Bab 7: Ugutan Pengurus – Kerjaya Sekarang vs Kerjaya Impian?

Young Adult Series 2042

Khabar angin mengenai penutupan cawangan syarikat tempat aku bekerja bertiup dan berlegar di kalangan tim pengurusan syarikat. Baru beberapa tahun aku bekerja di sini, khabar angin tersebut benar-benar membuatkan aku tersentak, terduduk dan belajar mengenai realiti kehidupan. Aku melihat wajah anak-anak buahku, Kak Wati dan Aunty Chan. Kukira mereka tiada masalah pun sekiranya syarikat ini ditutup kerana berdasarkan umur, mereka sudah boleh duduk goyang kaki di rumah tanpa perlu risau hendak membayar komitmen bulanan yang dihadapi oleh golongan muda seperti aku. Ya, walaupun komitmen aku hanyalah kereta kancil dan pinjaman Pendidikan, namun aku juga ada keinginan lain seperti bercuti, memberi sedikit duit kepada ibu bapaku dan membelanja keluarga dengan hasil titik peluhku.

Aku perlu cari kerja lain, sampai bila nak mengharap kerja di sini. Ini baru tempat kerja pertama diarah penutupan operasi, kalau lepas ni kerja swasta juga dan syarikat tu pun alami nasib yang sama, apa aku nak buat? Isu ini tidak aku ceritakan kepada keluargaku kerana aku enggan mereka bersusah hati memikirkan keadaanku. Cukup sudah selama 20 tahun lebih ini mereka memikirkan perihal aku, dan aku sebagai seorang yang dewasa perlu mencari alternatif kerjaya lain dengan segera.

Mungkin aku masih old-fashioned, almaklumlah rumahku tidak dipasang dengan internet. Maka pengetahuan aku dalam meneroka ruang pekerjaan mahupun kemahiran membaiki kelemahan diri agak sempit. Jalanku dalam mendapatkan kerja hanyalah dengan mengemukakan resume kepada mana-mana syarikat atau jabatan yang membuka pengambilan pekerja, namun aku hampa kerana aku tidak mendapat apa-apa panggilan pekerjaan yang lain melainkan daripada pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia. Sejujurnya aku sendiri tidak pernah mengambil tahu bahawa kerja di sektor kerajaan tidak terhad kepada kerajaan negeri dan persekutuan.

Ada banyak lagi kerjaya di sektor awam yang tidak melalui SPA seperti kerajaan tempatan dan badan berkanun. Aku hanya mengetahui mengenainya setelah aku membaca mengenainya bagi persediaan temuduga kerajaan. Seiring dengan perkembangan teknologi pada masa itu, kali pertama aku dipanggil untuk menduduki peperiksaan kemasukan ke perkhidmatan awam adalah bagi satu peperiksaan tetapi pengambilan untuk beberapa jawatan. Peperiksaan yang dijalankan bermula dari pagi hingga ke petang, duduk di dalam dewan besar yang sejuknya mencengkam tubuh dek kerana centralized airconditioner. Keadaan tersebut menambahkan lagi ketidakselesaan calon yang cuba untuk memberi sepenuh perhatian dalam menjawab soalan. Di kala ini aku menduduki peperiksaan bagi jawatan Pegawai Sains Fizik dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik. Yang paling menariknya, wanita yang duduk di meja di belakang aku adalah rakan sekelas sewaktu aku di sekolah menengah dahulu, Anisah. Bayangkanlah berapa tahun kami sudah tidak ketemu selepas masing-masing membawa haluan selepas mengambil keputusan SPM di sekolah.

Peperiksaan kemasukan ke perkhidmatan awam ditangguhkan pada waktu tengah hari bagi memberi laluan kepada semua calon untuk berehat, makan tengah hari dan solat Zuhur. Pada masa itulah aku mengambil kesempatan menyulam kembali kisah indah alam persekolahan dan berkongsi perihal hala tuju kehidupan semasa yang dilalui. “Aku sekarang dah kerja sebagai jurutera elektrik di Syarikat XYZ ni. Aku akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi, sekejap aku bagi kad jemputan kahwin aku kat kau,” kata Anisah seraya mengalihkan pandangannya daripada wajahku ke beg yang diletakkan di sebelahnya. Tangannya menggodek perut beg sebelum mengambil sekeping sampul berwarna merah jambu lembut dan menghulurkannya kepadaku. “Nanti datanglah.”

“InshaAllah. Tahniah Anisah kerana bakal berkahwin tak lama lagi. Semoga perkahwinan kau dan bakal suami kekal bahagia sehingga ke syurga,” kataku sambil menguntumkan senyuman. Tanganku membuka sampul tersebut untuk melihat maklumat mengenai ketetapan majlis perkahwinan Anisah. “Kau buat apa selama ni, Diana?” tanya Anisah pendek. “Aku…aku…aku kerja biasa je. Bukan kerja tetap pun, sekadar kerja part time di supermarket,” jawabku malu-malu.

Aku seboleh-bolehnya tidak mahu orang tahu bahawa aku bekerja di syarikat peruncitan. Ini baru seorang rakan bekas sama sekolah yang aku bertemu secara berdepan, tetapi sebelum-sebelum ini juga aku tahu rakan-rakan sekolahku mempunyai kerjaya hebat – maklumat yang diperoleh hasil carian di Internet Explorer berdasarkan mana-mana nama mereka yang aku masih ingati. Doktor perubatan, peguam, pensyarah, ahli perniagaan, guru sekolah – antara kerjaya-kerjaya profesional yang dijawat oleh mereka. Sudahlah dilahirkan dalam keluarga yang berharta, mempunyai otak yang bijak serta berpenampilan cantik bergaya.

“Kau memang mohon jawatan dalam kerajaan ke, Anisah? Dah elok kerja sekarang ni.” tanyaku sekadar ingin tahu. Anisah membalas pertanyaanku dengan senyuman nipis. “Aku sebenarnya malas nak mohon dah, dengan kerja sekarang pun gaji okey juga. Tapi mak bapak aku suruh aku mohon, mana tau ada rezeki kerja dengan gomen.” Anggukan perlahan kubalas kepada Anisah menandakan aku memahami keadaannya. Berbeza denganku, yang dilahirkan dalam keluarga yang rata-rata berkhidmat dengan perkhidmatan awam persekutuan, memang harapan tinggi diletakkan ke atas aku dan adik-beradik untuk menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam. Tetapi apakan daya, bukan mudah untuk menembusi kerja yang menjadi kegilaan graduan pada masa kini.

Peperiksaan kemasukan ke perkhidmatan awam diteruskan untuk sesi petang. Tidak lama menduduki peperiksaan tersebut, selepas beberapa bulan keputusan peperiksaan diumumkan dan ternyata rezeki tidak memihak kepadaku. Ibuku agak kecewa, begitu juga aku tetapi aku anggap ini pengalaman pertamaku dalam percubaan memasuki perkhidmatan awam. Selepas daripada peperiksaan itu, aku menerima jemputan untuk temuduga kerajaan bagi jawatan Pegawai Sains Fizik. Pengalaman menghadiri temuduga kerja kerajaan kali ini merupakan pengalaman temuduga pertama tetapi yang paling menakutkan di sepanjang perburuan aku mendapat kerja dalam sektor awam. Apabila aku masuk ke bilik temuduga, aku terus disapa oleh panel temuduga. “Diana kenal saya, kan?”

Terkedu aku dibuatnya saat diri ini disapa oleh panel temuduga. Mataku segera memandang tajam ke raut wajah seorang lelaki yang kukira berusia menghampiri 30 tahun. Ya Allah, panel temuduga aku ialah senior sekursus semasa di universiti dulu, Encik Hafizal! Masakan aku boleh lupa kerana aku telah menghadiri suatu kursus anjuran hospital di mana aku sedang menjalani latihan praktikal dan Encik Hafizal inilah penceramah jemputannya! Sebelum kami balik dari kursus itu, dia sempat bertemu dengan aku dan dua orang rakan-rakan sekursus yang turut sama menjalani latihan praktikal; bersembang mengenai perkembangan latihan praktikal kami dan juga sempat berpesan untuk memaklumkan kepada beliau andai kami telah selamat bergraduasi. Dia berkata bahawa dia akan cuba membantu dari segi ilmu dan juga pengalaman temuduga kerja kerajaan memandangkan beliau kini sedang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Sains Fizik negeri. Mendengar jawatannya itu membuatkan aku kagum.

Melihat wajah panel temuduga sudah membuatku dapat membayangkan bahawa sesi temuduga ini tidaklah semudah yang disangka. Bagaikan anak panah yang mengenai sasaran, sangkaanku tepat sekali. Aku ditembak dengan soalan-soalan yang berkaitan yang aku pernah pelajari semasa di universiti yang mana sepatutnya bonus bagiku, tetapi rupanya persediaanku dalam menghadapi temuduga amatlah sedikit. Dua tahun aku meninggalkan alam universiti habis semua ilmunya telah dilupakan, persediaan menghadapi temuduga hanyalah bergantung kepada bacaan yang aku beli hasil carian di internet. Sesi temuduga yang hanya berjalan selama 15 minit terasa bagaikan setahun kerana sepanjang masa aku menghentam jawapan ke atas semua soalan yang dilontarkan kepadaku oleh panel temuduga. Mungkin benar Encik Hafizal ingin membantu, tetapi aku sendiri yang gagal memahirkan diri dengan ilmu temuduga.

Kegagalan temuduga Pegawai Sains Fizik sememangnya telah diduga dari awal. Mengenali panel temuduga bukan bermaksud boleh mengambil ringan perihal temuduga, anda boleh menjangka situasi temuduga bertambah senang sehingga mampu berborak santai dengan panel temuduga. Rupanya itu hanya omongan mimpi indah yang tidak boleh diterjemah dalam dunia realiti. Pun begitu, kegagalan pertama dalam temuduga jawatan kerajaan tidak mematahkan semangat aku untuk terus memohon. Sebagai anak sulung, siapa lagi yang boleh dijadikan role model untuk adik-adik dan siapa lagi tempat sandaran harapan tinggi ibu bapa dan keluarga?

Perhaps, typical Asian parents are like that. You would be considered as not working if you are not working in a big office, holding a job matched to your academic background and able to buy luxurious assets and travel around the world wih financial freedom in your mind.

“Can you not go to this exam? Tau kan hari Sabtu hari apa?” Suara tinggi pengurusku, Encik Syafiq kedengaran berdesing di telingaku. Masakan tidak, pantang bagi seorang lelaki bertaraf pengurus menerima permohonan cuti daripada staf yang bekerja sebagai frontliner. Baginya, hujung minggu, Sabtu dan Ahad adalah hari di mana syarikat peruncitan seperti kami melipatgandakan keuntungan walaupun syarikat ini keadaannya bagai telur di hujung tanduk. Aku kaget – berdiri di antara dua persimpangan sama ada untuk mengejar masa depan yang cerah dengan pergi menduduki peperiksaan kemasukan ke perkhidmatan awam, atau terus menumpukan kerjaya sedia ada.

“Tapi bos. Kalau tak pergi, mana tahu saya takkan berjaya. Lagipun saya bukan cari kerja atau buat kerja lain semasa bekerja, saya mohon pertimbangan bos untuk hormati hak saya yang mahu mencari masa depan yang lebih baik.” Mana datang sumber kekuatanku melemparkan kata-kata sebegitu di hadapan pengurus yang dikenali sebagai persona non grata di kalangan pengurus syarikat peruncitan antara yang terbesar di Malaysia.

Encik Syafiq diam seribu bahasa untuk beberapa ketika. “Diana, datang masuk kerja sebelah petang.” “Saya mohon maaf, bos. Saya tidak akan hadir ke pejabat kerana peperiksanan berlangsung dari pagi hingga ke petang. Lagipun dewan peperiksaan tu di negeri lain, memakan masa untuk pergi dan balik,” jawabku berani. “Awak berani, Diana. Tak takut saya buang kerja awak kerana awak melawan bos awak sebegini?” Suara Encik Syafiq masih tinggi. Aku yang masih dikuasai dengan perasaan amarah dan tidak puas hati terus membidas katanya, “Terpulanglah bos nak buat apa. Saya datang nak mohon cuti nak pergi exam, nak kejar cita-cita saya. Tetapi kalau sudah dihalang sebegini, saya tidak kisah langsung sekiranya bos nak buang kerja saya. Saya cuma menuntut hak saya sebagai pekerja sebagaimana yang termaktub dalam labour law.”

Terus kakiku membawa diriku keluar dari bilik pengurus, meninggalkan Encik Syafiq yang terduduk di kerusinya, matanya memandang borang cutiku yang aku hantar bersekali dengan sehelai kertas yang menyatakan tentatif mengenai peperiksaan kerajaan yang bakal aku duduki hujung minggu ini. Setibanya di ruang pejabat aku, mataku yang sudah bergenang dengan air mata terus melimpahkan titisan jernih daripada empangan mata. Hari ini aku bekerja full shift dan keadaan itu sudah petang, makanya aku keseorangan tanpa ditemani oleh anak-anak buahku. Meminta abang-abang cleaner berwarganegara Bangladesh untuk mengambil alih sementara di kaunter penimbang sementara aku cuba menyeka air mata daripada terus mengalir.

Sebulat tekadku, sebulat juga kata hatiku membawa diri menuju ke dewan peperiksaan yang jaraknya lebih 100km daripada kediamanku. Kedamaian pagi Sabtu dengan matahari masih berlindung di sebalik ufuk timur dengan langit yang kian hilang warna biru malamnya mewarnai perjalananku. Seperti biasa, ibuku setia menemani, duduk di sebelah kiriku di kerusi penumpang, mulutnya terkumat-kamit berzikir dan berselawat – mendoakan agar puteri sulungnya diberi ketenangan dan kekuatan untuk menempuh ‘peperangan’ sebentar nanti. Aku sebenarnya tidak ingin wanita keramat hidupku mengikuti aku menuju ke dewan peperiksaan, melihat kepada tentatif peperiksaan yang berlangsung dar pagi hingga ke petang. Namun naluri ibu tidak tenang andai anaknya memandu keseorangan dalam perjalanan jauh.

Kereta Kancil kecilku meluncur laju di lebuhraya, dengan hatiku sering melafazkan doa kepada Pemilik Langit dan Bumi agar melindungi perjalanan kami supaya selamat semuanya. Setibanya di sebuah sekolah yang menjadi lokasi peperiksaan, aku bersalaman dan mengucup tangan ibu sambil memohon restu untuk aku melangkah pergi. Cuaca pagi semakin panas, matahari pula telah meninggi menjadi saksi setiap langkahku menuju ke medan peperangan yang menentukan hala tuju masa depanku. Di dalam otakku, telah dibuang sejauh-jauhnya perihal pergaduhan antara pengurusku dengan aku, apatah lagi hal-hal berkaitan kerja. Aku datang dengan misi untuk menjawab soalan peperiksaan sehabis baik, soalan-soalan yang tidak pernah aku bayangkan sebelum ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience