Masa berlari dengan begitu pantas sekali hingga tidak sedar bahawa aku kini telah bertugas di syarikat peruncitan selama 6 bulan. Walaupun usia pekerjaan masih lagi setahun jagung, namun telah banyak aku pelajari mengenai dunia pekerjaan setiap hari. Lagi-lagi apabila sedar bahawa bukan mudah untuk mendapatkan wang pendapatan dan membelanjakan dengan betul. Pengurusan kewangan – satu bab yang aku gagal lakukan dalam hidup dan aku sedari sejak aku di bangku di universiti. Sepertimana yang aku nyatakan sebelum ini, aku bukanlah pelajar yang pintar dengan skor A memenuhi transkrip peperiksaan. Smooth-sailing perjalanan pendidikanku bukan bermakna aku tidak pernah skor D dalam peperiksaan sekolah, cuma aku dikurniakan rezeki untuk sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi walaupun keputusan peperiksaan SPM aku tidak begitu cantik. Alhamdullillah.
Menjejak kaki ke universiti yang merupakan antara universiti penyelidikan awam terbaik di Malaysia di zon tengah Malaysia merupakan antara momen-momen kebanggaan dalam hidupku. Tidak pernah aku terbayang akan diri ini dapat memasuki menara gading yang merupakan tempat idaman ibu bapaku. Betapa bangga mereka melihat aku dan adik kembarku mencatat sejarah dalam keluarga kecil kami sebagai pelajar universiti setelah tamat pengajian di matrikulasi. Namun, buat pertama kalinya dalam hidupku selama 19 tahun, aku akan terpisah dengan adik kembar kesayanganku kerana kami telah memilih universiti yang berlainan di negeri yang berlainan untuk meneruskan pengajian tertinggi kami. Setelah mendapat tawaran kemasukan ke universiti hingga ke hari kami akan bertolak ke kampung halaman di zon tengah tanah air, aku banyak berendam air mata kerana memikirkan bahawa aku dan adik kembarku akan terpisah beratus kilometer demi mencapai cita-cita kami.
Dengan berbekalkan doa berkat ibu bapa dan harapan keluarga, kami mengorak langkah menjadi lebih dewasa tatkala bergelar pelajar universiti. Suasana pelajaran dan pengajian yang pantas turut dirasai walaupun pengalaman yang sama telah dilalui semasa di alam matrikulasi. Kesibukan bergelar pelajar universiti memutuskan diri ini untuk menjalani kehidupan sebagai pelajar berlandaskan kepada jadual harian yang telah aku susun. Aku berjaya mengharungi kehidupan sebagai seorang pelajar dengan jayanya apabila Senat Universiti memutuskan bahawa aku akan bergraduasi.
Namun, kegembiraan untuk bergraduasi ini diwarnai oleh pelbagai suka duka sepanjang bergelar pelajar termasuklah ditipu oleh MLM akibat ajakan teman dan ditipu oleh guru sekolah memandu yang menghilangkan diri setelah mendapat bayaran penuh untuk menduduki ujian memandu. Walau bagaimanapun masih banyak kenangan indah yang tercipta semasa di universiti antaranya terlibat dengan festival anime Jepun pertama di universiti, mempunyai teman lelaki berbangsa Jepun yang boleh berbahasa Malaysia dan menjalani ibadah puasa dengan berbuka puasa secara makan dalam talam beramai-ramai di masjid.
Enam bulan di dalam alam pekerjaan dengan gaji yang ditawarkan sebanyak RM1,200.00 amat bererti bagiku kerana pada gaji pertama aku telah membawa keluarga untuk makan malam di luar bagi meraikan pengalaman mendapat gaji pertama.” Ingat, along. Di dalam rezeki gaji yang kita peroleh, sentiasa ada rezeki orang lain di dalamnya. Lagi berkat kalau gaji ini kita beri sedikit kepada ibu bapa,” pesan bapaku. Maka dengan gaji yang tidak seberapa ini, aku perutukkan RM100.00 setiap seorang kepada ibu bapaku dan berjanji untuk bekerja bersungguh-sungguh agar aku dapat berikan lebih banyak duit kepada mereka sebagai tanda membalas jasa mereka walaupun aku sedar duit yang diberi tidak boleh menandingi pengorbanan ibu bapaku.
Sebahagian kecil duit gaji aku disimpan di dalam bank manakala baki gaji aku peruntukkan untuk mengambil lesen memandu kenderaan, makan minum ketika bekerja dan juga belanja untuk percutian. Aku diperkenalkan oleh bapaku kepada seorang lelaki tua berbangsa Cina bernama Uncle Ang yang merupakan pengurus syarikat sekolah memandu. Uncle Ang adalah rakan baik kepada bapaku dan beliau berjanji kepada bapaku bahawa beliau akan mengajarku sehingga lulus dan pandai memandu. Maka bermulalah satu lagi rutin baru di dalam episod kehidupan harianku di mana aku belajar memandu dengan Uncle Ang selama 2 hari iaitu pada hari Isnin dan hari Khamis petang selepas tamat waktu kerja. Aku belajar memandu menggunakan kereta kancil bergear manual dari jam 5.30 petang hingga 7.00 malam.
Sebagaimana semasa belajar di insitusi pengajian, sama juga halnya aku alami di institusi memandu. Berkali-kali cuba memandu kereta masih lagi timbul takut di dalam hati, terutamanya apabila hendak menaiki bukit (salah satu ujian yang diuji di dalam ujian kenderaan JPJ).
“Gagal lagi kali ni,” bisik hatiku hampa setelah menerima keputusan ujian daripada pihak JPJ. Aku gagal dalam ujian on the road setelah kali pertama aku gagal dalam ujian memandu yang lalu akibat gagal dalam ujian kenderaan menaiki bukit. Putih mataku melihat keputusan JPJ yang ada di tanganku. Aduh, kena tambah duit lagi nak ambil exam seterusnya, monologku di dalam hati memikirkan sudah banyak wang dihabiskan semata-mata mahu mendapatkan lesen memandu. Kakiku melangkah menuju ke kereta kancil milik Uncle Ang setelah mengambil keputusan ujian JPJ. “Adik, ini macam kalau susah banyak fail, you kasi duit kat uncle nanti uncle cari orang lain kasi ambil test bagi you,” kata Uncle Ang berpelat Cina padaku yang membuatkanku tersentak dari fikiran kusutku setelah mendapat keputusan gagal dalam ujian memandu.
“Tak maulah, Uncle. Saya mau lulus sendiri,” balasku sambil meihat wajahnya. Tak semena-mena air mata bergenang di dalam kelopak mataku namun aku tahan air mata itu daripada mengalir membasahi pipiku.
“Lu punya bapa sudah cakap sama uncle. Kesian tengok you fail test,” ujar Uncle Ang lagi sambil matanya fokus ke arah pemanduannya. Kami berdua dalam perjalanan pulang ke sekolah memandunya.
“Takde cara lain ke uncle? Saya rasa tak boleh bawak kereta pasal kereta tadi clutch dia tinggi. Kaki tak biasa. Kalau kereta uncle kan senang kalau test, sebab dah biasa bawak.”
“Boleh, no problem you guna ini kereta pergi test tapi nanti you dapat lesen A la. Lain kereta semua tak boleh pakai, kereta ni saja boleh, “kata Uncle Ang sambil ketawa. Jawapan lelaki tua ini benar-benar merentap jiwaku. Masakan tidak semua orang tahu apa maksudnya bagi pemegang lesen A. Ah, tidak. Aku tak mau selamanya menggunakan kereta kancil lama Uncle ini. Aku pun nak juga merasai kereta besar, lagi pula impian aku ialah memiliki kereta Alfa Romeo. Wah, Diana… tinggi betul angan kau. Kerja gaji tak seberapa bilalah kau boleh miliki kereta idaman tu unless kahwin dengan orang kaya!
Kegagalan mendapatkan lesen memandu dengan sekali ujian telah menjadi sebahagian daripada rekod kehidupanku. Walaupun gagal sebanyak dua kali, tetapi ia tidak mematahkan semangat aku untuk lulus ujian memandu dengan keupayaan sendiri. Masakan tidak, hampir ribuan ringgit jugalah dibazirkan semata-mata untuk mendapat lesen memandu sementara, selain daripada terpaksa bertukar waktu kerja daripada pagi kepada petang. Alhamdullillah, Allah swt Yang Maha Mendengar isi hatiku, aku telah lulus ujian memandu pada kali ketiga menduduki ujian dengan markah yang hanyalah atas pagar sahaja. Namun keputusan itu sudah cukup membuatkanku bagai berada di langit yang tinggi, berada di puncak Gunung Everest.
Alang-alang lulus ujian memandu, terus bapaku ajukan soalan mengenai kenderaan pertamaku. Cadangan bapa ialah aku mengambil kereta kancil bergear manual secondhand sebagai kenderaan untuk aku berlatih memahirkan kemahiran pemanduan. Ibuku bersetuju untuk menjadi penjamin dan akhirnya kereta pertamaku tiba minggu berikutnya. MashaAllah, walaupun sudah 5 tahun usianya, namun keadaan kenderaan sangat cantik dengan badannya dicat warna perak metalik. Menurut bapaku, pemilik kenderaan sebelum ini ialah seorang wanita, maka kenderaannya bersih tanpa sebarang pelekat atau pemasangan aksesori. Dapat sahaja kereta Kancil, bapaku menyuruhku untuk memandu di sekitar bandar namun aku menolak kerana ingin belajar memandu waktu cuti. Bapaku menyuarakan perasaan tidak puas hati kerana beliau tidak mahu aku berlengah lagi dalam pemanduan dan mahu aku berdikari memandu sendiri ke tempat kerja.
Tanpa banyak bicara dan dengan hati yang berat, aku memaksa diriku menadah telinga mendengar bebelan daripada bapaku di sepanjang ride di sekeliling bandar. Ibuku yang mengambil tempat duduk belakang hanya menggeleng kepala dan mendiamkan diri tatkala bapaku memberi tunjuk ajar mengenai pemanduan kepadaku. Inilah yang membuatkanku memberi alasan untuk tidak memandu kerana sememangnya bapaku ini kaki bebel akan sesuatu perkara untuk tempoh masa yang lama. Kami sekeluarga sudah masak dengan perangai bapaku yang satu ini. Bak kata orang jangan dikenang akan satu keburukan seseorang sehingga menutup semua kebaikan yang pernah dia lakukan. Oleh sebab itu, aku hanya membiarkan telingaku menadah semua perkataan yang dibebelkan oleh ayahku tanpa sebarang jawapan balas daripadaku.
Alhamdullillah, tidak lama selepas belajar memahirkan kemahiran memandu, aku sudah mampu menerjah laju di jalanraya dengan kereta Kancil. Dengan kereta ini, perjalananku sudah melebihi daripada perjalanan di dalam negeri. Aku bergilir-gilir memandunya dengan adik-beradikku, membawanya bercuti bersama ibu dari utara Malaysia hingga ke ibu negara. Kereta kecil ini sangat berjasa pada kami, walaupun ia pernah dilanggar kenderaan lain dan pernah rosak bumbungnya akibat dihentam kepingan tile bumbung rumah semasa kejadian rebut, namun ia masih gah meluncur di jalanraya tanpa sebarang kerosakan major.
Bergelar sebagai pekerja selama beberapa tahun dan di usia 20-an, aku mula sedar tentang tanggungjawabku yang bukan hanya terhadap diri sendiri, bahkan termasuk juga keluarga. Di usia ini, ramai rakan sekolah dan rakan sekuliah di universiti telah menamatkan zaman bujang, atau melanjutkan pengajian yang lebih tinggi, atau bekerja di sektor lain dengan gaji yang lebih baik serta mencari aset seperti rumah dan kereta. Rezeki yang mereka peroleh kadangkala membuatkanku terduduk, merasai diri amat kerdil berbanding mereka sehingga aku tidak sanggup hadir ke majlis reunion. Aku enggan dibandingkan hidupku dengan hidup mereka, cukuplah sekadar hidupku dibandingkan di kalangan ahli keluarga. Aku tahu perbandingan dibuat bertujuan semata-mata sebagai push factor untuk aku mencari rezeki yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang. Bukan aku tak bersyukur dengan rezeki yang ada, namun ibu bapaku kepingin melihat aku berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan orang lain yang dikatakan berjaya dalam hidup.
Bermula saat aku memegang wang gaji hasil bekerja, bapaku mengajarku tentang perolehan aset kedua yang merupakan aset terpenting di dalam kehidupan seorang yang bekerjaya iaitu hartanah. Bapaku mengajar aku dan adik-beradik untuk bekerja dan membeli aset sendiri, tanpa mengira jantina kerana beliau mahu kami hidup berdikari sedari awal bekerja selain memahami tanggungjawab dan tugas kami selaku orang dewasa. “Along, tengok ni. Pejabat Setiausaha Kerajaan ada membuka penawaran rumah. Along daftarlah dulu, sebab bukan senang nak dapat rumah bawah kerajaan negeri. Ayah pun jenuh beratur panjang bertahun nak dapat, walaupun tak dapat juga sampai ke sudah,” beritahu bapaku kepadaku suatu petang.
Rumah? Aku terpempan seketika mendengar aset hartanah itu. Masakan tidak, gajiku hanya RM1,700.00 dengan keadaanku yang masih terumbang-ambing membina kehidupan, kini hendak menambah beban – suatu beban hutang yang panjang tempoh pinjamannya sehingga 30 tahun. Dalam hatiku enggan menerima penambahan hutang kerana komitmen sudah ada pada kereta dan pinjaman Pendidikan, tetapi aku kini telah melewati usia pertengahan 20-an, apa lagi yang aku ingin tunggu. Seiring dengan peningkatan usia, tempoh pinjaman semakin pendek menyebabkan bayaran ansuran bulanan tinggi, kata bapaku.
Berpegang kepada kata-kata bapaku serta ajakan teman sekerja semasa Pejabat Setiausaha Kerajaan mengadakan ekspo perumahan, aku dan teman-teman sekerja terus melangkah ke tapak ekspo perumahan di Pejabat berkenaan. Kami berbincang senarai projek perumahan yang dinyatakan di dalam pamphlet di mana lokasi, jenis rumah samada kos rendah atau kos sederhana rendah, jumlah pinjaman yang berkelayakan dan komitmen bulanan sedia ada menjadi topik utama perbincangan. Aku bernekad memilih rumah kos sederhana rendah walaupun aku sedar gaji semasa aku berkemungkinan akan merana membayar ansuran bulanan apabila aku ditawarkan kediaman idamanku kelak. Namun, aku percaya akan rezeki Allah bahawa aku tak selama-lamanya akan duduk di takuk sedia ada. InshaAllah, andai ia rezekiku, rumah kecil bersaiz 700 kaki persegi yang berlokasi strategik pasti akan menjadi milikku suatu hari nanti.
Setelah selesai mengisi borang perumahan serta mengemukakan beberapa dokumen yang diminta oleh Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, aku pulang ke tempat kerja sambil membayangkan rumah impian tersebut menjadi rumah yang aku benar-benar duduki kelak.
Share this novel