“Ah, penatnya. Baru kerja hari pertama, badan dah mula rasa panas, kepala pun berpusing. Rasa macam nak demam saja,” getusku saat tiba di rumah. Aku melabuhkan punggungku ke kerusi makan memandangkan tiada set sofa di rumah kuarters ini. Ibu bapaku tidak mahu rumah dipenuhi perabot lantaran ibuku yang bertugas sebagai jururawat di Klinik ENT (Telinga, Hidung dan Tekak) di hospital kerajaan akan bersara tidak lama lagi. Ayahku sudah lama pencen daripada dunia kepolisan dan kini hanya melakukan kerja-kerja rencam selain bertindak sebagai “househusband”. Ibuku keluar dari dapur dan terus mengambil tempat duduk bertentangan denganku sambil matanya menatap tepat ke wajahku. “Lumrah bekerja, begitulah. Bukan mudah nak dapat duit, kena kerja dan ada sumber pendapatan. Dah tu, pergilah mandi. Tak lama lagi waktu Asar dah nak habis,” ujar ibuku yang kini berusia 53 tahun. Aku melihat sosok tubuh ibu yang tidak pernah berubah sejak dari dahulu melangkah ke dapur.
Aku bingkas bangun dari kerusi makan menuju ke bilik aku. Setelah meletakkan beg di lantai, aku duduk sebentar di lantai sambil melihat skrin telefon bimbit. Sambil menghela nafas panjang, mataku galak memandang setiap benda yang ada di bilik tidurku yang dikongsi bersama adik kembar perempuanku. Sebagaimana keadaan di ruang tamu, begitulah halnya bilik kami. Minimalis dengan hanya beralmari kayu, penyangkut kain dan rak plastik yang berisi barang peribadi kami. Bilik kami juga mempunyai sebuah televisyen yang digunakan hanya untuk bermain konsol PS2. Badanku berasa panas seperti hendak demam, iaitu keadaan yang selalu aku alami tatkala aku menghadapi suasana baru dalam hidup. Aku pernah mengalaminya sewaktu aku mula-mula menjejakkan kaki ke matrikulasi, kemudian di universiti, kemudian aktiviti luar dan macam-macam lagi. Diriku yang jarang sakit ini mudah menjadi sebaliknya apabila berhadapan dengan situasi baru.
Seusai mandi dan menunaikan solat Asar, aku menonton drama di TV sambil melipat kain di ruang tamu. Ibuku turut sama membantu melipat kain dan kami banyak bercerita mengenai pekerjaan pertamaku. Sejujurnya ibuku tidak senang aku bekerja di sebuah syarikat peruncitan walaupun jawatan yang ditawarkan padaku ialah Pegawai Teknologi Maklumat. “Kerja kat situ usah lama-lama. Belajar tinggi-tinggi dengan ijazah yang baik patut dapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan,” kata ibuku bersuara tegas, pandangannya masih kepada kain yang dilipat oleh tangannya.
“Along dah isi kerja kat SPA8 tu, ada juga la tanya kawan-kawan lain juga pasal kerja. InshaAllah, ada rezeki along untuk mendapat pekerjaan yang baik. Along pun bukan mahu lama pun di company sekarang. Namun, andai jodoh panjang bekerja di situ, memang target nak jadi pengurus,” terangku dengan penuh pengharapan.
“Ibu tak mahu kamu kerja di situ. Tengok anak-anak Aunty Shila, kawan ibu tu. Anak dia ada yang jadi akauntan, ada yang jadi engineer, ada yang jadi lecturer. Ibu nak kamu kerja begitu. Boleh melaram pakai baju cantik-cantik, boleh beli kereta dan rumah elok. Bukan untuk ibu, semua untuk kamu tu,” balas ibu. Aku mengerti isi hati wanita berusia lebih setengah abad ini yang sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anak, namun aku telah berusaha untuk mendapat pekerjaan lain tetapi rezeki masih belum lagi memihak aku.
“Along tahu. Tengah usaha ini, “ujarku pendek. Aku sudah rasa malas untuk meneruskan perbualan lalu aku terus menonton TV bagi menghiburkan hati yang sedang lara ini. Ayahku pulang ke rumah selepas itu bersama adik lelaki bongsuku yang baru sahaja tamat aktiviti ko-kurikulumnya. Aku tinggal di rumah kuarters ini bersama ibu bapa dan adik lelakiku, manakala adik perempuan kembarku masih lagi belajar di universiti di selatan tanah air. Almaklumlah, kursus pengajiannya mengambil masa 4 tahun berbanding kursus pengajianku yang hanya mengambil masa 3 tahun.
Di usiaku yang menginjak 22 tahun, aku hanya boleh berbangga dengan segulung ijazah yang diperoleh di majlis konvokesyen. Sekeping kertas mahal yang diperakui oleh Senat Universiti menandakan aku telah berjaya melengkapkan sejumlah tempoh masa dan weightage subjek-subjek dari salah sebuah universiti awam tersohor di Malaysia. Sekeping kertas yang menjadi bukti penat jerih, suka duka aku bergelar pelajar Menara gading. Tiga tahun memegang gelaran mahasiswa, rupanya aku leka dalam buaian mimpi indah seorang graduan yang berjaya – pekerjaan dengan gaji besar, bertaraf pegawai dan duduk di atas kerusi empuk berbilik pejabat yang penuh dengan perabot kayu dan berhawa dingin. Di saat ada rakan-rakan sekuliah yang sibuk mencari pekerjaan sampingan sambil menyiapkan projek akhir tahun, sibuk mengisi permohonan atas talian jawatan kerajaan dan menghadiri ujian kemasukan dan temuduga, fikiran aku masih lagi dalam kepompong indah. Namun, lamunan dan angan-angan indahku hancur berkecai saat aku menamatkan pengajian dan menjadi pemburu kerjaya.
Fikiranku melayang ke memori lampau saat aku masih lagi memburu kerja di Kuala Lumpur setelah tamat pengajian. Berbekalkan segulung ijazah sarjana muda dalam bidang sains gunaan (Fizik), rupa-rupanya job market graduan sains tulen sangatlah kecil berbanding graduan jurusan sains kritikal lain seperti perubatan, kejuruteraan dan farmasi. Aku telah menghantar semua resume ke beberapa syarikat yang berpotensi memilihku untuk ditemuduga, namun segalanya tidak membuahkan hasil sehingga aku tewas dalam pujukan keluarga untuk kembali ke kampung halaman untuk bekerja.
Pada malam itu, setelah menjamah makan malam, mengemas meja makan dan dapur serta menunaikan solat Isyak, aku membentangkan tilam di atas lantai di bilikku. Tilam yang berwarna biru ini telah menipis setelah kerap digunakan sejak lebih 10 tahun yang lalu. Aku menghidupkan suis komputer ribaku untuk mencari maklumat di internet. Di hadapanku terdapat sebuah buku lukisan dan beg panjang yang kecil yang menyimpan peralatan melukis. Ya, aku sangat meminati lukisan walaupun masih amatur. Aku sedar akan hobi ini sejak aku masih lagi kanak-kanak. Ibu dan ayahku pernah bercerita bahawa aku dan adik kembar pernah melukis mural di dinding ruang tamu di kuarters PDRM semasa aku masih kecil, masih belum pun menjejakkan kaki ke tadika. Aku pernah bermimpi untuk menghasilkan manga sendiri kerana faktor meminati anime Jepun.
Seingat aku, lukisan manga aku yang pertama mempunyai gabungan cerita Sailormoon dan Cardcaptor Sakura iaitu dua anime mahou shoujo (mahou bermaksud magis dan shoujo bermaksud gadis muda), namun komitmen sebagai pelajar dan anak harapan keluarga serta tentangan daripada keluarga untukku menjurus ke arah bidang seni selepas tamat pelajaran Tingkatan 5 menyebabkan angan-anganku hanya sekadar mimpi indah zaman kanak-kanak. Ibu bapaku menggalakkanku dan adik-beradik mengambil aliran Sains sejak dari sekolah menengah lagi, maka aku hanya berimpian untuk menjadi pensyarah, penyelidik atau jurutera. Aku tidak pernah terfikir langsung akan kerjaya selain daripada itu.
Tanganku ligat mencari bahan panduan untuk melukis. Aku sedang merangka lukisan seorang gadis muda yang berpakaian gaun gaya gothic Lolita, satu konsep fesyen yang aku gilai sejak aku di bangku universiti setelah bergambar dengan seorang hijabista yang menggayakan fesyen terbabit di sebuah ekspo anime Jepun di Midvalley Megamall. Gadis hijabista tersebut menjadi idola aku dalam melibatkan diri dalam dunia cosplay namun kerana kekangan kewangan dan ketiadaan kemahiran menjahit, mengenakan kostum daripada watak-watak anime hanya tinggal kenangan.
Aku mengambil masa yang agak lama walaupun hanya melukiskan satu watak, berbanding semasa aku masih menuntut dahulu. Aku sedar bahawa hobi aku ini menuntut masa untuk menjadi mahir, tetapi aku tidak sangka bahawa komitmen kehidupan yang menjadi antara perintis sebab aku meninggalkan dunia lukisan sedikit demi sedikit. Aku hanya akan menyedarinya setelah berkecimpung dalam dunia pekerjaan setelah beberapa tahun bekerja.
Tangan kananku berhenti melukis tiba-tiba akibat otakku masih lagi memikirkan perbualan bersama ibu pada petang tadi. Aku bingkas duduk di atas tilam sambil belakang badanku bersandar pada dinding. Aku sedar siapa diriku iaitu anak sulung yang dilahirkan kepada pasangan penjawat awam Persekutuan bergred rendah. Keluargaku hanyalah sederhana dalam segala segi, namun tidak pernah sekali kami tidak makan. Tidak pernah sekali kami tiada bumbung untuk berteduh. Alhamdullillah, Allah swt masih memberi rezeki yang baik pada kami walaupun kehidupan kami tidak seberapa. Seingat aku, keluargaku jarang bercuti ke lokasi percutian. Percutian kami hanyalah kampung halaman, dan tidak pernah bermimpi untuk terbang di awan biru dengan kapal terbang apatah bercuti di negara empat musim. Keadaan ini menimbulkan perasaan cemburu kepada rakan-rakan sekelas semasa aku masih di sekolah kerana mereka anak orang senang.
Walaupun demikian, kami tiga beradik dikurniakan kepintaran masing-masing. Aku dan adik kembar pernah sahaja merangkul hadiah pelajaran akhir tahun, iaitu antara bukti kecemerlangan pendidikan kami. Ibu bapaku seringkali mengingatkan kami untuk belajar bersungguh-sungguh kerana pada mereka, hanya dengan pelajaran, kami dapat menjadi insan yang berguna pada satu hari nanti. Keluarga kami yang sederhana ini juga disisih dan dipandang serong oleh saudara-mara yang jauh lebih baik kehidupan mereka daripada kami. Oleh sebab itu, kami adik-beradik memasang impian untuk menjawat jawatan profesional setelah tamat belajar. Perjalanan kami bergelar pelajar adalah smooth-sailing bak kata orang putih.
Kufikir ada rezeki yang baik untukku di kampung halaman walaupun sebenarnya kampungku ialah di bandar metropolitan. Aku masih lagi mengusung fail yang mengandungi sijil-sijil akademik dan ko-kurikulum serta resume untuk dihantar ke mana-mana job fair yang aku hadiri. Tidak lama selepas itu, mataku tertarik akan poster pengambilan pekerja oleh sebuah syarikat peruncitan yang menawarkan kerjaya sebagai Pegawai Teknologi Maklumat dan Juruwang semasa berjalan-jalan mencari kerja di sebuah shopping mall. Tanpa berlengah lagi, aku terus melangkah ke syarikat tersebut dan mengisi borang pengambilan pekerja yang disediakan di kaunter pertanyaan. Aku menerima panggilan daripada eksekutif Sumber Manusia pada suatu hari, memaklumkan bahawa aku dipanggil untuk temuduga setelah beberapa hari mengisi borang pengambilan pekerja.
Pada hari Isnin minggu berikutnya, dengan berpakaian baju kurung dan berkasut court shoes, aku dihantar oleh ayahku ke syarikat tersebut bagi menghadiri temuduga. Kehadiranku disambut oleh seorang wanita Melayu yang bertudung dan memakai kemeja T yang berlogo syarikat di sebelah kanan di dada bajunya. Wajah manisnya mengukir senyuman dan dengan loghat Bahasa utaranya, wanita tersebut memperkenalkan diri sebagai Kak Yan, iaitu eksekutif Bahagian Sumber Manusia di syarikat terbabit. Aku dibawa masuk untuk bertemu dengan pengurus syarikat, Encik Abdul. Kulihat pengurus tersebut bertubuh kecil dan mempunyai ketinggian yang agak rendah (lebih kurang sama tinggi denganku) serta berkepala botak tanpa sehelai rambut di kepala. Beliau melemparkan senyuman yang manis bak gula kepadaku sambil mempelawaku untuk duduk di kerusi yang diletakkan bertentangan dengan beliau.
Sesi temuduga dengan Encik Abdul sangat santai dan aku terus ditawarkan jawatan tersebut. Hatiku melompat kegirangan kerana aku sudah boleh masuk bekerja lusa memandangkan Pegawai Teknologi Maklumat sedia ada akan berhenti kerja tidak lama lagi kerana akan pulang ke kampung atas sebab keluarga. Aku terus memaklumkan kepada keluargaku mengenai berita gembira tersebut namun, perasaan gembira terhenti apabila ibu meluahkan perasaannya bahawa beliau mahu aku hanya bekerja sementara di situ dan pada masa yang sama aku disuruh mencari kerja yang setimpal dengan kelayakan akademikku. Dek kerana penat melayani perasaan yang gundah dengan keadaanku yang sakit kepala akibat pening, aku tertidur di tilam nipisku.
Share this novel