan dan Kak Wati mengganggukkan kepala mereka. “Betullah, akak pun kesian tengok Julia. Kerja gaji kecil, tapi ada rumah nak tanggung. Makan minum lagi. Sampai kurus sekeping tengok badan dia sekarang ni,” balas Kak Wati sambil tangannya menggosok belakang badan aku bagi tujuan menenangkan diriku.

“Apa mau susah hati. Itu Maria bukan buat kerja, sana sini jalan. Tapi boss tak ada marah sama dia. Lagi masuk kerja pun lambat, haiya. Tak payah nangis pasal ini orang,” sambut Aunty Chan dengan Bahasa Malaysia yang berpelat Bahasa Cina. Kak Wati melemparkan senyuman kepadaku seraya berkata,” Biarlah kat dorang tu, Diana. Allah ada, Dia dengar doa lagi-lagi yang teraniaya macam Dina. Biarlah dorang nak pulaukan kita, kita buat kerja kita sudahlah. Habis kerja, tinggal hal kerja kat sini. Balik rumah just enjoy ja, tak payah fikir apa dah. Tu la akak selalu doa Diana, moga dapat kerja yang lebih baik, sayang betul ada degree tapi kerja kat supermarket ini.”

“InshaAllah kak, berkat doa akak kat Dina, inshaAllah anda rezeki pekerjaan yang lebih baik tiba satu hari nanti. Terima kasih kak, terima kasih aunty, “kataku sambil memeluk Kak Wati. Kemudian aku bingkas bangun dari kerusiku dan berjalan menuju Aunty Chan sebelum memeluk wanita Cina tersebut. Ya Allah, terima kasih kerana hadirkan dua orang insan yang berhati baik dan memahami kepadaku yang tiada apa ini, sesungguhnya hambaMu ni diuji berat dengan fitnah pekerjaan.

Kata-kata nista dan fitnah itu membuatkan diriku semakin tekad mencari pekerjaan lain. Andai ada sahaja panggilan temuduga, aku terus pergi selepas memohon kebenaran pelepasan daripada pihak pengurusan. Dari situ jugalah aku mengenali hati budi manusia, tak semua manusia yang datang pada kita berhati mulia dan tak semua manusia yang disangka hati kering tidak punya perasaan terhadap orang lain. Setelah puas menangis, aku datang ke pejabat dengan azam dan niat baharu. Aku tidak mahu menjadikan umpatan dan fitnah sebagai penghalang untuk aku melangkah lebih jauh dalam dunia pekerjaan. Aku mahu menjadikan diri ini seorang pekerja serba boleh, berpengetahuan luas dalam selok belok sektor peruncitan dan berdisiplin tinggi. Aku tidak kisah lagi pandangan orang lain terhadapku, yang penting pandangan Tuhan yang mencipta diriku. Aku berazam bahawa aku tidak akan kalah dalam peperangan berhadapan dengan orang yang tidak menghargai diriku dan orang yang tidak senang dengan apa yang aku miliki.

Tidak lama selepas kejadian itu, sekali lagi aku dipulaukan oleh ketua-ketua jabatan. Mereka telah mengadakan satu mesyuarat rahsia yang membincangkan agenda untuk memulaukan aku yang merupakan satu-satunya ketua jabatan wanita di dalam organisasi. Sungguh aku tidak perasan permainan politik pejabat mereka yang naif lagi menjelekkan sehinggakan aku hanya mengetahui kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh bos pada satu hari. Bos aku yang terdahulu sudah tidak lagi berkhidmat setelah disabitkan kesalahan melindungi pekerja yang melarikan dan menjual harta syarikat. Bos aku pada kali ini ialah seorang lelaki berusia awal 40-an dan berbangsa Cina, Encik Yap. Padaku, beliau seorang bos yang baik, sentiasa memberi tunjuk ajar dan juga suka mengambil berat perihal para pekerjanya, beliau juga sering meraikan para pekerja dengan kenduri makan-makan di pejabat.

“You tak tahu eh dorang pulaukan you?” tanya Encik Yap ketika aku bertemu dengan beliau di pejabatnya. Pintu bilik pejabatnya dikunci rapat supaya tiada orang boleh datang mengganggu beliau dan aku. Kak Yan pula menunggu di luar bilik pejabat pengurus untuk memastikan tiada seorang pun datang menghendap dan mencuri dengar perbualanku dengan pengurusku. Aku menggelengkan kepalaku seraya berkata,” Serius saya tak tahu, bos. Kenapa dorang mahu pulaukan saya? Apa saya buat terhadap dorang?” Aku sudah kebingungan memikirkan sekiranya aku telah melukakan hati mereka tanpa sengaja.

“Ini pasal you suruh anak buah Amir tolong angkat DC barang fresh haritu. Amir marah kerana you suruh anak buah dia tolong you tapi tak tanya Amir dulu,” terang Encik Yap. Kata-kata pengurusku membuatkan aku terpana. Salah aku rupanya kerana tak tanya Amir, lantas terus suruh anak buahnya tolong aku, aku bermonolog sendirian.

“Tapi bos, masa tu Amir kan takde di pejabat. Bos kan sudah tahu anak-anak buah saya perempuan tua semua, mana larat mau angkat barang DC. Saya pun perempuan juga, lagi dulu ada kes gangguan dalaman wanita sebab selalu angkat barang berat. Doktor sudah kasi warning sama saya supaya tak angkat barang berat lagi. Takkan sebab tu saja Amir mahu boikot sama saya? Takkan semua department head sama sebelahkan si Amir,” balasku dengan perasaan geram dan marah yang tertahan. Aku kira semua sudah sedia maklum tentang keadaanku, tidak menyangka hal sebegini akan terjadi.

Encik Yap bangun dari kerusinya lalu berjalan ke suatu dinding sambil bersandar di situ. Kedua-dua tangannya disilangkan di hadapan dadanya yang sasa. “Itulah saya mahu kasitau you, Diana. Dorang marah sama you, tapi semua sebab Amir saja. Tak apalah, nanti saya panggil satu meeting semua department head. Saya mahu semua cakap di sana, terus terang apa tak puas semua. Okay, Diana?” Aku menggangguk kepalaku perlahan dan melangkah keluar dari bilik pengurusku.

Langkahku sungguh berat sekali tatkala kaki membawaku kembali ke pejabatku. Sesungguhnya aku tidak menyangka tindakanku menyuruh anak buah daripada jabatan lain tanpa memaklumkan kepada kepada ketua jabatan merupakan kesalahan besar sehingga boleh merosakkan keharmonian hubungan rakan sekerja. Pada pandanganku, tindakanku langsung tidak salah kerana dari segi kedudukan hirarki organisasi pun aku lebih tinggi daripada Amir. Cuma aku tidak mengerti mengapa ketidakpuasan hati itu tidak dimaklumkan daripada mulut ketua jabatan terbabit kepadaku, sebaliknya dia berkomplot bersama ketua-ketua jabatan lain termasuk ketua bahagian untuk memulaukanku. Hal ini telah kuluahkan kepada anak-anak buahku, Aunty Chan dan Kak Wati kerana beban masalah ini kurasakan terlalu berat untukku menanggung.
Di tikar sejadah kumenangis, di hadapan Allah azzawajalla, aku luahkan segala yang mengusutkan fikiran dan menyesakkan hati kepadaNya. Aku bermohon kepadaNya saban malam agar aku dikurniakan hati yang kental untuk menghadapi kerenah dunia politik pejabat dan sifat manusia-manusia yang tidak pernah senang dengan rezeki orang lain. Aku juga bermohon agar Allah kurniakan aku rezeki lain yang menjauhkan aku daripada perkara-perkara syuhbah berkaitan syarikat peruncitan, dan rezeki pekerjaan yang mendekatkan aku dengan Yang Maha Esa. Aku menanam niat untuk mendapat kerja yang dapat menambah amal ibadat dan saham akhirat. Seusai menangis dan tidur, aku kembali segar dan berjaya melupakan semua masalah; ringan bahuku dan terpancar senyuman di wajahku, seolah-olah masalahku hilang begitu sahaja dengan izin Allah swt. Alhamdullillah, terima kasih Ya Allah atas kasih sayang dan rahmatMu yang tidak terhingga.

Tidak lama selepas itu, pengurusku memanggil semua ketua jabatan untuk bermesyuarat mesyuarat tergempar. Kami semua duduk mengelilingi meja dan menghadap pengurus. “I rasa you all sudah tahu pasal apa I panggil you all meeting ini. I dapat tahu you all sudah boikot Diana, sudah tak bantu Diana angkat barang di department dia. Apa pasal you all buat macam tu? You all semua lelaki, Diana seorang saja perempuan ketua jabatan di sini,” kata Encik Yap sambil memandang muka semua ketua jabatan di dalam bilik mesyuarat itu. Lama menyepi di dalam bilik mesyuarat, tiba-tiba Hamid si ketua bahagian membuka mulut. “Boss, ini macam tak boleh. Diana tak respect sama kami, suka-suka panggil anak buah kami pergi tolong department dia. Padahal tak kasitau kami dulu, mau minta anak buah kami tolong dia.”

“Iya, boss. Apa salah kalau kasitau, bukan kami tak boleh kasi anak buah kami tolong dia. Mentang-mentang dia punya pangkat lagi tingi, boleh suka hati dia mau suruh anak buah kami tolong dia,” celah Amir. “Saya minta anak buah korang tolong bukan selalu, masa ada delivery saja. Tu pun kalau banyak pallet dan banyak barang berat. Salah ke minta tolong walau tak cakap kat korang?” soal aku sambil memandang wajah Hamid dan Amir. Kedua-duanya hanya mendiamkan diri dan menundukkan kepala. Mataku berpindah daripada wajah Hamid dan Amir kepada wajah Encik Yap.

“Beginilah. You all tak mau Diana panggil anak buah you all tolong dia. You all nak dia tanya you all untuk minta bantuan, tapi you all terlupa suatu hakikat. Company kita ni bukan profitable, even headcounts pun dah turun banyak. Anak-anak buah you all banyak diambil daripada department Diana. Kalau you complain hanya sebab isu ni, hari ni I akan buat keputusan. Semua anak buah you all kasi balik kat Diana. Once we do that, Diana takkan minta tolong daripada you all lagi,” kata Encik Yap. Semua ketua jabatan selainku terpana, air muka mereka berubah serta-merta dan hati mula merasakan ketidakadilan. “Tak boleh ini macam, boss. Kalau semua anak buah pergi ke Diana, macam mana kami mau kerja,” ujar Hamid dengan perasaan kesal bercampur geram.

“Nah, sekarang you all pilih. Mau Diana minta tolong anak buah you tolong dia punya department or you all mau Diana ambil semua anak buah you? Pilih sekarang,” balas Encik Yap tanpa banyak soal. Aku tidak sangka kebenaran ini yang Allah tunjukkan kepadaku. Tidakku sangka isu ini sebenarnya memudaratkan sebelah pihak dan menguntungkan sebelah pihak. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar doa hamba-hambaNya yang teraniaya.

Kejadian ini benar-benar membuka mata semua pihak. Aku menjadi seorang yang tidak mudah meletakkan kepercayaan kepada orang lain dan sekiranya aku mahukan bantuan orang lain daripada jabatan lain, aku perlu mematuhi hirarki organisasi. Tidak boleh semberono menyuruh anak buah orang lain tanpa persetujuan ketuanya. Aku juga menolak untuk bersembang bersama rakan-rakan sekerja sebaliknya hanya menumpukan sepenuh perhatian atas tugas. Cukup masa kerja aku terus tinggalkan segala masalah pejabat di pejabat; tamatnya waktu kerja bermaksud me-time untukku. Malahan tidak semudah ABC rakan-rakan sekerjaku menjadi rakan di aplikasi akaun media sosialku – sesuatu yang aku nekad lakukan sehingga ke hari ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience